Sunday, October 19, 2008

Susupan Pagi

Anjakan Paradigma Politik Orang Melayu

POLITIK orang Melayu sebenarnya sudah jauh berubah. Sudah berlaku anjakan paradigma. Mengapa dikatakan begitu, kerana jika orang Melayu (Kelantan) masih mengamalkan politik tahun-tahun 60-an tidak mungkin Adun Bukit Bunga, Mohd Adhan Kecik (foto) bersedia untuk berbesan dengan Adun Sungai Abong, Johor Dr Sheikh Ibrahim Salleh.

Kedua wakil rakyat berkenaan tidak menganuti ideologi politik yang sama. Mohd Adhan orang Umno totok manakala Dr Sheikh Ibrahim Salleh pula orang Pas. Mungkin Sheikh Ibrahim bukan Pas totok kerana beliau orang Johor.

Saya yakin kalau pembawaan politik orang Kelantan masih seperti 40 tahun lalu kedua anak dara dan anak bujang wakil rakyat berkenaan akan hadapi masalah besar. Tidak mudah untuk mereka membina masjid kerana orang tua masing-masing tidak sehaluan dan berbezan anutan politik.

Namun kerana telah berlaku anjakan paradigma politik orang Melayu Kelantan, kedua mereka Salleh Sheikh Ibrahim, 25 dan Ernie Muneerah Mohd Adhan, 25 dengan selamatnya diijab kabulkan sebagai suami isteri di rumah Mohd Adhan di Tanah Merah semalam.

Pernah berlaku sebelum ini bagaimana sepasang kekasih terpaksa membatalkan niat mereka untuk bersatu disebabkan orang tua masing-masing berlainan fahaman politik. Cinta yang suci harapan yang tinggi dimusnahkan kerana politik.

Betapa kolot dan sempitnya politik orang Melayu ketika itu. Mereka begitu fanatik dan kemas berpegang kepada fahaman yang difatwakan oleh alim ulama politik. Orang Pas tidak boleh berkahwin dengan orang Umno kerana mereka dianggap kafir. Umno dituduh kafir kerana berkawan dan mengambil orang Cina sebagai pemimpin.

Ada terdapat kenduri sudah dibuat, orang sudah dijemput namun perkahwinan dibatalkan apabila diketahui salah seorang pasangan itu bukan sealiran (separti politik). Begitu juga suami isteri yang sudah berkahwin beranak pinak dan bercucu tetapi akhirnya bercerai disebabkan perbezaan politik dan saling keras untuk tidak bertolak ansur dan utuh berpegang pada kepercayaan itu.

Demikian jahat, kotor dan parahnya politik orang Melayu berberapa dekad dulu. Siapakah yang menanggung dosa atas kemusnahan dan kehancuran ini semua? Bukan sedikit 'masjid' atau 'surau' hancur dan dimusnahkan kerana kepercayaan karut itu.

Alhamdulilah kini sudah berubah. Kesedaran atas kekhilafan itu sudah pun berlalu. Kini tidak ada lagi isu kafir mengkafir, fasik mefasikkan antara satu sama lain.

Orang Pas sudah boleh duduk bersama, berbincang bahkan untuk kebaikan bersama. Orang Pas bukan saja menolak keyakinan melibatkan aqidah tetapi juga sudah perlahan-lahan meninggalkan dan mengambil apa yang menjadi kepercayaan politik (dalam tektik dan strategi) yang diamalkan oleh Umno yang dianggap sebagai kufur sebelum ini.

Bahkan kini Pas bukan saja menafikan fatwa tahun 60-an itu tetapi telah mengeluarkan fatwa baru bahawa orang kafir bukan saja boleh setakat menjadi penyokong, tetapi untuk menjadi ahli atau anggota parti pun dibenarkan. Kitab-kitab baru yang selama ini terselit di rak ditemui oleh pemimpin muda Pas yang progresis dan dinamik.
Baguslah. Kepada Adhan dan Sheikh Ibrahim diucapkan syabas dan tahniah kerana berbesan semoga mereka dikurniakan cucu yang soleh dan solehah dan kedua anak mereka akan terus menjadi duta di kedua buah negeri berkenaan merapatkan hubungan Kelantan - Johor. Selepas ini hendaknya ada lagi perbesanan antara orang Pas dengan orang Umno yang berstatus pemimpin. [wm.kl 8:30 am 19/10/08]

No comments: