Sunday, February 1, 2015

Kenapa Pas jadi tiba-tiba teringat kepada Asri?

BACAAN AHAD                                                                                               

Mulanya saya mengira Ngo yang menganjurkan seminar pemikiran Mohd Asri Muda (Tan Sri) yang berlangsung di Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya semalam dan ia tidak ada kena mengena dengan Pas "sikit abuk" pun.

Tidak terfikir sama sekali yang ianya dikelolakan oleh pihak parti Pas kerana umum tahu penerimaan Pas kepada Allahyarham selepas beliau disingkir dan meninggalkan Pas sangatlah teruk. Ada yang menuduh Asri sebagai "murtad" dan darjah kehidupannya sama dengan orang-orang Umno yang dianggap jahiliah oleh Pas pada era tahun 60-an. Nauzubilahiminazalik.

Perjalanan politik Asri dalam memperjuangkan aspirasi bangsa bersama Pas selama 30 tahun (1952 - 1982) ternafi terus apabila beliau tidak lagi bersama Pas. Seolah-olah politik Asri bersama Pas bagaikan istana pasir ditepi pantai apabila dirempuh air ia hilang lenyap tanpa meninggalkan secalit bekas pun. Demikian sadisnya hukum karma terhadap Asri. Ironis dan menyedihkan ia berlaku dizaman ulama naik panggung.

Ratna Inzah sebak menceritakan citra ayahnya.
Nama Asri dan wajahnya begitu sensitif kepada sesetengah ahli Pas bahkan termasuk di kalangan pemimpin tertinggi Pas sendiri. Ada yang menilai Asri tidak lebih daripada kemucut. Masya-Allah subhanalah. Justeru demikian buruknya persepsi terhadap almarhum maka saya tidak fikir Pas berani untuk menganjurkan satu seminar bagi mengangkat citra dan biografi politik, kehidupan dan pemikiran Asri dalam satu seminar sebegitu rupa.

Dalam pemerhatian dan ingatan saya belum ada apa-apa program khas dibuat untuk mengenang atau menyorot kehebatan Asri sebagai pemimpin Pas. Walaupun sudah 23 tahun Allahyarham kembali ke alam baqa (22 Ogos 1992) dengan meninggalkan pelbagai jasa dan baktinya, namun semua itu seakan tidak dikenang Pas. Dan nama dan jasa Asri dalam Pas kalau pun disebut selayang pandang sahaja seolah-olah nama itu tidak perlu dikenang lagi. Orang menyebutnya pula seakan dipaksa-paksa mulut untuk menuturnya.

Barangkali sekiranya seluruh ingatan rakyat negara ini yang menyertai dan menyokong Pas terutamanya boleh dilupuskan, pasti nama Asri tidak akan dibiarkan melekat didinding kepala mereka. Tetapi kerana sejarah itu bagaikan kenangan, maka ia tidak dapat dilupuskan selagi manusia waras dan ada ingatan. Asri tetapi dikenang menerusi sejarahnya. Asri bagaikan parut yang berbekas dilengan selepas bergocah dan berbalah.

Sebenarnya bukan semua orang Pas membenci dan mencemuh Asri. Mereka yang menghayati perjuangan tokoh bangsa dan agama itu tidak akan melupainya. Mereka sezaman dengannya tetap mengakgumi dan menyanjungi Asri. Hanya mereka yang termakan jamuan emosi kebencian kepadanya sahaja, akan menafikan peranannya. Generasi muda yang kering dengan sejarah dan adab-adab mengenang orang lama tidak merasakan apa-apa kesan kehadiran Asri.

Bahkan bagi sesetengah "pemakan doktrin" yang mengkagumi kepimpinan ulama secara melulu, bukan sahaja nama, gambar dan segala macam, fosil sejarah Asri juga tidak mahu ia dikenangkan dan diingati. Bagi mereka Asri lebih kurang Kamal Artatuk di Turki. Beberapa kali saya mencadangkan agar Pas mengadakan seumpama pamiran, seminar atau bicara ketokohannya dan sebagainya bersabit Allahyarham tetapi tidak pernah dilayan dan dipandang sepi.

Layanan tidak adil kepada Asri

Ahmad Laksamana bersama anak-anak Asri.
Saya melihat penerimaan orang Pas kepada Asri tidak adil bahkan satu kezaliman. Ada kalanya tanggapan dibuat itu sebagai egois dan sombong serta riak melangit. Dengan kesilapan dilakukan beliau memang boleh dikecam, tetapi perlu ada mentara dan sempadan untuk berbuat demikian. Gading mana tidak retak dan langit mana tidak dicalar awan. Siapakah yang boleh menafikan kehebatan Asri sebelum tahun 1982, sebelum beliau meninggalkan Pas?

Asri sebelum itu adalah segala-gala buat Pas. Beliaulah tokoh dan politician kebanggaan Pas. Beliau ahli politik yang hebat dikagumi dengan pidatonya oleh kawan dan lawan baik dalam negeri maupun di luar negeri. Dialah yang menjadi mercu tanda kepada Pas dan juga tanahair. Dialah wakil rakyat, ahli parlimen, menteri besar dan dialah juga menteri kabinet. Dialah juga mater mind mengukuhkan politik Melayu dan Islam di negara ini. Dan dialah segala-galanya, bagaikan bunga yang mekar megah dipuncak pokok yang tinggi dalam lembah bernama Pas.

Tetapi apabila semalam tiba-tiba diadakan seminar pemikirannya dan menelusuri denai-denai perjungannya dimana penganjurnya oleh pihak Pas dan pengucap utamanya Setiausaha Agung Pas Mustapa Ali ia sedikit mengejutkan saya. Membuat saya tertanya-tanya sendiri, apakah tujuan dan rahsianya? Apakah Pas sudah insaf dan sedar daripada kesilapan selama 23 tahun melupai Asri sesudah tokoh Pas itu  kembali ke alam baqa?

Terus terang saya zahirkan, seminar itu satu acara yang sangat saya tunggu-tunggui kesekian lama sebab itulah saya tuang satu majlis di Kota Bharu yang tidak kurang penting untuk diperhatikan kerana teruja untuk datang ke Universiti Malaya tempat berlangsung program itu.

Banyak manfaat dan loaba dapat dikutip daripada seminar berkenaan. Mereka yang asing atau pun masih tidak lahir ke dunia sewaktu Asri berapi-api dan bergema talun dengan pidato dakwah dan politik nasionalismenya sehingga bisa menguncikan pendengar berjam-jam kandati dalam hujan lebat, dapat mengetahui kisah dan penghidupan Asri yang sebenar.

Melalui pembentangan kertas kajian politik dan sejarah perjuangannya dapat diketahui akan apakah wajah politiknya. Dapat mengenali Asri luar dan dalam sejauh mana atau sedalam mana kecintaanya kepada agama dan bangsa. Manakala daripada pembentang oleh mereka yang dekat dengannya, hidup serumahnya dengan dapat mengenali hati budi Asri sebagai seorang insan yang hakiki daripada pemimpin sebuah keluarga serdahana kepada parti dan negeri.

Selain Mustapa Ali memberi ucaptama, ada tiga pembentang kertas kerja lain yang mengkaji dan menganalisa karektor Asri sebagai pemimpin. Salah seorang yang dapat memberi pencerahan dan mengenalkan kita dengan Asri bukan sahaja sebagai seorang pemimpin parti tetapi juga sebagai seorang ayah dan suami dirumah ialah Ratna Inzah Asri, anak ketiga Allahyarham. Dua pembentang lain ialah Dr Mustapa Ahmad dan Dr Kamaruzaman Yusuf.

Warna dan cahaya politik Asri dapat diketahui menerusi Mustapa Ali. Bagaimana Asri berperanan di tengah persada politik negara sebagai pejuangan pengangkat martabat agama dan bangsa menerusi wadah bernama Pas dengan segala ketrampilan yang ada kepadanya. Kita juga mengetahui bagaimana ketinggian iltizam Asri membangun agama dan mengatur strategi mampat untuk mendaulatkan agama dan bangsa dan seterusnya meletak dan menjadikan Pas sebagai sebuah parti siasah atau wadah perjuangan penting negara.

Manakala menerusi anaknya Ratna Inzah pula mengenalkan kita siapa Asri sebagai seorang insan bernama bapak dan pemimpin sebuah keluarga sakinah. Mengenalkan kita Asri sebagai seorang berkebajikan. Yang menghabiskan bukan masa, bahkah tenaga dan harta dalam perjuangan. Bagaimana sikap kebapaanya (fatherly) yang ada kepadanya bukan sahaja dirumah tetapi dengan kawan dan ahli serta penyokong Pas juga. Sebab itu pada zamannya Asri disayang dan dikasihi rakyat.

Mengenai pengorbanannya yang jarang diketahui orang, beliau memotong gajinya bukan sahaja 20% untuk tabung perjuangan dan parti, malahan lebih banyak dari itu. Ramai generasi hari ini tidak mengetahui yang rumah Asri semasa menjadi presiden Pas laksanakan sebuah homestay yang diduduki dan ditumpangi bukan berminggu-minggu bahkan ada berbulan-bulan.

Yang tidak diketahui oleh mereka yang lahir sebelumnya, apa lagi oleh pencemuh Asri, ialah bagaimana dia menjual rumahnya di Kota Bharu untuk mendapatkan wang bagi belanja pilihan raya umum. Apakah dizamkan ini ada mana-mana pemimpin berkorban sehingga tahap itu? Nescaya kalau para pencemuh dapat mendengar dan melihat perngorbanan besar sosok ini, maka persepi buruk yang busuk itu akan berkurangan.

Saya dapat mengesan perasaan Ratna Inzah semasa membentang kertas rengkasnya, berjudul; Menelusuri Sejarah Mendepan Arah, suaranya tertekan berbaur sebak apabila mencaritakan bagai mana kehidupan bapanya setelah tidak ada kuasa. Asri kesepian tidak ada lagi rakan dan sahabat yang sebelum ini berjujutan ke rumahnya. Keceriaan rumah Asri dizaman dia berkuasa tiba-tiba hiang sebaik beliau tidak mempunyai apa-apa kuasa dan kedudukan. Rumah Asri mati sebelum dia kembali menghadap Ilahi.

Situasi itu masih boleh ditelan oleh Allahyarham walaupun pahit tetapi apa yang sukar untuk dihadapi ialah pelbagai fitnah dan dilemparkan kepada Allahyarham apabila beliau tidak lagi bersama dengan Pas.

Tetapi sayang tidak ramai yang hadir seminar semalam. Hampir separuh peserta terdiri daripada anak beranak dan kaum keluarga Asri. Tidak ada nama-nama besar dari Pas khasnya dari rahang anak muda yang diharap menjadi penerus pemegang panji Pas. Kenapa? Apakah mereka masih sombong dan bongkak dengan kepercayaan mereka yang silap dan jahil itu?

Acara besifat akademi masih belum membajai dalam Pas dan ia bukan satu acara yang diburu. Kelekangan dan kekurangan beginilah menyebabkan sesetengah ahli Pas terutamanya yang muda kering dengan maklumat dan fakta sejarah, jahil mengenai teknikal dan strategi dimana kesannya menjadikan mereka terus menggendong maklumat dan persepsi buruk kepada seseorang yang berjasa dan sikap itu akhirnya menjadikan parti sebagai sebuah ladang yang berselut dan mereka adalah pemfitnah senyap.

Ini bagi saya satu penyakit dalam sebuah jemaah atau organisasi politik yang ahlinya miskin dan malas untuk menggali ilmu dan maklumat baru bagi digunakan dalam melayari perjuangan. Kelemahan dalam memahami tektik dan mengatur strategi politik sangat jelas. Makanya mereka lebih ralik dan asyik berpegang kepada politik baca yang dikutip dalam kitab-kitab fikah dan syarahan selepas solat.

Saya mengucap terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Pemuda Pas atas inisiatif berkenaan dan keberanian menganjurkannya terutamanya pengerusinya MNohd Hasbie Muda. Sepatunya lujnah atau pun biro lebih besar memainkan peranan itu, membuka sejarah bekas pemimpin untuk ditiru dan bukan dibumbui dengan emosi dan kebencian Baduwi. Cuma diharap janganlah pula usaha Jabatan Pendidikan Pemuda itu disalah anggap oleh mereka yang berotak kemetot dalam Pas dengan menganggap Pemuda juga sudah berpegang kepada politik Asri yang dicemuhi itu.

Saya tertarik dengan cadangan seorang pengkagum Asri dizaman muda yang juga bekas aktivis Pemuda Pas yang turut hadir, Ahmad Laksamana Omar (Datuk) yang menyarankan Pas jangan lupa kepada pemimpin dan orang berjasa kepada parti. Saranan itu bersesuian dengan pepatah Cina yang berbunyi; "sekiranya kamu merasa enak meminum air perigi, kamu jangan lupa kepada orang menggalinya." Katanya uslub wasilah yang diterapkan Asri perlu dipraktikan kerana ianya bukan sahaja unggul tetapi resional.

Ertinya Pas hari ini dibangunkan Asri secara kesenimbungan daripada pemimpin terawal sebelumnya seperti Dr Burhanuddin Al Helmi, Dr Zulkifli Muhammad dan lain-lain bermakna Asrilah orang yang menanam Pas sehingga besar dan berbuah yang dapat dinikmati hasilnya hari ini. Apa salahnya kalau untuk mengenangkan jasanya itu dibacakan al-Fatihah untuk rohnya.

Motif disebalik seminar.

Sehingga berada dalam majlis itu saya mencari-cari apakah maksud seminar itu diadakan kerana ia kontradik dengan pandangan pihak pengajur (Pas) dengan sebilangan orang dalam Pas terhadap Asri. Atas keyakinan tentu ada sebab masakan tempua bersarang rendah maka saya mengira acara itu juga membawa motif dan maksud tersendiri.

Apabila saya mendengar ucaptama Mustapa yang mengimbau ke zaman belakang mendedahkan kehebatan politik Asri dalam beberapa perkara terutamanya percaturan politik dalam mengejap kedudukan orang Melayu menerusi kuasa politik, baru saya dapat memahami atau merasai akan tujuannya. Mustapa sambil memberi gambaran dirinya akrab (sememang dia pengikut Asri) dengan Asri menyebut beberapa aksi politk Asri yang berpandangan jauh dan canggih. Antara katanya Asri mempunyai daya perancangan politik hebat dengan melakukan succession pelan (pelan pengganti) pemimpin dalam politik.

Beliau menceritakan Asri selaku seorang presiden parti mempunyai kuasa khas tertentu yang beliau boleh bertindak sendiri tanpa memberi tahu ahli yang lain dan berbuat mengikut prerogetif yang ada kepadanya. Dan perkara ini dilakukan Asri apabila bertemu dan berunding dengan Tun Razak dalam usaha menubuhkan kerajaan campuran Pas - Perikatan (1973) yang kemudian membawa kepada penubuhan Barisan Nasional pada tahun 1974.

Apa yang hendak digambarkan Mustapa langkah Asri itu adalah untuk memastikan kuasa politik Melayu tidak terhakis dan kedudukan bangsa dan agama kuat. Di celah-celah itu juga Mustapa menceritakan bagaimana Pas semasa mengadakan kerajaan campuran dengan Umno-Perikatan dapat melaksanakan beberapa aspirasinya seperti mana yang dikehendaki dalam perlembagaan parti agama iaitu, mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan prinsip-prinsip Islam. Kerajasama Pas - Umno itu yang jelas dapat dilakukan Pas ialah menerapkan nilai-nilai Islam yang mana nilai agama itu kering dalam kerajaan pimpinan Umno. Itulah baik dan untungnya kerjasama Pas - Umno.

Mustapa juga tanpa vokal mengangkat dan mengikhtiraf Asri sebagai seorang pejuang atau berpegang kepada aliran politik nasionslisme dan Islamik dan seorang yang sedarhana dalam tindakan politiknya. Apabila Mustapa mengungkitkan ini seolah beliau ingin memberi tahu bahawa Pas harus kembali kepada aliran politik serdahana, berbaik dan berpakat (bertahaluf siasi) demi bangsa dan agama yang pernah terwujud sebelum ini.

Apakah apabila beliau menceritakan tindakan Asri menerusi kuasa presiden itu beliau ingin memberi gambaran yang apa dilakukan oleh presiden Pas kini yang banyak membuat keputusan dan tindakan secara bersendirian sehingga memeningkan, adalah satu tindakan betul dan perlu dipuji? Dan bahawa apa yang dilakukan presiden itu adalah sama dengan apa yang pernah dibuat Asri dan perlu dinilai kembali?

Bila menyedari ini baru dapat saya "mengingak" mengenai mesej dan tujuan seminar itu diadakan. Ia bukan merupakan satu "kemaafan" (apolegetik) kepada Asri tetapi lebih kepada untuk memperkenalkan "sunnah politik" Asri yang bijaksanan dan wajar dikembalikan semula ke persada politik hari ini terutamanya ketika politik bangsa Melayu menggenting. Pengembalian gerak kerja politik Asri itu juga sebagai menjustifikasikan langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh sebahagian pemimpin Pas hari ini yang mahu bergabung dengan Umno atas kepentingan bangsa dan negara.

Boleh difahamkan landasan yang dilanggang Asri lebih 40 tahun lalu adalah tepat dan benar. Ertinya pencercaan kepada Asri selama ini adalah satu kesilapan dan dosa. Sememang begitulah kebenaran itu lambat difahami ada kalanya setelah sang pelopornya meninggal dunia berabad-abad baru ia dapat difahami akan maksud murni yang tersirat. Begitulah apa yang terjadi kepada Asri dan parti yang dipimpinannya. Itu semua tidak menghairankan.  [wm.kl.6:36 pm 01/02/15]

5 comments:

Unknown said...

Tuan haji mso tahniah di atas pemerhatian dan kesimpulan yg tepat dan jitu.Stopa ali and the gang ni dia ingat semo orang PAS ni supo lembu dan ambo sangat sedih sebab virus PAS TGANU sudah berjangkit ko PAS Kelate.Ambo yakin pru 14 nanti ambo tak akan balik ngundi sebab ambo rasa diperbodohkan oleh orang2 hok sekufu dgn stopa ali dan puak2 ustaz hok perasan dia sorang jah hok alin dan betul.

bat8 said...

Tuan MSO

Ambo jugok seperti tuan. Masa kecik-kecik dulu tahu bila org2 tua dok bercerita tentang Almarhum. Jasanya besar kepada PAS.

Ambo tak tahu program ini diadakan. Kalau tahu mahu juga pergi. Ambo baca dari laporan akhbar je. Nampaknya sangkaan ambo tentang tujuan seminar itu diadakan sama dengan bacaan tuan.

Nampaknya masaalah dalam PAS ni memang berat. Kalau dok berat takkan puak depa ni nak buat seminar nih. Kita tahu persepsi tentang Alma4hum ini terok dimata puak2 tok lebai kem stopa ali. Ambo rasa loya dan nak marah pun ado, dok la benci abih, s3bab nak raih laba politik puok dia, sanggup buat seminar orang yang demo tok suko. Apa nak jadi dengan PAS sekarang.

Unknown said...

Assalamualaikum tuan, terima kasih atas kesudian hadir ke seminar dan mengulasnya.

Walaupun sudah lama mengikuti blog ini, belum berkesempatan menyapa tuan semalam.

AZAM MOHD said...

Aswkm Tuan MSO, jangan lupa pula sunnah daripada puak UMNO bila mereka rasa diri dah tegap dan mendapat sokongan kuat, PAS akan ditendang begitu sahaja. Maknanya Tuan Presideng dan Stopa Ali serta puak-puak UG lain sedang membawa PAS ke arah kehancuran. Yang merosakkan Islam dan Melayu itu adalah Parti UMNO sebenarnya. Kini kelihatan Tuan Presideng dan geng-gengnya sedang membantu UMNO merosakkan Islam. Wahai orang islam yang beriman & bertakwa, sedarlah..

Unknown said...

Assalamualaikum
1) Perkara yang sama akan terjadi kepada Datuk Hadi Awang suatu hari nanti akan senasib seperti Dato Asri

2) Harap orang pas jangan anggap diri mulia kerana menyertai pas tapi dalamilah ilmu ugama untuk keredaan Allah bukan kepentingan politik dan kuasa semata mata sehingga hukum Allah di putar belitkan

3) PAS kena tetapkan pendirian dalam mempertahankan hukum Allah samaada tentangan dari BN Pkr Dap mahupun PAS sendiri

4) apa yang terjadi kepada Allahyarham Ustaz Azizan amat zalim kerana ianya dilakukan oleh perbuatan khianat orang orang pas sendiri

Semoga fitnah yang kezaliman yang terjadi kepada Dato Asri tidak dirasai oleh mana mana pemimpin lagi

ikhlas dari saya

Haji Awg Mohd Khairul Anuar
Negara Brunei Darussalam