Tuan Ibrahim serah kepada qada dan qadar. |
Komentar dinanti-nantikan itu tentulah tidak tambah menegangkan lagi keadaan. Komentar yang mengulik perasaan untuk damai. Dalam hidup ini bukan saja memerlukan kepada perdamaian keadaan, tetapi perdamaian fikiran juga penting. Sebab itu ada orang kaya tetapi hidupnya gelisah sepanjang masa kerana ketiadaan ketenangan fikiran.
Komentar demikian sesuai dengan sifat atau darjat manusia yang disyariatkan sebagai khalifah. Dan sebagai pimpinan yang mendakwa diri mereka adalah terjemahan dari akhlak Quran dan Hadith, akan dapat membuat komentar yang mereda dan menginsafkan keadaan dan kalau ia tidak mampu membuka jalan perdamaian.
Peperangan politik
Peperangan dalam politik, atau mana-mana peperangan tidak ada yang berpanjangan tanpa nokhtah. Ia pasti akan ada kesudahan dengan dua kemungkinan, kalah mati, atau pun berhenti dan berdamai kembali. Peperangan kalah mati dalam konteks manusia dan dunia adalah yang paling bodoh kerana ia merugikan. Manakala dalam politik istilah itu sama sekali tidak wujud.
Berhubung perang Pas dengan DAP, apa diharapkan ia bukan kalah mati tetapi bersifat genjatan senjata. Ertinya berlaku genjatan senjata, untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian. Manusia itu dianggap bijak dan mulia apabila mereka berbalah kemudian menemui jalan baik kembali. Dendam mendenami terbuang dalam kamus keagamaan.
Umum harus memberi peluang kepada kedua pihak berbincang mencari penyelesaian. Merekah tidak perlu dipersepsikan dengan api. Sekiranya selepas perbincangan gagal, barulah peperangan diteruskan. Itu pun untuk sementara waktu sahaja, atau paling lama bagi satu generasi sebelum generasi seterusnya mencari perdamaian.
Lihatlah macam mana peperangan fizikal berebut kuasa antara negara-negara di dunia ini. Antara blok kuasa besar yang memperalatkan negara kecil menjadi prokasinya. Mereka berperang bukan sebulan dua, bahkan bertahun-tahun sampai mencecah berabad pun ada. Tetapi akhirnya berhenti juga.
Jerman Barat beperang dengan Jerman Timur, kerana pertentangan ideologi. Akhirnya tembok Berlin memisahkan mereka dirobohkan. Mereka bersatu semula dengan lebih maju dan jaya lagi.
Amerika berperang dengan Vietnam untuk mengukuhkan kedudukan di IndoCina dan sebagai mahu dilihat kuasa utama dunia. Sehebat mana Amarika, akhirnya ia berakhir dengan kekalahan dari pihak negara Uncle Sam itu. Itu Israel tidak pernah tidur dari terus berperang dengan Palestin. Sejak lebih 50 tahun sudah ada beberapa kali usaha perdamaian, genjatan senjata dan sebagainya, tetapi ia tidak berhasil.
Setiap kali diusaha perdamaian, peperangan dihentikan sejenak, dan bila ia gagal, diteruskan. Naik cemuh kita mendengar bunyi letupan dan berita kematian di Semenanjung Gara tetapi itulah putaran alam dan rencah kehidupan.
Nah, dalam politik Pas, DAP dan sesiapa juga tidak terlepas dari disiplin berkenaan.
Ulama kepala butut
Makanya kalau perbalahan antara DAP dengan Pas yang akhirnya "memengsankan" Pakatan Rakyat, (pinjam istilah Mustafa Ali), pandangan atau pendapat yang inginkan peperangan itu berhenti secara kalah mati tanpa perlu diadakan rundingan lagi adalah pandangan dari akal yang tidak sihat dan pemain politik yang dangkal. Perkiraan demikian adalah perkiraan dari kepala budak-budak yang mentah dan putik politik dan berjiwa panas serta pendapat ulama berkapala "butut" - kepala tidak berapa bulat molek, semalam baru mengenal abjab politik.
Justeru pandangan dan kehendak mereka, agar Pas terus beperang secara kalah mati dengan DAP adalah pandangan yang tidak berakal jauh sekali bijaksana dalam konteks politik. Dan kalau DAP telah bertindak rakus, Pas sebagai pemegang kitab dan menjujung akhlak perdamaian, harus berusaha mendakwah mereka. Tugas seorang mukmin ialah memberi pencerahan kepada dunia bukan pencetus perang. Dengan mengabaikan kewajiban dan amanah berkenaan tidak ada makna Pas diwujudkan atau terus disokong. Tidakkah Pas juga diidolakan sebagai gerakan Islam yang mementingkan terbiyah?
Bagi saya, tindakan politik DAP terhadap Pas, belum sampai kepada kejam dan zalim seperti mana diperlakukan Umno terhadap Pas. DAP tidak pernah menzalimi dan menafikan hak-hak dan kepentingan Pas yang berjaya menubuhkan kerajaan secara fizikal. Diskiriminasi yang berlaku di Kelantan sejak 18 tahun dan 25 tahun, bukan dilakukan DAP, tetapi Umno. Umnolah taukeh yang menindas Pas dan berlaku tidak adil, bukan DAP. Sejarah mencatat segala kemalangan ini.
Begitu juga andaian DAP menghalang Pas untuk melaksanakan nilai-nilai Islam termasuk Hudud, bukan langsung daripada DAP. Halangan yang awal ialah Umno yang menolak idealogi Pas. DAP pun bukan menolak langsung prinsip dan dasar PAS tetapi mempertikaikan tindakan Presiden Pas dan mereka "sebutut" dengannya yang gagal mematuhi understanding dan konsesus Pakatan Rakyat. Kalau mereka menolak Islam yang hendak dibawa Pas, mereka tidak berpakat dan berperang dengan Pas sedari awal lagi. DAP tidak jahil tentang perlembagaan Pas.
Pas tidak perlu takut kepada DAP kerana parti itu bukan memperjuangkan untuk menegak mana-mana agama yang bertentangan dengan agama Pas. Perjuangan DAP ialah untuk keadilan rakyat. Memperjuangkan manusia bukan pegangan (akidah). Memberi kebebasan kepada rakyat mengikut hak-hak asasi yang diiktirafkan oleh dunia. Sebahagian besar apa yang diperjuangkan DAP, itulah juga tuntutan materialistik dalam agama diperjuangkan Pas.
Islam menentang penindasan dan kezaliman, keyakinan dan amalan DAP juga begitu. Islam mahukan keadilan kepada semua manusia, perjuangan DAP begitu juga. Islam tidak membenarkan rasuah, begitu juga perjuangan DAP yang menuntut kerajaan yang telus. Dengan memberi beberapa contoh itu dimanakah pertentangan Pas dengan DAP dari konsep agama dan kemanusiaanya?
Begitu juga hakikat menunjukkan Umno yang menghalang PAS untuk melaksanakan cita-citanya. Terbaru lihat apa yang berlaku kepada rang undang-undang persendirian (private bil) mengenai Hudud. Siapakah yang vokal membuat penolakan ini. Apakah DAP atau Umno. Sikap membuat perkiraan ini dan terlalu ghairah menerima umpan Umno, inilah yang memeranakan Pas.
Pas termakan dakyah Umno
Yang nampak hari ini kebencian Pas kepada DAP bukan kerana konsep perjuangan parti itu, tetapi kerana Pas (sesetengahnya) menerima dakyah dan tohoman pihak Umno terhadap DAP. Umno menceritakan tentang keburukan DAP. Ada dua perkara yang sangat termakan oleh sesetengah orang Pas mengenai keburukan DAP, khususnya mereka yang baik dan telah memakan budi Umno.
Pertama, kononnya DAP akan berusaha untuk memerintah negara ini. Akan menjadikan Malaysia sebuah negara orang Cina. Kedua lanjutan itu, DAP tatkala berkuasa nanti akan menghalang cita-cita Pas untuk menegakkan Islam. Itulah dua perkara yang dimomokkan kepada Pas. Dalam hal ini dijadikan Hudud sebagai contoh macam mana DAP menjadi penghalang kepada cita-cita Pas itu.
Jika dilihat dengan jujur ternyata dua perkara itu hanya bahan propaganda untuk meretakkan hubungan dan menghilangkan kepercayaan dan kefahaman politik Pas dengan DAP yang terbentuk sebelum ini. Itu sahaja. Umno sangat bijak dalam soal ini dan mereka tahu dua isu itu akan menjadi umpan lazat yang akan ditelan oleh Pas khasnya dan bangsa Melayu amnya.Tanggapan yang dibuat Umno Hudud menjadi cita-cita Pas, ia bukan dihalang oleh DAP, tetapi yang memberi persetujuan bohong untuk sokong hudud ialah Umno sendiri. Di dewan legislatif Umno lebih berkuasa berbanding DAP berhubung Hudud.
Sebagai sebuah parti Islam yang progresif, Pas seharusnya mewaraskan kepala mereka. Mencari dan meneliti sejauh mana kebenaran dakwaan Umno itu. Dari juring manakah DAP akan memerintah negara ini tanpa bermaufakat dengan bangsa lain. Apabila kita mempercayai kepada tohmahan yang sengaja dikatakan Umno itu, secara tiak langsung kita menafikan kuasa kesembilan orang Raja-Raja Melayu yang menjadi pemegang kunci kepada kekuasaan negara ini.
Saya tetap yakin selagi sistem demokrasi berpilihan raya diamalkan, DAP tidak akan berjaya mengusai negara ini. DAP akan berjaya sekiranya berlaku revolusi politik sepenuhnya dan revolusi rakyat Malaysia. Apakah ia akan berlaku? Dan tidakkah persepakatan menerusi BN dan Pakatan Rakyat itu untuk saling mengawasi antara sagu sama lain? Kita semua sudah dimasukkan ke dalam "gok", yang tidak mungkin kita keluar dari kurungan itu keseorangan melainkan menerusi rempuhan besama.
