Friday, November 19, 2010

Ulasan Petang

Bukan Susah Untuk Jadi Popular Di Negara Ini

[kemaskini] UNTUK menjadi popular di negara ini bukan payah sangat. Anda tidak payah berusaha bertahun-tahun atau mengemukakan penemuan baru atau pun idea baru atau pun melakukan kerja-kerja anih dan ganjil, atau pun terlalu berjasa kepada negara.

Anda tidak payah menjadi pelumba lari 100 meter atau ahli tinjau peringkat heavyweight atau pelontar cakera sehingga 600 meter jauhnya.

Anda juga tidak perlu berbarisan panjang untuk melalui test bagi menyertai Akademi Fantasia ataupun rancangan realiti Imam Muda. Tetapi cukup untuk ada menyertai mana-mana parti komponen Paatan Rakyat, baik Pas, PKR atau DAP. Anda masuk sekejap, berak dalam mana-mana ruang dalam rumah parti berkenaan kemudian atau dakwa anda memegang jawatan itu dan ini anda keluar bawa punggung sambil memburukkan parti berkenaan dan pemimpinya. InsyaAllah anda akan jadi popular dan dianggap hebat dan pembela nusa dan bangsa. Sekali mata saja anda akan dapat menawan semua media massa negara ini.

Pasti anda akan meletup. Anda akan mendapat liputan meluas oleh media massa. Segala dosa anda akan dilupai, dan anda dianggap manusia suci yang turun dari langit bersama hujan batu. Wajah anda akan terpampang di semua saluran tv kerajaan, berbayar atau swasta- sampai orang tengok naik muaklah.... Wajah dan muka anda juga akan terpampang di semua surat khabar, baik arus perdana dan akhbar nyamuk. Tidak terlupa juga anda akan disorot dan diulas oleh bloger atau pun mendapat liputan istimewa dari portal-portal berita.

TV pula akan berebut untuk memanggil anda menjadi ahli panel - memperkata dan memburukkan parti yang baru anda tinggalkan itu. Anda juga akan diletakkan di kerusi empuk sehingga terlindung punggung anda yang bercepuah dengan najis.

Tidak mustahil juga kalau anda rajin dan kreatif anda akan mendapat upah dan wang dengan tindakan anda itu apabila anda sanggup membuat road show dengan Umno memuji parti itu dan memburukkan dengan seribu cerita fitnah dan rekaan ke atas Pakatan Rakyat. Untuk ini anda kena cari seorang promoter yang baik dan cekap. Bolehlah untuk hidup setahun dua tanpa melakukan kerja-kerja biasa.

Anda jangan masuk parti kompnen BN. Anda tidak akan popular. Malahan anda akan dilupakan terus. Tidak ada surat khabar berminat untuk membuat liputan mengenai anda. Kalau anda masuk Umno kemudian esok anda keluar, lusa anda akan menjadi gemula kepada media massa terutama RTM, TV3 atau pun Astro Awani. Mereka tiak berminat untuk membuat liputan kepada mereka walaupun hujah dan alasan anda meninggalkan parti berkenaan mempunyai sebab-sebab yang konkrit.

Apa yang berlaku ke atas bekas Ketua Penerangan Pemuda Umno Kelantan dan bekas calon Umno tahun 1995 Mohd Sabree Shafii adalah jelas. Kenyataan dan pengumuman beliau meninggalkan Umno 1 November lalu langsung mendapat liputan media massa. Media massa menyembunyikan berita itu seolah-olah tindakan Sabree itu tidak memberi apa-apa kesan kepada BN.

Apa lagi kalau anda yang keluar dari parti Pakatan Rakyat, anda menghentam balik parti anda itu. Meluapi jasa parti itu yang memberikan anda kerusi dan kedudukan, anda caci dan cerca para pemimpin tertingginya. Segala ludah yang anda buangkan bersama kahak semasa dalam parti berkenaan anda kena raut dan sedut balik. Tidak kisah sama ada hujah yang anda perkatakan itu benar atau tidak, atau bohong dan fitnah sama sekali anda tetap menjadi perhatian utama. Akan dapat tempat istimewa. Kata-kata anda akan disanjung bagaikan setongkol emas.

Kalaupun sebelm ini anda mengecam Umno, mengata huduh kepada pemimpinnya, memburukkan Mahathir Mohamad atau Abdullah BAdawi, atau mempersendakan isteri perdana menteri atau PM sendiri, jangan bimbang. Kalau anda mengambil keputusan keluar dari Pakatan Rakyat segala dosa dan noda anda itu akan lupus secara automatik. Kenyataan ataupun ulasan anda akan disiarkan di muka depan surat khabar, menjadi berita yang istimewa dalam tv.

Begitulah keadaanya dan apa yang ada di Malaysia tanah airku ini. Ianya bukan sukar sangat dan anda tidak pun memerlukan wang yang banyak untuk menjadi popular dalam masa segera. Banyak contoh kalau hendak ditunjukkan bukti bagaimana mereka yang mulanya dianggap haprak dan tidak berguna oleh media massa arus perdana, tidak dipandang sebiji mata pun tetapi bertukar menjadi sang dewa oleh media sama apabila mereka berpaling tadah menghentam parti Pakatan Rakyat dan menyatakan sokongan kepada Umno.

Nama-nama seperti Inchek Ibrahim Ali, Ezam Mohmad Noor, tujuh orang wakil rakyat Pakatan Rakyat (tiga Adun dan empat MP) yang berpaling tadah dan menjilat ludah mereka, atau mengotelkan sendiri telor mereka, dan terbaru Zaid Ibrahim adalah bukti nyata. Orang ini adalah orang yang dulunya telah mengeji atau meletakkan pemimpin Umno sama busuk dengan tahi. Tetapi kenapa hari ini mereka disanjung? Jawabnya kerana mereka sedia menjadikan diri mereka sebagai brua untuk memburukkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Mereka dipulau atau dipandang sepi oleh media arus perdana. Bagi media arus perdana mereka seolah sudah pun tidak wujud lagi. Tetapi apa jadi setelah mereka menungging punggung ke langit, dan mengintai semula parti mereka melalui celah kangkang. Wah... mereka akan dipuji setinggi langit hijau (bukan biru). Kata-kata mereka diambil sebagai kata-kata hikmah. Mereka secara tidak langsung dijadikan senjata untuk membunuh kawan dan parti asal mereka. Mereka diangap sebagai manusia maksum yang diturun khas dari syurga.

Mengenai hakikat ini ada dua perkara yang perlu dinilai dan dilihat. Pertama ialah mengenai wibawa media massa berkenaan. Dan kedua, apakah nilai manusia atau ahli politik yang bersikap kacang lupakan kulit ataupun berpaling tadah itu.

Apakah media itu boleh dianggap berwibawa dan berintergriti kerana jelas mereka mempunyai dua pandangan terhadap satu manusia yang mempunyai dua sifat berbeza, putih dan hitam. Selagi tokoh itu berada dalam parti selain Umno mereka disepikan dan pandangan mereka tidak disorot pun. Sebaliknya sesudah mereka kembali kepada Umno maka mereka diterima dan menganggap pandangan mereka bernas dan tepat? Seolah-olah selama mereka berada dalam parti Pakatan Rakyat mereka sedang menuntut di sebuah universiti dan sesudah tamat mereka keluar dengan ilmu yang penuh dan kembali kepada parti Umno.

Begitu juga dengan orang-orang berkenaan yang sebenarnya adalah najis politik. Di manakah prinsip mereka. Satu masa mereka ditebas dan ditebang oleh media berkenaan, kemudian selepas mereka berpaling tadah mereka akan dipuji di puja oleh media yang sama. Mereka juga turut sama mengecam media massa berkenaan kerana mengalpakan mereka. Tetapi apabila mereka keluar dari parti pembangkang mereka sendiri menerima media massa berkenaan sebagai adil dan saksama. Jelas situasi ini penuh hipokrasi.

Mungkin buat media massa demikian dan orang yang demikian mereka tidak merasa apa-apa. Maruah mereka juga sudah hilang entah ke mana. Orang yang hilang deria dengar tidak akan mendengar apa-apa lagi! Mereka sudah tidak pedulikan kepada soal maruah dan moral lagi. Tetapi bagaimana dengan pemerhati, dengan rakyat dan pengundi yang waras dan rasional dalam menilai sikap dan sifat media massa dan orang-orang berkenaan?

Apakah media itu masih boleh dipercayai dan begitu juga dengan sosok-sosok berkenaan? Bolehkah dipercayai setiap kata-kata mereka selepas ini sedang sebelum ini mereka diburukkan oleh media massa itu sendiri. Sama-samalah kita memikirkan fenomena ini agar kita juga tidak ikut terjadi seperti media massa dan najis-nanjis politik yang tidak lekat unjap dan munafik herbi itu. [wm.kl.5:30 pm 19/11/10]

5 comments:

ahmadyani said...

Saya memandang hina manusia seperti ini tapi tentulah mereka tidak hairan dengan pandangan hina manusia lain kerana nafsu hidup telah merajai hati mereka.

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum tuan. Sepanjang pengamatan saya sejak berminat dengan dunia politik tanah air, saya perhatikan inilah kali pertama sebuah parti yang lahir dari serpihan UMNO diasak dengan begitu sekali seakan parti itu kini tidak mampu bernafas lagi.

Parti Melayu Semangat 46 semasa hayatnya boleh dikatakan begitu selesa bergerak. serangan ke atas mereka hanya sekadar serangan biasa. Namun, PKR diasak nampaknya mungkin sampai ke dinding. Kalau menonton tv, mendengar radio dan membaca akhbar PKR seakan sudah tiada kebaikannya lagi. Ibarat daging yang dilapah, PKR sudah lunyai dan tak ada rupa daging lagi atau ibarat orang dipukul orang itu sudah nyawa-nyawa ikan.

Tapi percayalah, saya penuh yakin, dalam PKR masih ramai lagi orang yang ikhlas, yang tidak mengharapkan apa-apa bila menyertai PKR. Pada mereka hanya satu iaitu sebuah kehidupan yang adil untuk semua rakyat, demokrasi yang sebenar dapat ditegakkan dan kesejahteraan dapat dirasai. golongan ini akan bertindak bila mereka benar-benar dihimpit ke dinding. Gerakan mereka nanti akan sekuat air bah yang mampu menolak batu walau sebasar mana pun. golongan ikhlas ini tidak akan mampu berundur lagi ketika itu dan golongan tersebut akan membina kejayaan bersama Pakatan Rakyat dengan izin Allah. Tunggulah.

akbajalil said...

Berapa lamalah popularnya sosok-sosok seperti itu. Rakyat umumnya akan mengetahui akhirnya siapa mereka sebenarnya. Tidak perlu bersuluh, mereka sendiri telah menyerlahkan perjuangan palsu yang mereka bawa. Peduli apa soal maruah dan moral. Jika mereka memikirkan perkara ini awal-awal lagi, masakan mereka berdolak-dalik bila kemahuan dan keinginan mereka tidak dipenuhi?

anakzaman said...

Tuan MSO
Manusia yang tuan sebutkan itu telah jatuh akhlak politiknya yang ditugaskan untuk mengkelamkabutkan suasana politik parti pembangkang khasnya PKR. Mereka ini menjadi kegemaran media perdana yang ditugaskan oleh parti kerajaan supaya parti lain hancur,terutama parti yang menjadi cabarannya.

Kita percaya orang-orang yang menjadi Abu Jahal parti ini sekiranya bertanding dalam pilhanraya, mereka tidak akan dipilih oleh pengundi lagi.

Pilihanraya akan datang mereka akan hilang dari ingatan pengundi.Insaallah.

primehonda said...

salam pak mso,

perasaan tak sedap hati saya pada zaid ibrahim akhirnya terbukti juga..saya pernah memberi komen di sini bahawa saya tidak setuju zaid ibrahim dipilih sebagai calon hulu selangor sedikit masa dulu. bukan saja pada akhlaknya yg saya tahu kerana saya mendengar sendiri kejelikannya dari salah seorang stafnya di zaid ibrahim & co. (zico), tapi cita2nya yg sebenar. tahukah saudara sekalian? mamat ini adalah sealiran dgn golongan pemikir islam liberal. cuba amati ucapan2nya yg dulu2, menghapuskan perkara 121(1A) perlembagaan persekutuan yg memberi keistimewaan kpd mahkamah syariah adalah salah satu matlamatnya. bila ini dibantah oleh sebilangan besar pegawai kerajaan (semasa zaid dalam kabinet) dia mendiamkan diri & membuat pelbagai alasan utk keluar umno. dan sekarang, saya yakin dia membuat pelbagai alasan utk keluar pkr adalah kerana idea islam liberalnya itu ditolak oleh anwar. ia terlalu membahayakan.
kepada ahli2 pkr, bersyukurlah kerana seorang yg bahaya ini sudah keluar. jadikan ia pengajaran..