Saturday, October 4, 2008

Abdullah Turun 1

Abdullah Perlu Berbuat Sesuatu!

PELAN peralihan kuasa telah memakan diri Abdullah Ahmad Badawi. Mulanya beliau cuba berkeras tidak mahu akur dengan kelemahannya sehingga pelan berkenaan dikemukakan. Abdullah cuba bermain silap mata disebalik persetujuann itu. Namun ternyata beliau tidak ada upaya mengekangnya. Arus kemarahan dan desakan agar beliau berundur sangat kencang.

Mulanya tarikh peguatkuasaan pelan berkenaan 2010 dikira melegakakan Abdullah. Tarikh itu memberi ruang kepadanya untuk menyudahkan kerja-kerja terakhirnya yang belum siap. Dalam tempoh itu beliau bercadang untuk melaksanakan agenda membela rakyat. Walaupun itu alasan kerana sayangkan kedudukan itu namun ia boleh ditimbangkan.

Apabila pelan asal itu terubah maka kemungkinan sisa masa itu juga akan hilang daripada dirinya. Abdullah mungkin tidak sempat untuk menyelesaikan agenda membantu rakyat dalam tempoh setahun lebih itu dan mungkin juga menyebabkan beliau tidak akan meninggalkan apa-apa legasi kepada nusa dan bangsa. Beliau akan jadi sebagai PM yang paling malang dan paling kering jasa dan budinya untuk Malaysia. Ini menyebabkan beliau akan diingat sebagai PM Malaysia paling tidak berjaya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada bulan Ramadhan lalulah yang merombak segala ketepatan untuk Abdullah laksana pelan berkenaan. MT Umno telah mendesak agar beliau berundur lebih cepat! Walaupun Abdullah memberi kenyataan mengatakan MT bersetuju dengan pelan itu namun hakikatnya beliau sudah didesak. Bagi mengelakkan berlaku sesuatu diluar dugaan dalam mesyuarat itu Abdullah mengelaknya dengan memberi pesetujuan akan berundur lebih awal, Mac depan.

Mungkin sekiranya MT bermesyuarat di luar bulan Ramdhan keadaan jadi lain. Abdullah mungkin kini sudah tidak lagi menjadi Pengerusi MT. Silap-silap beliau telah melepaskan jawatan Perdana Menteri. Ura-ura untuk menekan Abdullah sehingga berundur pada mesyuarat itu tidak dibuat mungkin kerana mengenangkan ia berlaku dalam bulan turunnya al-Quran.

Hakikatnya kini Abdullah sudah tidak dapat berbuat apa-apa. Setiap perkembangan dalam MT memberi kesan dan mengecilkan kuasanya. Apa juga tindakan, formula dan resolusi yang dibuat memberi kesan buruk kepadanya. Makin beliau memberi gambaran ahli Umno menyokongnya makin beliau dilihat tertekan. Keadaan Abdullah kini seperti pesakit yang sudah mengenali penyakit yang dihidapinya dan juga sudah tahu saat-saat kritikal baginya.

Abdullah umpama orang menghadapi barah yang sudah tahu tahap kesakitannya. Beliau kini berada pada fourth stage. Beliau juga sudah diberitahu oleh doktor yang jangka hayatnya hanya ada beberapa hari saja lagi. Jadi dalam keadaan begitu beliau sudah tidak ada semangat dan harapan untuk hidup lagi.

Ingatan dan fokus Abdullah kini tidak kepada yang lain lagi melainkan kepada saat kematian dan tanah kubur. Tika makan minum tidur berak semuanya teringatkan mati. Jadi dalam suasana begitu bagaimana beliau boleh menggerakkan agendanya untuk membantu rakyat. Apa yang Abdullah luahkan itu hanya sekadar luahan saja tetapi kata-katanya sudah tidak ada roh lagi.

Apa yang menimpa dirinya itu Abdullah harus faham dan jadikan iktibar. Bahawa dalam politik tidak ada siapa yang sanggup bersama kita lagi kalau kuasa dan pengaruh kita makin menipis. Hari ini Abdullah mungkin mengenali siapa kawan dan siapa lawan walaupun masa untuknya bertindak sudah tidak ada lagi.

Dalam kadaan itu orang yang bakal mengambil tempatnya menjadi makin bersemangat. Tindakan Abdullah akan mengumumkan kedudukannya samada bertanding atau tidak pada bulan ini (berberapa hari lagi) memberi ruang dan nafas lega kepada Najib. Abdullah akan menjadikan persidangan peringkat bahagian sebagai indikator samada beliau akan mempertahankan bertanding jawatan presiden atau tidak.

Dari segi politik Abdullah tidak seharusnya menanti persidangan bermula bagi menentukan nasib dan masa depannya. Tindakan Abdullah itu silap dan tidak politik. Beliau harus konfiden dan yakin kepada wibawanya. Apabila beliau membuat syarat demikian ia memberi ruang kepada pihak musuhnya untuk berkerja mengagalkan pencalonan baginya.

Abdullah seharusnya tidak berbuat demikian. Beliau kena tegas dan optimis kalau beliau ingin bertanding. Apabila beliau mengenakan syarat itu orang melihat beliau sendiri tidak yakin dan menyerahkan diri kepada persidangan bahagian Umno. Daripada berbuat begitu lebih baik kalau beliau terus mengumumkan meletak jawatan sebelum bermulanya persidangan peringkat bahagian yang dijangka pada 10 Oktober ini.

Kini orang-orang Najib dan sekalian orang yang tidak suka kepadanya akan berusaha agar tidak ada pencalonan awal kepada Abdullah. Mereka akan memastikan dan mempengaruhi perwakilan bahagian yang ingin mengadakan persidangan agar tidak memihak kepada Abdullah. Apa lagi dalam hal ini jentera Najib dilihat lebih mempunyai kepakaran dalam mengaturkan strategi bagaimana hendak menumbangkan Abdullah.

Kesimpulanya beberapa tindakan dan keputusan Abdullah berhubung dengan kedudukannya semuanya tidak menjadi. Kiri kanan beliau menghadapi kerugian dengan tindak tanduknya. Sikap ikhlas dan jujurnya menerima pelan peralihan kuasa menyebabkan usianya menjadi semakin hari semakin singkat.

Berdasarkan itu saya yakin tempoh keberadaan Abdullah di Putrajaya semakin menirus. Hari-harinya sebagai Perdana Menteri akan berakhir sedikit masa lagi atau paling lama menjelang perhimpunan agung Umo akan datang di mana beliau akan mengumumkan perletakan pada hari itu.

Memandangkan hakikat ini elok kalau beliau melakukan sesuatu. Abdullah harus sedar bahawa ada unsur yang mempercepatkan proses peralihan kuasa dan pengundurannya. Nasib malang yang diterimanya harus ditebus dengan sesuatu yang bermakna setidak-tidaknya untuk memuaskan hati sendiri.

Saya yakin tekanan demi tekanan akan dilakukan sehingga beliau mengucapkan sayornara kepada kerusi Perdana Menteri. Jadi untuk apa beliau mendakap diri dan terus menyerahkan diri kepada takdir. Abdullah harus melakukan sesuatu setidak-tidaknya bagi mengelakkan beliau sebagai seorang perdana menteri tidak tahu berbuat sesuatu.

Abdullah kena ingat keikhlasan dan kebaikan dalam politik tidak pernah berlaku. Budi dan kebaikan kita dalam politik tidak selamanya dikenang dan diingat! Kalau hendak dikira masalah yang menimpa dirinya kini adalah tangungjawab bersama. Kekalahan teruk BN bukan saja kerana beliau. Pengarah pilihan raya BN baru-baru ini ialah Najib Razak. Tetapi kenapa bebanan dan risiko kekalahan itu dicampakkan kepadanya seorang?

Demikian juga dengan keputusan dan polisi-polisi kerajaan yang diperkenalkan bukan hak diri beliau secara mutlak. Ia adalah tanggungjawab kesemua jemaah menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri-negeri. Jadi menteri dan seluruh pemimpin BN kena bertangungjawab secara kolektif.

Nasihat untuk Abdullah beliau harus lakukan sesuatu untuk membela dirinya. Beliau tidak boleh melepaskan kerusi perdana menteri secara angin lalu saja tanpa melakukan sesuatu mengejutkan. Beliau harus mempunyai saham dalam menentu dan membentu kepimpinan selepas beliau. Sekurang-kurangnya pemimpin bakal mengganti beliau akan menghormati beliau kalaupun tidak ingin meneruskan berberapa pendekatan baik yang beliau perkenalkan.

Untuk ini saya sudah kemukakan dua pelan yang dinamakan pelan untuk menyelamatkan dirinya. Pertama beliau harus kembali bersatu kepada team B, dengan memberikan ruang dan sokongan kepada Tengku Razaleigh Hamzah dengan menghapuskan sistem kuota yang dianggak tidak demokratik itu.

Kedua, beliau boleh memberikan saki baki tenteranya kepada Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan. Mungkin ini agak berat dan dianggap sebagai tidak setia kepada parti. Namun beliau harus berfikir apakah selama ini ada orang yang bersetia dan ikhlas dengannya. [wm.kl 6:00 pm 04/10/08]

No comments: