Sunday, October 5, 2008

Lagu Kita

Fenomena Telefon Bimbit

TIDAK lama dulu kita marahkan kepada televisyen kerana menyediakan rancangan panas sempena hari raya. Gara-gara itu menyebabkan orang tidak keluar rumah kerana asyik tunggu skrin tv untuk tonton rancangan khas. Acara kunjung mengunjung bagi mengeratkan silaturahim terjejas kerana rancangan hiburan itu.

Para artis yang bersinar banar mengambil bahagian dalam rancangan itu menjadi daya tarikan. Entahlah... orang kita, bila sebut fasal artis, bintang filem ia mengalahkan golongan lain. Hebat betul pengaruh arits dalam masyarakat Melayu. Kalah para ulama dan para alim dibuatnya. Orang tidak tampal gambar alim ulama di bilik tidur tetapi banyak gambar artis dan filem star di simpan di bilik tidur untuk dijadikan sumber ilham.

Lama kelamaan rancangan hiburan khas hari raya di tv tidak menarik lagi. Sebabnya ia menyediakan konsep sama setiap tahu. Tunjuk artis dan pelawak kacau dodoi atau buat ketupat, tak ada kisah lain. Tidak ada pembaharuan langsung. Mesejnya sama saja setiap tahun dari tahun 60-an hingga ke tahun 2000 sama juga.

Hari ini hiburan di tv itu tidak jadi fenomena merosakkan suasana dan roh edfitri lagi. Kita mungkin merasakan lega kerana perkembangan ini. Bagaimana pun ada fenomena baru yang boleh mengambil alih atau menjadikan manusia lalai dan syok sendiri. Fenomena ini menjadikan orang sanggup bersendirian, tidak mahu cakap dan tidak pedulikan sesiapa. Semuanya seperti orang kena penyakit angau.

Fenomena ini berlaku di mana-mana saja. Malah ia lebih teruk daripada fenomena hiburan di tv tadi. Apa yang dimaksudkan ialah feneomena telefon bimbit dan khidmat pesanan ringkas - SMS dan segala macamnya. Fenomena atau gila SMS atau gila telefon bimbit ini sungguh menyedihkan sekali. Orang yang terkena penyakit telefon bimbit dan main SMS ini tak akan pedulikan kepada dunia sekelilingnya lagi dan tidak peduli makan dan minum lagi.

Tidak kira di mana, atas kereta, dalam rumah, bawah pokok pun jadi. Pulak tu kini line telefon bimbit boleh diakses di mana-mana saja. Jadi ianya boleh digunakan di mana-mana tempat yang disukai. Kadang-kadang ke dalam bilik kecil pun diangkut telefon bimbit untuk membaca dan membalas SMS.

Semua orang juga kini memiliki telefon bimbit. Dari pelajar universiti sampailah kepada mak cik dan pak cik yang menoreh getah di bukit dan gunung. Sambil menoreh bercakap telefon dengan bluetooth di telinga. Begitulah canggihnya dan meluasnya penggunaan telefon bimbit. Rimau tengok pun naik heran.

Saya mulai terkesan betapa teruknya fenomena ini ketika mengunjungi sebuah keluarga saya di kampung dua tiga hari lepas untuk berhari raya. Keluarga berkenaan mempunyai tujuh anggota lima anak dua ibu dan bapa. Kesemua mereka ada telefon seorang satu malah ada yang sampai tiga. Sewaktu saya sampai dan memberi salam semua mereka sedang ralik dengan telefon masing-masing.

Kelima-lima si anak sedang berSMS. Begitu juga dengan si mak dan si ayah sedang bercakap dengan seseorang. Kerana masing-masing sibuk dengan telefon sampai salam diberi tidak terjawab oleh sesiapa. Si bapa bersalam pun sambil telefon terganggam ditangan, macam endah tidak endah saja. Begitu juga dengan mak, melayan isterinya saya seperti dalam mamai baru bangun tidur. Telefon tetap di telinga dengan kepala terangguk-angguk macam ibu angkut-angkut buat sarang.

Kelima orang anak dara dan bujangnya termasuk yang baru darjah satu tak usah ceritalah. Kedatangan kami langsung tidak dipandangnya kerana asyik menjawab SMS. Teruk!
Keadaan itu sungguh tidak menyenangkan. Rasa menyesal pula mengunjungi rumah keluarga berkenaan. Mereka merasakan kedatangan kami seperti menganggu ketenteraman mereka untuk bertelefon. Masa pulang saya berfikir sendiri betapa telefon bimbit kini sudah merampas kemersaan dan semangat hari raya. Sepatutnya tuan rumah bergembira menyambut tetamu, tetapi ini lain pula ceritanya.

Bukan setakat mula-mula datang saja. Ketika minum dan makan ketupat juga telefon masing-masing berdering membuatkan mereka tidak senang duduk. Si bapa bercakap bukan main lama lagi. Manakala si isteri pula tidak habis dengan ok...ok.... yang tidak juga ok (berhenti). Sungguh menyampah.

Dalam hal ini saya tidak salahkan kepada kecanggihan teknologi maklumat. Dunia hari ini memang memerlukannya. Tanpa peralatan itu dunia kita jadi sempit dan sunyi. Tetapi kalau ianya disalah gunakan sehingga menyebabkan boleh menjejaskan hubungan kemanusiaan segala kemodenan dan kecanggihan itu tidak membawa apa-apa makna lagi. Bukankah tujuan peralatan itu direka untuk menghubungkan manusia sesama manusia! Kalau ianya tidak diguna secara betul bukan kebaikan diperolehi tetapi keburukan! [wm.kl 3:00 pm 05/10/08]

1 comment:

Anonymous said...

Saudara MSO,
Memang benar seperti apa yang saudara alami mengenai isu telefon bimbit sekarang ini. Saya sendiri pernah melihat 4 orang (mungkin kawan) yang datang ke sebuah kedai kopi dan masing-masing sibuk melayani SMS atau apa jua yang terdapat dalam telefon masing-masing, sehingga di saat salah seorang membayar minuman mereka semua, tidak ada perbualan atau gelak tawa yang saya dengar daripada kumpulan manusia tersebut.

Memang lucu sekali...dan memang benar kita orang melayu memang cepat menguasai teknologi dan menjadi taksub kepadanya. Malangnya, ketaksuban itu kepada benda yang remeh dan tidak menjurus kepada benda-benda yang positif dan mendatangkan manfaat kepada minda dan iman.