Monday, November 8, 2010

Ulasan Berita

Sekuman Pun Tidak Terkejut
Dengan Tindakan Zaid


DALAM perjalanan ke pejabat pagi tadi (aik.. ada pejabat pulak?) saya menerima SMS dari seorang Exco Kelantan yang memperpanjangkan berita ringkas dari sebuah portal berita melaporkan mengenai Zaid Ibrahim yang telah mengumumkan meletakkan semua jawatan dalam PKR dan menarik diri dari bertanding jawatan timbalan presiden?

Sesampai di pejabat (di mana pejabat?) saya tidak pun peduli kepada SMS berkenaan. Saya sibuk sikit hari ini dengan urusan pejabat yang belum selesai. Selepas itu beberapa orang telefon bertanyakan berita mengenai Zaid. Rupanya berita itu sudah kecor (heboh) ke seluruh negara. Paling menyayat hati ialah panggilan dari salah seorang Ajk PKR Cabang Wangsa Maju, Baharuddin.

Malam tadi Baha bercakap panjang dengan saya bertanyakan mengenai sesiapa calon timbalan presiden PKR yang elok perangai dan patut dipilih. Saya jelaskan kepada Baha yang ketiga-tiga mereka tidak berapa menarik kepada saya. Zaid seorang yang arrogeant, agah kata orang Kelantan, dia agah dengan kedudukannya sebagai lawyer dan merasakan dia cerdik dalam serba serba. Dialah merasakan dia bersih dan benar dan jauh sekali korup.

Azmin Ali pula... juga agah. Dia merasakan dia anak emas kepada Anwar Ibrahim dan orang yang kuat membantu Anwar menghidupkan parti PKR. Dari segi umur dalam PKR Azmin lebih tua dan lama daripada Zaid yang baru setahun jangung, kata saya.
Sebab itulah Azmin merasakan dia layak.

Manakala Mustapa Kamil Ayub pula, lebih kurang saja. Cuma Mustapa dibezakan oleh janggut sejemputnya. Laga dan fiil beliau juga lebih kurang Zaid dan Azmin. Penampilan Mustapa ini penampilan cendekiawan. Walaupun Mustapa agah, agah tidak berpitis (berwang) seperti Zaid dan Azmin, kata saya. Mustapa lebih menampakkan dirinya Islamik sikit berbanding dengan lebih-lebih lagi Zaid.

Di sepanjang pemilihan timbalan presiden tidak ada laporan dan bisikan mengatakan Mustapa main wang - rasuah ahli agar mengundinya. Sebaliknya banyak SMS dan bisikan mengatakan Azmin dan Zaid sama hebat main wang. Seorang wakil rakyat PKR dari Kelantan memberi tahu saya ada gambar menunjukkan Zaid menghulurkan wang kepada ahli.

"Jadi siapa yang kena pilih?" tanya Baha sudah mula kebingungan. Mulanya dia orang Zaid kerana dia dari kawasan Wangsa Maju.

"Pilihlah sesiapa di antara ketiga mereka itu. Tetapi kawan (saya) nak royak yang Zaid akan kalah dalam perlawanan ini. Kalau dia kalah dia akan tinggal parti, tak percaya tenguk lah nanti?" jawab dan balas saya sungguh. Baha jadi semakin bingung. Firasat saya sudah merasai hakikat itu lama sebelum ini. Baca balik posting saya yang memberi ingatan agar kedua mereka jangan jadi petaka kepada PKR.

"Habis lagu mana kalau begini, rosak parti," katanya kesal dan keluh di hujung telefon.

"Kawan dah kata dan memberi ingatan kepada Zaid dan Azmin jangan sampai jadi petaka kepada PKR," kata saya kepada Baha. Baha jadi tambah bingung dan berjanji untuk sambung berkecek hari ini.

Nampaknya rancangan untuk berkecek (bertemu) dengan Baha mengenai calon timbalan presiden PKR tidak jadi. Zaid sudah pun tarik diri dan letak semua jawatan. Persaingan kini antara Azmin dengan Mustapa Kamil. Kedudukan kini pula Azmin sudah meningalkan Mustapa Kamil jauh di belakang. Semacam sudah sah Azmin akan jadi timabalan presiden. Suka tidak suka itulah yang ada. Azmin sangat seronok dengan tindakan merajuk Zaid itu.

Kesian kepada Mustapa Kamil. Kalau Zaid ambil keputusan awal, dengar nasihat saya supaya jangan bertanding, mungkin dia ada harapan. Undi Zaid akan belot kepada Mustapa Kamil. Tetapi nasi sudah menjadi bubur, Zaid bukan saja mengecewakan pengikutnya tetapi turut mengecewakan Mustapa Kamil. Tentunya juga melukai hati Anwar Ibrahim sekali. Apalah malang nasib Anwar apaklah ini sebahagian kifarah Allah?

Apa yang hendak dikatakan dengan tindakan Zaid ini? Bagi saya senang saja. Zaid tidak layak untuk menyertai mana-mana parti politik dalam negara ini. Sebabnya... tidak ada parti yang perfect, sempurna dan syumul yang diimpi-impikan Zaid. Cara Zaid mengkritik orang lain dan partinya itu seolah-olah beliau mengharap akan ada parti yang bersih turun dari langit atau datang dari syurga. Zaid terlalu idealis mengenai hal ini. Pencarian Zaid itu sia-sia saja kerana manalah ada gula dalam jadam.

Zaid memang seorang kritis, tegas dan bersih. Beliau merasakan dirinya sesuci embun pagi. Jadi parti politik di Malaysia ini baik Umno, baik PKR hatta Pas sendiri tidak sebersih embun pagi. Semuanya ada tipu muslihat, apa lagi ketika ada pertandingan. Bezanya sikit atau banyak besar atau kecil saja.

Umno tidak usah ceritalah. Zaid sendiri turut sama terlibat dengan kekotoran dan cara Umno berebut jawatan. Dia pernah jadi orang Umno. Dia pernah digantung kerana telibat dengan politik wang. PKR juga asalnya orang Umno. Cara Umno, budaya anjing tak makan tahi tetapi hidu tahi tetap ada dalam PKR. Jadi apa nak peliknya? Zaid tidak perlu terkejut kalau berlaku penyelewengan seperti mana dia katakan itu sebab PKR adalah genetik Umno. Sebelum dia kesal dan kecea patutnya dia sudah merasai situasi itu kerana dia kenal Umno.

Dari awal sejak mula berbual dengan beliau secara rapat, saya sudah nasihatkan beliau supaya jangan cepat menyertai PKR. Beliau kena tunggu dan lihat dulu bagaimana perjalanan, gerak geri dan juga denyut nadi dalam Umno. Jangan mudah terpesona dengan kehebatan dan variasi PKR. Tetapi Zaid tidak sabar dan mempedulikan apa yang saya sebutkan. Dia nampak PKR adalah alternatif kepada Umno. Kemenangan besar PKR dalam pilhan raya umum menjadikan dia lupa bahawa PKR asalnya Umno?

Maka dia mengumumkan masuk PKR di satu majlis di Sungai Ramal, Cheras. Bila dia membuat pengumuman, saya tidak dapat berkata apa-apa lagi mengenai dirinya. Dia sudah membuat pilihan dan itu adalah haknya. Saya hanya tunggu dan mahu melihat sejauh mana kekuatan dan kesabarannya untuk mendaki gunung siasah bernama PKR.

Saya sudah bayangkan ia bukan senang untuk Zaid sampai ke puncaknya. Banyak sebab. PKR bukan sebuah syarikat yang boleh dimanipulasikan Zaid dengan undang-undang, moral dan kredibilitinya untuk memilikinya. Wang yang banyak tidak menjamin dia akan dapat membeli PKR.

Apabila kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong, dia ada bertanyakan saya. Dia membayangkan mahu bertanding atas alasan dia kena berada dalam Parlimen untuk membantu Anwar. Katanya wakil PKR yang ada semuanya tidak bertenga dan kuat untuk membantu Anwar. Ewah... sedap bunyinya. Saya kata, lebih baik tidak payah. Alasan saya, dia akan kalah, kedua dia akan dimarahi oleh orang lama dalam PKR, dan ketiga dia akan 'kehilangan' wang dalam pilihan raya itu.

Mulanya dia diam. Mungkin menerima pandangan saya. Lepas itu dua tiga hari panggil saya lagi dan minta pandangan. Saya tetap mengatakan jangan, sebab dia akan kalah. Dia cuba bahas, katanya ada perubahan dalam minda rakyat kini. Rakyat sudah bencikan BN. Saya kata kalah. Bila dia nampak berkeras nak juga, saya tidak ada pilihan lain melainkan menghalaknya. Saya memberi semangat pulak.

Mari pula musim bertanding jawatan dalam PKR. Dia sekali lagi menghubungi untuk minum di Bangsar. Percakapan berkisar kepada masa depan Anwar. Dia memberi pandangannya yang Anwar akan di penjara disebabkan kes liwat. Dia cukup yakin! Bila Anwar masuk penjara siapa nak gerakkan PKR, tanyanya. Baginya tidak ada tokoh yang layak yang ada dalam PKR kini. Saya sudah faham dia mahu bertanding jawatan tertinggi dalam parti berkenaan dengan harapan akan jadi presiden PKR.

Saya memberi pandangan sekali lagi secara ikhlas agar jangan bertanding. Bagi saya dia sudah cukup istimewa dalam PKR. Sudah ada jawatan penting tidak payah temoh (tamak) untuk jawatan tinggi. Dia sudah dilatik ajdi Ajk Biro Politik, Penyelaras Pakatan Rakyat, dilantik jadi Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan dilantik (pilih) pula jadi pengerusi PKR Cabang Wangsa Maju. Dia harus tumpukan kepada jawatan dan tugas itu. Saya membayangkan kalau berlaku pertandingan PKR akan mengalami perpecahan, ini satu kemalangan dan kecelakaan kepada PKR.

Belliau bergerak ke Wangsa Maju kerana nak bertanding di sana dalam piliahan raya akan datang. Sebelum ini dia memasang angan-angan untuk kekal di Hulu Selangor. Nak jaga dan suburkan PKR Hulu Selangor. Dalam masa sama juga dia berangan-angan untuk bertanding di Kota Bharu. Penjualan bangunan Umno Kota Bharu adalah modalnya untuk menawan hati orang Pas Kota Bharu. Saya pening melihat sikap Zaid ini dan makin mengenali perangai dan fiilnya.

Dia seorang yang tidak isriqamah dan gelojoh dalam membuat keputusan. Tidak berhati-hati dan membuat selidikan mendalam akan kesan dan implikasinya. Jiwanya tidak tenang. Jauh sekali memiliki jiwa mutmaninah! Dia lorat tidak tentu fasal. Saya tidak tahu apakah yang sedang bermain di dalam jiwanya. Mungkin tindakan beliau meletak jawatan dan tarik diri bertanding untuk membolehkan dia mengembalikan dirinya kepada ketenangan semulajadi. Baguslah...

Tetapi tindakan itu sudah terlewat. Ia akan ditengok dan disuluh sebagai orang yang kecewa. Tohmahan kepada PKR sebagai parti yang lemah, tidak progresif, tidak adil dan sebagai kebusukan itu adalah balikkan daripada apa yang ada kepada dirinya. Selepas ini kalau Zaid ingin menyertai mana-mana parti usahlah layan beliau. Lebih elok Zaid tubuh parti sendiri dan lantik diri sendiri untuk jadi presiden itu lebih afdal dan memudahkan untuk beliau mencapai matlamatnya! Atau beliau boleh memperhebatkan kebajikan menerusi Yayasan Kota Bharu milik isterinya [wm.kl. 8:00 pm 08/11/10]
Post a Comment