Saturday, October 18, 2008

Ulasan Malam

Laporan Terkini Percalonan Umno
Khir Hampir Pintas Menantu Perdana Menteri

(kemaskini) REND pencalonan untuk jawatan-jawatan penting dalam Umno masih tidak banyak berubah. Sindrom menyokong yang kuat dan anak orang bangsawan nampaknya berlaku dalam pencalonan kali ini yang juga disifatkan sebagai pencalonan untuk perubahan.

Walaupun ada veteran Umno meminta dan merayu supaya pencalonan diberikan kepada semua untuk untuk berlaku adil kepada semua calon, namun perwakilan bahagian seperti tidak mendengar seruan itu. Apakah pengaruh wang, harta benda dan janji-janji indah berupa projek menghantui perwakilan sehingga mereka tidak mempeduli rayuan itu?

Untuk calon Presiden, Mohd Najib Razak terus unggul dengan menguasai semua pencalonan dari bahagian bermesyuarat hari ini menjadikan beliau kini mendapat 45 pencalonan.

Calon tunggal yang mahu menentangnya Tengku Razaleigh Hamzah masih tidak mendapat sebarang pencalonan. Ada tanda-tanda Razaleigh akan mengalami nasib sama seperti tahun 2004 di mana beliau gagal melayakkan diri untuk bertanding kerana tidak cukup pencalonan. Hanya dua saja bahagian yang mencalonkan beliau ketika itu, keduanya dari Kelantan.

Apakah perlu untuk Razaleigh berfikir bagi menarik diri? Mungkin para penasihatnya perlu bersidang segera membincang perkara ini.

Untuk kerusi Timbalan Presiden, Muhyuddin Mohd Yassin juga terus unggul dengan mendapat 38 pencalonan manakala dua lagi calon Mohd Ali Rustam (3) dan Muhammad Muhd Taib (4) pencalonan. Ali Rustam dan Muhammad juga mungkin boleh duduk sekali dengan Razaleigh memikirkan nasib mereka apakah ingin terus berlawan atau pun tidak.

Bagi kerusi Naib Presiden pula, Hishamuddin Hussein terus mendahului 11 calon lain dengan mendapat (41) pencalonan diikuti oleh Shafei Afdal (27), Ahmad Zahid Hamidi (21), Mohamamd Khalid Nordin (18), Syed Hamid Albar 8, Rais Yatim (6) dan Shahidan Kassim (5).

Untuk kerusi ketua Pemuda, walaupun aliran pencalonan sama dengan minggu lepas di mana perwakilan seperti terpesona dengan anak bekas PM, Mahathir, Mukhriz Mahathir tetapi ada sedikit perubahan apabila bekas MB Selangor Mohamad Khir Toyo (foto) mula mendapat sokongan dan kini mengikuti rapat Khairy Jamaluddin.

Khir kini mendapat (30) pencalonan manakala Khiry mendapat (25). Khir hanya memerlukan enam pencalonan saja lagi untuk memintas Khairy dan muncul sebagai pencabar utama Mukhriz.

Mukhriz sehingga kini berada jauh di hadapan dan telah layak untuk bertanding dengan mendapat 55 pencalonan.

Ada berbagai maklumat yang negatif berhubung kelajuan Mukhriz mendapat pencalonan. Ada dakwaan mengatakan Mukhriz membekalkan beg dan baju kepada perwakilan. Mungkin budi baik ini telah mempengaruhi perwakilan untuk memberi pencalonan kepada beliau?
Selain itu berlaku juga pemalsuan dalam pengiraan nundi. Terdapat sebuah bahagian di Kedah di mana Khir mendapat pencalonan lebih separuh daripada Mukhriz perolehi namun akhirnya Mukhriz diistyharkan sebagai pemenang? Ini sungguh mengejutkan.

Hal-hal sebegini juga dikatakan banyak berlaku dalam persidangan Pemuda kali ini.

Mengambil kira laporan, cakap-cakap dan dakwaan itu semua boleh dibuat kesimpulan awal bahawa persidangan Pemuda kali ini sangat kotor, tidak bermaruah dan ini mungkin berlaku kerana calon-calon sangat terdesak untuk menang ataupun kerana bernafsu besar menguburkan calon lain secara hidup-hidup. [wm.kl 8:45 pm 18/10/08]

No comments: