Thursday, January 24, 2013

Belum Pilihan Raya Umno Johor Dan Bermasalah

ANGIN TEBERAU                                                                                                                   

Belum apa-apa Umno Johor sudah berdepan dengan kekalutan yang boleh menjejaskan kecemerlangan parti itu di negeri kelahirannya sendiri. Parlimen belum dibubar lagi sudah ada bilik gerakan Umno yang dilaporkan tutup. Apa jadi? Apakah ini menunjukkan tanda-tanda jelas bahawa Umno juga akan kehilangan Johor?

Khalid Nordin
Kejadian seperti ini belum pernah berlaku di Johor yang dianggap sebagai negeri kubu kuat Umno sejak 60 tahun.

Angin Teberau yang berhembus dari Johor kini menghangatkan. Laporan menceritakan beberapa bilik gerakan pilihan raya yang dibuka oleh beberapa cawanagan Umno bahagian Pasir Gundang telah ditutup. Laporan ini agak menggemparkan.

Penutupan itu bukan satu gimik atau gurauan tetapi ia serius. Penutupan itu katanya ada sangkut paut dengan sikap negatif MB Johor Abdul Ghani Othman kerana tidak memberikan hak milik tanah kepada mereka.

Cawangan-cawangan dilaporkan terlibat ialah di kampung Senibong, kampung Pelentong Baru dan kampung Seri Makmur. Selain itu beberapa buah cawang di beberapa buah kampung di bahagian itu juga akan menurut kemudian. Sekurang-kurangnya ada tiga lagi cawangan yang bertindak menutup bilik gerakan mereka. Pengesahan penutupan bilik gerakan itu dibuat sendiri oleh ketua kampung-kampung berkenaan, bukannya oleh bloger pro Pakatan.


Kejadian ini benar-benar memalukan Umno Johor dan ia paling dirasai oleh Ahmad Maslan yang juga ketua penerangan Umno Malaysia. Kenapa tidak malu, Mat Maslan sebelum ini mengeluarkan berbagai kenyataan bagi menunjukkan Umno masih kuat dan Johor tidak terusik. Mat Maslan juga meramalkan UBN akan merampas 20 kerusi milik PKR dan beliau juga mengatakan PR jangan bermimpi disiang hari di Johor.

Dengan apa yang berlaku di depan tangga rumahnya itu sendiri - Pasir Gudang Johor, apakah dakwaan Ahmad Maslan itu boleh dipercayai? Kalau di Johor pun Umno berkucar kasir apa lagi di negeri-negeri lain yang mana Umno mengalami kemerosotan mendadak seperti di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang atau Terengganu.

Apa yang berlaku di Pasir Gudang itu menimbulkan kemarahan Mat Maslan. Dengan tiba-tiba Mat Maslan yang lemah lembu dan bersifat cendekiwan menjadi 'pongoh' dan bengis. Beliau dipetik memberi amaran keras kepada ahli-ahli Umno yang menutup bilik gerakan itu yang disifatnya sebagai perbuatan boikot. Siapa boikot siapa Mat?

Katanya tidak ada tempat untuk ahli-ahli Umno yang melakukan boikot dan meminta agar mereka (ahli Umno) keluar meninggalkan Umno dan mencari NGO lain. Kenapa Mat Maslan tidak langsung saja suruh ahli-ahli Umno yang kecewa itu menyertai PAS? Kenapa suruh cari NGO?

Luahan kemarahan ahli Parlimen Benut itu rasanya melampau dan keras. Dalam keadaan semua pemimpin Umno terutamanya presiden parti Najib Razak melembutkan gigi dari lidah untuk menawan hati rakyat, tidak wajar Mat Maslan 'menghalau' ahli Umno supaya keluar meninggalkan parti berkenaan. Kenyataan sebegitu agak angkuh dan sombong. Apa lagi mereka yang menutup bilik gerakan Umno itu rasanya lebih lama makan garam bernama Umno berbanding dengan Mat Maslan.

Apa yang berlaku di Pasir Gudang itu bukan sesutau yang normal dan ia dilihat ada motif tersendiri. Ahli Parlimen Pasir Gudang ialah Khalid Nordin yang kini menteri pengajaran tinggi. Khalid dikatakan tokoh Umno sedarhana di Johor yang sedang diusahakan untuk dibawa balik ke Johor untuk memimpin Johor selepas pilihan raya umum akan datang. Apakah usaha itu menyebabkan timbul rasa kurang senang oleh Abdul Ghani Othman MB Johor kini?

