Husam Terperangkap Dalam Jerat Sendiri
(Bahagian 2 dan akhir)
SELEPAS membelasah Umno dan beberapa tindakan tranformasi politiknya yang dianggap kulitan – gimik seperti pembentangan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Perlantikan Hakim (SPH) serta pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Husam membangkitkan politik dosa dan pahala yang dilupakan atau tidak dititikberatkan oleh Umno.
Inilah juga menjadi titik perbezaan besar antara Pas dengan Umno. Tegas Husam, kalau Umno bersedia mengambil kira politik dosa dan pahala (politik Islam) Pas akan menyokong Umno dan juga menyokong Khairy Jamaluddin sebagai calon ketua pemuda Umno.
Apa yang dijelaskan Husam itu sekali lagi menurut sifir-sifir atau fatwa politik Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz. Nik Aziz dalam agendanya menolak Umno menggunakan alasan itu. Dari kacamata Nik Aziz Umno menolak Islam seperti mana Islam politik yang Pas fahamkan itu.
Persoalan ini dibidas oleh Khairy dengan mempersoal balik apakah Pas juga tidak berada dalam zone makruh? Maksudnya di sini Pas juga bebas dari bermain dengan politik dosa dan bukan pahla semata-mata? Khairy menyinis apakah hukumnya pencampuran Pas dengan Pakatan Rakyat yang mengandungi parti yang tidak sama prinsip Islam seperti mana difahami Pas itu?
Apa yang ingin diangkat Khairy apakah DAP itu tidak bergelombang dalam 'dosa' seperti mana ditafsirkan Pas itu maka Pas boleh berkawan dengan DAP membentuk kerajaan bersama? Dalam masa lain Husam menjelaskan kononnya pemahaman Islam oleh DAP lebih baik daripada Umno. Dakwa Husam DAP lebih faham Islam daripada Umno! MasyaAllah!
Beliau menyatakan ketertegunan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap pendekatan dan stail pemerintah Khalifah Umur Abdul Aziz sebagai buktinya. Untuk rekod Guan Eng beberapa kali menceritakan yang beliau membaca kehebatan Umur Abdul Aziz sebagai seorang khalifah yang adil dan saksama. Bagi Pas langkah Guan Eng itu dianggap sebagai Guan Eng menerima konsepi dan prinsip pentadbiran Umur Abdul Aziz.
Satu lagi isu yang memberi bidasan balik kepada Naib Presiden Pas itu ialah apabila beliau mengkritikan Umno yang bersikap arrogant of power? Husam memberi contoh bagaimana Khairy menggelarkan para demonstrasi jalanan anjuran Bersih dulu sebagai monyet-monyet, manakala sewaktu pilihan raya dikecil Permatang Pauh, Khairy mencanangkan ingin menguburkan politik Anwar Ibrahim.
Bagai Husam tindakan dan kata-kata Khairy itu sebagai arrogant of power. Politik angkuh dengan memiliki kuasa besar. Pandangan bersifat peribadi itu dibalas oleh Khairy dengan mempersoalkan apakah janji Anwar untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September bukan arrogant of power? Sambil melihat jam ditangannya (date) kata Khairy kini sudah 20 Disember tetapi kerajaan yang dijanjikan itu masih belum ada. Bidasan Khairy itu menyebabkan Husam hilang tumpuan sehingga ditegur mediator.
Ketika isu ini dibangkitkanlah keadaan dewan menjadi riuh randah. Sorakan dan tepukan dari kedua pihak bersabung menghangatkan dewan.
Keadaan menjadi bertambah hangat lagi apabila Khairy membangkitkan soal hudud yang mahu menguji apakah pendirian Pas (sebenarnya Husam) setelah bergabung dengan Pakatan Rakyat kini. Khairy bertanya apakah Pas bersedia melaksanakan hudud kalau Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan kelak? Pertanyaan itu tentuk kompleks kerana aspirasi Pas itu begitu kontras dengan aspirasi DAP.
Ternyata persoalan itu kurang diminati Husam dan Husam tahu ianya satu perangkap. Namun hendak tidak hendak beliau terpaksa menjawabnya sambil menempelak balik kepada Khairy dengan meminta Khairy membawa persoalan hudud itu ke dalam Umno. "Iya kita akan laksanakan (hudud) tetapi kalau saudara ikhlas nak perjuangkan hudud saudara bawa dalam perhimpunan agung Umno," begitu kira-kira balas Husam disambut sorakan dan tepukan bergemuruh.
Aziz Bari yang banyak menjadi pemerhati dan menyokong kenyataan Husam dengan menjelaskan soal jenayah (hudud dan qisas) itu tanggungjawab kerajan Pusat. Sikap dan kecenderongan yang jelas Aziz kepada Pas dalam wacana itu kurang disenangi oleh penyokong BN yang beberapa kali menyoraknya.
Di sini Khairy terpaku sekejap dan tidak dapat memberi jawaban terhadap persoalan Husam yang cuba melepaskan diri daripada persoalan yang dibangkitnya itu. Khairy tidak memberi jaminan soal hudud akan dibincangkan dalam Umno. Keadaan ini menyebabkan Khairy pula yang terperangkap.
Bagaiman pun malam itu Khairy berjaya meletakkan Husam dalam keadaan serba salah dengan persoalan arrogant of power, dosa pahala dan hudud, dan selepas ini ia bakal menimbul polimek dalam Pakatan Rakyat dan isu hudud itu pasti akan dijadikan isu murahan oleh Umno pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu nanti. Tentu!
Penilaian terhadap wacana.
Keseluruhan wacana itu tidak mencapai matlamat untuk mendedahkan idea ataupun mekanisme transformasi politik yang memberi kebaikan kepada bangsa bangsa Melayu dan Islam. Tidak ada kesimpulan atau resolusi dari wacana itu yang mengemukakan bagaimana cara untuk mencapai kata sepakat dalam politik. Kedua pihak terus menengak benang basah antara satu sama lain dengan nawaitu wacana untuk menjatuhkan antara satu sama lain di hadapan penonton.
Abdul Aziz pula juga tidak berperanan seperti diharapkan memberi formula pembaikian politik yang lebih positif dalam mencapai kematangan politik. Beliau lebih menyalahkan sikap kerajaan kerana terlalu banyak menyalahgunakan demokrasi. Persoalan yang diajukan oleh seorang hadirin perempuan yang mahu satu gagasan atau kaedah untuk melihat suasana kondusif dalam politik orang Melayu tidak terjawab oleh sesiapa?
Wacana itu hanya mempamirkan keegoaan masing-masing dan menjadi medan untuk mengulangi kritikan antara satu sama lain yang pernah disajikan sewaktu kempen pilihan raya. Bagaimana pun ia satu menu politik menarik selepas musim banjir di Kelantan.
Dari segi profesional atau gaya pedebatan, Husam agak emosi dan tertekan berbanding Khairy yang datang sebagai tetamu banyak merendah diri dan bersikap terbuka dan apologetik kepada Nik Aziz. Khairy jelas membuat persiapan baik secara fakta dan minda untuk berdepan dengan ribuan penyokong Pas. Keikhlasan terserlah kepada Khairy baik dalam memberi hujah atau harapan untuk mematangkan proses politik khasnya antara Umno dengan Pas.
Husam nampak mahu mengambil kesempatan dari wacana itu bagi menimbulkan kebencian publik kepada Khiary dan bukan mencari titi temu dengan Umno secara profesional dan jujur. Ini jelas apabila Khairy secara terbuka (seloroh) menyatakan sokongan kepada Husam jika Exco itu bertanding presiden Pas di balas oleh Husam dengan menegaskan beliau tidak akan menyokong Khairy untuk ketua pemuda (juga berseloroh).
Husam juga malam itu agak emosi dan tidak berjaya manahan daya intelektualnya apabila mencabar penyokong BN naik sendiri ke atas pentas apabila beliau disorak oleh mereka. "Apa saudara tidak yakin dengan wakil saudara, mari naik sendirilah atas pentas," begitu kata Husam sambil memalingkan muka ke arah kumpulan penyokong Khairy.
Mengenai telatah hadirin, mungkin segelintir hadirin fanatik dan emosional tidak layak berada dalam majlis wacana berkelas ilmiah seperti itu. Apapun sorakan dan cemuhan dari kalangan penyokong kepada Khairy kesediaannya hadir itu satu keberanian dan beliau memperolehi political mailage yang cukup baik. Belum tentu kalau calon ketua pemuda lain Mukhriz Mahathir dan Mohamad Khir Toyo dipanggil mereka bersedia untuk datang.
