Thursday, April 5, 2012

Luahan Pagi

Kunjungan PM Menggelapkan Masa Depan 30 Jurutol?

Kunjungan mesra perdana menteri Ha Najib Razak ke Kajang pada Mac lalu mungkin membawa berita baik kepada ribuan pengguna lebuhraya bertol di Kajang kerana mereka mendapat pemansuhan RM1.00 dan RM0.90 tetapi tidak kepada 30 orang jurutol di Batu 9 dan Batu 11 kerana mereka kehilangan mata pencarian akibat lawatan itu.

Dalam kunjungan itu Najib mengumumkan pemansuhan RM1.00 untuk tol di Batu 9 dan RM0.90 di tol Batu 11. Sehubungan pemansuhan itu menyebabkan syarikat pengendali tol berkenaan Trupadu Sdn. Bhd mengambil tindakan serta merta dan mengurangkan kakitangan melibatkan 30 orang jurutol.

Pada 5 Mac syarikat itu bermesyuarat susulan pengumuman PM itu dan telah menghantar notis sebulan pemberhentian kerja pada 7 Mac kepada 30 orang pekerja. Menurut surat itu 30 pekerja berkenaan perlu berhenti pada 6 April.

Pemberhentian itu dibuat mungkin kerana jumlah kutipan – pendapatan syarikat berkenaan berkurangan ekoran pemansuhan itu. Jadi sebagai menjimatkan kos mereka terpaksa mengorbankan nasib 30 pekerja yang bergantung harap kepada kerja sebagai jurutol.

Mungkin jumlah 30 orang perkerja itu tidak seramai dengan mereka yang mendapat manfaat pengurangan bayaran tol itu, tetapi satu hakikatnya pengumuman Najib itu menyebabkan ada manusia marhain lain teraniaya. Dalam erti kata lain di sebalik ada yang bergembira ada yang terselepak kedukaan.

Benar nisbah di antara yang teraniaya dan yang untung jauh lebih rendah dari yang mendapat nikmatnya, tetapi atas prinsip keadilan yang sedikit (minoriti) juga perlu diberikan perhatian sama.

Apa yang timbul masalah, pekerja dikatakan tidak selesa dengan cara pemberhentian mereka dan juga bentuk pampasan yang diberikan. Pemberhetian itu bercanggah dengan beberapa Akta Boroh. Setiap orang menerima pampasan di antara RM900 hingga RM3,000 di mana ia dianggap tidak munasabah dan satu kezaliman.

Sehubungan itu pekerja berkenaan telah menulis surat kepada Menteri Sumber Manusia menyatakan rasa keterkilan mereka dan surat itu juga dikirimkan kepada beberapa pihak termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan Kedua, Menteri Kerja Raya dan lain-lain untuk mempertimbangkan desakan dan mendengar keluhan mereka.

Antara perkara dibangkit dalam surat bertarikh 26 Mac itu ialah:

  1. Penamatan Perkhidmatan ini adalah tidak munasabah dan melanggar peruntukan 11 (1) dan (2) Akta Kerja 1955.
  2. Notis Penamatan Perkhidmatan yang diberikan oleh Syarikat, adalah bertentangan dengan Peruntukan 12 (2) dan (3) Akta Kerja 1955. Akuan penerimaan Notis dibuat secara paksa.
  3. Penamatan Perkhidmatan ini juga melanggar peruntukan di dalam ‘Code of Conduct for Industrial Harmony’ yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia.
  4. Hasrat dan Pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia berkaitan pemansuhan pungutan Tol di atas bukan bertujuan dan tidak terarah kepada penamatan perkidmatan kakitangan Syarikat.
  5. Pengumuman Penutupan Pungutan Tol ini, membabitkan pembayaran pampasan berjuta ringgit oleh pihak Kerajaan kepada pihak Syarikat Pemegang Konsessi terbabit.(Bukannya arahan tanpa pampasan).
  6. Pengiraan Pampasan Penamatan Perkidmatan adalah melanggar peruntukan Akta Kerja 1955
  7. Akan berlakunya penamatan perkhidmatan kami, sedangkan Syarikat / Majikan masih tetap beroperasi dan mendaftar serta memperolehi keuntungan daripada operasinya.

Dengan ini mereka menuntut perkara-perkara berikut:

1. Pihak Syarikat Membatalkan Notis Penamatan Perkhidmatan kami serta merta atau sebelum berkuatkuasanya tarikh tamat perkhidmatan kami pada 6hb April 2012, seperti dinyatan pada Notis.

2. Mengekalkan perkhidmatan kami dengan Syarikat, sekiranya tiada surat pembatalan Notis Penamatan Perkidmatan dikeluarkan oleh pihak Syarikat Trupadu Sdn Bhd. sebelum atau pada 6 hb April 2012. ATAU

3. Mengkaji semula perkiraan bayaran imbuhan pampasan seperti terkandung didalam surat Notis Penamatan Perkhidmatan bertarikh 7hb Mac 2012, untuk memberikan perkiraan yang betul, lebih adil serta munasabah, termasuk untuk menampung kos sara hidup tanpa pekerjaan untuk tempuh tidak kurang daripada enam (6) bulan. Jumlah pampasan purata RM5,000 sebulan (RM30,000 untuk 6 bulan) setiap seorang pekerja yang akan ditamatkan perkhidmatannya, adalah difikirkan munasabah berbanding dengan purata pampasan RM2,000 seorang, sekarang.

Difahamkan juga syarikat berkenaan dikatakan telah mengambil kesempatan ke atas para pekerja yang tidak begitu arif berhubung dengan Akta Boroh dan lain-lain peraturan menyebabkan mereka seperti teraniaya dan mendapat imbuhan setimpal.

Misalnya mereka diberi penerangan berhubung penamatan itu oleh pegawai Boroh yang dipanggil oleh syarikat di mana tindakan ini tidak telus dan ada unsur-unsur complex interest berlaku. Tidak seharusnya pegawai Boroh datang bersama pihak syarikat dalam memberi penjelasan.

Apa yang sedikit menjadi tanda tanya surat itu dihantar kepada beberapa pihak termasuk parti politik Pas, PKR agar ikut sama memperjuangkan nasib mereka. Tetapi anihnya surat itu tidak dihantar kepada Umno.

Apakah ini menandakan mereka tidak mempercayai dan yakin kepada parti Melayu itu untuk membantu mereka? Mungkin! [wm.kl.9:44 am 05/04/12]

1 comment:

mahaza said...

Dari pemerhatian saya selain tidak cukup tempoh masa iaitu 2 bulan notis untuk makluman kepada pejabat buruh, pembayaran dan kiraan pemberhentian adalah menurut akta iaitu 15 hari gaji. Jika ada kesatuan atau ada C&A lainnya semasa tawaran kerja tiada unsur bayaran pampasan yang rendah kerana ianya tidak bersalahan. Mungkin perlu lebih sedikit pentelitian fakat pekerja untuk membuat rujukan. Ini hanya secara kasar berdasarkan pengalaman mengurusankan penutupan syarikat dan juga sebagai bekas HR. Ianya kerana melibatkan penhgurangan pekerja (redundant) bukan penutupan total. Sekadar pencerahan. Walaupun masih ada ruang untuk membantu mereka. Apakah perkara yang sama akan berlaku jika Tol Bukit Raja dan Tol Batu Tiga dimansuhkan? Apakah perkara sama akan berlaku jika Tol Jambatan Pulau Pinang dimansuhkan?