Sudah pasti kalau Khalid dibawa pulang ke Johor ia menjejaskan kedudukan Ghani sebagai MB. Ghani hendak tidak hendak kena mengucapkan sayor nara kepada Johor dan dunia politik. Tidak mungkin dia akan diguna lagi untuk peringkat federal misalnya dilantik sebagai menteri. Apa lagi memandangkan usianya juga sudah jauh melebihi setengah abad wajar kalau beliau dirihatkan. Jadi sekiranya berlaku pertukaran Ghani sudah merasakan nasibnya dalam politik sudah berakhir.

Ghani menyedari bahawa dia bukan perkas atau orang dialatkan Najib untuk mengawal kuasanya. Najib lebih mempercayai kepada Hishmuddin Hussein dan Mat Maslan. Sebab itu ada juga desas desus dan perkiraan sulit Hishmuddin Hussein akan dibawa balik ke Johor dengan dua tujuannya menyelamatkan diri menteri KDN itu yang sudah terjejas teruk dan menjadi pengawal kuasa dan sokongan terhadap Najib.

Berbalik soal Ghani tadi, makanya boleh jadi demi untuk mempertahankan kedudukkannya beliau harus melakukan sesuatu, caranya memberi masalah kepada Khalid. Mungkin caranya ialah dengan menafikan hak penduduk di Pasir Gudang itu yang sudah lama memohon geran hak milik tanah. Katanya sudah 13 tahun Ghani berjanji dengan penduduk berkenaan untuk memberi hak milik tetapi tidak dilaksanakan sampai kini.

Khalid juga pernah bersuara akan kelewatan itu sebelum ini. Jarang seorang menteri kabinet merayu kepada MB untuk memberi tanah kepada rakyat, tetapi itu dilakukan oleh Khalid. Persoalanya kenapa? Bagi mereka yang dapat membaca kilau dalam kilat dan amat faham dengan seni politik tentu melihat ada sebab Ghani bersikap acuh tidak acuh terhadap masalah rakyat di Pasir Gudang itu.

Berdasarkan itu boleh dikatakan yang melakukan sabotaj di sini bukan cawangan-cawanagn Umno seperti mana tuduhan dan dakwaan Mat Maslan, tetapi Ghani sebenarnya yang sabotaj terhadap Khalid. Dan apakah di celah-celah ini Mat Maslan pula tumpang semangkuk dua mengeruhkan suasana dengan memberi kata-kata kesat kepada ahli Umno Pasir Gudang supaya cari NGO lain dengan tujuan melemahkan politik Khalid?

Boleh jadi juga, kerana mungkin Mat Maslan pun ada menyimpan cita-cita didalam poket baju Melayu bahagian atas untuk menjadi Menteri Besar Johor. Caranya ikut sama menyusahkan Khalid di Pasir Gudang itu. Haha...[wm.kl.6:42 pm 24/01/13]

6 comments:

Unknown said...

Haha...satu analisis politik yg amat tajam...bila kambing dgn kambing berpulas tanduk...yg untung ialah tukang sembelih...

Delima said...

Mahathir dan Ibrahim telah memeningkan Najib, maka kekecohan di Johor bertambah-tambah memeningkan Najib. Mungkin kini Anwar 43% dan Najib pula 42%.

Mat Pahit said...

Ugut nak tutup bilik gerakan sebelum dewan bubar..ugut ada makna tu..sempat lagi diberi ubat.Mereka akan berjaya tarik perhatian..Kes akan selesai.Jangan ugut selepas bubar dewan sudah lah..sia-sia.

Mat Pahit said...

Ugut nak tutup bilik gerakan sebelum bubar dewan...ugut ada makna tu. ada harapan kes selesai. jangan ugut selepas dewan bubar sudah lah.

Bosan said...

Tuan johor merupakan negeri paling awal bersidang selepas pru12. Jangka hayatnya secara rasmi sampai 16 mac 2013 sahaja.. Tak lama lagi.

kaka said...

setakat yg lepas2 ugutan penduduk tidak menjadi kudis buat UMNO..tengok kali ini macam mana....