Friday, October 10, 2008

Ulasan Isu

Perebutan Timbalan Presiden Umno Hangat

SUDAH pasti kini pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno akan menjadi tumpuan. Pertandingan menyaksikan perebutan tiga orang tokoh; Ketua Penerangan Umno, Muhammad Mohd Taib, Naib Presiden, Mohd Ali Rustam dan Muhyiddin Yassin. Muhammad dan Ali Rustam telah mengesahkan hasrat mereka untuk bertanding semalam.

Mereka seperti tidak akan berganjak lagi dan sedang mengiatkan kempen psiko untuk mendapatkan pencalonan. Bagaimanapun agak malang sedikit orang yang paling awal menawarkan diri untuk mencuba ke jawatan itu Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Zahid Hamidi (foto) telah menarik diri.

Zahid membuat perhitungan semula selepas Abdullah Ahmad Badawi mengaku kalah. Zahid hanya akan menumpukan kepada jawatan Naib Presiden, jawatan yang menjadi idaman awalnya.

Tindakan Zahid itu dikira bijak dan beliau tidak mahu mengundang risiko. Tindakan itu juga membenarkan apa yang saya rasakan sebelum ini. Bahawa beliau terlatah ketika membuat tawaran itu dan merasa ianya didorong oleh seseorang. Ia bukan lahir atas kehendaknya dan kekuatannya sendiri. Zahid tahu mengukur baju di badan sendiri.

Zahid seorang setia dan patuh kepada suruhan, apa lagi kalau ketuanya meminta beliau berbuat begitu. Ingat apa yang dilakukan semasa beliau berwala' kepda Anwar Ibrahim tahun 1998 dulu. Beliaulah yang membangkitkan isu kronisme dan nepotisme yang akhirnya membuatkan Mahathir Mohamad resah dan membawa kepada kebencian rakyat kepada bekas PM itu. Kononnya Zahid mengaku beliau berbuat begitu kerana disuruh oleh Anwar!

Apabila beliau tiba-tiba menawarkan untuk bertanding jawatan nombor dua itu saya sikit teralat. Tapi saya yakin Zahid menawar diri itu kerana atas permintaan Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah berhajat untuk menumpang pengaruh dan kekuatan Zahid bagi mengekang kemaraan Mohd Najib Razak yang hendak merampas kerusi presiden.

Namun apabila setelah dikaji dan diselidiki kekuatan itu tidak mencukupi maka hasrat itu dibubarkan. Jadi Zahid terpaksalah berundur ke belakang semula dan melapazkan kesetiaan dan sokongan 100 peratus kepada bekas bosnya itu. Saya berpandangan beliau akan mendapat kemenangan besar untuk jawatan itu kelak.

Sebenarnya keputusan Zahid itu tepat. Zahid belum pernah menduduki jawatan Naib Presiden menerusi pemilihan melainkan duduk secara automatik sekejap sewaktu menjadi Ketua Pemuda. Beliau tidak mempunyai pengalaman luas sebagai Naib Presiden seperti mana Muhyuddin Yassin.

Kalau Zahid meneruskan hasratnya itu beliau akan berhadapan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dan peluang untuk menang agak sulit.

Dengan penarikan oleh Zahid pertandingan itu akan tertumpu kepada tiga calon tadi; Muhyuddin, Mohamad Taib dan Ali Rustam. Walaupun sehingga kini Muhyuddin belum mengesahkan tetapi diyakini beliau akan ke jawatan itu. Menurutnya beliau akan mengumumkan hari ini untuk mengambil berkat hari Jumaat!

Ketiga mereka boleh bertarung kerana masing-masing ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Diukur secara fizikal ternyata kelebihan kepada Muhyiddin. Selain beliau dilihat orang yang berusaha keras untuk menolak Abdullah di mana kekosongan tempat Najib wajar diberikan kepadanya, beliau juga berpengalaman sebagai Naib Presiden paling lama dan paling kanan.

Muhammad Taib juga pernah menduduki jawatan itu bersama Muhyiddin satu masa dulu. Bagaimana pun beliau kalah dalam pertandingan tahun 2004 ekoran isu penggantungannya kerana terlibat dalam skandal kewangan. Manakala Ali Rustam merampas tempat itu pada tahun berkenaan bersama Mohd Isa Samad.

Sekiranya pertandingan bebas tanpa ada klik dan kumpulan Mohammad Taib boleh memberi cabaran kepada Ali Rustam tetapi tidak kepada Muhyiddin Yassin. Sebaliknya kalau pertandingan akan berdasarkan kepada merit (klik) peluang Muhammad Taib terbuka. Ini kerana para perwakilan yang berpihak kepada Najib akan berbelah bagi dan keliru untuk memilih antara Muhyiddin atau Ali Rustam.

Adalah dipercayai Najib sendiri lebih suka kalau Ali Rustam dipilih menjadi bakal timbalannya berbanding dengan Muhyiddin. Andaian ini berdasarkan kepada kebiasaan orang politik tidak sesekali akan melanti pembantunya yang lebih cerdik dan lebih bijak darinya kerana bimbang takut ditikam dari belakang.

Jika Mohd Najib memberi mesej ini dan melupai pengorbanan kurba Muhyiddin kepadanya dengan mengaturkan pelan menjatuhkan Abdullah jawabnya Muhyiddin tidak akan mendapat apa-apa dan usahanya menyingkirkan Abdullah itu akan turut sama menyingkirkan dirinya sendiri. Nota: Muhyiddin telah pun mengesahkan beliau akan bertanding Timbalan Presiden. Beliau membuat pengumuman itu di Putrajaya sekejap tadi. [d’ kota.kl 8:30 am 10/10/08]

1 comment:

Anonymous said...

dari berita hairan :
MELAKA: Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Datuk Abdul Aziz Jaafar dan artis Bollywood, Shah Rukh Khan adalah antara 758 pemerima anugerah dan pingat sempena Harijadi Yang Dipertua Negeri Melaka yang ke-70, esok.

Aziz menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira manakala Shah Rukh menerima Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk.

--

kita sangkakan gelaran datuk ni utk org msia sahaja. nampaknya gelaran tu sampai ke artis luar pun dapat sama.

lagi menarik, SRK tu org yg murtad. dia pernah mengaku, "sy dilahirkan islam. tetapi kini saya tidak lagi mengikut cara hidup islam. saya berpuasa seperti isteri saya, mengikut cara HINDU!" so nampaknya kita bukan saja memuja, kini MENGANGKAT DARJAT org yg murtad.

boleh surf dan cari kenyataan itu di internet to clarify.