SURAT TERBUKA
YB Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS,
Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut,
Kuala Lumpur.
Assalamualaikum warahmatullahi wabrakatuh.
Tuan,
pada Ramadhan 4 ini, di bulan yang penuh kemuliaan dan ketinggian darjatnya saya dengan suci
hati, memulakan penulisan warkah ini untuk perhatian mendalam daripada Tuan. Harapnya kalau-kalau ada kebaikan tersisa dalam warkah ini ia akan diambil dan dimanfaatkan dalam usaha kita memertabatkan agama Allah di negara ini.
Dan
mana-mana yang tidak baik dan tidak berguna lupakan sahaja. Anggaplah ia sebagai sampah yang hanya boleh menganggui ketenangan akal fikir Tuan. Atas keadaan itu saya terlebih dahulu pohon banyak kemaafan.
Saya menulis warkah ini apabila menyedari kedudukan
Tuan sebagai Presiden kepada parti PAS amatlah penting dan mempunyai
ruang cukup luas untuk berusaha melaksanakan hasrat dan impian itu
seperti mana yang digariskan dalam perlembagaan parti. Saya percaya sebahagian umat Islam negara ini meletakkan kemakmuran Islam dan pendaulahannya kepada parti dipimpin oleh Tuan ini setelah mereka kecewa atau berputus harap kepada UMNO setelah lebih 60 tahun parti itu memerintah. UMNO gagal bertindak bukan sahaja sebagai pembela bangsa seoptimunya tetapi pembela agama juga.
Sebelum
saya langsung menyentuh mauduk yang hendak saya sampaikan, elok kalau
saya putar ke belakang sejenak, melakarkan sedikit sejarah pengenalan kita. Saya mulai kenal Tuan sekitar tahun 1976 dan mula membuat laporan
mengenai ucapan Tuan dalam satu majlis ceramah PAS di Pasir Puteh
Kelantan pada tahun 1979. Laporan saya itu disiar di muka hadapan akhbar Watan terbitan Khir Johari yang beribu pejabat di Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur.
Dalam ceramah itu Tuan
menyatakan akan bahaya perjuangan yang berpegang kepada bangsa,
asobiyyah. Perjuangan berdasarkan fahaman kebangsaan (nasionalisme), adalah perjuangan
yang terbatal daripada akidah Islamiah. Saya mendengar penjelasan dan
keterangan Tuan itu lebih dari dua kali dari tempat yang berlainan. Isi ucapan itulah yang menjadi bahan laporan saya.
Dalam
penilaian saya terhadap Tuan waktu itu, Tuan seorang ustaz yang sangat
lancar membaca Quran dan Hadith serta menceritakan sirah nabi-nabi. Yang pandai mengolah ayat-ayat Quran
dan Hadith untuk menyakinkan pendengar bahawa pejuangan berdasarkan
asobiyyah itu salah, dan yang betul dan benarnya perjuangan berlandaskan
Islam. Dalam kata mudah perjuangan PAS adalah lebih tepat dan benar
berbanding dengan perjuangan UMNO. Cuma perbezaan Tuan dengan Tokguru Nik Aziz Nik Mat, Tuan tidak membuat pembaharuan dalam berdakwah sebaliknya masih mengekalkan "konsevertisme."
Kehebatan dan
kemasyoran Tuan waktu itu ada saya sebutkan dalam buku terbaru saya;
Tokguru Dalam Mataku, (terbitan Mei 2015) dimana saya meletakkan taraf dan populariti Tuan
mengatasi Tok guru Nik Aziz. Pendeknya Tuan masa itu menjadi buruan pendengar para pencandu ceramah politik yang berunsurkan agama. Pendengar akan datang beramai-ramai, kadang kala ceramah itu mencecah kehadiran belasan ribu. Dari segi
meraihkan crowd, Tuan sudah dapat mengatasi kehebatan Mohd Asri Muda
sebelum itu. Tuan dianggap pengganti Mohd Asri.
Kemuncak pengangkatan darjat kehebatan Tuan dalam
politik ialah apabila majalah Asia Week meramalkan Tuan adalah pemimpin
masa depan Malaysia. Dan ternyata ramalan itu tepat apabila kini Tuan sudah
menjadi presiden PAS selama 13 tahun. Pencapaian yang diraih Tuan adalah
satu anugerah kepada rakyat Malaysia dan tuah kepada Tuan. Mungkin Tuan berasa senang dan mudah untuk menjadi presiden kepada sebuah parti Islam, tetapi sebenarnya tidak, ia sesuatu yang bukan mudah dan apa diperolehi Tuan adalah tuah dan keramat. Dengan jawatan itu, Tuan mengepalai sejuta ahli dan jutaan pengikut menuju jalan ke syurga.
Itulah abstrak mengenai Tuan dalam mata saya. Sekarang berbalik kepada mauduk warkah ini ditulis.
Awal kalam, saya ingin menarik perhatian Tuan kepada masalah yang berlaku dalam PAS
waktu ini dimana ia mungkin perkara biasa bagi Tuan dan tidak pun perlu
ia dikhuatiri. Apa lagi dengan menerima semua yang berlaku ini atas
qada dan qadar Allah, dan berkeyakinan Allah tetap bersama kebenaran
dibawa PAS, parti itu akan selamat selamanya. Maka Tuan tidak akan
berasakan apa-apa dengan berlaku kini.
Tetapi bukan
begitu bagi saya melihat dan merasakan apa yang berlaku kini ia sangat membimbangkan. Bagi saya
kancah yang didepani PAS kini membahayakan parti itu dan seterusnya
membahayakan masa depan Islam di negara ini apabila PAS telah
disangkutkan harapan tinggi oleh rakyat untuk mendaulatkannya.
Saya tidak dapat
mengagak sejauh mana Tuan terkesan dengan apa yang berlaku sekarang?
Atau pun Tuan memang suka dengan apa yang berlaku dalam PAS kini. Saya
akan cuba menghurai atau memberi gambaran senario apa yang berlaku dalam
PAS kini dimana pada pandangan saya ia amat membahayakan PAS dan memerlukan sentuhan magical oleh Tuan.
Semua
pergolakan dalam PAS kini berlaku apabila PAS mengadakan muktamar bagi
memilih pimpinan baru. Kemuncak kepada segala itu terjadi selepas usai
muktamar apabila kesemua penyandang jawatan atau pun mereka yang cuba
merebut jawatan digolongkan sebagai golongan PROLIB atau Tuan
menggelarkan "sekular", kalah habis, kecuali seorang sahaja yang menang.
Kekalahan mereka itu didakwa kerana wujud permainan kotor semasa pemilihan. Kekotoran dimaksudkan ini mungkin Tuan maklum, dimana kepada saya ia subjektif. Kerana PAS itu berwajah politik (organ sosio politik) sekular, maka kekotoran itu dihalalkan. Kekalahan golongan Prolib itu disebabkan "ketidakcaknaan" mereka kepada pemilihan itu.
Saya yakin Tuan, mereka
tidak kecewa sebegitu sekali dengan kekalahan dan kegagalan untuk
memenangi jawatan dipertandingkan. Kalah menang adalah adat dalam perlawanan. Mereka memahami hakikat itu. Tetapi apa yang mendukacitakan mereka
ialah kerana cara dan bentuk pemilihan itu dibuat serta sikap Tuan sendiri sebagai presiden langsung tidak berperanan memerhatinya.
Tidak
perlu saya menjelaskan apakah bentuk-bentuk yang telah dilalui itu. Cuma apa
yang hendak dipertikaikan kenapakah Tuan sebagai seorang presiden yang
dianggap sebagai ayah dan orang tua tidak melakukan sesuatu bagi
membaikpulihkan keadaan atau sebelum itu memberi kata nasihat kepada penyokong khususnya dari golongan ulama yang saya sifatkan golongan ad-Din agar bersikap tidak keterlaluan dan sedarhana.
Tuan tidak membuat teguran
sedangkan cara kempen pemilihan meneursi media baru dan himpunan-himpunan senyap, yang dikira terkeluar daripada lunas-lunas
menjadi amalan PAS selama ini. Sepanjang kempen berjalan sejak lebih
setahun Tuan menurut dan membatukan diri sahaja yang saya sifatkan sebagai "badak ketiduran di lebuh raya". Natijahnya sangat buruk apabila Tuan
bersikap mendiamkan diri, dimana ia telah ditafsirkan bentuk dan cara itu
halal dari segi agama? Ahli dan penyokong PAS yang berwala' (kurang ilmu dan taksub) kepada pemimpin akan membuat perkiraan sesuatu yang buruk dan keji mereka lakukan itu dianggap benar dan betul apabila tiada teguran daripada pemimpin.
Sepatutnya Tuan seharus bertindak adil dan saksama serta
membina dan menjaga kredibiliti parti dengan membuat teguran agar ianya
tidak merebak dan akhirnya menatijahkan apa yang berlaku kini. Tuan
fakeh agama, arif mengenai hukum hakam dan orang yang memahami akhlak
Rasulullah, patut sangat menasihati ahli dan pengikut.
Tuan seharusnya bijak dan kasyaf dengan masa depan parti. Sepatutnya begitu. Seorang pemimpin adalah
mendamaikan keadaan mententeramkan ahli dan penyokong dan bukan membiarkan penyokong berbalah sesama sendiri. Tuan patut menjadi seperti ibu ayam yang bertanggungjawab kepada anak-anaknya, apabila hujan atau
ribut, ia akan membuka kedua belah kepaknya dan memanggil anak-anak masuk ke
bawah perutnya. Ia menjaga dari serangan biawak dan ular serapinya mungkin.
Tetapi
dalam hal ini malang Tuan tidak bertindak sedemikian, menjadi seekor
ibu ayam yang bertanggungjawab dan penyayang. Sebaliknya Tuan memangkah
pula mana-mana anak yang nakal secara keterlaluan tanpa mengambil sikap apolegetik sebagai mana dilakukan oleh seorang tua. Tuan sendiri adakalanya menjadi setaraf dengan anak-anak tuan dalam bercakap dan membuat kenyataan.
Sikap
Tuan yang beginilah menyebabkan orang pertikaikan mengenai wibawa dan
peranan Tuan sebagai seorang ketua. Orang mulai persoalkan darjat
keulamaan yang digelar kepada Tuan. Tuan dilihat sebagai tidak menjalani
amanah mengikut ajaran Islam sebenarnya. Sebagai seorang ayah perlu
menegur tanpa mengira apakah perbuatan itu merugi atau menguntungkan
diri Tuan sendiri yang juga berhadapan dengan lawan. Tuan sepatutnya tidak berat sebelah dan bersikap
hipokrit.
Tuan tahu dan faham yang Islam sangat
menekan kepada soal keadilan, kebenaran dan membenci kezaliman.
Prinsip-prinsip itu gagal direalisasikan oleh Tuan sebagai seorang
presiden.
Mulanya, saya memerhati itu sebagai satu
kekhilafan Tuan yang akan diperbetulkan selepas muktamar itu. Saya
mengira Tuan menjadi pendamai kepada keretakan dalam PAS dengan
memulihkan keadaan. Akan memanggil semua mereka yang kalah untuk kembali
berada dalam satu saf semula. Saya menungu-nunggu akan masa dan ketika
itu, tetapi ternyata tidak berlaku. Tuan tidak menjadi biduk yang lalu untuk menangkupkan semula kiambang. Harapan dan impian saya menjadi jauh panggang dari api.
Apabila Tuan
senyap dengan keadaan ini, tidak memberi sepatah komentar, maka ia telah
menimbulkan persepsi buruk dari kalangan mereka yang kalah. Mereka
berasakan mereka sudah tidak dipeduli dan diperlukan lagi. Lebih
parah meraka berasa perlawanan yang menyebabkan mereka kalah itu
dijadikan peluang untuk membuang mereka?
Tuan
"kebetakkan" (kelambatan) atau ketidakpedulian Tuan ini sesuatu yang
sangat mendukacita. Tuan juga terikut-ikut dengan anak-anak muda yang
galak merayakan kemenangan "seraga" mereka. Saya menanti apakah Tuan akan
mengambil mereka dan meletak mereka ke dalam mainstream parti semula
dengan melantik mereka memegang jawatan setanding dengan kebolehan
dan kepakaran mereka, tetapi tidak ada. Tindakan itu menyebabkan Tuan dianggap
bersetuju kalau mereka tiada lagi dalam PAS. Saya tidak pasti apakah
struktur dalam parti ini dibentuk oleh Tuan setelah beristkharah ataupun
ia dicorakkan oleh para penasihat Tuan?
Mungkin
apa yang berlaku itu satu kesilapan Tuan dan juga golongan Prolib yang
begitu cepat mengusap kekecewaan dan panas hati mereka dengan berhimpunan
di Bakri Muar, Johor. Saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka itu.
Cara protes dan menzahirkan kekecewaan demikian tidak menunjukkan mereka
berjiwa besar dan mempunyai semangat Khalid al Walid. Mereka seharusnya
memberi masa melihat kepimpinan baru serta meletak deadline menguji
kemampuan mereka. Selepas kepimpinan baru gagal melalui ujian itu dan tetap
sombong dan angkuh barulah mereka boleh bertindak. Begitu sepatutnya. Tetapi sekali lagi kesedarhanaan yang diajarkan Islam itu dilupakan. Malang kebanyakan kita hanya tahu baca Quran tetapi gagal menyelami rahsia dan hikmatnya.
Ada
dua atau tiga mentara atau pun sempadan yang boleh diberikan oleh mereka kepada barisan kepimpinan baru sebelum
bertindak. Pertama, apakah PAS akan dibawa bergabung dengan UMNO seperti
mana yang dihebohkan. Sepatutnya mereka menunggu kejadian itu. Kalau ia
berlaku barulah boleh mereka memprotes dengan mengadakan himpunan itu,
hatta hendak menubuhkan parti baru.
Kedua, mereka seharusnya melihat apakan tindakan dan keputusan Dewan Syura Ulama terhadap usul yang membawa kepada keretakan Pakatan Rakyat, iaitu usul Dewan Ulama yang mahu hubungan PAS dengan DAP diputuskan. Mereka perlu menanti dan melihat tindakan yang akan dibuat. Sepatutnya mereka memberi kata dua mengenai usul ini terlebih dahulu. Sekiranya usul itu tidak ditarik balik maka barulah boleh mereka bertindak lebih jauh lagi. Status usul itu sendiri tidak rasmi dari segi keabsahannya dan kabur.
Ketiga ialah
menunggu apakah PAS akan benar-benar mencabut diri daripada gabungan
Pakatan Rakyat. Apabila itu sudah berlaku, maka wajarlah kalau tindakan
memprotes hatta menubuh wadah baru dibuat sebagai mengganti tempat PAS. Dengan ada tiga sempadan yang
diberikan itu barulah boleh dikatakan tindakan mereka tidak berlandaskan
amarah dan satu tindakan yang dibuat secara rasional. Bersambung. [wm.kl.11:59 t/hari 24/06/15]
No comments:
Post a Comment