Saturday, November 13, 2010

Sebangun Pagi Sebuka Mata

Kedukaan Calon Haji, Kelemahan Tabung Haji

ISNIN atau Selesa - 15 atau 16 November para jemaah haji akan meninggalkan kota suci Makkah untuk menuju ke Arafah dan wukuf di sana. Perarakan meninggalkan Makkah tatkala selepas Subuh itu akan bermulanya rukun haji (fizikal), pertama. Saat inilah saat paling mendebarkan dan penuh kebangaan kepada para jemaah. Mereka akan merasakan besar hati kerana diundang Allah menghadiri diri kepada-Nya.

Saat berjalan ke Arafah akan bermulalah perjalanan menuju ke satu garis pemulaan baru untuk hidup. Manakala kata Tok Guru Nik Abdul Aziz pula perjalanan ke Makkah (menunaikan haji) adalah perjalanan menuju kematian. Melangkah ke tabir kematian merupakan melangkah ke dunia baru yang penuh dengan suspen, misterius dan mencemaskan.

Berbodonng-bondong bas dan kenderaan akan mudik menuju ke Arafah. Jemaah haji akan wukuf di sana satu malam dan akan melangkah ke Mudzalifah sebelum menjelang tengah malam untuk mengutip anak batu sebanyak 21 butir sebelum ke Mina untuk melontar. Sesudah melontar sebanyak tiga kali di jamratul Aqabah, Usta dan Ula, jemaah akan berarak sambil memuji dan memuja kebesaran Allah menuju ke Makkah untuk melaksanakan syarat terakhir saie, tawaf di Baitullah sebnayak tujuh kali.

Sesudah itu sempurnalah rukun haji.

Gambran atau perjalanan membahagiakan itu sudah pasti akan dihayati dengan penuh rasa dukcita dan lara oleh mereka yang belum diangkat Tuhan ke Makkah atas apa sebab sekalipun. Mereka akan merasakan mereka tercabar kerana belum dapat menemui Tuhan dalam ilusinya. Tidak semena-mena bagi mereka yang berjiwa halus akan menangis kekesalan, terkilan kerana belum dijemput Allah.

Adapun sebab musabab kenapa beluam diangkat Allah berbagai-bagai. Bukan senang untuk menemui Allah sebenarnya. Jika tidak ada persiapan fizikal dan mental serapinya tidak mungkin boleh terjadi atau kita betah berada di tanah haram itu. Kalaupun sudah siap, misalnya wang yang ditabungkan dengan Tabung Haji berbelas tahun sudah mencukupi, tetapi kalau Tuhan belum mengangkat bendera hijau, (bukan bendera Pas) maka tidak dapat berangkatlah kita.

Selalu terjadi hal demikian. Para penabung gagal ke Makkah walaupun mereka sudah cukup tabungan. Setengahnya menunggu hampir sepuluh tahun, sudah lumat kaki lima masjid dipijaknya untuk menjalani kursus haji. Setengahnya kerana terlalu lama apa yang dikursusi sudah pula lupus dari ingatan. Ada juga yang mati beragam di rumah sahaja kerana peluang untuk diangkat ke Makkah menerusi Tabung Haji tidak kesampaian.

Tabung Haji adalah lembaga yang dibentuk khas kerajaan untuk menguruskan pemergian orang Islam negara ini ke Makkah. Ia juga bertindak sebagai bank terbersih dan dijamin oleh kerajaan kepada umat Islam negara ini. Harapan besar disangkut kepada lembaga ini dalam menguruskan kerja-kerja haji. Atas kepercayaan itu, ianya diuruskan dengan suci dan bersih, maka diserahkan atas segala apa yang dinyatakan oleh pegawai Tabung Haji dipercayai bagaikan pengucapan malaikat di dalam Kabbah.

Benarkah Tabung haji melaksana tugas dan tangungjawab dengan baik dan sesempurnaya? Memikul amanah jemaah - penyimpan didalam tabungnya seberjurus mungkin? Benarkah? Atau di dalam Tabung Haji masih ada juga orang yang bukan saja berfikiran panjang tetapi tangan juga panjang!

Cerita dibawah ini dapat dijadikan iktibar dan iktisar. Ia boleh diperbetulkan oleh pihak berwajiba Tabung Haji atau mana-mana orang yang mengetahuinya kalau ianya betul dan benar. Saya nukilkan ini bersumberkan kepada sumber dalaman yang boleh dipercayai. Ada bukti-bukti berdasarkan pengalaman dan pengamatan apa yang diperkatakan ini.

Alasan yang diberikan Tabung Haji kepada penyimpan kenapa mereka tidak berpelung menunaikan haji ialah kerana quota. Kerajaan Arab Saudi hanya memperuntukan 26,000 jemaah dari saja Malaysia. Quota ini tidak penah ditambah walaupun menteri agama sudah bertukar tangan beberapa kali. Walaupun pemimpin politik kita mendakwa jemaah negara kita sering mendapat pujian Arab Saudi namun quotanya tidak bertambah.

Apalah erti pujian dan sanjungan itu kalau ia tidak memberi natijah yang baik? Justeru saya kira kenapa ini berlaku, gagal mendapat quota tambahan kerana kurang daya diplomasi kita dengan Arab Saudi. Gaharu kita tidak begitu wangi dan aormanya menikam kalbu tok-tok Arab.

Apapun alasan itu perlu diterima kerana ia peraturan negara yang memiliki dan diberi tanggungjawab memelihara kesucian Kabbah itu.

Manakala alasan lain yang sering didengar ialah kerana ketiadaan seat penerbangan. Kapal terbang yang disewakan khas oleh Tabung Haji, (Mas dan Arfab Saudia Air) senantiasa penuh. Memanglah kalau tidak ada seat tidak mungkin penabung diberi peluang untuk ke Makkah, masakan mereka perlu berkongsi seat ataupun duduk bertindih riba atau duduk bersama pilot atau di dalam tandas. Penerbangan ke Makkah atau Madinah mengambil masa antara 8 setengah hingga 9 jam. Kalau berkosngi seat atau duduk dalam tandas boleh lenguh punggung.

Menjadi peraturan setiap kapal yang berlepas di mana saja di dunia ini ia harus mengrizebkan sekurang -kurang tiga seat. Ini dianggap wajib untuk menghadapi sebarang masalah dan ketika kecemasan. Kekosongan ini biasa.

Alasan kekosongan ketiadaan seat itu boleh diterima. Itulah yang selalu diberikan oleh Tabung Haji kepada penabung dalam menolak hasrat penyimpan untuk menunaikan haji. Bila ada penyimpan bertanya hal mereka, itulah alasan yang diberikan. Bagi jemaah asal kampung atau peneroka Felda atau yang tidak faham hal ehwal kapal terbang tidak akan membantah dan bertanya lanjut bila jawaban itu diberikan. Mereka akan pasrah dengan meletakkan apa yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya?

Namun apa yang didedahkan ini menyebabkan timbul seribu tanda tanya dan sekaligus menunjukkan kelemahan orang bertanggungjawab dalam menguruskan penerbangan jemaah haji ke Makkah.

Katanya, sejak bermulanya penerbangan haji tahun ini, boleh dikatakan semua penerbangan tidak penuh seperti mana dikatakan. Di mana masih kedapatan lebih dari tiga seat yang kosong. Paling ketara ialah penerbangan bermula pada 26 Oktober hingga 8 Novermber lalu senantiasa ada kekosongan di antara empat hingga 10 seat. Dalam satu penerbangan berlaku kekosongan sampai 60 seat. Kenapa?

Bayangkan kalau setiap penerbangan itu senantiasa ada lima atau 10 kekosongan, sudah berapa keksoong dan sudah berapa ramai jemaah yang tidak berpelung disebabkan kesilapan dan kelemahan manusia di Tabung Haji ini. Maklumat ini boleh dipercayai kerana ianya bersumber dari Pengurus Pengawal Trafik di mana orang bertanggungjawab menghitung penumpang yang ingin menaiki setiap kapal terbang di KLIA.

Bukan itu saja kelompangan, kelalaian ini menyebabkan Tabung Haji mngalami kerugian. Kalau lima kekosongan sahaja berlaku kalau ada 40 penerbanga, ini bermakna 200 kekosongan. Berapakah nilai untuk 200 kekosongan itu. Sewa kapal terbang itu sama ada naik seorang atau penuh ianya tetap sama. Kalau perbelanjaan tambang untuk satu jemaah ialah RM3,000 bukankah ianya sudah menjadi RM600,000. Mungkin nilai itu sedikit tidak terasa berbanding dengan kekayaan Tabung Haji bernilai ratusan billion. Tetapi bukankah itu satu pembaziran?

Itu soal kekosongan dalam penerbangan. Ada pula kes lain di mana ada permainan songlap menyonglap oleh pihak Tabung Haji yang menghantar atau menawarkan calon haji ke pakej swasta. Katanya mana-mana penyimpan yang mempunyai wang simpanan lebih dan dianggap mampu untuk membelanja lebih mereka akan ditawar untuk menyertai pakej swasta. Biasanya penyimpan yang memiliki wang lebih daripada RM30,000. Penyimpan ini sudah tentu akan membayar berapa saja asalkan hajat suci mereka termakhbul. Kerja ini sungguh mudah kerana akaun penyimpan boleh ditengok sing malam oleh pegawai di Tabung Haji.

Paling merujakan dan sudah tentu berlaku, berapakah komisyen yang dibayar oleh syarikat pembawa haji swasta itu kepada setiap kepala yang dihantar kepada mereka? Saya tidak mahu memusykilkan dan prejudis di sini, tetapi kalau dihitung kos yang diambil oleh pihak swasta itu berlipat kali ganda dengan perbelanjaan yang diuruskan oleh Tabung Haji. Kenapa kos ini berlipat kali ganda? Tentulah ditambah nilai kerana untuk membayar berbagai-bagai baksis atau fee dan komisyen? Hendak dikatakan pengurusan atau kediaman di Makkah yang diatur swasta mewah tidaklah juga. Pernah terjadi jemaah dari pakej swasta 'mencuri' air minum dari jemaah yang tinggal di Maktab semasa di Mina.

Sebaik selesai haji dan semua pegawai Tabung Haji pulang dari Makkah, elok buat kajian terhadap apa yang didedahkan. Pihak bertanggungjawab Tabung Haji kena memastikan dan menjelaskan kenapa keadaan ini berlaku. Kita tidak mahu berlaku harapkan pagar, pagar makan padi. Semua pihak di Tabung Haji bermula dari menteri hingglaha kepada pembawa air zam-zam umpama orang mengawal di antara dua pintu Neraka atau Syurga. Janganlah mereka menjadi pengawal yang tejelus ke dalam Neraka. Nauzubilahiminazalik.... Kalau makan pulut jangan lupa basuh mulut. [wm.kl.7:45 am 13/11/10]

6 comments:

mra said...

Tuan MSO,
Catatan tuan ada asas kebenarannya.Kenapa saya bersetuju dengan catatan?.Dua minggu lepas ipar saya telah ditawarkan 2 seat olih mereka yang berurusan dengan Tabung Haji kerana ada lebihan 6 seat dalam penerbangan tersebut akibat pembatalan saat akhir.Tetapi atas sebab perancangan penikahan anak yang dibuat sebaik diberitahu bahawa beliau tidak dalam senarai sebelum ini menjadikan tawaran ini ditolak.Siapa pula akan ditawar seat ini atau akan dibiarkan kosong.
Lantaran telah membuat komen izinkan saya membuat sikit komen tambahan,iaitu berkaitan subsidi belanja mengerjakan haji olih Tabung Haji.
Pada pandangan saya Menteri JPM Jamil Khir tidak perlu menunjuk nunjuk berita Tabung Haji telah menampung sebahagian perbelanjaan dengan memberi subsidi.Hakikat yang sebenar,kita lah yang menampung perbelanjaan ini.Duit kita yang digunakan dan bila ini berlaku bermakna dividen terpaksa dikurangkan.

diaone said...

sy setuju dgn penyimpan yg mempunyai lebihan wang dlm akaun akn diserahkn kpd pihak swasta,dah ternyata dan terbukti,sahabatku dititipkn kpd pihak swasta hanya kerana dlm akaunnya ada 45k utk isteri dan 45k untuk si suami.

ANAFAKIR said...

Manusia-manusia yang berkerja dengan tabung haji TIDAK DAPAT TIDAK,MESTI dari kalangan orang2 yang benar2 jujur.Mereka yang bertugas dengan tabung haji MESTI benar2 ikhlas dan amanah.Jgn sesekali ada sifat menganiaya penabung@penyimpan.Jgn pula mengambil peluang atas simpanan penyimpan untuk mencari laba secara tidak halal.Mereka yang pernah menunaikan tabung haji tidak kira pangkat atau kedudukan mesti dikebelankangkan selepas 10 tahun atau lebih sbb senarai menunggu terlalu ramai.Benar kata MSO,penyimpan yang sudah cukup duit sudah bertahun menanti,tup2 ada manusia yang baru setahun menabung tetiba sudah dapat tawaran ke Makkah,mentang2lah ada kabel atau sanak saudara yg punya kuasa maka menabung sekejap dan cukup jumlah sudah mendapat panggilan,bygkan mereka yang sudah bertahun cukup duit mereka dalam Tabung Haji masih belum dipanggil,kerana berlaku pilih kasih demikian.Dan apa hukum kepada mereka yang melakukan perilaku jahat ini?Mendapat MABRUR bukan senang apatahlah pergi Mekkah pun potong Q orang kata.Mentang2 adalah kroni,mudah sahaja mereka meloloskan diri untuk tunai haji.

Tunai haji rukun Islam ke-5,bukan main2.Jgn pula sesiapa memandai-mandai buat keputusan dgn menganiaya org lain.Kalau sudah cukup tabungan dan ikut sape dahulu mesti di dahulukan,jgn ikut suka hati dan ikut telunjuk mereka yg main kotor.Kesia kat orang2 kampung yg menabung mungkin puluhan tahun baru cukup,bila cukup menunggu pula puluh tahun lagi..entah2 masa mereka terima surat tunai haji,mereka sudah meninggal beberapa ketika sebelum itu.Takkah kesian..memang menjadi tetamu Allah urusan Allah swt tetapi masih ada juga sikap manusia yang bermain kotor.Takdir Allah mmg tidak mampu kita ulas,yg ingin ditegur ialah sikap mereka yg terlibat dalam main kotor ni.Kiraan jemaah mesti benar-benar memenuhi kuota,jika 26,000 maka mesti mencukup 26,000.Kalau sampai beratus kekosongan seat maka berapa jemaah yang terlepas untuk tunaikan haji?...

Apa pun kerja biarlah ada ibadah di dalamnya.Bukan setakat makan gaji tapi urusan ibadah diketepikan.Kalau berkaitan dengan Islam dan rukun Islam sebegitu pun manusia yg mengaku Islam tidak benar-benar menepati kehendak Islam,bagaimana dengan urusan lain seharian..?Mungkin lagi teruk.Rakyat kena segera menukar kerajaan yang ada,dah serahkan pengurusan Tabung Haji kepada mereka yang benar2 ikhlas dan amanah..

Unknown said...

Askm

izinkan saya menyentuh perkara ini, saya merupakan salah seorang yang menguruskan pakej haji swasta yang dilantik oleh Tabung Haji.

Untuk makluman semua, TH menampung subsidi jemaah muasasah sebelum ini hampir RM4ribu, tapi sekarang makin berkurangan. subsidi diberi kerana TH mengalami keuntungan hasil pelaburan yang dibuat. Kalau kita bandingkan jemaah Indonesia, jemaah yang bukan pakej harga melebihi RM13ribu dan makanan tidak disediakan.

Bagi jemaah pakej, mereka tidak diberi subsidi dan hotel mereka berdekatan serta mahal (walaupun buruk)

jika semua mengikut muasasah, macam mana pula hotel yang berdekatan ini, siapa yang mahu menginap. Jadi pakej swastalah yang menjadi pilihan.

Apa yang perlu dititikberatkan supaya kita mendesak TH memberi subsidi kepada mereka yg benar2 layak. maksudnya pendapatan dibawah RM2ribu. Apa yg kita lihat sekarang pegawai besar turut ikut muasasah. Ini adalah tidak adil.

Bagi jemaah pakej, jangan dipertikaikan, mereka membayar lebih RM19ribu dan bukannya kami untung begitu banyak. Ditolak kos semuanya untung bersih dlm RM1000 - 1500 sekepala.

Tapi saya akui ujudnya rasuah dalam pemberian tender membekal makanan kepada jemaah muasasah. saya difahamkan ada ahli politik dan pegawai tabung haji bersetongkol, satu kepala RM2.00 (RM2X26000jemaahX40hari)

Begitulah lebih kurang..

wallahualam

zasyah said...

salam tuan mso,

saya pernah berbual mengenai giliran haji dgn sahabat2 dr indonesia. mereka terkejut bila saya kata, msia sekrg harus tunggu dlm 5/6 thn kerana kata mereka di indonesia perlu tunggu 3/4 thn. siapa yg mahu cepat bisa ikut malaysia...!! bila ditanya ikut msia gimana, lalu mana, mereka tak tahu. mereka hanya dgr cerita tapi memang sudah ada!

setau saya hanya tabung haji yg urus urusan haji. yg pegang kuota haji.. ada pihak lain ke tuan? saya sangat muskil dan pelik!

abuizzudin said...

Salam,

Antum semua nak tahu petua camna nak cepat dapat tawaran untuk ke Mekah?

Caranya jangan penuhkan akaun TH antum...simpan ala kadar je. Insya'Allah antum akan cepat menerima panggilan dari TH untuk mengerjakan haji.

Logiknya bergini...antum semua kena ingat TH tu kapitalis. Sebagai kapitalis ia perlukan modal dari antum semua untuk buat bisnes.

So kalu antum dah simpan terlalu banyak dalam akaun TH antum lagi lambatlah antum terima tawaran. Sebab at once antum mengerjakan haji maka masa tu juga la wang antum mereka tak dapat guna untuk rolling bisnes mereka kerana wang antum dalam akaun tu dah habis kerana perbelanjaan haji.

Oleh itu bagi siapa yang dah simpan penuh dalam akaun, lagi lama wang tu dalam akaun (baca: lagi lambat dapat tawaran mengerjakan haji)lagi lamalah TH dapat gunakan duit mereka dan lagi banyaklah manfaat yang TH dapat dari wang simpanan tersebut.

Wasalam.