Thursday, October 16, 2008

Posting Lewat

Lalu Kawanku Itu Pun Mengaku Kalah...

LEWAT petang semalam saya dihubungi oleh orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah yang juga selaku pelakar peta untuk ahli Parlimen Gua Musang itu mengapai jawatan Presiden Umno. Beliau berkhidmat memberi nasihat dan mengatur peta perjalanan Razaleigh sejak beberapa bulan lalu.

Hampir seluruh Malaya teman ini round meneroka jalan dan laluan untuk Razaleigh.

Waktu dan masanya juga banyak habis di Langgak Golf daripada tempat-tempat lain di starbuck, lobby hotel ataupun di kantin Parlimen. Dia seorang yang komited dan bersungguh-sungguh dengan kerja-kerja dan tanggungjawab yang diserahkan kepadanya.

"Ti.... betullah ramalan you?" begitulah orang kuat Razaleigh yang juga kawan saya itu memulakan perbicaraan. Saya sedikit terkejut dan tertanya-tanya sendiri, ramalan apa pula.
Ketia itu katanya dia dalam perjalanan pulang dari rumah Razaleigh di Ampang.

"You hebatlah...." tambahnya lagi. Saya menjadi semakin berminat untuk mendengarnya.
"Tentang apa?" tanya saya. Sedikit suspen tetapi sudah menduga apa yang beliau maksudkan.
"Kata-kata you... yang Mahathir tidak akan sokong Tengku (Tengku Razaleigh), you betulah.." katanya. "Masa you cerita dulu I pun dah rasa tetapi masa tu I tidak boleh sebut nanti you tulis dalam blog susah pula. Apapaun I salutelah you..." katanya.

Saya tidak tahu pasti apakah tujuan dia memberi pujian dan mengaku kalah itu! Cuma apa yang dapat saya rasakan pelakar peta perjalanan Tengku Razaleigh itu sudah dapat menduga apa yang bakal berlaku ke atas calonn presiden Umnonya itu.

Setelah hampir 50 bahagian bermesyuarat di mana terdapat dua tiga bahagian yang diharap mencalonkan Razaleigh tidak menjadi kenyataan. Semuanya mencalonkan Mohd Najib Razak. Itulah menyebabkan kawan saya itu sudah cemas, dan suaranya bergetar bila bercakap. Tetapi apa tujuan dia mengadu kepada saya?

Apakah tujuannya? Saya hanya mentafsir sendiri tanpa menyebut kepadanya. Apapun pengakuan disaat akhir itu tidak memberi apa-apa keuntungan kepada Tengku Razaleigh Hamzah. Ia tidak membawa apa-apa makna lagi. Bak kata orang sudah terhantuk baru tergandah. Sudah sakit baru ingatkan Tuhan!

Apa nak jadi Tengku Razaleigh terpaksa juga menghadapi risiko ekoran 'keterlanjurannya' itu. Keputusan itu tidak boleh ditarik lagi melainkan kena terus tahan tubuh untuk dimalui atau dipermainkan oleh bahagian Umno. Kawan saya itu saya akan bertanggungjawab sepenuhnya.
Keadaan ini berlaku Razaleigh tidak boleh menyalahkan sesiapa. Beliau kena salahkan dirinya sendiri kerana terlalu mudah termakan pujukan dan termamah pujian. Beliau percaya seratus kepada spionnya (Spy) yang kononnya membuat kajian, atur strategi untuk beliau.

Saya telah memberi pandangan saya yang tulus dan terbuka kepadanya mengenai Mahathir. Saya tahu pandangan saya itu tidak menyenangkan Razaleigh. Tetapi saya menyatakan juga walaupun pahit. Apa yang saya bilang saya tidak yakin kalau Mahathir tiba-tiba berubah angin menyokong Razaleigh. Kecualilah Mahathir sudah gila baru dia berbuat begitu.

Dalam blog ini pun saya sudah tulis mengenai apa yang saya rasakan itu. Saya memberi peringatan kepada Razaleigh yang Mahathir sudah dua abad menipunya. Abad ke 20 sekali dan di abad ke 21 sekali.

