Thursday, September 12, 2013

Ariffin Atira Akan Lawan Wan Ismail

JELANG MUKTAMAR                                                                          

Ariffin cabar Wan Ismail di Ketereh?
Perebutan jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan di Kelantan tidak sekalut perebutan ketua bahagian Umno sehingga empat hingga lima orang merebut jawatan ketua di sesuatu bahagian. 

Hanya beberapa kawasan sahaja dalam Pas berlaku perebutan jawatan ketua. Antara kawasan yang akan 'berkebut' dengan perebutan jawatan Yang diPertua (YDP) ialah Ketereh. Setakat ini tidak kedengaran di kawasan-kawasan lain. Pas Kelantan ada 14 kawasan. 
Perlawan di Ketereh ini dikira agak sengit dan menarik. Kawasan ini telah terajui bekas Adun Melor Wan Ismail Wan Jusoh 60. Wan Ismail dinafikan bertanding dalam pilihan raya lepas atas sebab-sebab kesihatan serta sedikit masalah peribadi hal rumah tangga yang dicongkatkan boleh menyusahkan Pas kalau beliau diletakkan calon.

Sudah 23 tahun Wan Ismail memimpin kawasan ini. Satu tempoh yang agak lama. Secara kebetulan sama lama dengan tempoh perkhidmatan Nik Abdul Aziz sebagai MB. Sesuai kalau Wan Ismail siap untuk berundur dari terus memegang jawatan berkenaan untuk memperkenalkan Pas Ketereh dengan bentuk kepimpinan baru. Tempoh itu cukup memberi ruang bagi orang menilai sejauh mana kemampuan atau kejayaan diraihnya.

Dilihat dari pencapaian Pas dibawah terajuinya tidak begitu memuaskan, misalnya kalau diukur dari sudut jumlah kerusi dimiliki Pas. Ketereh mempunyai tiga Adun dan satu parlimen. Kerusi parlimen dan Dun Ketereh dimenangi Umno, manakala Pas menang di Kadok dan Melor. Wan Ismail tidak berjiwa penakluk untuk meluaskan daerah taklukannya dengan memastikan semua kerusi di Ketereh menang. Beliau juga seharusnya berani melakukan plan baru politik untuk berjaya. 

Situasi ini membuktikan 23 tahun Wan Ismail memimpin Pas Ketereh ia tidak berkembang dan berdaya saing. Dari segi kebajikan dan pembangunan sosial ekonomi ahli tidak berubah. Dalam prospektif politik yang jauh dan global, kebajikan kepada rakyat bukan setakat melawat orang mati atau rumah terbakar sahaja tetapi menyediakan keperluan asas untuk mereka setanding dengan pengorbanan mereka kepada parti. Politik bangsa perlu dijana lebih jauh dan luas dari itu.

Begitu juga pengaruhnya berada di takuk tula. Beliau nampaknya berpuas hati dengan keadaan yang ada. Atas sebab itu mungkin kenapa pimpinannya dipertikaikan sejak beberapa tahun ke belakangan ini. Kekayaan luar biasa yang dimilikinya sering menjadi pertikaian.

Kelemahan ini juga mungkin disebabkan beliau sendiri kurang sihat jadi beliau tidak dapat untuk menumpukan kepada parti sepenuhnya. Untuk beberapa ketika beliau kerap berulang alik ke hospital dan pernah menyatakan untuk berihat di dalam politik. Walaupun kesihatannya kini hampir pulih tetapi kekuatan, daya tahan beliau tidak seperti 20 tahun dulu. 

Orang yang akan mencabar Wan Ismail ialah Ariffin Mahmood seorang usahawan pembangunan hartanah yang tidak perlu disebut lagi di Kelantan. Hampir seluruh jajahan dibangunkan projek perumahan. Papan tanda pembangunan dan projek Atira Group iaini starikat miliknya berada di mana-mana. Dengan kedudukan kewangan yang stabil serta pemurah Ariffin dijangka dapat membawa suasana dan era baru di Ketereh melepasi minda geografi politik Wan Ismail. 

Khabarnya sudah lama Ariffin mengintai peluang untuk berkhidmat dalam Pas. Tetapi beliau tidak diberi peluang untuk berbakti kepada Pas menerusi apa-apa lunjan dan ini merugikan Pas Ketereh. Mereka yang mengetahui hati budi Ariffin terkilan dengan sikap mengasingkan beliau dari mainstream Pas. 

Penafian terhadap Ariffin itu merugikan Pas di kawasan itu sendiri kerana tidak berpeluang menerima sentuhan Ariffin. 

Mungkin ramai orang tidak tahu keistimewaan dan kehebatan anak kelahiran Kok Lanas ini, beliau adalah bekas Presiden Persatuan Anak-Anak Kelantan Perantauan (Perakan Malaysia). Semasa Perakan dibawahnya Ngo pro-kerajaan itu berkembang maju. Setiap kali diadakan majlis dipenuhi anak Kelantan berbagai lapisan masyarakat. Ketika itu juga Perakan ditakuti dan digerun musuh. Kejayaan Ariffin semasa memimpin Perakan itu boleh diaplikasi dalam Pas Ketereh.

Kesediaan Ariffin untuk merebut jawatan itu juga kerana ada desakan dari cawangan. Demi menghormatinya beliau katanya telah menyatakan kesediaan untuk berdepan dengan Wan Ismail walaupun bukan mudah untuk menumbangkan Wan Ismail kerana ia penaka 'tunggul merbau merah' yang diangap keramat oleh setengahnya penyokong Pas. 

Justeru kalau Ariffin berjaya menumbangkan Wan Ismail ia sesuatu yang hebat dan bakal membuka dimensi baru kepada politik perbadinya dan juga politik orang Ketereh.

Mesyuarat Pas kawasan Ketereh akan diadakan 21 September ini. [wm.kl.11:15 am 12/09/13]

No comments: