Monday, October 13, 2008

Berita Tengahari

Apa Motif Petisyen Parlimen Kulim - Bandar Baru Ditarik Balik?

BERITA penarikan balik petisyen pilihan Parlimen Kulim - Bandar Baru oleh calon BN Abdul Aziz Fadzir hari ini mungkin berita baik untuk penyokong, ahli dan parti gabungan Pakatan Rakyat. Penarikan balik itu mengekalkan Zulkifli Nordin dari PKR sebagai ahli Parlimen di situ.

Sebelum ini pembangkang begitu bimbang dengan petisyen berkenaan yang boleh menyebabkan kerusi berkenaan dikosongkan. Belum tahu kalau diadakan pilihan raya kerusi itu kekal kepada PKR. Jadi apabila petisyen itu ditarik ia melegakan hati gabungan parti pembangkang.

Petisyen itu juga khabarnya ditarik tanpa dikenakan sebarang bayaran. Kedua pihak tidak perlu membayar apa-apa kos perbicaraan.

Abdul Aziz memberi alasan penarikan balik itu kerana beliau ingin menumpukan kepada masalah ekonomi. Beliau juga berpandangan kerusi berkenaan tidak boleh menjejas atau merubahkan status quo yang ada kini.

Yang menghairankan kenapa sebelum ini Aziz tidak berfikir demikian dan beriya untuk membuat petisyen. Beliau dikatakan mempunyai alasan dan hujah kemas untuk membuat petisyen itu. Zulkifli dikatakan tidak menyerah atau gagal menyerahkan penyataan perbelanjaan pilihan raya yang disertainya tahun 2004.
Aziz dikatakan mempunyai peluang cerah untuk menang dalam perbicaraan itu.

Ada sesuatu yang tidak kena dengan penarikan balik petisyen ini secara tiba-tiba. Ada desas desus mengatakan ada perundingan antara Zulkifli Nordin dengan pemimpin tertinggi Umno mengenai hal ini. Sejauh mana benar atau tidak walahualam? Dan kalau benar alangkah dayusnya Zulkifli.

Di sini saya ingin membawa penjenguk merujuk apa yang dituliskan oleh orang Tun Paduka Tuan dalam blognya, http://www.tunpadukatuan.blogspot.com/ hari ini.

Sekiranya apa yang dibimbangkan oleh bloger itu menjadi kenyataan alangkah malangnya nasib pembangkang. Sudahlah mereka telah kekurangan satu kersusi apabila seorang wakil Bebas tidak menyatakan kesediaan untuk menyokong mereka, kini mungkin kehilangan kerusinya pula secara tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral.

Kalau benarlah Zulkifli Nordin akan menyertai Umno apakah beliau dapat meneruskan perjuangannya membela Islam menerusi parti berkenaan.?Apakah beliau begitu tolol dan tidak nampak sejauh mana Umno memperjuangkan Islam menerusi parti berkenaan.

Jika benar Zulkifli Nordin akan menyertai Umno jelas beliau tersalah pilih jalan. Dan benarlah andaian Tun Paduka Tuan itu yang beliau ingin menyelamatkan elaun RM12,000 sebulan daripada memperjuangkan rakyat! [wm.kl 3:30 pm 13/10/08]

No comments: