Saturday, November 27, 2010

Menyorot Kongres PKR

Kenapa Marah Bila PKR Puji Anwar?

APABILA Dr Muhammad Nur Manuty memuji Anwar Ibrahim sebagai insan yang dianugerahkan Allah kepada rakyat negara ini untuk menjadi pemimpin ada pihak yang tidak berkenaan, melenting dan marah-marah. Merasakan rumusan sebagai menghormati dan menyatakan kekaguman kepada Anwar itu sebagai melampau.

Mungkin iannya tidak menjadi masalah kalau insan yang diangkat darjat itu, Mahathir Mohamad ataupun Najib Razak. Kalau Abdullah Badawi sekalipun ia mungkin juga canggung kandatipun Abdullah lebih perlu dirasakan bertuah oleh rakyat negara ini berbanding dengan Mahathir dan Najib.

Begitulah apa yang berlaku bila mana presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail semasa menyampaikan ucapan dasar presiden pada kongres ke-7 PKR, menyebut Anwar (suaminya) adalah anugerah Allah tidak ternilai untuk rakyat negara ini yang perlu diambil kesempatan oleh seluruh rakyat.
Mungkin bagi mereka yang tidak berkenaan dan benci dengan kesimpulan Muhammad Nor Manuty itu lebih merasa adil kalau Azizah memuji Zaid Ibrahim juga sebagai anugerah untuk membuat kacau dalam PKR. Atau memuji Ezam Mohamad Noor dan para kaki sepak kertas lain sebagai anugerah tidak ternilai untuk menghancurkan PKR.

Jika diamat-amati secara dingin dan tawaduk pernyataan Azizah itu memang benar. Bahkan benar juga kalau Najib atau Mahathir disebut sebagai anugerah Allah. Kerana pada hakikatnya semua orang adalah anugerah Allah. Tetapi ianya dalam bentuk dan versi berlainan. Mungkin Mahathir dianugerahkan untuk menentang Anwar habis-habis dan menjadi antogonis dalam politik dan demokrasi negara ini. Manakala Zaid dan Ezam pula adalah pengikut sang antogonis itu.

Maka apakah salahnya dengan kenyataan itu? Dalamn konteks PKR, Anwar memang dianugerah Allah kepada parti berkenaan. Kalau dia bukan pemimpin anugerah, mungkin sudah lama beliau kojol. Hanya orang yang kuat semangat, berani dan tidak berputus asa saja untuk jadi pemimpin. Mereka yang lemah, mudah merasa kalah dan singkat pemikiran tidak layak jadi pemimpin malahan tidak layak pun berada dalam padang perjuangan.

Apa yang tidak pernah berlaku dan dilakukan terhadap Anwar? Dipukul, ditelanjang, diaib, diseksa... semuanya dilakukan. Kemalangan itu tidak pernah kunjung padam. Sejak di zaman sekolah (remaja) hingga ke zaman bergelar datuk. Calang-calang orang yang boleh survive sepertinya. Ramai kawan-kawanya sudah pencen, terawan-awanan atau pun lari dan menjadi gila, namun beliau masih utuh dan mendapat tepukan bergemuruh di pentas mana-mana jerung sekali pun. Bukankah itu satu anugerah?

Saya tidak mahu bercakap mengenai serangan ke atas Anwar yang tidak akan kesudahan. Saya percaya selagi Anwar tidak mati ia akan diserang. Selagi mayatnya tidak dikebumikan dan dua batu nisan dipacak atas pusaranya beliau akan dipalu semahunya. Kenapa beliau terus diserang, sebabnya mudah, sebab kehebatan dan kebisaannya. Sekiranya Anwar tidak berada di martabat itu sudah lama beliau ditinggalkan dan dibiarkan bermain dengan rambut dan janggutnya sendiri.

Pembukaan kongres penuh hari ini menjelaskan akan kekuatan dan kemampuan PKR. Bahawa parti itu masih ada kekuatan dan ada political will. Walaupun ianya diserang, disabotaj tetapi ia masih berdiri dan berseru kepada rakyat. Semangat yang ada dalam PKR adalah jelmaan semangat Anwar, maka itu ia tidak mudah sirna walaupun badai datang membedal. Seruan lawan tetap lawan, lawan sampai menang akan terus bertakhta di dalam hati setiap ahli yang cintakan perubahan.

Lebih 1,200 perwakilan dari seluruh cabang hadir memenuhi dan mengamati dewan. Sementara lebih 3,000 pemerhati yang terpaksa mengikuti persidangan dari skrin tv kerana ketiadaan tempat. Dewan sivik MBPJ penuh sesak dan sendak. Suasana ini menunjukkan mereka masih mempercayai kepada PKR dan dagahakan kepimpinan Anwar.

Dalam pengamatan saya sepintas lalu, memang sudah tiada kelihatan beberapa muka lama yang bersama PKR yang sama-sama menjaja jalan berdemonstrasi. Setengah mereka sudah bertukar wajah dari putih kepada hitam dan kelabu. Muka-muka yang pernah berdemonstrasi di Jalan Tuanku Abdul Rahaman sudah hilang. Tetapi kehilangan itu tidak mengecilkan PKR. Sebaliknya ia menjadi semakin subur. Serangan balas mereka menjadi baja dan pupuk untuk memperkuasa dan memperkasakan PKR.

Ini kerana muka lama itu diganti dengan wajah baru yang lebih berseri dan mempunyai komitment dan hati yang lebih ikhlas.

Banyak muka yang tidak dikenali. Mereka ini adalah orang yang baru memberanikan diri. Kalau sebelum ini mereka mengintai demonstrasi dari atas pejabat dan melaungkan reformasi dalam hati, dengan mendengar ucapan Anwar menerusi CD atau you tube, tetapi kini mereka sudah berani ke depan, turun ke padang untuk menggabungkan diri dengan reformis yang berani dan cekal. Kejengkilan mereka kepada retorik Umno menjadikan mereka berani dan sedia mengorbankan diri.

