Monday, November 1, 2010

Peristiwa Hari Ini

Soberi Keluar Umno Kerana Tidak Mahu Kecewa Dari Dalam

APABILA saya postingkan berita mengenai desas desus seorang tokoh Umno Kelantan akan keluar parti dengan menampilkan gambarnya dalam keadaan gelap, ramai orang bertanya dan tercari-cari siapakah gerangan orang itu. Ada yang membuat berbagai spekulasi mengenai tokoh berkenaan. Ada juga yang sudah dapat menekanya dengan tepat.

Beberapa nama disebut dan dikaitkan dengan rumours berkenaan. Kerana gambar yang ditampilkan itu gelap maka ramailah membuat andaian dalam gelap. Ada juga penjenguk membuat tuduhan ia sebagai spekulasi atau gimik saja. Tetapi tidak kurang juga yang menanti dan merasakan apa yang saya postingkan itu sebagai benar. Hari ini gambar itu saya terangkan.

Hari ini, tepat jam 10:45 pagi tadi apa yang dituliskan itu benar, seorang tokoh Umno Kelantan telah menghantar surat keluar dari parti berkenaan. Sang tokoh itu ialah Mohd Soberi Shafi dari Cawangan Kubang Mas, bahagian Ketereh Kelantan. Siapa yang tidak kenal Soberi? Beliau adalah seorang penggerak parti yang dikenali baik oleh kawan dan lawan. Seorang yang setia dan menjadi 'budak suruhan' kepada bekas Ketua Penerangan Malaysia, Tan Sri Hussein Ahmad.

Bagi mereka yang tidak 'berkenan' dengan Soberi menganggap pengumuman beliau hari ini tidak mengejutkan. Mungkin ada merasakan ia baik bagi membersihkan Umno dari orang sepertinya. Mereka menganggap Soberi adalah sampah di dalam mata, walaupun kecil tetapi kehadirannya menyebabkan mata untuk berkelip tidak selesa.

Makanya tindakan Soberi itu disambut sebagai orang mengantuk disorong bantal, terutama mereka yang dengki dengan beliau dan sudah lama mengasah golok untuk memancungnya terutama di kawasan Ketereh.

Tetapi sebaliknya bagi mereka yang mengenali dan tahu pengorbanan beliau di dalam parti berkenaan merasa terkedu dengan tindakan beliau itu. Bagi mereka tindakan Soberi itu merugikan Umno dan boleh menjejaskan tumpuan UBN di Galas.

Bagi mereka yang tahu menilai jasa dan baktinya akan merasakan Soberi memberi sumbangan besar kepada parti. Kalaupun jasanya tidak sebesar Tuanku Abdul Rahman atau Tun Razak rasanya dia lebih berjasa dan perananya lebih signifiken dalam Umno berbanding dengan orang lain sebaya dengannya.

Sebenarnya apa yang dilakukan Soberi selama beliau berada dalam Umno belum tentu sedia dipikul oleh oleh ahli yang lain. Soberi seorang yang setia kepada parti dan patuh kepada arahan ketua. Beliau bekerja dengan semangat tanpa mengharap apa-apa imbuhan dari parti. Baginya bekerja untuk parti dan tidak memikirkan apakah keuntungan peribadi dirinya.

Penglibatan atau jasa besar Soberi yang tidak diketahui ramai ialah semasa beliau berkawan dan bekerja dengan Hussein Ahmad. Beliau berkawan atau bekerja dengan Hussein sejak beliau belum aktif dalam Pergerakan Pemuda Umno Kelantan, sekitar akhir tahun 70-an. Beliau bersama Hussein ketika Hussein menjadi Ketua Persatuan Penulis Kelantan. Kerja-kerja psywar Hussein banyak dibantu olehnya.

Semasa Umno diharamkan dalam tahun 1987 beliaulah orang yang menjaga dan mengawal fail Umno di Ibu Pejabat Umno di PWTC. Ketika itu beliau menjadi Pegawai Khas kepada Hussein Ahmad. Siapa yang mahu bersetia dengan Umno yang dalam keadaan krtikal semasa itu. Beliaulah satu-satu anak muda dari Kelantan yang menyerahkan batang tubuhnya demi Umno.

Selama Umno dalam keadaan kritikal itu beliau berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Hujung minggu beliau pulang ke Kelantan, manakala awal pagi Isnin beliau akan tercegak di Ibu Pejabat Umno. Tugas beliau di ibu pejabat itu nampak senang, hanya menjaga ibu pejabat Umno berkenaan. Tetapi ia mempunyai risiko besar kerana semua fail dan dokumen penting di ibu pejabat Umno itu dikawal olehnya. Tugas itu juga memerlukan orang yang benar ikhas dan setia.

Tugas itu mungkin kecil kepada sesetengah pemimpin Umno hari ini. Malahan baik Muhyiddin Yassin, Najib Razak, Zahid Hamidi hatta Anwar Ibrahim sendiri dan lain-lain tiak pun tahu akan tugas maha penting yang diamanahkan kepadanya. Tetapi sayang tugas dan tanggungjawab beliau itu seakan tidak pernah dikenang. Selepas saja Umno kembali pulih beliau dilupakan begitu saja.

Soberi bukan seorang mengejar kedudukan dan pengkat. Baginya pangkat dan kedudukan hanya kebetulan saja. Baginya yang penting berkhidmat kepada parti. Beliau bukan seorang oportunis yang menanti buah yang sudah ranum. Dia seorang pekerja yang rajin. Jika boleh diibaratkan beliau seperti seekor beruk yang kerjanya memanjat pokok kelapa tidak lebih dari itu. Tengkuknya dijerat tali dan dia akan naik bila disuruh naik dan akan turun bila disuruh turun. Beliau akan bekerja walaupun tidak diberi makan dan minum. Beliau tidak akan 'hingguk' selongen atau menerkam tuan walaupun lapar.

Tetapi kenapa beliau akhirnya keluar dari Umno? Kenapa hari ini tiba-tiba beliau menghingguk selongen? Seperti mana jelasnya dalam sidang akhbar siang tadi beliau kecewa dengan Umno. Kekecewaanya bukan kerana kalah dalam pertandingan atau tidak diberikan kekayaan seperti orang lain, tetapi kecewa kerana tiada perubahan di dalam Umno walaupun Presiden parti beriya mahukan perubahan.

"Saya mengambil keputusan ini kerana kecewa dengan amalan yang berlaku dalam Umno hari ini yang tidak bingkas kepada kehendak Presiden parti," katanya. Menurutnya presiden parti telah berusaha keras untuk merubahkan atau melakukan transformasi ke atas Umno termasuk menukar budaya kronisme dan nepitome tetapi nampaknya hanya sia-sia saja.

"Jadi biarlah saya keluar dari Umno kerana saya tidak mahu kecewa." katanya. soberi merujuk kekecewaan itu kerana usahanya untuk memperbaiki parti dinafikan ini termasuklah tidak memberi peranan sewajarnya kepada beliau untuk berkhidmat dengan parti.

Tindakan itu juga katanya berlaku kepada mereka yang lain. Manakala sikap pilih bulu terus diamalkan dalam Umno di mana budaya ini menyebabkan Umno masih kekal ditakuk lama.

Memahami apa yang tersendak di dalam hati Soberi itu, keputusan dibuat itu kerana sangat kesal dengan sikap tidak mahu berubah dikalangan pemimpin parti berkenaan. Di sini Soberi merasakan usaha presiden itu sia-sia saja kerana tidak diambut oleh ahli. Jadi keadaan itulah mengecewakannya dan menjadi antara sebab kenapa beliau merasakan tidak perlu lagi berada dalam parti yang tidak sedia untuk berubah.

Sepanjang menjadi ahli Umno Soberi juga telah memegang berbagai jawatan dari peringkat bawah hingga peringkat nasional. Antaranya ialah beliau pernah menjadi setiausaha kerja Pergerakan Pemuda Umno Kelantan (1980 - 1986), Ketua Pemuda Bahagian Peringat (Ketereh) 1993. Ahlijawatankuasa Umno Bahagian Ketereh (2005 - 2008), ahli Biro Antarabangsa Pegerakan Pemuda Umno Malaysia, AJK Biro Kemiskinan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan lain-lain.

Dalam tahun 1996 beliau diberi amanah oleh parti bertanding dikerusi Dun Kadak tetapi kalah.

Ditanya apakah tindakannya selas ini dan parti mana yang akan disertai, Soberi menjelaskan buat masa ini beliau belum memikirkannya lagi. Bagaimana pun sebagai seorang pejuang beliau tidak akan menolak akan meneruskan perjuangan. Sementara itu difahamkan tindakan beliau keluar Umno hari ini adalah permulaan kepada satu grand design kepada satu perubahan yang turut melibatkan Umno Kelantan.

Waaupun beliau cuba menafikannya, tetapi dari sumber dipercayai pertemuan beliau dengan sekurang-kurangnya tidak ketua bahagian Umno dan empat timbalan ketua bahagian Umno Kelantan di ibu negara beberapa hari lalu memberi erti dan natijah tersendiri ke atas apa yang diambil hari ini. Ada sumber mengatakan tindakan beliau meninggal Umno terilham selepas pertemuan berkenaan? [wm.kl. 4:00 pm 01/11/10]

7 comments:

ahmadyani said...

Bila orang kecil dari Pakatan Rakyat keluar parti, mereka akan difokuskan oleh 'media umno' seperti orang besar yang keluar parti yang boleh meruntuhkan PR. Bila orang umno keluar parti, dia dianggap orang tidak berharga langsung, walau siapapun dia. Sebab itu berita ini tidak dibesarkan.

ANAFAKIR said...

Sejak saya mengikuti perkembangan Th.Hj.Soberi Safie ini dari awal2 dulu saya sebenarnya melihat terdapat satu peralihan kiblat politik dalam jiwanya.Th. Hj.Soberi dilihat seolah2 makin jauh hati dengan UMNO.Komen2nya dan tulisannya dalam blognya lebih menjurus kepada memihak kepada pihak opposisi kepada UMNO.Mungkin kemuncak penentangan ideanya terhadap UMNO itu bila hari ini beliau mengumumkan keluar UMNO..apa yang bakal berlaku selepas ini untuk dirinya atau impaknya kepada UMNO Kelantan hanya masa yang menentukan.Mungkin Th, Hj.Soberi Safie akan join PAS.Cuma jangan jadi seperti Salentia sudahlah.Tuan MSO kena jadi benteng agar tidak ada lagi orang politik yang menipu PAS menjadi salentia kedua...

LKTP1436 said...

Tidak akan memberi kesan apa-apa pun kepada Umno, tercalar pun tidak, luka jauh sekali......

john said...

Salam..

mintok maaf pak mso deh..ini pandangan ambo ore mudo, betul! dikalangan ore tuo/veteran mungkin kenal sapo Soberi nih, tapi pado pandange ambo ore mudo, meme umno tidok akan terimo kesan yang besar apo yang berlaku ni cumo sekadar 'ribut dale kopi' umno ketereh jah. Alasan dia kononnya kecewa dengan ahli umno yang tidak mahu berubah seperti kehendak presiden. Masalahnyo adokah presiden umno ni melakukan perubahan yang besar?..

NA_SR said...

sedih melihat umno...
transformasi yg amat payah utk dilakukan jika tiada kerjasama dgn ahli2 bwhn...

Anonymous said...

Assalammualaikum Pak MSO,
Akhirnya terbuka juga minda Pak Soberi. Saya sebelum ini selalu juga membaca tulisan di dalam blognya dan banyak juga bersetuju dengan ulasannya cumanya masa ketika itu mindanya masih lagi tertutup.

Ketika itu Pak Soberi masih lagi menganggap Umno segala2nya baik buruk atau baik. Bagi saya di Malaysia kita ada 3 parti yang mewakili orang Melayu, Umno, Pas dan PKR. (tengok saja calon PKR di Ijok, Hulu Selangor, Batu Sapi, Cheras dan bandingkan dengan calon Umno)

Dalam 3 parti ini, mereka sepatutnya bekerja untuk kita kerana kita yang mengundi dan memberikan kedudukan kepada mereka. Kita sepatutnya mengikut contoh masyarakat Cina yang menjadikan DAP dan MCA/Gerakan sebagai tunggangan mereka untuk mendapatkan sesuatu. Mereka tidak taksub dengan parti.

Ketaksuban harus dibuang dengan membuka minda seluas2nya. Untuk membuka minda banyakkan membaca (bacaan bermanfaat), mengkaji dan juga belajar dari para alim ulama, ilmuwan, dan budayawan supaya kita menjadi benar2 hebat. Di samping itu jika ada kemampuan berjalan ke serata dunia untuk membuka minda.

Akhir sekali saya ucapkan tahniah pada Pak Soberi, saya berharap selepas ini perjuangan lebih konsisten dan jitu. Selamat berjaya.

Al jufri said...

setuju dengan pendapat Ahmad yani...
ini awal lagi menunjukkan kerajaan Bn memang tak pernah adil..
dari segi peranan madea pun tak adil, pembahagian kekayaan negara pun tak adil...
sebab itulah segala kemiskinan yang ada hari ini adalah buka kerana parti Pr yang ambil alih..INI adalah hasil Yang DIWARISI dari Bn yang dah lama memerintah dgn tidak adil.