Bahkan di hadapan Tengku Razaleigh sendiri saya sebut. Saya katanya Mahathir tidak mungkin menyokong Tengku. Terkebel-kebel biji mata Razaleigh macam ciccak mabuk kapur bila saya berkata begitu. Saya bukan dengki atau sengaja nak rosakan semangatnya untuk bertanding atau meretakkan hubungan beliau dengan Mahathir. Saya berkata mengenai apa yang saya tenguk dan hati kecil saya alunkan.

Saya membuat andaian itu bukan setakat melihat dari jauh. Tetapi saya bertanya sendiri kepada Mahathir secara bersemuka dan mahu mendengar jawaban jujur darinya. Saya bertanya ketika Prima mengadakan majlis di Yayasan Perdana. Sebelum majlis itu bermula saya bersama tiga rakan lain masuk ke biliknya bagi menerangkan matlamat dan tujuan Prima.

Ketika ini saya mengambil kesempatan bertanya kepadanya memandangkan ada dakwaan beriya-iya mengatakan beliau sokong Razaleigh kerana dikatakan tidak selesa dengan Najib yang dianggap sebagai penakut kerana tidak mahu melawan Abdullah Badawi.

Apa yang Mahathir kata dan jawab? Dia tidak jawab dan hanya mendiamkan diri sambil mencebeh mulut macam anggur kecut. Selepas itu baru dia berkata; Tengku Razaleigh ini susah sikit....! Dia tidak menghabis kata-katanya namun saya sudah faham bahawa beliau tidak bersedia untuk menyokong Razaleigh dan dendamnya masih berasap.

Razaleigh nampak tidak mudah percaya. Beliau lebih percaya dan yakin kepada tukang tilik dan tukang kipasnya ada yang setengahnya hidup dengan memegang dua tangan, tangan Razaleigh dan tangan Mahathir untuk hidup. Susahlah begini...

Lalu kedatangan Mahathir ke rumah Razaleigh semasa majlis berbuka puasa dijadikan alasan
kukuh bahawa sahih Mahatahir bersama Razaleigh. Semudah itu dan serendah itu analisa politik mereka...!

Untuk menyedapkan lagi cerita ditambah kononnya Muhyuddin Yassin juga bersedia untuk beregu dengan Razaleigh setelah kecewa dengan Najib. Bukan setakat itu ditambah lagi cerita-cerita sedap ala penglipur lara tetapi tidak masuk akal. Maka terhibur dan terlaralah Razaleigh apabila mendengar cerita yang menyeronokkannya itu.

Bagaimana pun keseronokan itu tidak berpanjangan. Ia musnah ditengah jalan. Seperti mana diramalkan Mahathir kembali mengampuni semula dosa-diosa kecil Najib yang dilakukan sebelum ini. Mahatir kini berpaling semula kepada Najib dan melupai Razaleigh yang terkonting-konting sendirian macam anak buangan di tepi lokang.

Para pendokong, dan pelakar peta juga mungkin sedang mengira dan memikirkan apa alasan-alasan yang harus beliau lakukan bagi dilihat orang beliau tidak terlibat dalam melakari jalan untuk Razaleigh itu. Dan apakah kawan itu saya juga sedang berbuat demikian? Jika begitu lakunya alangkah kejamnya mereka semua! [wm.kl 8:30 am 15/10/08]

3 comments:

Anonymous said...

Sah Ku Li tak layak jadi Presiden UMNO dan PM kerana walaupun banyak pengalaman politik tapi begitu senang ditipu oleh Mahathir. MSO nampaknya lebih hebat bacaan politik... mungkin lain kali MSO boleh cuba untuk Presiden UMNO...:-)

Anonymous said...

Memang Ku Li tak layak untuk jawatan Presiden UMNO. Beliau hanya dipermainkan oleh Mahathir. Takkan tak kenal Mahathir siapa? Mahathir adalah seorang yang suka menipu dan suka mngenakan orang lain... Sebab itulah pemimpin yang berpengalaman dan mungkin hebat, boleh diperdayakan oleh Mahathir dengan mudah...

MyHalal said...

Pergerakan politik anak Raja ini memang slow sgt2 macam kura-kura..tubuh s46 sekejap n termakan pujuk Tun kononnya dapat jd menteri lalu di bubarkan S46! Rugiii...kalau lah S46 tidak dibubar kan pd tahun 1992 mungkin Ku Li akan jd PM bila berkabung Dgn B.A pd tahun 1998!!alangkah ruginyaaaaa...kesimpulanya Tun lebih cerdik dari Tengku ::))