Tuesday, June 2, 2015

Kerajaan Kelantan bernafsu besar tenaga kurang

JENGUK KELANTAN                                                                     

Berita yang termuat dalam beberapa media massa hari ini mengejutkan, dimana kerajaan negeri Kelantan kemungkinan akan menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk menerus pembinaan dan menyiapkan lebuh raya rakyat (LRK) dari Machang ke Kuala Krai, kerana kerajaan negeri ketiadaan wang.

Laporan itu menyebut, dengan memetik kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed semalam. Katanya urusan penyerahan sedang berjalan dan pihak JKR yang diberi tanggungjawab membina lebuh raya itu sedang melakukan perundingan.

"Kita dimaklumkan lebuh raya ini (Machang - Kuala Krai) menghadapi banyak masalah terutama dari segi pembiayaan. Jadi difahamkan sudah ada ura-ura untuk memindakan tanggungjawab kepada Pusat. Perbincangan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerajaan negeri sudah ada namun saya tidak pasti perinciannya. Saya akan semak," kata Mustapa dalam satu laporan dipetik.



Kerajaan negeri Kelantan dalam keadaan tidak diyakini akan mampu untuk membina lebuh raya itu, telah merancang membina lebih raya rakyat (LRK) sejauh 30.5 juta dari Machang ke Kuala Krai yang menelan belanja sebanyak RM854 juta.

Pada mulanya lebuh raya itu ditawarkan pembinaan kepada sebuah syarikat pembinaan lebuh raya dari Korea. Bagaimana tawaran itu ditarik balik apabila berlaku perubahan Menteri Besar Kelantan. Alasan penarikan balik itu ialah kerana tawaran (kos pembinaan) itu terlalu mahal. Bagaimana pun pemerhati politik melihat ia dibuat kerana projek itu dikendalikan dan idea dari bekas Exco Kanan, Husam Musa, maka ia perlu dihentikan.

Bagaimana pun memandangkan projek itu suatu keperluan asas rakyat,  kerajaan Kelantan dibawah pimpinan Ahmad Yaakub dan Mohd Amar Nik Abdullah telah membuka lembaran baru untuk membina projek berkenaan. Kali ini surat tawaran telah diberikan kepada Syarikat Kelkon Sdn Bhd sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Pemberian kontrak LRK itu kepada Kelkon Sdn Bhd ini dari awal lagi menggelikan kerajaan syarikat ini tidak berwang dan "bertepek wek" dengan hutang. Apa lagi ianya diamanahkan kepada mereka yang tidak faham mengenai hal ehwal syarikat dan hanya berpengalaman dalam bidang broker, jual tanah kerajaan sahaja.

Paling melucukan lagi Kelkon Sdn Bhd telah menanda tangani pula dengan sebuah syarikat untuk mencari modal bagi pembinaan projek berkenaan. Dan sekali lagi "rasa nak ssuka" apabila syarikat yang ditandatangani dengan Kelkon Sdn Bdh ini juga didapati tidak mempunyai modal yang cukup.

Sebelum surat tawaran diberikan kepada Kelkon Sdn Bhd, kerajaan negeri sebelum ini bercadang untuk memberi projek pembinaan itu kepada sebuah konsertium yang berpengkalan di Dubai. Kononnya syarikat berkenaan mendapat jaminan daripada Islamic Development Bank (IDB). Namun selepas diadakan beberapa kali rundingan, perbincangan dan tawaran kepada kosertium itu dibatalkan.

Sebaik sahaja Kelkon Sdn Bhd menanda tangani perjanjian dengan sebuah syarikat yang diamanahkan mencari pelaburan untuk projek berkenaan, majlis masuk tapak diadakan. Dimana majlis ini Ahmad Yaakob dengan diringi ahli lembaga Pengarah Kelkon Sdn. Bhd melakukan penandatangani plat memulakan kerja. Majlis ini juga dicerca dan diejak kerana satu projek diadakan dua majlis ceremony. Apakah sekali lagi majlis ceremony diadakan, iaitu majlis keluar dari tapak?

Sebelum ini, Allahyarham Nik Abdul Aziz telah meletakkan batu asas pembinaan projek berkenaan di Kampung Berangan Mek Nab Machang, ketika itu projek berkenaan masih dibawah kendalian Husam Musa.

Beberapa orang Exco dan pegawai kerajaan hadir ke majlis berkenaan. Bagaimana pun timbul cerita pelik kononnya projek berkenaan tidak mendapat restu Allahyarham Tokguru Nik Aziz. Sesuatu yang aneh apabila dituduh projek itu tidak mendapat perkenan Tokguru sedang beliau hadir dan turut sama melancarkan kutipan derma untuk pembinaan lebuh raya berkenaan. Saya sendiri ikut sama menyampaikan derma untuk pembinaan LRK tersebut.

Seorang keluarga rapat Tokguru pernah memberi tahu saya yang Husam membohongi Tokguru dengan projek berkenaan? Tetapi apabila diasak dan saya menghujah dengan apa yang berlaku keluarga Tokguru itu hanya mendiamkan diri. Basa jahat.

Sementara itu Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah begitu yakin pengambilalihan projek itu daripada kendalian Husam dan dengan penglibatan konsertium dari Dubai ia akan berjaya menyiapkan projek berkenaan. Dalam satu ucapan di Jerantut Pahang beliau memberi tahu dengan bangga kerajaan menerusi tander atau mekanisme baru pembinaan lebuh raya itu mendapat harga yang setengah kali murah apa yang ditawarkan oleh syarikat Korea terdahulu.

Beliau menegaskan lebuh raya itu dijangka siap pada tahun 2017.

Dengan berita yang dipertik dari kenyataan Mustapa itu jelas bahawa projek lebuh raya berkenaan gagal tidak berjalan seperti mana dirancangkan. Ia menunjukkan kerajaan pimpinan Ahmad Yaakub dan Mohd Amar sebagai bernafsu besar tetapi tenaga kurang.

Eloklah kalau kerajaan Pusat menyudahkan lebuh raya berkenaan kerana ia merupakan kemudahan asas yang sangat diperlukan oleh rakyat Kelantan. Kejayaan Mustapa menyiapkan projek itu juga ia memberi markah tinggi kepadanya sebagai pemimpin Kelantan. Usaha itu akan menyerlahkan beliau cakna kepada Kelantan. [wm.kl.1:26 pm 02/06/15]

No comments: