Pemilihan Kuala Selangor sebagai lokasi muktamar ke-61 mungkin tidak mempunyai apa-apa signifikan. Apabila mengenangkan Kuala Selangor kawasan perkampungan, (padi dan nelayan) berdekatan dengan lautan mungkin Pas ingin mengembalikan nostalgia kewujudan parti berkenaan yang lebih mesra dengan masyarakat luar bandar, petani, nelayan dan penoreh getah.
Mungkin juga mereka yang mencadangkan Kuala Selangor sebagai lokasi bermesyuarat, ingin mengamitkan aura perkampungan ke dalam jiwa orang Pas. Mahu mengingatkan bahawa Pas didokong oleh masyarakat petani dan nelayan. Mungkin juga membawa Pas ke Kuala Selangor untuk menjauhkan aroma bandar dan menghindarkan habuk kosmopolitan daripada menerjah ke sanubari Pas. Mungkin sudah ada pendapat bahawa iman orang Pas sudah tercemar oleh itu ia harus dijauhkan dari bandar dan pemodenan.
Selamanya biarlah orang Pas teringat dan mengenang kepada kusam dan masam selut sawah agar orang Pas tidak menanggalkan baju tradisinya. Begitukah?
Walaupun ia tidak dibuat kerana ada apa-apa mesej besar, apa lagi tidak bermaksud ada apa-apa signifikan, namun apabila dilihat kepada kehangatan muktamar kali ini ia semacam membawa signifikan tertentu pula kenapa muktamar diheret jauh dari kesibukan ibu kota. Apakah Kuala Selangor bakal mencatat sejarah tersendiri kepada Pas? Atau apakah Kuala Selangor menjadi kuala untuk menghanyutkan apa-apa kekemelutan dalam Pas kini?
Apakah aura dan senario yang berlaku di Batu Pahat, muktamar ke-60 lalu akan bersambung di Kuala Selangor? Khabarnya suasana muktamar di Batu Pahat tahun lepas ada sedikit kekecohan atau kejadian yang menjatuhkan maruah parti agama itu. Apakah ia akan disambung di Kuala Selangor? Kalau di Batu Pahat ada sesetengah pemimpin "dipukul", di Kuala Selangor mereka akan "dikuburkan." Begitukah?
Apapun dalam coretan ini saya tidak mahu berfikir jauh di luar kotak dan memberi terjemahan tidak sihat. Tetapi, tidak dapat lari, pemilihan Kuala Selangor mesti ada motif dan tujuannya. Kebarangkalian yang nyata adalah untuk menyemarakkan Pas di kawasan luar bandar, khasnya di Kuala Selangor sendiri, Tanjung Karang atau pun Sabak Bernam dan juga Selayang. Usaha itu baik dan ia seakan Pas bersiap sedia untuk berdagang semula di bumi Selangor.
Apakah pemilihan Kuala Selangor itu sebagai isyarat Pas akan bertanding bersendirian di Selangor dalam pilihan raya akan datang? Bahawa semua kerusi baik parlimen dan DUN dalam kawasan-kawasan itu, bahkan di seluruh Selangor Pas akan berhadapan dengan lawannya secara mendada?
Muktamar Panas
Muktamar kali ini panas apabila berlaku perlawanan disemua jawatan. Kehangatannya sudah dirasai apabila kempen-kempen untuk calon tertentu atau secara mazhab berlangsung sejak lebih setahun lalu. Disatu pihak nampaknya sejak awal lagi memobilisasi perwakilan menerusi program-program khusus. Walaupun muktamar sebelum ini menyaksikan perlawanan dan perebutan jawatan, tetapi ia tidak se"kubra" hari ini.
Kali ini semua jawatan penting berlaku perlawanan, dimana seolah-olah satu penyusunan sebegitu rupa dilakukan untuk mencapai sesuatu hajat yang tersirat. Betapa tidak dari jawatan presiden, membawa kepada timbalan presiden, naib-naib presiden dan juga ketua-ketua dewan pemuda dan muslimat berlaku perlawanan. Hatta pemeriksa kira-kira juga dihatuk supaya berlawan. Kecuali dewan ulama yang bebas daripada berlaku bertanding. Dewan ulama masih dapat menjaga keutuhan dan keharmonian sebagai dewan dianggotai para ustaz dan ulama.
Jawatan presiden, kali terakhir berlaku perlawanan ialah pada akhir tahun 50-an, antara Prof Zulkefli Mohamad yang mencabar Dr Burhanuddin Helmi. Selepas itu ia tidak dipertandingkan. Walaupun tahun 1982, berlaku kejadian luar biasa dalam muktamar Pas dimana memperlihatkan Yang Dipertuanya, Mohd Asri Muda melepaskan jawatan apabila berlaku desakan dan maki hamun kepadanya.
Mohd Asri mengambil sikap mengalah dengan menyerahkan kedudukannya kepada muktamar apabila beliau mengemukakan surat perletakan jawatan. Asri dilihat bermaruah berbuat demikian apabila sudah ada segelintir suara yang membenci dan mencemuhnya. Asri ketika itu masih ada penyokong dan dia boleh berlawan, tetapi seorang yang ada maruah dan wisdom yang tinggi sebagai seorang pemimpin beliau keluar sebelum dihalau oleh perwakilan gila dan tolol.
Pengunduran Mohd Asri tahun 1982, menyelamatkan Pas daripada berantakan. Mungkin kalau beliau tidak berundur, pada muktamar pemilihan berikutnya, atau pada tahun itu, beliau akan ditentang dan penentangan itu mewujudkan penentangan secara berkumpulan. Musibah yang menimpa Pas kian parah.
Asir bekas YDP Pas yang gentlemen. |
Sesuatu yang ironis apabila seorang yang dianggap pengasas Pas, berjasa besar membawa kemajuan kepada Pas, beliau berakhir dengan menyerahkan diri kepada Umno. Tidak ada sesiapa dapat mengatasi takdir, dan demikian takdir dalam politik yang menimpa Asri. Apa yang menimpa Asri itu tidak pelik, kerana hari ini pun ada orang yang sebelum ini tajam dengan Umno tetapi sudah seakan kepatahan kuku.
Selepas pada itu tidak ada perlawanan untuk jawatan Presiden. Sebaliknya perlawanan tetap berlaku untuk jawatan-jawatan timbalan presiden dan naib-naib presiden serta ketua-ketua dewan muslimat dan pemuda. Perebutan jawatan timbalan presiden ialah apabila berlaku kekosongan jawatan timbalan presiden apabila Abdul Hadi Awang dianjak secara automatik menjadi presiden selepas Fadzil Mohd Noor meninggal pada 2002. Bermula pada itu jawatan itu menjadi rebutan berturut selama tiga kali pemilihan.
Kenapa Hadi dilawan?
Sebelum saya lanjutkan ulasan ini, ingin saya bertanya kepada presiden Pas, Abdul Hadi Awang apakah keadaan hari ini tidak meletakkan beliau dalam suasana seperti dihadapi Asri kira-kira 33 tahun lalu? Apakah Abdul Hadi berasa dia masih selesa dan mendapat sokongan padu dari segenap ahli Pas dalam dewan (perwakilan) dan di luar? Rasanya tidak begitu? Sebab kalau dia berasakan keadaan hari ini seperti Asri, dia akan berundur secara terhormat, menerusi helah-helah yang lebih lunak atas maslahat untuk mendamaikan parti.
Kecaman dihadapi Abdul Hadi kini lebih buruk daripada apa yang berlaku kepada Asri. Lihat dan perhatilah apa yang berlaku dalam medan media baru. Bermacam-macam gelaran, anologi, sindiran diacukan kepadanya. Bukan itu sahaja, rakan semaufakat Pas juga memerli dan memperkecil-kecil Hadi.
Apa lagi kalau beliau dapat membaca perlawanan itu bakal memecahkan Pas, beliau khususnya dan juga Ahmad perlu mengelak perebutan jawatan nombor satu itu.
Ada cadangan sebelum ini untuk menaikkan darjatnya menjadi Mursyidul Am. Usaha itu secara teknikal bagi menyelamatkan Pas dan menjaga air muka Abdul Hadi. Tetapi ia tidak menjadi. Seeloknya pelarian secara diplomasi itu diterima oleh Abdul Hadi, sesuai dengan keadaan umur dan keupayaan badan dan ilmunya. Apakah beliau mahu terus jawatan itu dan sedia bertarung dengan sesiapa saja, ia menjadikan tanda tanya. Apakah ia dibuat atas kehendaknya sendiri ataupun beliau bergerak bagaikan wayang? Maksudnya atas nasihat orang lain?
