Broker Politik Dan Pemimpin Expired
AGAK lama saya tidak singgah di stesen politik awam di The Mall Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Petang tadi sepulang dari pejabat, singgah sekejap untuk menghilangkan haus perkenakan kopi dengan kueh sagu digumpal dengan kelapa parut. Di kampung saya kueh itu dinamakan 'sang gumpal'. Kalau bulan Ramadhan sang gupmal inilah yang menjadi kueh kegemaran ramai. Nik Aziz juga berahi kueh ini.
Di stesen politik ini tidak ada hari yang tidak ada broker politik dan peminat blog. Saya kata peminat blog sebab mereka hanya membaca blog tetapi takut untuk menulis. Kalau dengar ulasan dan assessment mereka mengenai sesuatu isu, gerun... kalah arwah Tun Dr Ismail ataupun Onn Jaafar atau pun Tun Razak. Mereka bukan setakat mengulas saja tetapi siap mengemukakan teori-teori politik yang Mahathir sendiri tidak pernah mendengarnya.
Apa lagi kalau yang bercakap fasal Melayu sampai bersembur air liur. Memberai jatuh ke dalam cawan kopi. Tegang urat sembereh dan merah bak bunga raya kuping telinga mereka. Merekalah seolah Melayu tulen di tanah Malaya ini. Seolah-olah mereka adalah keturunan Onn Jaafar, Panglima Bukit Gantang ataupun Mat Kilau atau Tok Janggut. Merekalah penjaga tanah Melayu ini, dan melangut di The Mall dari tengah hari hingga shopping complex itu ditutup sebahagian daripada komitmend mereka untuk mempertahankan Melayu.
Itulah antara lagak dan gelagat para broker politik yang selalu singgah ataupun menjadikan perkarangan The Mall sebagai jelumun politik mereka. Kerana kedudukan The Mall antara dua buah hotel, ia juga menjadi tempat singgah ahli politik dan wakil rakyat untuk release tension mereka, atau pun mendapat maklumat terbaru dari para bloger, permerhati dan broker politik.
Yang duduk berceratuk di situ menyamar jadi bloger dan broker politik juga para SB. Mereka duduk perhatin dan dengar segala macam percakapan dan mengambil segala macam maklumat atas angin. Mana-mana yang cakap anti Melayu ataupun perkauman menebal akan dirakam ataupun di mark dalam buku note.
Petang tadi juga tidak ketinggalan stesen itu tetap dikujungi. Di satu meja kelihatan muka-muka yang sudah basi, turut meloggok di situ. Tenguk gaya mereka duduk disitu sudah lebih tiga jam. Berceratuk cawan dan gelas air. Absbak pula sudah penuh dengan habuk rokok.
Mereka membikin dan membuat pelbagai analisa megenai politik semasa. Selain mengenai kekalahan Pas di Galas dan kekalahan PKR di Batu Sapi, mereka juga ulas mengenai keadaan PM Najib Razak yang sakit belum kebah-kebah lagi. Di satu meja memperkatakan mengenai kesihatan PM, tetapi seorang pun tidak bertanya tentang Khir Toyo yang dimasukkan ke hospital disebabkan serangan denggi dan juga seorang ahli Parlimen bebas yang terlantar kerana pembedahan jantung.
Selalunya yang berlonggok di sini kesemuanya penyokong Umno atau mereka yang bertaukehkan kepada politician Umno. Puak Pas dan PKR tidak berlonggok di sini. Bagaimana pun kalau didengar percakapan mereka, kebencian dan marah mereka kepada Umno melebehi atau lebih zalim dari kemarahan broker Pas dan PKR. Misalnya seorang pelanggut bergelar prof terang-terang membayangkan nasib Umno dalam pilihan raya ke-13 kelak akan jadi macam pisang abu.
Tahu pisang abu, pisang hutan yang rasanya kelak tetapi sedap kalau direbus, maupun dibakar ataupun digoreng. Katanya, kalau tidak percaya sama-sama kita tengok nanti, Umno akan jadi macam pisang abu. Semua orang sudah tidak mahu kepada Umno. Yang bercakap mahu kepada Umno hanya semasa berada di dalam Dewan Merdeka, itu saja. Tunjuknya ke arah bangunan PWTC tempat Umno berhimpun yang jaraknya tidak sampai 600 meter dari stesen politik itu.
Sebenarnya enak juga duduk di stesen politik The Mall itu boleh dengar macam-macam cerita dan juga hemburan broker Umno kepada parti mereka sendiri. Apakah ini menunjukkan Umno sudah terlalu busuk dan berbau benar?
Baru saya nak bingkas bangun untuk pulang, tiba-tiba sampai Sabree Shafei, seorang tokoh dan penggila Umno nombor satu pada tahun 70an, 80an dan 90an. Dia ini baru mengumumkan keluar dari parti keramat itu minggu lepas. Sekejap kemudian sampai pula bekas ketua Pemuda Umno Tanah Merah, Supardi, anak saudara kepada arwah Hashim Safin.
Entah disapa angin apa, tiba-tiba saja Supardi naik angin tidak semena-mena jadi marah-marah kepada seseorang. Mulanya saya tidak berani menyapanya dan ingin mengetahui siapa yang dimarahinya. Selepas dia agak tenang baru saya berani bertanya.
"Apa masalahnya?" tanya saya. Supardi tidak segera menjawab, tetapi dijawab oleh salah seorang yang berlonggok di situ. "Ada orang kata dia sudah expired, tidak laku lagi di Tanah Merah,"
"Expired atau tidak sama-sama kita tengok nanti, saya nak balik ke Tanah Merah dan kita bertewas panggil orang, sapa yang ramai," kata Supardi masih marah. "Saya mungkin tidak boleh menang, tetapi saya boleh mengurangkan undi, anak beranak saya ramai, di Kemahang saja, lebih 6,000," katanya.
Saya masih tidak tahu hujung pangkal kenapa Supardi jadi murih begitu. Selepas diterang baru saya tahu bahawa Supardi marahkan kepada salah seorang pemimpin Umno Tanah Merah yang tercelupar mulut mengatakan dia sudah expired. Katanya orang itu sudah memohon maaf kepadanya dan mengaku tidak mengeluarkan perkataan itu.
"Saya dah lama mendiamkan diri, bang... tetapi bila ada orang sentuh saya, saya jadi bersemangat semula. Rasanya di Tanah Merah saya masih ada penyokong. Apa kata kalau saya balik bertanding semula di Tanah Merah, bang, guano?" katanya menjelaskan dia terasa dengan kata-kata itu. Nampak gaya gurisan dihatinya sukar untuk sembuh. Dia semacam mahu membuat come back di Tanah Merah.
"Bang, saya berani kata, kalau Pengkalan Chepa Umno boleh menang, di Tanah Merah Umno kena kalah lagi," kata Supardi merujuk kepada Umno bahagian Tanah Merah yang sudah jadi macam koleh.
Kata-kata itu menjelaskan akan kekeduan hatinya dengan kata-kata itu tidak mudah sendik. Supardi bukan sebarangan orang sebenarnya. Satu masa dulu Tanah Merah semacam sebuah kerajaan kecil yang dirintah bersama bapa saudaranya Hashim Shafin. Jadi kalau ada orang Umno melupai akan jasa-jasanya ia adalah satu kesilapan. Satu kecelakaan besar kepada tuan tubuh yang memburukkannya.
Seperti katanya sebagai orang lama, banyak berjasa, beliau juga masih ada penyokong setia. Dicampur dengan waris warahnya, Supardi boleh menentukan kalah atau menang Umno di Tanah Merah. Demikian bisanya Supardi. Mungkin pihak yang kurang menyenangkan dan menganggap dia sudah lupus tarikh boleh menguji sejauh mana kebenaran hakikat ini.
Jadi adalah satu kesilapan kalau orang Umno terutamanya tokoh baru seperti Ikmal Hishan, ketua Umno sekarang buat tidak peduli kepada Supardi atau orang-orang sejenis dengannya. Dan inilah sebab kenapa Umno di Kelantan kalah kerana mudah melupai jasa dan pengorbanan orang terdahulu. Mudah anggap orang dahulu expired dan tidak berguna lagi. Antara sebab yang menghiris jiwa Sabree Shafii keluar Umno juga kerana masalah kurang peka ahli atau pemimpin kepada orang-orang yang expired dan sakit lutut sepertinya dan supardi itu. [wm.kl. 10:00 pm 11/11/10]
1 comment:
Dari segi pengaruh mungkin benar la Datuk Supardi itu dah expired.Dia pernah ingin comeback dgn UMNO Tanah Merah tetapi tidak cukup pencalonan.Pengaruh Datuk Ikmal begitu kuat [ tak tau la pengaruh apa..] sehinggakan lawannya tidak mampu untuk mendpt cukup pencalonan.Masa Arwah Ayah Sin ada [ Datok Hashim Safin ] pernah juga Ayah Sin tidak cukup pencalonan unuk jawatan Ketua Bahagian,nasib baik Datuk Ikmal [ masa tu belum 'datuk' lagi ] digantung keahlian maka tidak layak bertanding,Ayah Sin dapat kekal jawatan Ketua Bahagian.
Selepas arwah Ayah Sin tiada,legasi Datuk Ikmal mula memperkukuhkan pengaruh mereka.Satu sahaja kehebatan Datuk Ikmal ini untuk pengetahuan semua..Dia berjaya membina pengikut2nya menjadi kaya dan mewah sepertinya.Bukan sekarang,dia melaksanakan ini sewaktu dia bergelar ketua pemuda dahulu lagi.Sedikit demi sedikit pemgikutnya bertukar watak dari manusia biasa2 menjadi luar biasa,kaya dan bergelar usahawan dan kontraktor berjaya.Itu kehebatan dia.Dari hari ini,Datuk Ikmal sedang dipagari konkrit yangk kukuh.Pengaruhnya kuat.Kalau dia tidak punya 'fulus' maka itu bukan perkara besar lagi kerana bala tenteranya bila-bila masa sudi 'menderma'.
Jarang pemimpin yang sanggup memberi kekayaan utk pengikutnya kecuali memberi secara gantung [ tidak lepas semua takut akan lawan tokey ] tetapi Ikmal tidak begitu,dia letakkan kepercayaan kepada anak buahnya.Dan hari ini ada yang asalnya anjir kurap,kucing berkudis buta suatu masa dahulu, kemudian menjadi kaya,kereta mewah bukan sebiji, pernah ada kuasa dan kedudukan hari ini ada yag menentang Ikmal namun Ikmal rela dan redha dgn apa jua jasa yg pernah dia hulurkan. Mereka yang diumpamakan melepaskan anjing tersepit itu galak menyalak Ikmal,namun anjing menyalak bukit,apa kesannya.
Empayar kuasa bersama empayar ekonomi kumpulan Datuk Ikmal cukup besar.Sejak akhir2 ini,nama-nama besar dalam bidang perniagaan yg berasal dari Tanah Merah sudah rujuk semula dengan Ikmal.Mungkin sifatnya yang mengamalkan politik berbaik-baik sudah menarik dan melembutkan hati musuhnya.
Datuk Supardi kalau ingin comeback akan melalui jalan sukar jika ingin bergelar pemimpin utama UMNO Tanah Merah tetapi kalau untuk mengalahkan calon-calon UMNO dalam PRU untuk Tanah Merah,rasanya Datuk Supari mmg mampu kerana musuh UMNO dan Ikmal di Tanah Merah ramai juga.Selain musuh dari PAS,PKR, ada juga musuh dalam selimut..
Ikmal hanya punya kuasa dan kekuatan untuk UMNO Bahagian sahaja namun untuk menang pilihanraya..bukan calang2,Tanah Merah sudah menjadi raja cah keting pemilihan calon dan pilihanraya..selamanya.
Post a Comment