Tuesday, October 28, 2008

Celoteh Murai 10

Semangat Kengerian Orang Johor Lebih Tinggi
Daripada Orang Kelantan

Murai rasa orang-orang Umno Kelantan kena belajar daripada orang Umno Johor bagaimana orang Johor mendokong dan menebalkan diri mereka dengan semangat kenegerian (provincial). Kalau sebelum ini orang kata orang negeri Murai itu tebal dengan semangat kedaerahan, rupa-rupanya ia salah belaka. Semangat kenegerian dalam badan orang Umno Kelantan sudah pupus dan kering.

Tengoklah sendiri apa yang orang Umno Kelantan lakukan pada calon dari negerinya sendiri Tengku Razaleigh Hamzah, satu bahagian pun tidak mencalonkan anak Raja itu. Kalaupun tak nak undi sekurang-kurangnya tunjuklah sikap 'bersain' (berkawan) dan janganlah semuanya jadi menikus dan hendak bermuka dengan Najib. Najib tak layan pun....

Tengok orang Umno Johor betapa mereka sayangnya orang-orang negeri mereka. Cuba bilang berapa orang calon-calon yang datangnya dari Johor. Start dari Timbalan Presiden sampailah kepada ahli Majlis Tertinggi Umno, semuanya dimonopoli oleh orang Johor.

Paling menarik ialah jawatan Naib Presiden Umno, tiga daripada lima yang layak bertanding ialah datangnya dari Johor. Mereka Syed Hamid Albar, Khalid Nordin dan Hishamuddin Hussein. Dua lagi masing-masing satu dari Perak, Ahmad Zahid Hamidi dan satu lagi dari Sabah, Shafei Afdal.

Pada pemerhatian Murai perebutan untuk jawatan Naib Presiden ini sebenarnya berlaku sesama orang Johor. Paling-paling Murai rasa dua kerusi itu akan dipenuhi oleh orang Johor manakala satu lagi samada oleh Zahid ataupun Shafei. Kalau semangat Semanjung terbawa dalam pemilihan akhir nanti, Shafei akan putih mata.

Untuk kerusi Timbalan Presiden semacam sudah hampir pasti ianya akan dimuatkan oleh orang Johor, Muhyiddin Yassin, keculilah jika ada kejutan mendadak pada minggu depan mungkin Muhyiddin boleh termenung panjang bila mana Ali Rustam cukup pencalonan.

Seronok Murai tenguk apa yang orang Umno Johor lakukan. Cuma Murai nak tanya apakah yang berlaku itu bukan berfahaman sempit, terkongkong dan punyai semangat kenegerian yang kuat? Kalau keadaan itu berlaku pada negeri Murai sudah tentu ada yang akan mengatakan orang Umno Kelantan bersikap "budu".... semua sokong puak dia. Tetapi kerana ia berlaku di Johor maka dihalalkan.

Apakah kerana Umno itu didakwa ditubuhkan di Johor maka orang Johor merasakan Umno itu hak dia? Macam orang Arab merasakan Islam itu hak mereka kerana Islam itu lahir di bumi Arab. Justeru Umno perlu dipimpinan oleh orang Johor dari bawah sampai ke atas? Begitukah....

Murai tidak dengki dan tidak ada hak pun nak dengki. Mungkin juga kerana orang Johor semuanya baik-baik, punyai moral politik yang tinggi macam Syed Hamid maka mereka diusung dan dipuja oleh rakyatnya sendiri. Tidak macam orang Umno negeri Murai perangainya macam spring alias macam kodok melompot-lompat tidak ada prinsip, suka buat kacau yang mana setengahnya terpaksa ditohok oleh Umno kerana berbau sangat hamis dan busuk.

Bagaimana pun Murai nak katakan, dalam hebatnya semangat kenegerian orang Umno Johor itu janganlah pula sampai mereka tidak terjaga Umno di negeri lain. Kalau orang Johor hanya merasakan orang Johor saja hebat, pandai, tahu memimpinn dan tidak menghormati pemimpin dari negeri lain, Murai bimbang lama-lama yang tinggi (menang) nanti hanya Johor saja.

Kalau Johor saja menang dan kesemua 13 negeri lain kalah, kepandaian dan kehebatan pemimpin Johor itu tidak bermakna juga kerana Umno sudah tidak dapat tubuh kerajaan lagi. Kalau Umno sudah tidak ada kerajaan ke manakah hendak humbankan kesemua tokoh-tokoh hebat dan bijak bistari dari Johor itu?

Makanya duhai orang Johor jangan taksub sangat kepada orang negeri sendiri. Ingat Umno bukan saja hak negeri Johor tetapi hak dan kepunyaan semua orang Melayu di negeri lain juga!

Murai: Walaupun berasal dari Kelantan tetapi benci orang Kelantan yang munafik dan perangainya macam ahli Parlimen itu.

2 comments:

Anonymous said...

ah, parti yang sudah hampir sakaratul maut itu, elok saja dimuziumkan di tanah lahirnya.

setahu saya pemain-pemain utama politik malaysia hari ini orang Pulau Pinang (Anwar, Pak Lah), Kelantan (TGNA), Trengganu (TGHH) dan Pahang (Najib).

Anonymous said...

Salam MSO dan pembaca sekalian

Saya tidak melihat sikap kenegerian
itu baik untuk memilih pemimpin,jika kita benar-benar ingin mencari pemimpin yang berkualiti.Buang sikap kenegerian kita pilih pemimpin yang ada wibawa,bermoral,bijaksana,amanah dan yang terpenting pemimpin yang takutkan Allah.

Masyarakat Malaysia semakin terbuka dan matang menilai kepimpinan seseorang pemimpin.

Suka saya tambahkan sedikit apa yang sdr MSO nyatakan tentang pandangan UMNO terhadap orang Kelantan. Sebenarnya bagi UMNO apa orang lain buat tidak boleh tapi ia jadi boleh bila UMNO buat.Banyak perkara berlaku demikian contohnya Bila UMNO maki hamun raja-raja Melayu boleh tak salah tapi bila orang lain komen sedikit tentang campurtangan raja dalam pentadbiran hebuh dan ribut jadinya.Semua kerana kuasa mereka,demikian juga kerana UMNO yang berkuasa bukan dari Kelantan tetapi dominennya dari JOhor maka sikap kenegerian itu boleh.

afja02