Umum tahu perebutan jawatan presiden kini, atau yang menentang Abdul Hadi bukan mereka yang berpendidikan sekular. Tetapi ia ditentang oleh seorang ulama dalam Pas sendiri, bernama Ahmad Awang. Beliau bekas Naib Presiden Pas dan pernah memegang jawatan Ketua Penerangan. Jasa dan pengorbanan untuk Pas terutamanya menyelamatkan persepakatan Pas dengan Pakatan Rakyat sangatlah besar. Beliau juga pernah menjadi ahli majlis syura ulama dan juga menjadi perwakilan ke persidangan ulama sedunia persis Hadi juga. Ertinya darjat dan ketinggian ilmu beliau lebih kurang sama penuh dengan Abdul Hadi.
Penentangan Ahmad Awang inilah menjadikan perebutan jawatan presiden kini menarik dan seolah-olah ada singnifikan tersendiri. Ia bukan bertarung kerana ingin mengalahkan antara satu sama lain tetapi ingin mempertahan atau menyelamat sesuatu keadaan. Ahmad ingin mengislahkan Pas, manakala Abdul Hadi ingin mengekalkan status quo Pas yang tidak disetujui oleh Ahmad.
Kenapa dan sebab musabab Ahmad melawan Abdul Hadi sudah dijelaskan dalam penerangannya. Seawal beliau menyatakan kesediaan untuk menentang Abdul Hadi sudah disebut secara tuntas. Gara-gara kesediaan dan keberanian beliau itu bagi saya satu pengorbanan Ahmad tanpa dipedulikan dia akan dikecam oleh para pendokong Abdul Hadi yang meletakkan Abdul Hadi sebagai maha guru yang maksum dan ada kehebatan tersendiri.
Ahmad tidak akan sedia mengambil risiko dimana beliau akan dikecam, memang dia dikecam pun, kalau bukan kerana ada hujah dan dalil kuat baginya. Tetapi apa dilakukan adalah atas satu keyakinan untuk kebaikan parti. Sukar untuk berhujah mengenai hal ini kerana ianya akan dibantah. Politik itu adalah persepsi dan penuh dengan helah dan tipu muslihat. Tetapi mereka yang ikhlas, jujur dan jendelanya senantiasa terbuka, mengetahui hal ini. Lebih-lebih lagi mereka yang fasih dalam politik memahami kenapa Ahmad sanggup menentang Abdul Hadi.
Demikian permilihan dan muktamar kali ini panas. Persoalannya kini apakah ahli-ahli Pas dapat mengawal perasaan dan menjadikan muktamar itu sebagai satu tanggungjawab, budaya rutin Pas untuk berbincang mengenai hala tuju dan masa depan Pas seperti sebelum ini. Terus terang saya nyatakan, secara peribadi saya bimbang dengan kesudahan muktamar di Kuala Selangor itu.
Apa lagi kehangatan perebutan bukan sahaja pada kerusi presiden, tetapi di kerusi timbalan presiden juga. Mohamad Sabu ditentang oleh Tuan Ibrahim Tuan Man. Hujah atau alasan kenapa Tuan Ibrahim menentang Mohamad tidak dapat difahami. Alasan digunakan tidak melayakkan dia berbuat demikian. Melainkan penentangan itu sebagai untuk menserasikan kepimpinan Pas. Tidak lebih dari itu.
Keserasian sememang perlu dicari dalam apa jua pertubuhan. Tanpa keserasian presiden tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh ahli. Apa yang menjadi pertanyaan, siapakah antara Abdul Hadi dan Mohamad yang tidak cuba memesrakan diri, berkerja untuk parti? Kalau ianya datang dari Abdul Hadi, untuk apa Tuan Ibrahim menentang Mohamad?
Justeru, penentangan Tuan Ibrahim itu adalah satu persepakatan yang kononnya secara ghaib tetapi dapat disuluh oleh semua orang akan apakah maksud dan tujuannya. Persepakatan inilah, yang memanaskan pertandingan kali ini. Apabila ia dilawan secara beregu, maka risiko perpecahannya besar. Tetapi nasib baik dalam hal ini Mohamad tidak menunjukkan dia beregu dengan Ahmad Awang. Jadi pertandingan Mohamad sebagai mempertahankan kedudukannya dilakukan secara solo. Atas kebijaksanaan Mohamad itu menyebabkan Tuan Ibrahim nampak nakal dalam soal ini.