Harakamkan DAP
Mengenai kebimbangan tidak berasas untuk keselamatan bangsa dan agama ini, saya pernah mencadangkan kerajaan boleh mengambil tindakan mengharamkan DAP kalau ia benar-benar berpolitik secara memudarat ke atas negara ini. Apa yang pernah dilakukan oleh kolonial British ke atas parti digelar subservif seperti PKM, KMM dan lain-lain boleh diambil terhadap DAP.
Berbalik kepada mauduk aasal, berdasarkan kepada prinsip peperangan (apa lagi peperangan politik), Pas masih ada peluang atau ruang terbuka untuk mendamaikan peperangan dengan DAP itu dan mengelakkan ia menjadi peperangan kalah mati. Retak yang kini tebelah masih boleh disatukan kalau ada kesedaran dan kepakaran dalam berunding dan berjemak berkira.
Di sini saya suka melihat kepada stail dan kebijaksanaan siasah dua bekas pimpinan Pas yang sudah tiada, Fadzil Mohd Noor dan Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bagaimana mereka bersikap berlapang dada dengan ulah DAP dan tidak sesekali berperang kalah mati. Sebelum ini, Pas pernah bersama DAP, untuk menghadapi musuh yang sama. Apabila pendekatan atau maufakat itu merugikan antara satu sama lain, mereka tanggal kemudian bertangkup balik bila ada persefahaman baru.
Itulah cara berpolitik dan menangani peperangan dalam politik yang fatanah sebenrnya. Pas sendiri jangan mudah terpesona yang mereka akan diterima dengan senang hati oleh Umno hatta berdasarkan mereka ada chemestry dan memiliki DNA sama sebagai satu bangsa dan satu agama. Bangsa, tidak menjanjikan keutuhan perpaduan, dan agama juga tidak membuktikan akan wujud perpaduan sejati di dunia. Lihat di negara-negara yang Islamnya kuat tetapi perprecahan dan peperangan sesama sendiri ralik berlaku.
Ertinya, keupayaan untuk berdamai ialah apabila kedua pihak ada semangat dan tujuan sama. Dalam konteks politik matlamatnya ialah hendakkan kuasa. Dan matlamat peribadinya dengan kuasa itu untuk menjaga kepentingan diri. Di Malaysia, kepentingan kaum tidak boleh dijadiakn asas untuk bersatu, sebaliknya kepentingan matlamat boleh dijadikan landasannya.
Hari ini apabila Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, membuat ulasan apa yang berlaku kini sebagai takdir dan Pas reda dengan qada dan qadar, ternyata komen itu sangat naif dari konteks politik. Mempasrahkan diri kepada takdir tanpa menghitung dan menilai sebab musababnya kenapa berlaku itu suatu tindakan orang yang lemah dan tidak berkeupayaan. Boleh juga dimaksudkan kepala kurang bulat, butut.
Tuan Ibrahim tidak boleh menghuraikan tragedi tersebut sebegitu simplistik dari sudut agama. Beliau harus realistik dan melihat secara fizikal untuk mengatasinya. Sekiranya masalah sebesar itu dengan mudah dikembalikan kepada qada dan qadar, apalah gunanya Tuhan memberikan akal fikiran. Tidakkah akal fikiran itu untuk digunakan bagi mengatasi qada qadar?
Beliau harus mengemukakan formula dan mengambil pendekatan dakwah untuk menyelesaikan masalah. Apabila kita yakin kerjasama dengan DAP telah membuktikan hasil kenapa kita hendak membuangnya. Umpama kita telah menanam pokok mangga sudah mengeluarkan buah yang banyak, kenapa kita hendak menebangnya. Apakah kerana daunannya berguguran kerana hembusan angin dan menyemakkan laman kita, sedangkan ia boleh dibersihkan lantas kita terus bertindak menebang pokok itu? Tindakan itu tidak berhemah namanya.
Pemikiran Tuan Ibrahim bagi saya tidak betul dan sangat simplistik. Kerana jika semua dikembalikan kepada ketentuan Allah, nescaya semua perkara tidak memerlukan akal fikiran sebaliknya pasrah semata-mata.
Sekali lagi saya melihat jawaban Tuan Ibrahim terhadap masalah yang menimpa Pas kini adalah satu jawaban yang remeh dan tiada kualiti langsung sebagai seorang pemimpin nombor dua parti. Kalau apa dilakukan Tuan Ibrahim itu suatu yang qati'i maka semua orang boleh menjadi presiden Pas termasuk juga Pak Pandir. Tuan Ibrahim perlu perbetulkan landsan politiknya bagi mengelakkan dia juga disifirkan dua kali lima seperti Hadi Awang. [wm.kl.3:41 pm 19/06/15]
No comments:
Post a Comment