Monday, October 6, 2008

Perjalanan Turun 2

Abdullah Perlu Guna Senjata Bernama Altantuya

BARANGKALI sudah ramai yang mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam Umno khususnya di sekitar Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak. Tetapi biarlah saya ceritakan sedikit versi yang sampai ke pengetahuan saya mengenai kisah antara Perdana Menteri dengan timbalannya itu. Ketika Umno kalut-kalut nak mengadakan mesyuarat MT khas pada Ahad (21 September) lalu saya berada di Makkah. Jadi tidaklah banyak maklumat saya diketahui.

Namun tidaklah pula terlalu kosong sangat mengenai cerita dan maklumat mengenai itu. Seorang penjenguk blog Merah Tinta memberi tahu MT akan ada mesyuarat. Sebaik tahu itu saya menghubungi konteks politik Umno di KL dan beliau mengesahkan.

Mesyuarat itu katanya penting bakal menentukan kedudukan Abdullah. Kumpulan (MT) Najib dikatakan akan berbuat sesuatu bagi memastikan Abdullah berundur sebelum tiba masa yang dijanji dan dipersetujui. Maknanya mesyuarat MT itu agak kritikal dan menakutkan Abdullah.

Cemas juga saya dibuatnya. Bukan apa kesiankan kepada Abdullah. Apakah mampu Abdullah berhadapan dengan para pendesak yang mahu beliau turun itu. Kita tahu Abdullah bukan tahu dan licik sangat dalam bab-bab berpolitik secara ular atau memerang ini.

Dalam cemas itu saya teringat kepada Ahmad Zahid Hamidi yang berada di Makkah. Kenapa beliau datang juga dan meninggalkan mesyuarat itu? Apakah Zahid tidak mahu campur tangan ataupun mengira mengejar malam malam al-qadr, 10 terakhir Ramadhan lebih afdal daripada menghadiri mesyuarat untuk menjatuhkan Abdullah! Mungkin ia tidak serius.

Selepas balik baru saya tahu kedudukan sebenarnya apa yang berlaku pada mesyuarat itu. Ia memang agak kalut sikit, begitulah tutur konteks saya di Putrajaya. Menurutnya Abdullah memang menyedari akan kerja-kerja mendesaknya supaya turun. Ia dikepalai oleh menteri yang beliau lantik sendiri; Muhyiddin Yassin, Shafei Afdal dan Hishamuddin Hussein. Ini orang yang memain peranan penting secara tersembunyi dan terbuka menyerang Abdullah. Mereka dibantu pula oleh Rafidah Aziz, Radzi Manan (Perak) dan Awang Adek Hussein.

Semua menggunakan alasan untuk menyelamatkan parti walapun orang tahu kerja mereka itu untuk menyelamat dan menambah nilai diri masing-masing. Mana adalah orang yang berjuang untuk bangsa, agama dan negara lagi dalam Umno!

Sebelum mesyuarat Abdullah telah memanggil semua Pengerusi Perhubungan Umno ke kediamannya di Putrajaya. Pertemuan dan perbincangan diadakan hingga jam 3 pagi. Topik dan pokoknya ialah mahu pandangan apakah Abdullah perlu akur kepada tuntutan atau tidak. Cara beliau itu, menunjukkan PM itu tidak berkeras dengan keadaan yang ada.

Hasil pertemuan itu semua pengerusi memberi sokongan agar Abdullah terus pegang jawatan PM dan tidak serahkan kepada Najib. Kalau nak serah juga biarlah sampai kepada tarikh dan masa yang ditetapkan, 3 Mac tahun depan. Pendirian dan sikap itu diambil tentu bagi menenangkan keadaan. Mungkin juga memandangkan suasananya dalam bulan puasa dan tak elok jatuhkan orang dalam bulan mulia.

Apabila Abdullah mendapat mandat itu beliau katanya telah bertemu dengan Najib, memberi tahu sikap dan pendirian pengerusi-pengerusi Umno negeri. Lalu beliau meminta Najib agar membuat kenyataan mengatakan sokongannya kepada Abdullah jadi PM sehingga cukup tempoh peralihan. Abdullah katanya telah menyiapkan nota untuk dibacakan Najib dalam mesyuarat MT berkenaan.

Malangnya Najib tidak bersetuju. Najib berhelah biarlah soal peralihan itu cepat atau lambat ditentukan oleh mesyuarat bahagian. Sikap Najib ini menunjukkan hatibudi Najib kepada Abdullah. Abdullah katanya faham dan tahu siapa Najib. Bunga yang diberi dibalas tahi oleh Najib. Perdana Menteri itu benar-benar kecewa dengan Najib.

Abdullah memang banyak berkorban dan memberi ruang kepada Najib. Najib mempengerusikan 13 jawatankuasa Kabinet. Satu keistimewaan yang tidak pernah dikecapi oleh seorang timbalan perdana menteri.

Walhal katanya pemberian jawatan Menteri Kewangan kepada Najib ialah atas desakan Najib. Najib berjanji untuk mempertahankan Abdullah sampai 2010 dengan syarat kementerian itu diberikan kepadanya dengan janji untuk memulihkan keadaan ekonomi negara. Tetapi sebaik kementerian itu dilepaskan, Najib bersikap lain pula. Benarkah?

Manakala kesediaan Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanding kerusi nombor dua ada kena mengena dengan senario itu. Khabarnya Abdullah sudah memberi isyarat kepada Zahid untuk mencubanya. Dalam erti kata lain Abdullah kini sudah mula tidak mempercayai Najib dan ingin mencari rakan baru sebelum menghabis sisa-sisa kekuasaannya.

Kesimpulan pada apa yang berlaku menunjukkan hubungan Abdullah dengan Najib memang bermasalah. Memang tegang. Tidak mungkin ada jalan untuk perbaikan mereka berdua. Dan Najib sendiri mungkin selesa dengan kedudukan sekarang ini. Beliau merasakan bahagian-bahagian Umno akan memihak kepadanya.

Sekiranya andaian dan risikannya benar, ini bermakna nyawa politik Abdullah sudah berada di penghujung. Sekiranya Abdullah gagal mengawal persidangan kemungkinan beliau akan mendapat malu seperti mana berlaku kepada Encik Abdul Ghabfar bin Baba tahun 1996 dulu. Cuma seperkara saja kalau Abdullah hendak selamat beliau harus menggunakan senjata bernama Altantuya... kalau Abdullah masih kasihkan Najib nescaya kasih itu akan membuatnya rebah! [wm.kl 10:00 am 06/10/08]

1 comment:

Anonymous said...

Tapi Pak Lah bukan jenis yang nak main 'kotor'. Kalau tidak sudah tentu dia sudah lama manggunakan alasan/senjata tersebut untuk menjatuhkan Najib.