Tidak mengapa mereka bukan pemidato, atau mempunyai suara lengkingan yang tinggi. Tetapi wajah mereka, personaliti mereka dan kewajaan hati mereka jauh lebih tinggi dan tulus dari mereka yang kuat melaung dan memuja Anwar satu masa dulu dan kini berpaling tadah menjeler lidah ke bumi untuk menghirup semula kahak yang berlendir di longkang.

Bersama saya ke kongres tadi ialah dua muka baru yang sedia memperhambakan diri kepada PKR. Kedua mereka adalah asal Umno. Mereka tidak sekaya Zaid Ibrahim atau sepetah Ezam Mohammad Noor, tetapi saya yakin mereka mampu membantu PKR dan Anwar. Mereka sedia mengorbankan segala untuk bersama PKR bagi melakukan perubahan dan reformasi terhadap sistem pemerintahan yang diragui dan membebankan kini.

Menyimpul kongres semalam ia menandakan dengan jelas yang PKR semakin kuat dan sokongan ke atas Anwar semakin padu. Kekacauan dan serangan dari kalangan penyepak kertas dalam PKR dulu bukan melemahkannya, sebaliknya menjadikan PKR semakin kuat, matang dan berambisi untuk menuju ke Putrajaya.

Demikian juga proses pemilihan yang cuba digambarkan sebagai kemelaratan dan kemeranaan PKR, tidak menjadi sama sekali. Ahli dan penyokong PKR bukan pandir menerima segala hidangan media anti pembangkang sebaliknya mereka lebih cerdik dan pintar untuk tidak mempercayai segala laporan itu.

Sebaris pesanan dan peringatan Dr Wan Azizah yang dirasakan wajar dijadikan pedoman dan azimat kepada setiap ahli dan penyokong PKR terutama mereka yang terlibat dalam pertandingan jawatan. Kata Wan Azizah, semua mereka yang bertanding tidak ada yang kalah. Semuanya menang.

Kekalahan hanya ada kepada musuh dan bukan kepada ahli PKR. Memang benar bagi mereka yang ikhlas dan setia kepada perjuangan tidak akan mudah merasa sedih dan hina bila kalah dalam sesuatu perlawanan dalam parti. Perlawanan dalam parti untuk memilih siapa di depan saja. Ia tidak lebih dari itu. Tidak ada guna menang dan berada di depan kalau di belakang kosong dengan soldadu dan laskar.

Menghayati falsafah Azizah itu bermakna semua orang dalam PKR baik yang kalah dan menang sama-sama penting. Berlawan mencari ikhtiar untuk menewaskan musuh dan bukannya berlawan untuk memberi ruang kepada musuh menghentam dan membalun diri sendiri.

Pembukaan kongres semalam juga turut dirai sama oleh beberapa pemimpin tertinggi Pas. Antara mereka Naib Presiden, Sallahuddin Ayub dan Mahfuz Omar. Juga kelihatan Dr Zulkefli Ahmad. Dan paling merujakan saya apabila Sasterawan Negara A Samad Said juga turut sama hadir untuk memerhati dan sudah pasti memberi dokongan semangat kepada perjuangan rakyat. [wm.kl. 5:00 pm 27/11/10/

3 comments:

anakzaman said...

Tuan MSO,

Bersemangat terus apabila membaca maklumat mengenai PKR yang telah tuan sampaikan.

Melihat kaca TV di negara ini,sememang tidak ada harapan PKR hendak hidup kerana melihat ruangan dan kerusi dalam dewan MBPJ digambarkan kosong. Amat berlainan laporan yang tuan berikan.
Muka penyokong kuat dari kalangan orang ternama seperti sasterawan negara langsung terlidung.

Bagitulah peranan media,yang labelkan kononnya media arus perdana di negara ini, dipunyai oleh satu parti sahaja.Serupa peranan Harakah dan Suara Keadilan.

Bernasib baik ada blog seperti blog tuan melaporkan kepada kami dihujung negara ini maklumat sebenar.

Terima kasih tuan MSO.

JBS said...

Salam Tuan MSO. Bagi saya, tiada rotan akar pun berguna. Pemimpin sebagaimana lagikah para pendukung Keadilan kehendaki lagi, di dekad ini bila mana harta kekayaan dan wang ringgit lebih tinggi nilainya daripada maruah? DSAI ialah insan pilihan di dekad ini. Masih adakah lagi bakat-bakat lain yang boleh memusnahkan kezaliman dan korupsi di negara ini dengan bakat dan hujah yang begitu sistematik dan berkesan? Jika ada pun masih suam-suam kuku sahaja. Oleh itu teruskan perjuangan anda DSAI, kami sebagai ahli bawahan sentiasa menyokong kuat perjuangan ini, walaupun pemimpin datang dan pergi namun tunjang Keadilan masih tetap bersama kami. Untuk Tuan MSO, melayari blog anda masih menjadi pilihan utama kerana ulasan yang sederhana dan berkarisma. Terima kasih.

primehonda said...

Salam,

Terima kasih pak mso kerana ulasan yg membakar semangat ini.kalau tengok di tv atau baca akhbar seolah2 esok pkr bubar. terus terang saya katakan, selain dari media pro-pembangkang, saya hanya percaya dgn ulasan blogger terutama pak mso kerana tuan amat jujur menceritakan hal sebenar. kalaulah boleh ulasan tuan ini dicedok sebanyak2nya oleh ramai org dan siarkan di facebook, majalah2 atau apa saja biar dibaca oleh rakyat kita. mereka dah lama sgt tertipu..