Monday, October 20, 2008

Dengu Rasa

Orang Umno Kelantan Lupa Budaya,
Hilang Semangat Setiakawan


ORANG Umno Kelantan akan marah kalau dikatakan mereka tidak berubah dan tidak bijak dalam menentukan masa depan dan tidak bijaksana dalam mencaturkan politik mereka. Tentunya mereka akan marah kalau dikatakan mereka juga degil dan sudah melupai semangat setiakawan dan semangat Kelantanis yang menjadi kebanggaan selama ini.

Sikap dan perangai orang Umno Kelantan dari dulu hingga sekarang tidak berubah. Kalau boleh dijadikan mentaranya ia bermula pada tahun 1987, ketika Tengku Razaleigh Hamzah berlawan dengan Mahathir Mohamad untuk merebut jawatan Presiden. Ketika ini sudah ada orang Kelantan yang lupa bau budu dan suka kepada belacan kering dari utara.

Budaya cas genting, falsafah biar sama sa’ja masih berterusan sampai kini. Masih menebal dalam kepala orang Umno Kelantan dan seolah mereka berbangga dengan pegangan itu. Mereka juga sanggup bersikap meraikan tetamu luar dan membuang kawan sendiri.

Beberapa konvensyen telah diadakan hampir setiap tahun yang turut membincang dan menilai sikap dan perwatakan ganjil politik Umno Kelantan. Namun perbincangan itu tidak membawa kesan. Perubahan sikap, pembawaan dan budaya marahkan nyamuk kelambu dibakar itu tidak terhakis malahan semakin mengarat dalam organisasi Umno.

Entah di mana silapnya menyebabkan sikap dan budaya ini membelenggu diri mereka. Sikap biar sama sa'ja atau pun sama-sama putih mata menjadi pegangan yang dibanggakan pula.

Kerana sikap inilah menyebabkan Umno Kelantan sering kali tewas dalam pilihan raya dan mereka juga tidak mengutip apa-apa peluang pada setiap kali proses pemilihan pemimpin yang berlaku dalam parti itu.

Sikap ini sebenarnya merugikan bukan saja orang Umno bahkan orang Kelantan lain yang ingin menumpang tuah juga. Jsuteru sikap ini juga bagi perkiraan saya menyebabkan Pas semakin mendapat perhatian dan menjadi harapan kepada lebih 1.6 juta rakyat Kelantan!

Paling nyata dan dapat dilihat bagaimana orang Umno Kelantan kental dengan sikap dan budaya ini apabila berlaku pemilihan pemimpin parti atau calon pilihan raya. Mereka akan menjadi musuh kepada puak sendiri dan menjadi baik dengan orang luar termasuk seteru. Mereka sanggup meninggalkan anak beranak dan berkawan dengan orang lain yang tidak pernah mengelus mereka sebelum ini.

Apakah kerana mengejar wang, duit atau pitis maka terjadi demikian? Atau kerana mereka terlalu terbawa-bawa dengan sikap menyanjungi tetamu daripada anak sendiri?

Kalau begitu betapa lapar dan pelahapnya orang Umno Kelantan. Mereka seolah tidak genap dengan pitis dan cukup dengan duit! Sepatutnya budaya dan perangai gilakan material ini tidak ada kepada orang Umno Kelantan. Kerana orang Kelantan sudah lama terkenal dengan sikap dan budaya bedikari, rajin dan kasih mengasihi sesama sendiri serta tidak mudah pelahap dengan tawaran kebendaan.

Namun berlainan dalam Umno. Keunikan ini seolah tidak wujud dan dipraktikkan. Mereka menjadi mudah cair, lembek dan manja kepada orang lain dan sanggup membelakangkan puak sendiri. Bila nampak orang luar datang dengan duit sanggup tinggalahkan gu.. (kawan).

Sudah menjadi lagenda bagaimana bekas seorang orang Umno pernah mencaci cerca Tok Guru dan Tok Lebai kerana diupah dengan hanya sebiji beras dan segelas air saja. Orang itu sanggup menghina dan memperlekehkan Tok Guru sebagai biawak! Betapa rendah dan hapraknya politik sebegini. Inilah, budaya inilah nampaknya yang berlaku dalam gelanggang politik Umno Kelantan. Mereka akan jadi berpinar mata kerana duit dan ringgit manakala nila perjuangan untuk agama, bangsa dan negeri sudah tidak ada lagi.

Budaya dan perangai itu masih berlaku dan terus berlaku hinggalah ke hari ini. Dalam Umno mengadakan pemilihan pemimpin tertinggi hari ini, ia tetap juga berlaku. Orang Umno Kelantan tidak peduli kepada ‘gu’ dan darah dagingnya sendiri. Mereka menganggap ‘gu’ sendiri seperti orang lain suku sakat yang tidak pernah berbudi dan berjasa kepada mereka.

Apa yang berlaku dan menimpa kepada calon tunggal Presiden, Tengku Razaleigh Hamzah adalah bukti paling nyata dan sahih mengenai kecilnya jiwa dan semangat orang Umno Kelantan. Tentang betapa orang Kelantan sanggup meninggalkan ‘gu’ dan darah daging kerana terpesona dengan janji kebendaan dan rasuah wang ringgit.

Apa, kenapa dan mengapa ini berlaku? Kalau hendak dikira tidak ada alasan dan sebab untuk Umno Kelantan menolak Tengku Razaleigh Hamzah. Ketokohan, pengalaman, jasa dan bakti beliau kepada Umno tidak terlawan oleh sesiapa pun di Kelantan. Manfaat yang bakal diperolehi juga jika beliau menjadi pemimpin besar tidak boleh dinafikan. Tetapi ini semacam tidak terkelih oleh orang Umno Kelantan. Anih.

Malu! Sebagai orang Kelantan kita merasa malu dengan apa yang berlaku. Umno Kelantan sudah tidak ada sikap jati diri dan semangat Kelantanis lagi. Ketinggian budi, reti menghormati orang tua, ataupun menjaga saudara sendiri sudah tidak ada lagi dalam kloni Umno. Kelantan yang dikatakan unit dengan jiwa perkaumannya, unit dengan persahabatan sehidup semati dan setiakawannya sudah tidak ada lagi dalam Umno. Kerana itulah Umno Kelantan mudah diperkotak katikan.

Apakah Umno sengaja mahu merubah sikap dan budaya unit itu? Kalau begitu jelas Umno membawa kemusnahan daripada kebaikan kepada rakyat dan negeri Kelantan. Umno cuba merombak satu institusi sosial yang dikagumi ramai selama ini.

Masalah ini tidak boleh disalahkan kepada anggota atau ahli bawahan. Tetapi ia berpunca dari pemimpin peringkat Perhubungan. Mengenai penolakan Tengku Razaleiigh yang menawarkan diri sebagai calon Presiden Umno, Pengerusi Umno Kelantan, Annuar Musa (foto) awal-awal lagi membuat endorsement agar jangan memilih Tengku Razaleigh. Annuar Musa sudah mengelak ahli Umno agar masuk dalam 'gok' bebalnya agar memberi sokongan kepada Mohd Najib Razak dari Pahang.

Tidak menjadi kesalahan kalau orang Umno Kelantan tidak mahu menyokong Tengku Razaleigh yang dirasakan boleh membantu Kelantan dan membawa perubahan. Tetapi janganlah sampai membuat kenyataan begitu dan serahlah kepada penilaian dan hati budi perwakilan bahagian secara terbuka.

Sebenarnya tidak siapa pun untung dengan sikap membelakangkan anak beranak sendiri dan terpesona dengan orang luar. Annuar Musa sendiri sudah menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden kerana tidak percaya akan mendapat cukup pencalonan. Tindakan Annuar itu sedikit sebanyak menyesalkan orang Kelantan kerana tindakan itu memalukan orang Kelantan. Ini menunjukkan betapa haprak dan kohongnya Umno Kelantan.

Saya percaya kalau Annuar berpakat menyokong Tengku Razaleigh dan tidak bersikap menyepak kawan sendiri, beliau (Annuar) juga akan mendapat manfaatnya. Tetapi kerana beliau sebagai ketua turut mengamalkan budaya itu maka beliau juga sudah terkena sumpahan budaya dan amalan itu. Yang ruginya siapa, diri sendirilah jawabnya.

Apapun diucapan syabas dan tahniah kepada Tengku Razaleigh atas keberanian dan komitmen beliau untuk menawar diri ke jawatan nombor satu itu. Walaupun sejak awal lagi beliau tahu tidak mungkin mudah mendapat sokongan namun beliau tetap menawarkan diri dengan harapan untuk berkhidmat kepada negara dan khasnya negerinya sendiri.

Tentunya beliau mulanya mengharap sokongan moral daripada negerinya sendiri. Tetapi malang dan sedih orang Umno Kelantan kini tidak lagi melihat kepada budi dan jasa tetapi melihat kepada benda lain, pitis dan pangkat sedangkan Tengku Razaleigh tidak tergamak untuk menjual maruahnya dengan wang ringgit meskipun beliau mampu melakukannya.