Secara keseluruhannya baik dari segi keberanian, gaya berhujah, semangat untuk berwacana jelas Khiray boleh diberi 57% manakala Husam 43%. Peratus ini tanpa menolak peratus untuk seorang lagi ahli panel. Kepada penganjur Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri patut diberi pujian atas usaha mengadakan wacana itu. Mungkin pada masa akan datang perlu diperbaiki sedikit sebanyak kelemahan yang ada. [wm.kl 9:30 am 22/12/08]
10 comments:
sedkit pandangan..sy berpendapat ayat ni>>
"Apa saudara tidak yakin dengan wakil saudara, mari naik sendirilah atas pentas"
bukan berbentuk 'mencabar'..tapi sindiran kepada pemuda berbaju putih..
apepon, tahniah khairy, sbb ketibaannya disambut dengan laungan takbir oleh rakyat kelantan. ini menunjukkan takbir bukan milik pas, tp syiar islam..
tahniah husam, tahniah khairy..
Moralnya, jangan terlalu menyanjung pemimpin DAP yang kononnya lebih Islamik. Jangan suka tuduh UMNO itu kafir dan yang penting sekali jangan salah gunakan agama untuk tujuan politik semata-mata. Kehebatan Khairy dalam berdebat memang wajar dipuji kerana ianya bersifat intelektual dan bukannya sebarang hentam seperti Husam. Sepatutnya jika Husam benar-benar mahu memperjuangkan Islam, beliau harus bersiap sedia dengan hujah-hujah yang benar-benar memperjuangkan Islam. Bukan mempergunakan Islam untuk tujuan politik...
Pandangan saudara merujuk kepada Wacana Perdana yang tidak mencapai objektif (yang saudara letak,)seolah-olah tidak ada yang positif pada hujjah2 yang dilontar oleh Husam dan memperendahkan rakyat Kelantan yang hadir pada malam itu. Terima kasih dan Tahniah!!!
tahniah kepada saudara MSO kerana bersikap neutral dalam tulisan ini,tapi tulisan saudara tidak disukai segeklintir orang-orang PAS yang tidak berapa matang fikiranyan..tahniah khairy
sudah la bro.. tak payah nak up sangat si budak hitam tu (KJ) loya kawe mendengar nya. tak lebih daripada gimik nak cari populariti murahan. Bukan semua orang buta mata dan telinga.
kenapalah dengan husam ni.dia punya argument tambah-tambah dalam hal "UMNO kurang islamik" tu sangat lah lemah.mana boleh bersandarkan semata-mata kepada Guan Eng sahaja.
tahniah diucapkan kepada KJ kerana telah mengawal mengawal EQ dan dapat berdebat secara professional berbanding husam.
saya rasa saudara silap penilaian.sudah terang lagi bersuluh semua hujah khairy dapat dijawab dengan berfakta oleh Husam.mesej penting untuk menegakkan syiar islam dirumuskan dengan mantap pada penggulungan..memang artikel saudara berupa berat sebelah dan berunsurkan matlamat asal saudara yang bermusuh peribadi dengan Husam..anda beremosional dalam meneceritakan perihal sebenar
Paling utama ialah keberanian anak muda dari Umno pergi ke kubu Pas.
Kedua, Husam walaupun lebih berusia agak emosi.
Ketiga; Khairy merendah diri.
Imej negatif terhadap beliau selama ni tercetus dari Projek Penulisan Khairy Chronicles...
Siapa di belakang Khairy Chronicles?
ulasan yg baik oleh Saudara ..tahniah YB KJ kerana berjaya dan berani menyahut cabaran dengan mengenepikan barrier untuk berdepan dengan pembangkang .
ini kepimpinan yang dimahukan oleh pemuda zaman ini dan YB KJ seorang yang terbuka .
Banyak komen yang masuk dalam email saya berhubung tulisan mengenai wacana itu. Namun tidak semua saya lepaskan kerana masalah "vandalisme". Ingin dijelaskan pengamatan dan ulasan saya mengenai wacana itu berdasarkan ketapan tajuk; Tranformasi Politik Malaysia, saya cuba mengelak bias kepada mana-mana ahli panel apa lagi bersifat membenci. Semoga kita dapat merasionalkan pemikiran kerana dengan pemikiran rasional sajalah kita dapat berlaku adil dan melakukan sesuatu berdasarkan kebenaran. Terima kasih.- MSO
Post a Comment