Monday, June 8, 2015

Perbalahan Pas - DAP bakal goyang kerajaan Selangor

RENUNGAN T/HARI                                                                       

Azmin pening kepala?
Sekiranya perseteruan antara Pas dengan DAP yang tampaknya makin hari makin tegang, (dan makin menegang selepas Pas selesai mengadakan muktamar dan membuat pilihan secara borong raga), ianya bakal membawa padah kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Tidak mustahil kerajaan berusia dua tahun itu akan hancur dan satu pilihan raya negeri terpaksa diadakan. Keadaan ke arah pilihan raya negeri Selangor diadakan pernah terbayang sebelum ini apabila Pas tidak sekata dalam soal untuk menurunkan Abdul Khalid Ibrahim MB yang berbuat tanpa mengikut kehendak parti, akan diganti dengan Dr Wan Azizah Ismail.

Pas menenatng cadangan PKR itu dengan alasan projek Kajang Move itu tidak dirundingkan dengan mereka terlebih dahulu. Pas menuntut dia ada hak dalam urusan menenurunkan MB itu, walhal konsensus telah dicapai Selangor adalah hak PKR, melantik MB.


Manakala dalam masa sama Pas berkenan agar Khalid Ibrahim terus menjadi MB Selangor sehingga Pas sedia menerima Khalid menjadi ahli Pas sekiranya perlu atau ditolak oleh PKR. Begitu sekali Pas tergila-gilakan Khalid. Satu perjumpaan separa rasmi antara Khalid dengan pimpinan tertinggi Pas termasuk presiden dan setiausaha agung juga telah diadakan.

Sikap Pas itu menjelaskan parti itu tidak tahu malu dan tidak ada rasa hormat kepada kawannya sendiri. Tindakan itu juga menunjukkan pemimpinan Pas khasnya presiden tidak reti bahasa dalam soal berkawan dan berpolitik jauh sekali melihat kepada implikasi dan risiko atas apa yang terjadi.

Bagaimana pun keadaan itu tidak sampai membawa kepada kemungkinan diadakan pilihan raya semula, kerana masalah penukaran MB itu selesai apabila akhirnya Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah menjadi MB Selangor. Khalid yang mulanya berkeras akhirnya terpaksa bungkus tikar bantal dan terjun jendela.

Pas juga apabila gagal untuk mempertahankan Khalid terpaksa akur dan tunduk dengan pelan pertukaran itu, tetapi dengan mengalami sedikit kerugian apabila kerusi exconya dikurangkan dari empat kepada tiga. Itulah perjuangan dan kebijaksanaan politik Pas? Bertanak nasi periuk besar, sedang diri tidak pakar akhirnya nasi mentah.

Kali ini suasana tidak menyenang dan membimbangkan telah timbul semula yang berpuca daripada sikap Pas juga. Kali ini parti agama itu telah mencadangkan untuk memutuskan hubungan dengan DAP. Cadangan itu dibuat tergesa-gesa dan bersifat angkuh tanpa melihat kepada keadaan semasa khususnya kedudukan kerajaan Pakatan di Selangor yang didokong sama oleh Pas.

Barang kali Pas lupa, bahawa kerajaan Selangor itu tegak bukan sahaja kerana sokongan Pas, tetapi kerana sokongan DAP sama. Pas mungkin berasakan kuat dan besar kepala apabila parti itu memiliki 15 kerusi dimana, itulah pertama kali dalam sejarah pilihan raya parti itu mendapat kerusi banyak di Selangor. Kejayaan itu menyebabkan Pas jadi lupa diri dan mudah melupai jasa-jasa dan persepakatan dengan orang lain.

Sekiranya Pas menyedari hakikat ini, mereka tidak angkuh dan sombong. Mereka perlu membuat perhitungan panjang sebelum menerima usul tanpa bahas untuk bercerai dengan DAP. Tentunya parti itu akan berwaspada sebelum menerima usul berkenaan.

Keadaan kini semakin gawat dan kritikal. DAP jelas sudah turut hilang akal sama dan tidak boleh berdamai lagi dengan Pas. Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sangat geli geleman dengan Abdul Hadi Awang dan beberapa kerat yang lain.

Sekiranya perkara ini berterusan, tidak msutahil krisis Pas - DAP itu juga akan membabitkan PKR dan seterusnya mengoyang kerajaan Pakatan di Selangor. DAP tidak dapat tidak akan memberi kata dua kepada PKR sama ada kekal bersama Pas atau pun kekal bersamanya untuk kelangsungan kerajaan.

DAP ada kekuatan dan modal untuk membuat pilihan itu berbanding dengan Pas. Kedudukan kerusi DAP dalam DUN Selangor sebanyak 15 kerusi cukup untuk parti itu memberi kata dua kepada PKR. Pas walaupun mempunyai kerusi sama banyak dengan DAP tetapi sudah berkurangan apabila dua orang wakilnya (Saari Sungip dan Hasnol)  di pecat atau digantung keahliannya. Pas kini pada dasarnya mempunyai 13 kerusi sahaja.

Kedudukan itu belum mencukupi bagi Pas untuk membentuk kerajaan negeri bersama Umno, sekiranya ada cita-cita dan hasrat bersama ke arah itu. Umno ada 12 kerusi dicampur dengan Pas 13 baru 25 dan dicampur dengan seorang calon bebas Khalid Ibrahim jadi 26 kerusi. Ia tidak mencukupi.

Sementara sekiranya PKR terus kekal berkerjsama dengan DAP, mereka mempunyai kelebihan lima kerusi untuk membentuk kerajaan. Kerusi PKR (13) campur dengan DAP (15) jadi 28 dan dicampur dengan dua kerusi wakil Pas yang dipecat, jadi 30 kerusi.

Sungguhpun kerajaan campuran DAP dengan PKR mempunyai kelebihan lima kerusi, yakni simple majoriti ia tidak menstabilkan kerajaan yang ada. Jadi hendak tidak hendak satu pilihan raya baru perlu diadakan bagi menyerahkan mandat kepada rakyat menentukan bentuk kerajaan Selangor baru.

Jelas kemelut antara Pas dengan DAP itu meletakkan kerajaan Pakatan Rakyat dibawah pinpinan Mohamed Azmin Ali kini bak telor di hujung tanduk. Sudah pasti dalam kedaan yang belum menentu ini ia tidak memberi keselesaan untuk Amin mentadbir.

Janji Dr Wan Azizan Wan Ismail untuk berunding dengan Pas dan DAP bagai menyelesaikan kemelut yang ada tidak banyak menjanjikan penyelesaian yang tuntas. Apa lagi kedudukan Wan Azizah sebagai ketua pembangkang awal-awal lagi tidak disenangi oleh presiden Pas, rundingan sukar membuahkan hasil.

Dan kesan daripada kedudukan tidak menentu ini sudah tentu ia menjejaskan pembangunan untuk rakyat.  Jadi kalau ia berterusan maka tidak mustahil satu pilihan raya terpaksa diadakan. [wm.kl.1:07 t/hari 08/0615] 


Post a Comment