Khabarnya di bahagian Bachok hanya dua cawangan saja yang inginkan kepada Tengku Razaleigh. Dan bila diadakan pengundian hanya lapan saja undi untuk Tengku Razaleigh. Ini memalu dan menyedihkan! Orang Bachok merasakan Najib pemimpin mereka, Najin waris mereka dan bukan Tengku Razaleigh Hamzah.

Keadaan ini berlaku tidak boleh disalahkan kepada ahli peringkat cawangan. Semua mereka sudah dijerut, dipukat dan dijalakan setelah diumpah seringgit dua. Ada perwakilan terang-terangan menyebut mereka tidak mahu kepada Tengku Razaleigh tetapi mahukan kepada ‘Tuanku Abdul Rahman’, iaitu Yang di-Pertuang Agong pertama yang gambarnya tertera pada wang kertas. Maknanya nak wanglah...tu.

Biarlah yang sudah membuat keputusan itu diharap senang dan berbahagia dengan keputusan mereka. Tetapi kepada bahagian lain yang belum bersidang buatlah pertimbangan sewajarnya dengan menggunakan akal dan tahu menilai budi dan jasa.

Fikirlah sedalam mungkin dan jagalah maruah sebagai orang Kelantan yang setiawan dan rela rebah dan tersungkur bersama. Lagipun Najib sudah pun mendapat pencalonan lebih dari mencukupi. Apa salah kalau bahagian yang akan bersidang minggu depan memberi pencalonan kepada Tengku Razalegih, kalau pun bukan untuk menobatkan anak Raja itu sebagai Presiden tetapi sekurang-kurang untuk menjaga maruah orang Kelantan seluruhnya. Apakah untuk berbuat demikian juga takut!

Selain daripada memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh berilah juga sokongan kepada tiga calon Majlis Tertinggi. Sesudah Annuar Musa menarik diri, Umno Kelantan hanya ada tiga nama saja untuk diangkat menjadi MT, Mustapa Mohamad, Md Alwi Che Amat dan Awang Adek Hussein. [wm.kl 8:00 pm 20/10/08]

5 comments:

Anonymous said...

abe mso

jelas sekali tulkisan abe mengenai fiel perangai puak-puak UMNO Kelantan. Tapi hok sebenarnya sikap mereka ini adalah satu rahmat bagi rakyat biasa kelantan.

Dengan perangai sebegini, sampai bilapun mereka tidak akan dapat memerintah. Inilah rahmatnya. Bayangkan kalau mereka memerintah negeri, botak licin hasil mahsul negeri mereka kebas.

Sikap tamak dan holoba mereka tidak mengenal batas. Bukan hasil mahsul je mereka kebas, dengan mentaliti mereka ini, jual negeri pun mereka sanggup, asal boleh mendapat wang.

Sebagai anak kelantan yang masih tebal dengan sifat jati diri, ambo berbangga dengan Kuli. against all odd beliau masih berjuang demi orang melayu secara konsisten dan bermaruah.

Jika Kuli masih gagal untuk mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding jawatan presiden nanti, Kuli perlu menerima hakikat bahawa inilah suratan takdir dari Ilahi. Kuli berundurlah dengan head high up kerana beliau telah berusaha. Sejarah tidak akan menyalahkan Kuli.

Berbalik kepada perangai puak-puak UMNO kelantan ni, ada joke nakal yang dapat menjelaskan keadaan yang berlaku. Joke ini saya dengar dari seorang bekas ahli UMNO lama - mereka-mereka yang cerdik, IQ tinggi, berwibawa, awal-awal lagi tak masuk UMNO(baru). Yang tergila-gila nak masuk UMNO(Baru) adalah mereka0mereka yang sebaliknya.

How true that statement is kalau kita tengok mereka-mereka yang menjadi ahli UMNO(baru) pada awal penubuhannya dulu.

Takkan abe dah lupa, bagaimana dinginnya sambutan kepada UMNO(baru) di kelantan masa itu. as if ia sebagai satu wabak hawar yang semua orang cuba jauhi.

bat8

zeme said...

Salam Tuan Haji MSO,

Saya sebagai anak Kelantan malu dengan sikap UMNO Kelantan. Jika UMNO Melaka boleh mencalonkan DS Ali Rustam, jika UMNO Kedah boleh mencalonkan D Mukriz tetapi kenapa tidak UMNO Kelantan mencalonkan Tengku Razaleigh. Malu sangatkah UMNO Kelantan membiarkan satu-satunya calon pertama anak Kelantan yang boleh di angkat menjadi Perdana Menteri sehingga sanggup membenarkan calon PM yang kedua datang negeri Pahang. Bukan maksud bersikap kepuakan, tetapi calon pertama anak Kelantan ini sememangnya layak. Jika tidak sekarang entah berapa dekad, kurun lagi kita perlu tunggu anak Kelantan bakal menjadi PM kerana sekarang pun tiada personaliti politik anak Kelantan pelapis yang setanding dengan kewibawaan Tengku Razaleigh.

Jika negeri lain, Kedah (2 PM), Johor (1 PM), P.Pinang (1 PM), Pahang (1 PM + 1 Bakal PM), PM dari Kelantan bila lagi? Tidakkah UMNO Kelantan merasakan kerugian melepaskan bakal PM dari Kelantan, setidak-tidaknya tempias kepimpinan Tengku Razaleigh bakal merancakkan lagi pembangunan di negeri Kelantan. Satu perkataan yang boleh diberikan kepada UMNO Kelantan kecuali Gua Musang dan Tanah Merah (2 bahagian yang sering mencalonkan anak Kelantan sebagai bakal Presiden), betapa tidak bijak mereka mencongak masa depan Kelantan erti kata lain "bodoh berpolitik".

Saya masih menunggu UMNO bahagian lain selain Gua Musang mencalonkan Tengku Razaleigh, dan diharapkan selain Gua Musang khabar gembira juga dari UMNO bahagian Tumpat dan Tanah Merah setidak-tidaknya.

Wasalam.

Anonymous said...

Alahai..Kuli, apa yang Kuli boleh buat ..dia hanya muncul bila nak ada pemilihan UMNO saja. Kalau Kuli betul laa nak majukan Kelantan dah lama dah guna kepala hotak yang geliga tu majukan Kelantan. Ni kepala hotak hambo yang bodoh ni nak bagi tahu macam mana nak majukan Kelantan:

1. Buat pelabuhan besar macam PTP tu kat Johor atau kalau tak pandai tu boleh jumpa dengan Tan Sri Syed Mokhtar buat JV dgn PTP bina pelabuhan kat kelantan tak perlu banyak, satu pun cukup untuk industri perkapalan dan import export.

2. Buat Lebuh raya dari Bentong ke Kota Bharu, kena tol pun tak pe sebab sekarang pengguna jalan raya sanggup bayar untuk sampai cepat ..mungkin 4 jam lebih je dari KL ke Kelantan kalau ada lebuhraya bertol. Kalau musim raya tu lagi senang tak payah laa bawak kereta 12 jam .Ini mempercepatkan perjalanan dan senang nak balik hujung minggu.

3. Besarkan Lapangan Terbang supaya jadi lapangan terbang antarabangsa, supaya Boeng 747 atau Airbus 360 boleh mendarat. Jadi ramai rakyat Kelantan boleh pergi umrah terus dari Kota Bharu je, Penerbangan terus ke Sabah dan Sarawak tak payah transit di KLIA buang masa dan duit jee.... ini juga boleh tarik pelancung terus ke Kelantan.

4. Majukan industri Petroleum dan gas. Seperti yang kita tahu atau tak tau perairan Kelantan -Thai-Vietman kaya dengan hasil tu, majukan dia dengan semaksima mungkin, ini dengan sendiri merancakkan pembangunan sekitarnya.

5. Majukan industri pertanian dengan kaedah moden dan terkini . Ini dapat meningkat dan memajukan industri makanan halal oleh orang islam itu sendiri...

Anonymous said...

Tidak salah jika perwakilan Kelantan mencalonkan pemimpin dari Kelantan untuk pencalonan jawatan tinggi dalam UMNO cuma diharapkan ia tidak terlalu bersifat kenegerian yang mana jika tidak dikawal boleh membawa kepada perpecahan puak-puak tertentu. Kita harus fikir bahawa UMNO adalah satu parti Melayu untuk semua satu Malaysia bukan untuk satu-satu negeri. Walau bagaimanapun tidak menjadi kesalahan jika mencalonkan pemimpin dari negeri sendiri...

Pa'chik said...

sikap ni hanya menunjukkan kebodohan umno kelantan...

kalau kata kuli menang... tidak mustahil umno akan dapat merampas kelantan dari tangan pas...

dengan sokongan padu dari kuli sebagai perdanan menteri... mereka buleh buat perancangan dari awal untuk menawan kelantan masa tu...

ditambah sokongan dari istana pula... penat jugak pas kelantan nak lawan amnu masa tu...

tapi... mujur banyak mereka ni tak cukup cerdik... hahaha.... bagus jugak lawan ngan orang tamak haloba ni...