Friday, November 26, 2010

Ulasan Lewat

Cheng Ho Datang Dan Pulang
Membawa Seribu Makna

SETELAH lima hari lima malam 'armada' Cheng Ho menjatuhkan sauh dan berlabuh di tanah Tadahan Wahyu, akhirnya armada itu pulang kembali ke negara asalnya. Pulang meninggalkan seribu kenangan dan seribu artifak baru yang akan dikenang untuk generasi akan datang. Kembali untuk datang semula dengan muatan dagangan dan sarat dengan minda islah demi kemakmuran serantau.

Selama lima hari anak-anak kapal Cheng Ho berlegar di Kota Bharu menjalini persahabatan dengan orang Kelantan dalam membina tamadun dan kemakmuran sejagat. Semoga penjalinan atas niat menuju ke mardatillah itu akan direstui Muhammad s.a.w. dan diredai Allah s.w.t.

Menjadi harapan semoga sebaik saja armada berkenaan sampai ke negeri mereka, mereka akan menceritakan apa-apa yang baik yang mereka temui selama mendiami Kelantan. Ia akan menjadi aset ataupun umpanan pancingan untuk orang Cina untuk datang melancong dan berdagang di Kelantan.

Demikian juga dengan rakyat Kelantan yang menerima kedatangan armada berkenaan akan dapat menilai sendiri akan keakraban, kemesraan rombongan armada Cheng Ho itu. Lebih penting dari itu mengutip segala ilmu dan pengalaman untuk membina kekuatan diri setanding dengan kehebatan dan kebijaksanaan Cheng Ho ataupun orang Cina.

Kalau mereka boleh belayar ke lautan dan singgah di pantai kita, kenapa tidak kita memanjat tembok besar (Great Wall) negeri mereka. Kita juga perlu menunjukkan misi kita dan keupayaan kita. Kita sangat mengharap dalam kita membuka pintu rumah kita mereka akan sedia membuka jendela rumah mereka setulusnya.

Selama lima hari, Kota Bharu negara Serambi Makkah menjadi sebuah negara Cina berikutan berlangsungnya expo Perdagangan dan Persahabatan Kelantan - Cina, (China International Trade Fair 2010). Jalinan semangat Cheng Ho dengan semangat Tok Kenali seakan mewujudkan sebuah negeri baru di Kota Bharu. Itulah ilusi, itulah harapan yang diselit bersama dengan agenda siasah.
.
Meskipun persinggahan itu sekejap, tetapi ia membawa seribu makna. Ia memberi banyak input untuk kedua belah - Kelantan dan beberapa wilayah Cina yang hadir pada expo berkenaan. Bukan itu saja, expo bertemakan perdagangan dan kemakmuran itu membuka ruang dan minda baru kepada lebih 20 buah negara peserta, Cina, Tawian, Khazastan, Uzbekistan, Pakistan, Burma, Thailand, Indonesia, New Zealand, Australia dan lain-lain. Tegasnya manfaat bukan saja antara dua buah negara utama - penganjur, tetapi negara-negara Islam lain juga khasnya yang pernah dijejaki oleh Cheng Ho.

Expo berkenaan bukan saja mendedahkan betapa hebatnya masyarakat Cina dalam dunia perdagangan dan pelayaran, tetapi sekaligus menunjukkan hubungan diplomatik berlandaskan misi dakwah, komersial, budaya dan agama (Islam) antara Kelantan dengan China yang sudah berlangsung lama sebelum ini. Paling menariknya ia berjaya menghimbau hubungan yang berlangsung lebih enam abad lalu. Dan paling bererti apabila diketahui bahawa Kelantan adalah persinggahan Cheng Ho pertama dalam pelayaran perdagangan dan misi dakwahnya, pada abad ke 14.




Sudah pasti dengan expo berkenaan juga lebih mendedahkan lagi hubungan berkenaan dan rakyat Kelantan dapat pula menimba segala kemajuan dan ciri-ciri tamadun Cina yang ternyata hebat dan mengegarkan dunia. Banyak yang kita perlu tiru dan mengambil iktibar dari kebangkitannya bagaikan seekor naga dari sebuah pertapaan.

Sudah tentu harapan dari pihak penganjur terutamanya Kelantan, ia bukan saja bermotif politik tetapi lebih bermakna dari itu bagaimana ingin membangunkan negeri berkenaan. Expo berkenaan yang mendedahkan peluang perdagangan, pendidikan, pelancongan, perubatan, pertanian bakal menguntungkan kedua pihak.

Dari konteks lain expo berkenaan bukan saja menunjukkan keberanian kerajaan Kelantan tetapi ia juga satu tindakan bijak dan mempamirkan kreativiti akal para pemimpinnya dalam mengatasi dan mengisi tanggungjawab pembangunan yang dikosongkan dan dinafikan oleh kerajaan pusat. Wajar dan tepat bila kerajaan Pusat mengabaikan Kelantan maka Kelantan perlu menerokai alternatif baru. Di sinilah Kelantan memerlukan pemimpin yang boleh berfikir menjangkau sempadan dan tidak berlegar dalam kain pelikat semata-mata.

Tidak salah kalau semua pihak, baik dari kalangan Pas sendiri sama-sama angkat tangan atas kejayaan expo berkenaan. Kelantan perlu berbangga dengan pencapaian itu tanpa mempedulikan ejekan dan tawa pihak lawan. Dalam masa realitif singkat, dengan keupayaan wang terhad serta bantuan publisiti oleh media arus perdana yang tidak ada, tetapi expo berkenaan berjaya diadakan dan mendapat sambutan hangat. Bukan itu saja penahanan beberapa kontena yang membawa peralatan untuk di pamerkan oleh pihak kastam seolah-olah ada unsur sabotaj terhadapnya.

Biarlah apa orang hendak bilang kerajaan Kelantan teristimewanya mereka yang menetaskan idea dan mendepakan kesungguhan dalam menjayakan expo berkenaan harus merasa bangga dan dikalungkan jambangan bunga terima kasih. Dengan mengenepikan sentimen dan kepentingan diri mereka harus dipuji.

Dalam pada itu kritikan tidak dapat dielakkan. Ibarat mengadakan kenduri besar sudah tentu akan ada mangkuk pinggan, atau cawan dan gelas yang pecah dan retak. Kenduri itu tidak akan sah kalau tidak ada kecacatan dan kemalangan berlaku. Begitu juga dengan perjalanan expo atau tanggapan kepada expo berkenaan mungkin ada yang kurang menyenangkan.

Pihak penganjur harus menerima hakikat kelemahan mereka, apa lagi expo bertaraf dunia sebegitu apa lagi pertama kali dianjur oleh Kelantan. Kekurangan pengalaman tentu menimbulkan beberapa kelemahan. Pun begitu kejayaan yang dicapai itu membuktikan akan kemampuan Kelantan yang selalu berbangga dengan tag linenya "Kelantan menerajui perubahan". Apa yang penting expo berkenaan belum pernah dianjurkan oleh kerajaan Malaysia, jadi bila kerajaan Kelantan dapat mengadakannya ia satu kejayaan dan sejarah.

Rakyat Kelantan harus berbangga. Setidak-tidaknya expo itu membentang idea global pemimpin Kelantan terutamanya Menteri Besarnya Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kesediaan membenarkan armada Cheng Ho singgah di Kota Bharu itu melambang sikap terbuka MB berkenaan. Bahawa beliau berifkir untuk membawa perpaduan dan kemakmuran bukan saja di negerinya tetapi mencakupi seluruh benua selagi tercapai mindanya.

Bila bercakap soal kecacatan, ada beberapa kecacatan paling ketara. Dalam pengamatan saya expo berkenaan tidak mendapat kerjasama sepenuhnya bukan saja dari agensi kerajaan Pusat tetapi dari kalangan agensi atau individu politik di Kelantan juga. Kalau boleh dijadikan ukuran, mengenai keterlibatan (tampak) bayangan para wakil rakyat dan Exco. Semasa saya di majlis (forum akhir) berkenaan tidak semua wakil rakyat atau ahli Exco yang nampak menjera wajah di situ.

Dari sudut penyertaan forum perniagaan pada hari terakhir ia mengecewakan. Banyak kerusi yang kosong. Kebanyakan peserta dari kalangan rakyat Kelantan pula terdiri dari pelajar sekolah. Di mana para usahawan, ahli perniagaan atau cendekiawan dari Kelantan? Yang paling saya sedihkan apabila ketiadaan wakil rakyat ataupun penyelia Dun atau penjawatan jawatan penting parti dan kerajaan tidak mengikut forum berkenaan. Mereka sepatutnya mengambil peluang untuk ikut serta dalam forum berkenaan bagi menimba pengalaman.

Sesungguhnya forum sebegitu cukup mahal nilainya. Tetapi malangnya nilai yang mahal ini tidak dihargai dan dilepaskan begitu saja. Saya tidak dikir falam masa 10 tahun lagi akan ada expo berkenaan. Bukan mudah untuk mengalunkan laut agar armada Cheng Ho tiba di Pantai kita.

Dan apabila bercakap mengenai expo kita perlu tahu siapa di sebalik tabir. Ramai yang melihat hanya Tok Guru Nik Aziz dan Husam Musa saja. Tetapi disebalik dua nama ini masih ada beberapa nama lain yang menjadi tulang belakang dan nadi kepada kejayaan expo berkenaan. Antara orang penting lain ialah Adun Pulai Chondong, Zulkefli Mamat, yang bertindak selaku Pengarah Expo. Beliaulah yang merupakan orang belakang tabir utama dan seorang insan yang berkerja dalam senyap.

Zulkeflilah yang memulakan langkah meninjau mencari peluang di Cina dengan membawa satu rombongan. Kemudian ianya diikuti oleh rombongan Exco Kelantan, Husam Musa yang pada masa itu diikut serta sama oleh bekas CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Ariffahmi Abdul Rahman.

Selain daripada beliau Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat, Adun Bukit Panau Abdul Fatah Mahmod, Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim juga nampak aktif dan bertungkus lumus mengendalikan sekretariat bersama beberapa buah agensi negeri seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Wakil rakyat lain tidak berapa nampak kemenonjolan peranan mereka. Malahan semasa di dalam pusat pamaren Cina saya terserempak dengan seorang wakil rakyat bersama isterinya. Bila diajukan pertanyaan apakah peranannya dalam menjayakan expo berkenaan, beliau menjawab "ana hanya selaku orang ramai saja, tukang tengok." Mendengar jawaban itu cukup memberi pengertian kepada saya apalah peranananya dan sejauh mana tinggi rendahnya kualiti beliau sebagai wakil rakyat.

Adalah menjadi harapan sekiranya Kelantan diundang oleh Cina untuk membalas 'lawatan' Expo itu diharap semua pihak akan bergabung tenaga dan bekerjasama untuk membawa tamadun Kelantan ke benua itu. Kalau ada kerjasama saya yakin apa yang dicapai oleh Cina dari expo itu juga akan dapat diraih oleh Kelantan. Bukan itu saja Kelantan juga akan dapat dikuasai dalam pilihan raya akan datang. [wm.kl. 9:20 pm 26/11/10]

1 comment:

anakzaman said...

Tuan MSO,

Tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan.Apa yang kerajaan buat asalkan matlamat baik pasti diberi sokongan.
"Jangan Peduli Apa yang Yang Orang Katakan Kepada Kita,Tapi Kita Kena Pedulikan Apa Yang Orang Lakukan Terhadap Dunia"...