Kereguan juga kelihatan dalam perebutan jawatan naib-naib presiden. Kedudukan Husam Musa dan Salahuddin Ayub sama dengan kedudukan Mohamad Sabu. Mereka mempertahankan kedudukan yang disandang sejak dua tahun lalu. Dalam konteks ini kehadiran Idris Ahmad, Mahfuz Omar, mungkin boleh dimaafkan kerana mereka (Mahfuz) kalah dan tidak bertanding dalam jawatan itu pada tahun lalu. Tetapi kehadiran Mohd Amar Nik Abdullah dan seorang lagi (lupa nama), boleh dianggap sengaja diaturkan.
Lebih-lebih lagi Mohd Amar, kenapa kali ini beliau lari untuk merebut jawatan naib presiden. Kenapa dia tidak mencuba sekali lagi untuk merebut jawatan timbalan presiden. Pengubahan ini disuluh bahawa ada persepakatan dan agenda tersendiri.
Begitu juga kalau dilihat kepada perebutan jawatan ketua Dewan Pemuda. Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz, yang telah pun meninggalkan dunia kepemudaan tiba-tiba berjolor masuk kembali. Apakah alasan untuk beliau mencari jawatan itu. Apakah untuk memantapkan dewan pemuda dan mengembalikan kegemilangannya dizaman Salahuddin? Begitukah. Sedikit meragukan apabila melihat kepada body language dan juga sikap pasif politik ahli parlimen Pasir Mas ini ketika berada di dewan, tidak cukup "umppp" untuk beliau mencabar Suhaizan melainkan kerana ada agenda tertentu.
Hal yang sama juga berlaku dalam dewan Muslimat. Kedudukan Siti Zailah Yusuf dicabar oleh Noridah Salleh. Untuk apa dan apa alasan untuk Noridah mencabar Zailah. Kalau dilihat daripada gerak kerja dan kerajinan Zailah dan menjalankan kegiatan parti, ia tidak terlawan bukan sahaja oleh Noridah tetapi ketua pemuda dan naib-naib presiden juga tidak terlawan. Dimana ada keramaian parti disitu ada Zailah. Jadi apa sebenarnya motif maka kedudukan beliau dicabar?
Disinilah menampakkan bahawa cabaran-cabaran itu, jawatan ketua pemuda, ketua muslimat, ataupun percubaan Mohd Amar dan seorang lagi (lupa nama) untuk merebut jawatan, kerana ada agenda yang disusun. Mereka berlawan bukan bertolak daripada ketidak-upayaan penyandang jawatan itu, tetapi kerana motif lain yang disembunyikan tetapi sudah "terbahar".
Jadi memerhati situasi inilah yang membimbangkan ramai orang, terutamanya golongan cerdik pandai yang baru berjinak dengan Pas mengenai kesan kepada mukatamr Pas kali ke-61 ini. Ia bukan sembarang muktamar dan ia bukan sembarang perebutan jawatan. Perebutan jawatan bukan sebagai tradisi dalam memantapkan psrti lagi, tetapi ia semacam satu tindakan untuk saling mengnyahkan antara satu sama lain, agar tidak ada dalam bingkai kekuasaan parti.
Maksud dan motif inilah yang mencemaskan. Sekiranya maksud asal itu terbawa-bawa dan menjadi niat dalam pertandingan nanti, maka jelas yang menang akan jadi arang dan yang kalah akan jadi abu. Sangat diharapkan kepada lebih 1000 perwakilan akan membuat pilihan dengan waras ataupun membendung apa yang dibimbangi ini tidak menjelma jadi kenyataan.
Kuala Selangor yang menjadi lokasi muktamar itu biarkan menjadi kuala memudikkan segala sampah dalam Pas, bukan kuala yang menghimpunkan barang buangan. Perwakilan semua kena ingat bahtera bernama Pas itu akan belayar menempuh samdura PRU ke-14 dua atau tiga tahun lagi. Untuk merentasi lautan itu bahtera Pas memerlukan seorang kapten yang konsisten dengan pembantu-pembantu yang bukan sahaja setia, tetapi cekap membaca deruan ombak dan pintasan gelombang bagi mengelakkan bahtera Pas itu karam tenggemlam.
Selamat bermuktamar. [wm.kl.4:14 pm 01/06/15]
No comments:
Post a Comment