Sunday, May 8, 2011

Susupan Tengah Malam

Yayasan Sultan Kelantan Dilancar

SEKEJAP tadi saya menghadiri majlis perlancaran Yayasan Sultan Kelantan dan santapan malam bersama Sultan Mohamad ke-V bertempat di Pusat Konvensyen KLCC, Kuala Lumpur.

Sepanjang hidup saya baru dua kali saya menghadiri majlis santapan malam melibatkan sultan Kelantan. Kali pertama ialah pada tahun 1986 bertempat di hotel Istana Kuala Lumpur. Ketika itu Sultan Kelantan ialah Tuanku Ismail Petra.

Majlis itu dianjurkan oleh Pakatan Kelantan Darul Naim (Pakatan) - pertubuhan yang dianggotai oleh anak-anak Kelantan yang berada di KL, terutamanya mereka yang memegang jawatan besar dalam kerajaan, ahli korporat dan politik.

Pakatan ketika itu sungguh hebat dan menjadi payung kepada anak-anak Kelantan. Bagaimana pun gah dan kehebatan akhirnya pudar apabila ia tidak lagi bertindak menjadi sebuah persatuan kebajikan sebaliknya menjadi salah satu 'sayap dalam' kepada Umno.

Manakala kali kedua majlis santapan bersama Sultan ialah baru sekejap tadi, majlis makan malam bersama Sultan Mohamad Ke-V bersempena dengan pelancaran Yayasan Sultan Kelantan. Majlis yang berlangsung sekejap tadi sungguh hebat dan meriah sekali. Ia mencerminkan ikatan kekeluargaan dan persaudaraan sesama anak Kelantan masih kental dan utuh. Lebih 2,000 para tetamu yang hadir termasuk para pesara kerajaan yang jarang jarang kelihatan lagi akhir-akhir ini.

Terharu saya melihat kehadiran yang begitu ramai. Sambutan terhadap majlis berkenaan sebagai menyatakan sambutan ke atas Tengku Muhammad Faris Petra yang kini menaiki takhta kesultanan Kelantan. Jelas dari wajah-wajah yang hadir menggambarkan kegembiraan dan penghormatan tinggi kepada Tuanku Sultan Kelantan.

Melihat kepada pameran kecil mengenai aktiviti baginda sejak menaiki takhta masing-masing menyatakan gembira dan kagum kepada keperihatinan Tuanku. Penampilan baginda secara sederhana menyebabkan rakyat dapat merasai baginda benar-benar sultan yang berjiwa rakyat, dan mempraktikkan aspirasi berkenaan.

Hampir semua orang-orang penting di Kelantan hadir terutamanya para pegawai kerajaan negeri dan pemimpin parti politik. Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exconya hadir bersama isteri masing-masing. Begitu juga wakil rakyat juga kelihatan sama.

Antara wakil rakyat yang hadir Wan Ismail Wan Jusoh (Adun Melor), Nasarudin Daud (Adun Meranti), Abdullah Yaacob (Air Lanas).

Kalaupun yang tidak hadir atau ternampak oleh mata saya hanya Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Annuar Musa. Tidak ada kelibat beliau yang saya nampak dan juga namanya disebut. Semasa beberapa orang naik ke pentas menyerahkan sumbangan untuk Yayasan Sultan Kelantan, tidak disebut nama Annuar Musa.

Begitu juga dengan bekas Presiden MTRK, Ibrahim Ali. Biasanya kalau dalam majlis-majlis makan malam melibatkan sultan begini Ibrahim kelihatan berada di meja vvip paling depan. Tetapi kali ini tidak kelihatan wajah bulat Ibrahim. Seorang lagi orang penting yang seharusnya tidak mis hadir ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Nama dan wajah Tengku juga tidak kedengaran disebut atau terpandang dek mata saya.

Kehadiran yang ramai malam tadi jelas menandakan sokongan kepada usaha Sultan Mohamad Ke V untuk mencari dana bagi membantu rakyat Kelantan yang memerlukan. Seperti mana kata Pengerusi Yayaysan berkenaan Tengku Abdul Halim, kebajikan untuk rakyat Kelantan bukan saja terletak ditangan kerajaan, tetapi pihak lain termasuk institusi kerajaan Kelantan juga ikut sama berperanan.

Penubuhan Yayasan Sultan Kelantan ialah untuk membantu mana-mana rakyat Kelantan yang memerlukan bantuan dan juga sebagai menggerakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan lainnya di samping memberi fokus kepada kegiatan pengembangan agama Islam. Sudah tentu memandangkan Tuanku Sultan Mohamad Ke V yang begitu mengambil berat soal kebajikan rakyat tujuan penubuhannya ialah bagi meringankan beban rakyat Kelantan Darulnaim yang dinaunginya. [wm.kl. 12:30 am 08/05/11]

1 comment:

JAMILKUCING said...

Eloklah muka muka seperti mereka itu tiada sdr. cukuplah mereka mengunakan istana kelantan untuk membuat harta. cukuplah mereka memalukan istana dgn tingkah laku mereka.