Saturday, October 11, 2008

Bual Raya

Kalau Benarlah Ini... Parah
Rosmah Ada Pejabat Di MOF?

PAGI tadi saya minum dan pekena capati dengan seorang kawan lama di restoran Pakistan berdekatan rumah. Bertemu, makan sambil untuk beraya. Beliau seorang penulis veteran, pengulas politik yang rapat dengan kebanyakan pemimpin politik. Bersifat provokatif. Mengakui banyak mengetahui hal-hal dalam kain pemimpin. Lebih jauh dari itu beliau juga turut menerima maklumat dalaman Kerajaan termasuk soal-soal keselamatan.

Kawan ini juga baik dengan penulis dan sasterawan negara. Pernah berkhidmat dengan akhbar di Indonesia dengan menjadi wakil akhbar itu untuk negara ini tahuan 60-an. Pernah dibayar sebanyak USD1,000 oleh akhbar berkenaan, satu bayaran lumayan! Begitulah ceritanya.

Gaya hidup kawan ini bertaraf tinggi, ada kelas dan standard. Berpakaian kemas, bertali leher senantiasa dan terpangaruh dengan disiplin Barat. Akhir-akhir ini banyak menulis mengenai biografi tokoh-tokoh politik, diplomatik dan korporat. Mengaku tidak pernah menjadi ahli parti mana-mana pertubuhan siasah negara ini. Pernah menjawab jawatan pegawai agama di sebuah negeri selama sehari.

Saya ingat beliau memanggil saya untuk berjumpa dan minum kerana ingin mengulas mengenai pengunduran secara terpaksa Abdullah Ahmad Badawi. Biasanya beliau yang mengakui mengetahui cerita dalaman akan tahu sebab musabab sebenarnya atau yang berlaku antara Abdullah dengan Mohd Najib Razak.

Nampaknya bukan itu beliau nak ceritakan, cuma menyebut apa yang Abdullah lakukan itu bukan atas keikhlasannya tetapi kerana begitu takut kepada Abdullah. "Pak Lah takut kepada tekanan Najib, jadi apa boleh buat lagi, berundurlah..." katanya.

Dalam tak nak cerita beliau tercerita juga, katanya Najib main kasar dengan Abdullah. Ada unsur ugutan terhadap Abdullah digunakan Najib. Katanya Najib menggunakan tentera untuk mengugut Abdullah sehingga berhenti. "Apa dia... bentuk ugutan itu," saya ingin tahu lebih lanjut... namun tidak mahu disebut. Bahaya, katanya dan menambah sebab itulah Abdullah ambil semula tentera, Kementerian Pertahanan.

"Kenapa beliau tidak berpakat dengan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah), sekurangnya beliau tidak berundur secara bersendirian dan tragis begitu, Ku Li boleh belanya," kata saya mengalih haluan percakapan bila beliau enggan memberi tahu.

"Ku Li juga banyak kolikongnya, tak nak berunding dengan Abdullah, asyik bantai Dollah saja" balasnya.

Tidak banyak kami bincang hal Abdullah yang sudah pun sudah 'mati' itu. Kawan itu juga nampaknya tidak berminat lagi untuk mengenang Abdulah. Namun saya tahu apa yang berladum dalam hatinya, dia sedih, kesal kerana baginya Abdullahlah pemimpin terbaik dari Umno yang mampu menyatupadukan Melayu dan menguatkan Islam. Bahkan beliaulah yang menghantar surat kepada Dr Mahathir Mohamad memberi tahu pengganti paling bagus ialah Abdullah.

Selepas kami melencung kepada soal Pas dan Anwar Ibrahim (PKR) tiba-tiba dia kembali semula kepada soal Najib. Ini benar-benar mengejutkan saya dan agak sukar untuk dipercayai.
"You tahu belum apa-apa Najib dah arahkan supaya buat ofis Rosmah (foto) di MOF - Kementerian Kewangan?" katanya serius.

"Untuk apa, apa kapasiti Rosmah nak duduk di MOF, apa dia nak jaga ekonomi negara?" saya membalas memancing beliau. Timbul rasa tidak percaya kerana berita itu bersifat tuduhan liar dan agak melampau.

"Tak tahulah tapi itu yang diceritakan kepada saya oleh pegawai MOF semalam..." balasnya ringkas tetapi serius.

Tiba-tiba telefonya berdering. Saya hanya mendengar sambil makan perbualannya. Dari perbualan itu saya dapat menangkap orang dalam telefon itu ada menyebut soal arahan Najib itu berpandukan kepada jawabannya... "iyalah saya pun tahu semalam, untuk apa ofis Rosmah..." kata kawan itu kepada orang dalam telefon.

"Pelik... saya tak percaya kalau Najib berbuat begitu. Masakan belum jadi PM sudah buat begitu. Apa Pak Lah tak tahu...." tanya saya lagi selepas dia habis bercakap.

"Abdullah dah tahu, orang dah bagi tahu. Abdullah hanya kata, biar pi... lah dia (Najib) nak buat apa pun?' ceritanya. Dari cerita ini seakan benar apa yang diketahuinya itu. Nampak ada kebenarannya ataupun ada asasnya.

Tetapi saya masih tidak mahu percaya. Mungkin cerita itu ditimbulkan untuk memburukkan Najib dan Rosmah sahaja. Kalau pun Rosmah itu mata duitan dan queen control tetapi takkan dia tidak tahu masa dan ketika mana nak tarik dan lembukan Najib. Setidak-tidaknya kalau Rosmah nak menguasi Kementerian Kewangan kawal kontrek dan tander, biarlah Najib angkat sumpah sebagai perdana menteri dulu. Langkah Rosmah itu kalau benar agak tergsa-gesa dan melampau.

"You boleh siasatan cerita ini. Cuma saya bagi tahu apa yang saya tahu saja," kata kawan itu seakan pertemuan pagi ini hanya nak sampaikan mesej itu saja. Gaya ceritanya nampak bersungguh benar. Dia kemudian menambah dengan cerita-cerita lain mengenai Rosmah bagaimana Rosmah menguasai dan lembukan Najib. Cerita itu termasuklah cerita klise mengenai Rosmah menengking Najib di hapadan orang ramai di Kuantan.

Saya hanya mendengar cerita lama itu dan menganggap ia ditimbulkan sebagai menyakinkan saya dengan cerita terbaru mengenai Rosmah itu.

Lepas habis cepati Pakistan sekeping seorang bersama kari ayam tidak bersantan kawan itu menghantar saya balik dengan memesan, ada apa-apa call lah saya. [d'kota kl. 8:30 am 11/10/08]

4 comments:

NOBISHA said...

Saudara Sayuti,

Saya tidak fikir Rosmah akan meminta pejabatnya di MOF. Sejak Najib disebut-sebut bakal mengambilalih jawatan PM dari Pak Lah, macam-macam cerita keluar. Banyak yang tak betul.

Anonymous said...

Bagi saya pengunduran Datuk Seri Abdullah dan tempatnya digantikan oleh Datuk Seri Najib adalah yang sangat-sangat diharapkan oleh pihak pembangkang untuk lemahkan Umno/BN.
Pak Lah seorang yang cukup liat. Walaupun menerima tikaman, bedilan dan pengeboman dari dalam BN dan Umno yang beliau adalah Presiden Umno, juga walaupun Dr M menentagnya secara terbuka, Kerajaan terajuannya yang patut tumbang pada pilihanraya umum ke-12masih berjaya dipertahankan, cuma Umno/BN gagal dapat majoriti 2/3 sahaja.
Lagi pun yang kalah bukannya Umno, kecuali di Kelantan tetapi yang kalah adalah MCA, MIC dan GERAKAN. Kalau DR M 'lah yang jadi PM, rasanya Umno/BN boleh tumbang dalam pilihan umum ke-12. Tapi nampaknya Pak Lah sangat liat. Berdasarkan peratus undi, Umno sebenarnya mencatat lonjakan jumlah undian manakala Pas pula mengalami kemerosotan pada pilihanraya umum ke-12 lepas. Pemain-pemain politik kena melihat kepada hakikat dan jangan mudah syok sendiri dalam berpolitik. Jangan mudah bersorak kerana menang banyak. Yang menang banyak tu siapa sebenarnya.
Tak hairan kalau Datuk Seri Najib menjadi sasaran serangan kerana tentulah kepada pembangkang, era Datuk Seri Najiblah masa paling sesuai untuk mereka musnahkan Umno/BN. Macam mana saya yakin Pak Lah tidak akan biarkan Satuk Seri Najib diperkotak-katikkan. Pak Lah yang tak akan lanyak Datuk Seri Najib sebagai penggantinya sebagaimana Dr M melanyaknya setelah Dr M sendiri yang melantik beliau sebagai penggantinya untuk jawatan PM. Pak Lah bukannya spesis manusia busuk mulut dan busuk perut. Al-Quran dan titih ulamaknyalah yang jadikan dia begitu.

Anonymous said...

pada pendapat saya, saya tidak rasa yang Dato Sri Najib akan mengunakan cara paksaan tersebut. Ini kerana, portfolio anatara menteri pertahanan dan menteri kewangan telah pon bertukar tangan SEBELUM PakLah mengumunkan pengunduran lagi. Ini kerana, ketika PakLah mengumunkan pengunduran, PakLah adalah menteri pertahanan. Sekiranya Najib mahu menggugut menggunakan tentera pada sebelumnya, sudah pasti PakLah mampu mengatasinya kerana PakLah sudah pon menjadi menteri pertahanan. PakLah juga mampu mengugut Najib semula kerana sudah berkuasa dalam barisan pertahanan negara. Jadi saya tidak nampak rasional Najib menggunakan paksaan atau tekanan ketenteraan terhadap pengunduran PakLah.
akmalpotter@yahoo.com

Anonymous said...

Analisa anda lemah dan penuh dengan perkara yang tidak disokong fakta. Saya cadangkan anda ke MOF, ambil gambar ofis Rosmah (dengan nama Rosmah tertulis dipintu pejabat tersebut).

Kawan anda yang menyebar fitnah itu mungkin ahli propaganda anti Najib dari kalangan UMNO sendiri atau juga puak propaganda upahan Anwar Ibrahim, yang kita tahu tak habis-habis mencipta berbagai fitnah untuk menghalang Najib menjadi PM.

Saya tidak fikir Najib memaksa Pak Lah berhenti. Seperti yang kita tahu bahwa MT UMNO telah menyarankan agar Pak Lah berhenti kerana UMNO dibawah pimpinan beliau telah hilang kredibiliti.

Hamid