Sunday, June 7, 2015

PasMa tidak perlu tukar jadi parti

SUSUPAN PETANG                                                                         

Phahrolrazi tidak perlu gopoh.
Saya terbaca laporan 13 Jun ini Persatuan Ummah Sejahtra Malaysia (PasMa) akan menentukan sama ada Ngo itu akan muncul sebagai sebuah parti politik baru ataupun tidak. Perbincangan pada tarikh itu akan dihadiri oleh semua pimpinan Ngo itu dari seluruh daerah dan negeri.

Menurut laporan pertemuan itu penting. Bagaimana pun tempat dan waktunya tidak disebut.

Sudah pasti ilham untuk membincang perkara itu ia bertitik tolak selepas apa yang berlaku dalam muktamar Pas dua hari lepas. Sebelum ini pun Phahrolrazi Mohd Zawawi yang bertindak menjadi presiden PasMa sudah menyatakan kedudukan Ngo itu akan ditentukan, sama ada kekal sebagai Ngo atau menjadi sebuah parti selepas muktamar Pas.

Walaupun sudah ada desakan sebelum ini supaya PasMa dijadikan parti ekoran sudah nampak riak dan pergolakan dalam Pas, ramai ahli yang tidak senang dengan stail kepimpinan khusnya Abdul Hadi Awang, tetapi ia tidak dibuat segera kerana menunggu perkembangan lanjut.

Ertinya Phahrolrazi dan pimpinan dalam PasMa sangat menanti dan melihat kepada apa yang berlaku dalam Pas. Bolehlah dianggap keabsahan stausnya ditentukan dari perkembangan dalam Pas. Dan tampaknya apa yang berlaku dalam muktamar Pas memberi suasana yang baik kepada PasMa untuk dijadikan wadah baru berupa parti kepada mereka yang kecewa dengan Pas, justeru pertemuan itu dirancangkan.

Ketidak-rasionalan dalam pemilihan Pas, boleh dijadikan sebab kepada perwujudan momentum baru hatta parti politik baru. Kalau menurut tutur seorang veteran Pas Kelantan 1/3 daripada ahli Pas kini sudah kecewa dengan Pas dan mereka memerlukan wadah baru. Tanggapan beliau itu memberi ramalan buruk kepada masa depan Pas.

Pun begitu peluang yang ada kini, suasana mengeruh dalam Pas selepas muktamar, PasMa seharusnya memikirkan perkara ini sebaik mungkin dan tidak tergesa-gesa atau terpancing dengan keadaan yang berlaku. Bagi saya tidak elok kalau PasMa hanya mengira keadaan dan peluang untuknya bergerak maju hanya berdasarkan suasana dalam Pas.

Takdirnya perjuampaan yang dicadangkan pada 13 Jun itu penting membincang mengenai kedudukan PasMa, beberapa perkara perlu diteliti secara mendalam dan waras oleh mereka bertanggungjawab dengan PasMa. Paling utamanya, sejauh manakah baik dan buruknya kalau PasMa mahu mengambil kesempatan atas apa yang berlaku dalam Pas. Apakah pemimpin Pas sudah bertahkid untuk melawan Pas?

Pada saya, sikap itu bukan gentlemen, Kalau PasMa ingin menjadi sebuah parti politik biarlah ia wujud atas desakan nasional dan alasan-alaan lebih besar, bukannya kerana isu yang berlaku dalam Pas sahaja. Sekiranya PasMa menjadi politik ekoran kekeruhan perkembangan dalam Pas, parti itu akan menjadi sebuah parti kecil, yang akan dilihat ia adalah serpihan kepada Pas sahaja. Stigma parti serpihan bakal diterima PasMa boleh membawa kesan buruk kepadanya kelak. Akhirnya PasMa akan menjadi melukut yang ada nama tetapi tidak nampak tubuh.

Adalah lebih baik kalau PasMa kekal sebagai Ngo yang mendokong Pakatan Rakyat dalam masa sama menunjukkan mesra alam dengan Pas. Ia boleh menjadi wadah pelarian kepada mereka yang berjiwa berkebajikan tetapi agak elergik untuk berkorban dalam Pas atau Ngo-Ngo Pas yang lain kerana sebab-sebab personal. Pengekalan status PasMa sebagai Ngo lebih afdal daripada menjadi parti politik.

Kalau pun PasMa menjadi parti politik, saya tidak fikir nama-nama besar dalam Pas, termask mereka yang kalah dalam pertandingan akan menyertai PasMa. Mereka tidak akan mudah mengorbankan diri mereka dan meletakkan diri mereka begitu rendah sekali. Kalau mereka bersedia menyertai PasMa, mereka sudah berbuat sebelum daripada ini, tidak pun menyertai perebutan jawatan dalam Pas.

Tetapi apabila mereka masih mencuba untuk mempertahankan jawatan dalam Pas dengan niat dan harapan terus memancu Pas, bererti mereka masih ada harapan dan sayangkan kepada Pas. Cinta mereka kepada Pas mendalam. Orang-orang ini rasanya tidak mudah "tercokek" daripada meninggalkan Pas dan akan bersama PasMa atau pun mengagaskan apa-apa parti baru.

Kenyataan-kenyatan lunak daripada beberapa orang bekas pimpinan yang kalah, bahawa mereka menerima kelalahan dan minta pimpinan baru Pas yang dipilih secara raga itu diberi peluang menunjukkan kebolehan mereka, menjelaskan sikap terbuka dan tasamuh mereka. Sikap dan pendirian mereka itu mencerminkan mereka adalah orang-orang yang jujur dan profesional.

Saya sangat berharap semoga PasMa tidak menjadi sebuah parti politik, apa lagi kalau parti politik itu sebagai menahan lukah di pergentingan Pas, mahu mengambil kesempatan atas apa yang berlaku dalam Pas. Penubuhan PasMa sebagai parti politik dengan tujuan menyaingi Pas kerana tekanan-tekanan perasaan, adalah tidak baik. Apa yang sebaiknya berilah masa dan peluang kepada pimpinan terbaru menggalas tanggungjawab mereka. Lebih afdal lagi kalau bekas-bekas pemimpin Pas yang sudah tidak berada dalam hieraki kepimpinan bertindak menjadi penasihat.

Prinsip yang perlu diterima ialah, sokong kepimpinan yang ada selagi mereka tidak menyimpangkan matamat dan tujuan Pas. Beri tanda sempadan buat mereka sebelum mengambil tindakan drastik seperti membina wadah baru.

Salah satu perkara yang perlu dijadikan syarat, apabila jelas pimpinan baru Pas ingin berkolobrasi dengan Umno. Sokongan moral dari pihak-pihak tertentu meskipun ghairah, janganlah sangat dilayani, kerana ia mungkin ada motif tersendiri.

Saya yakin siapa pun yang diberi peluang untuk memimpin Pas, apa lagi atas kehendaknya, dia masih bersifat ikhlas dan jujur. Kita kena berlaku adil dan bertindak selepas mereka melakukan kekejaman barulah bleh diambil tindakan. [wm.kl. 6:35 pm 07/06/15]

No comments: