Monday, October 13, 2008

Balasungkawa

Penulis Misteri Jalil Miran Meninggal Pagi Ini

BARU sekejap tadi saya menerima panggilan daripada Pengarang tabloid Buletin Rakyat, Norzah Kepoh yang memberi tahu khabar dukacita Abdul Jalil Miran, atau Jalil Miran telah kembali ke Rahmatullah pagi ini di Hospital Kuala Lumpur.

Menurut Norzah, Allahyarhamn dimasukkan ke ICU, HKL semalam dan beliau bercadang untuk menziarahinya pagi ini.

"Baru sekejap tadi saya menerima panggilan daripada isteri Allahyarham mengkhabarkan beliau sudah tiada," kata Norzah. Sebelum ini Jalil dikatakan menghidapi penyakit paru-paru berair.

Jalil Miran seorang penulis misteri yang tidak asing di negara ini. Beliau banyak menulis kisah-kisah misteri dalam beberapa buah majalah dan juga menerbitkan buku sejak tahun 70-an. Antara wadah yang menampung tulisan beliau ialah Mingguan Perdana, Variasai dan sebagainya. Allahyarham juga pernah menjadi kolomnis dalam Buletin Rakyat dengan menampilkan tulisan berbentuk misteri dan perubatan Melayu.

Allahyaraham juga berminat dalam ilmu perubatan tradisional dan pernah menjadi Pegawai Perhubungan Awam kepada salah seorang pengamal perubatan tradisional Melayu yang terkenal. Akhir-akhir ini beliau tidak aktif dan menumpukan kepada kedai ubat-ubatannya di Chow Kit Road.

Jenazah beliau akan dibawa ke rumahnya di Kampung Baru dan akan disembayangkan di masjid Kampung Baru selepas Zohor. Al Fatihah. [wm.kl 8:45 am 13/10/08]

No comments: