Thursday, June 11, 2015

Pegawai eksekutif Pas semua geng ad Din

TERKINI                                                                                           

Mesyuarat pertama ahli jawatankuasa Pas malam kelmarin tidak mengumumkan nama-nama yang mengisi jawatan pegawai eksekutif parti seperti Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan juga Pengarah Pilihan Raya.

Katanya pengumuman lantikan itu akan dibuat pada 21 Jun depan. Serentak itu juga akan dibuat enam perlantikan sebagai AJK tambahan dari kalangan mereka yang tewas dalam perebutan jawatan pada muktamar lalu.

Bagaimana pun dari apa yang difahamkan, nama-nama untuk mengisi jawatan ekskutif berkenaan telah pun dibuat ataupun dikenal pasti. Untuk jawatan Setiausaha Agung seperti mana yang dispekulasikan, Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan telah dilantik untuk mengisi jawatan berkenaan.

Penyandang jawatan itu sebelum ini Mustapa Ali yang dianggap sudah lapok dan tidak relevan lagi tidak dibiarkan begitu sahaja. Beliau yang menjadi mentor politik kepada Abdul Hadi Awang masih lagi diperlukan. Mustapa dilantik menjadi Pengarah Pilihan Raya Pas.

Perlantikan Mustapa sebagai mengganti Dr Mohd Hatta Ramli itu dilihat bagi membolehkan Mustapa berada dalam Dewan Eksekutif Pas, Dewan Harian yang terlibat dengan membuat dasar dan polisi baharu serta meletakkan Pas pada hala tujuan semasa. Mustapa dilihat akan menjadi penasihat eksekutif politik kepada Abdul Hadi dan dewan eksekutif itu sekali.

Untuk jawatan Bendahari, katanya Exco Kelantan, Che Abdullah Che Nawi telah diangkat untuk memegang jawatan berkenaan. Perlantikan Abdulah Che Nawi itu yang satu kawasan dengan Timbalan Mursyidul Am Ahmad Yaakub dilihat sebagai membantu MB Kelantan itu. Kehadirannya lebih kepada untuk menongkat Ahmad terutama untuk membayangi pengaruh politik Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah di Kelantan yang juga menjadi ahli Dewan Harian.

Bagi jawatan Ketua Penerangan pula, Nasarudin Hasan telah diberi kepercayaan untuk mengetuai jabatan penerangan Pas. Perlantikan itu mungkin pimpinan baru Pas teruja dengan ucapan dan kesediaan Ahli Parlimen Temerloh itu untuk menggunakan siku dan lutut dalam berhadapan dengan ancaman dan serangan daripada DAP.

Pengisian jawatan berkenaan yang semuanya terdiri daripada geng ad Din, menunjukkan pimpinan baru sudah berkerat arang dan berpatah arang dengan golongan Prolib. Walaupun kemungkinan daripada enam AJK yang akan dilantik terdiri daripada geng Prolib tetapi peranan mereka sangat terhad.

Situasi ini menjelaskan bahawa pimpinan baru tidak mengambil kira kebolehan dan juga track record bekas-bekas penjawat jawatan eksekutif sebelum ini termasuk dua orang naib presiden Salahudin Ayub dan Husam Musa.

Dipercayai walaupun Husam atau Salahuddin akan dilantik mengisi sebagai AJK tambahan besar kemungkinan mereka akan menolak atas alasan untuk memberi peluang kepada pimpinan baru menunjukkan kemampuan mereka dan juga menyenangkan pimpinan baru mentadbir tanpa ada gangguan atau pun pandangan-pandangan berbeza (profesional) daripada mereka.

Dalam pada itu beberapa Pesuruhjaya negeri juga turut sama dibentuk. Ketua Dewan Ulama, Mahfodz Mohamad dilantik memegang jawatan Pesruhjaya Pas Johor menggantikan AmiruHuda yang dikaitkan sebagai pro Prolib.

Manakala Amiruddin Hamzah pula diberi tanggungjawab untuk memegang jawatan Pesuruhjaya Pas Kedah mengganti tempat Mahfuz Omar. Kedudukan Pesuruhjaya dilain-lain negeri dijangka tidak berubah. [wm.kl.6:44 pm 11/06/15] 

No comments: