Wednesday, September 4, 2013

Mengelak Strategi Sama Rakyat Perlu Ubah Otak Kerajaan

ISENG-ISENGAN                                                                                  

Saya selalu tidak gopoh atau pun gila-gila dalam memprotes apa-apa tindakan kerajaan yang dirasakan membebankan rakyat atau diri saya sendiri. Saya suka mendiamkan diri dan melihat rakyat, khasnya yang pandai menulis dan pandai bercakap melayaninya. Kenapa? Jawabannya mudah sahaja, siapalah kita untuk melawan keputusan kerajaan.

Kerajaan sama dengan raja, rakyat adalah hamba. Selamanya rakyat akan menjadi abdi kepada raja. Cuma bezanya hari ini pembentukan institiusi itu saja. Raja dilihat bersendiri manakala kerajaan dilihat bersama, demokratik. Walhal raja dengan kerajaan sama sahaja, memerintah mengikut kehendak dan nafsunya.

Misalnya dalam isu kenaikan harga bahan bakar hari ini, bukan main lagi rakyat meluahkan perasaan dengan berbagai ragam dan cara. Mereka memperli dan mempersendakan kerajaan terutamanya Najib Razak. Pemimpin pembangkang juga mengambil bahagian sama untuk mengkritik Najib yang motif utamanya agar rakyat berpaling kepada mereka.

Yang bijak dengan statistik pula mengeluarkan butiran lengkap dengan carta dan geraf. Ada yang menulis mengenai sejarah kenaikan harga minyak negara dengan detail. Pendeknya semua itu adalah gambaran protes kepada kerajaan yang menaikkan minyak.

Tidak dinafikan kenaikan harga minyak memberi kesan kepada beberapa aspek lain kehidupan. Dari tambah 20 sen seliter akhirnya kalau dikumpul rakyat kena menghabiskan RM2.00 atau lebih dalam sehari gara-gara kenaikan itu. Angka inilah yang dilihat besar dan menyusahkan rakyat.

Kerajaan telah mengumumkan kenaikan itu alasan mengurangkan subsidi kerajaan yang boleh menjimakkan wang sebanyak RM3.3 billion. Untuk siapa wang itu. Asasnya untuk rakyat juga. Jadi kalau kita berlaku adil dan rasional melihat kepada alasan itu kenaikan itu munasabah dan adil, tidak payah pun diprotes. Soalnya apakah benar wang itu digunakan untuk rakyat?

Di sini dalam hal ini saya tidak mahu memprotes kerajaan. Kerana itulah satu-satunya cara Najib untuk mengimbangkan kewangan negara demi rakyat. Ia perlu diterima. Najib dan penasihatnya (para menteri) sudah tidak ada cadangan dan mekanisme lain yang mungkin ada kepada pembangkang. Jika dilihat kenaikan harga minyak itu kontras dengan kempen pembangkang di mana akan menurunkan harga petrol pada malam kemenangan itu juga.

Apabila rakyat tidak memilih pembangkang ini bermakna rakyat bersedia untuk tidak menerima penurunan harga petrol, maka kenaikannya kenalah terima. Apakah yang memprotes kenaikan itu semuanya pihak pembangkang? Mungkin dan boleh jadi.

Jadi sekarang ini terserah kepada rakyat. Kalau majoriti rakyat merasa terbeban apa yang mereka kena lakukan menukar 'otak' kerajaan. Otak maksud di sini menukar orang yang mentadbir kerajaan. Selagi otak kerajaan otak sama, maka cara dan teknik itu jugalah yang akan digunakan. Dalam hal ini jika diperhatikan strategi untuk membantu pembangunan negara ini dengan menaikkan harga bahan bakar bukan saja dilakukan Najib tetapi perdana menteri sebelum ini juga. Straegi dan tektik ini mentradisi. Bahawa cara Umno mengatasi masalah rakyat menurut acuannya.

Berbalik kepada macam mana untuk menghentikan langkah kenaikan harga minyak ini untuk menampung wang kepada rakyat, ia kena tukar kerajaan. Itu sahaja. Kerajaan baru sudah pasti akan mengambil pendekatan dan teknik-teknik berbeza. Penstrukturan semula pengunaan wang kerajaan tentu akan dibuat. Hal ini tidak akan dilakukan kerajaan sekarang kerana ia sudah tepu dan seronok dengan cara itu.

Tetapi kalau semua kita merasa senang, tidak terbeban, kita pujalah kerajaan yang ada ini sampai khiamat. Bagi saya secara idealisnya selagi kerajaan tidak kembali kepada apa yang diajarkan Allah maka selama itulah kita akan bergelumang dengan masalah.

Kalau kerajaan yang ada kini ditukar dan naik kerajaan baru tetapi melupai atau enggan melaksanakan segala disuruh Allah, maka masalah sama juga akan berulang. Kita tanggunglah sebab dan akibatnya.

Satu hal yang kita kena sedari penentu senang atau hidup kita bukan saja ditentukan oleh harga minyak atau pun ekonomi yang mampan, tetapi masih banyak lagi juzuk-juzuk atau aspek yang perlu diperbetulkan. Sosial, budaya, pendidikan dan lain-lain juga menyumbangkan kepada maju mundurnya kehidupan kita. Minyak (ekonomi) hanya satu juzuk saja. Tidak ada guna ekonomi kita mantap tetapi aspek lain, sosio budaya punah dan jenayah bermaharajalela.

Jadi dengan kenaikan harga minyak ini kita jangan sampai jadi sasan dan marah. Kita kena renung ke dalam diri tiap daripada kita kenapa ia terjadi begitu ialah disebabkan kelalaian dan kebodohan kita juga yang obses mempercayai kepada slogan janji-janji yang ditepi. Ia perlu dijadikan iktibar dan ikrar ke dalam diri untuk mengubah otak kerajaan. Makanya didalam pilihan raya akan datang ubahlah otak kerajaan dengan mengambil otak lain. Protes ini lebih bermakna kalau ia dilakukan ke dalam setiap sendi-sendi pemerintahan. [wm.kl. 8: 12 pm 04/09/13]

4 comments:

Haikal Sulaiman said...

Salam 20 sen.

Maaf sekadar memberi opini. Kenapa tuan mso tidak membuat ramalan politik najib ?
Sebenarnya skrip ini sudah pun berulang pada pru 12 lepas. Bukan kah zaman paklah jatuh ketika selepas menaikkan harga minyak 80sen. Bukan kah pada waktu bersamaan TGHH menimbulkan isu unity gomen? Siapa yang paling untung dalam situasi ini.
Kali ini skrip nya lebih kurang sama , cuma pemainnya lain..

myi said...

Ketua kerajaan sekarang masih mengamalkan strategi lama tetapi rakyat terus ditipu. Dekat pilihanraya ditaburnya gula2, lepas pilihaanraya ditaburnya jala.
Yang kaya bertambah kaya, yang miskin, papakedana.
Budaya subsidi, meminta2 dan takut untuk berubah terus menjadi teras rakyat Malaysia.

Budaya menipu, merompak,menginayai,memperbodoh2kan dan menakut2kan rakyat semakin menebal.
Yang terang2 merompak, perasuah, pemabuk dan suka berpoya2 terus menduduki kerusi kerajaan.
Ketuanya pula mengangkat kuncu2 yg ditolak olih rakyat ketempat kuasa jelas mengambarkan tahap pemikiran si ketua. Tapi masih diangkat olih parti yg diwakili dan rakyat. Dengan menyogok beberapa ratusan ringgit, rakyat setempat mengadai maruah diri dan negara dengan memilih si ketua ini.
Tak guna nak digaduh2kan jika kita sendiri yg membuat pilihan dan takut untuk berubah.
Saya sangat setuju dgn saranan MSO agar pemimpin yg dipilih kelak adalah yang mengikut perintahNya.
kerana dari Nya kita datang dan kepadaNya kita kembali.
......

bat8 said...

Tuan,

Alasan yang dikemukakan oleh Najib untuk menaikan harga petrol/diesel sebanyak 20 sen adalah untuk menangani hutang negara dan pelebaran defisit belanjawan negara.

Izinkan saya sentuh satu fakta tentang hutang negara untuk renungan bersama ( saya minta maaf sebab angka sebenar saya dah lupa): Hutang yang dibuat oleh Najib dalam masa 5 tahun ( sekitar 200 billion lebih) adalah lebih tinggi dari jumlah hutang negara dari sejak merdeka sehingga zaman Paklah iaitu lebih kurang 51 tahun!

Kita cuba guna logik ala kampong untuk buat perbandingan kerana saya juga bukan pakar ekonomi.

Kita semua tahu bagaimana kemajuan yang dicapai oleh negara sejak merdeka sehingga zaman Paklah. Negara kita boleh berbangga dengan pelbagai pencapaian dalam aspek ekonomi dan pembangunan. Kita ada KLCC, KLIA,F1,Putrajaya dll semuanya dengan pinjaman tak sebanyak yang dibuat Najib dan dengan bantuan Petronas.

Najib meminjam dalam masa 5 tahun lebih banyak daripada apa yang negara pinjam selama 51 tahun, tetapi apakah kemajuan dan pembangunan yang kita nampak dibuat oleh najib yang boleh kita lihat hasilnya atau kesannya yang boleh dimanafaatkan oleh negara dan rakyat? Kalau tak banyakpun, sekurang-kurang 1/4 pun dah cukuplah.

Begitu juga dengan kesan defisit belanjawan negara. Dengan duit sebegitu banyak, ada kita pernah dengar najib nak guna untuk pertumbuhan ekonomi yang akan menjana pendapatan tambahan kepada negara yang akan membantu kerajaan mengatasi masaalah defisit ini dalam jangkamasa tertentu?

Kemana perginya duit-duit tersebut?

Yang ditakuti tentang kenaikan harga petrol/diesel ini ialah tentang kesan rantaian dari kenaikan ini. Ia akan menyebabkan kenaikan kepada sara hidup yang meliputi semua aspek kehidupan. Bukan sahaja kepada peningkatan kos keperluan asas sahaja tetapi meliputi perkhidmatan dll.

Terbaru, para penganalisa ekonomi meramalkan bahawa selepas ini kemungkinan harga petrol Ron 95/diesel akan sebanyak 2 kali lagi sehingga mencecah RM 2.70/liter.

Yang membimbangkan lagi, Najib dan kerajaan dah fikir betul-betul ke keputusan menaikkan harga petrol Ron 95/disel sebanyak 20 sen ni atau hanya tindakan yang difikir hanya dengan kepala lutut sahaja!

Saya membangkitkan isu ini kerana setelah dinaikkan 20 sen, harga petrol Ron 95 (yang lebih rendah grednya dari Ron 97) adalah lebih mahal dari harga Ron 97 yang lebih tinggi grednya.

Bila rakyat rakyat dah bising Ron 95 lebih mahal dari Ron 97, tiba-tiba Ron 97 naik malam ni! Kita tak faham mengapa Ron 97 naik tiba-tiba kerana kita tak dengar pun dunia menghadapi sebarang krisis minyak yang boleh dijadikan alasan untuk menaikkan harga Ron 97....lagu manpun kita tunggulah apa kelentong kerajaan untuk menaikkan harga Ron 97 seara tiba-tiba.

ceritanya, yang membimbangkan kita ialah cara Najib mengurus negara!Terlalu banyak perkara-perkara yang berlaku di zaman Najib ini yang tak masuk akal dan membimbangkan kita.

Masaalahnya kepada kita ialah setail " kacau koleh ubi kayu" yang diamalkan oleh najib ini semakin membebankan kita rakyat baik dari segi wang ringgit, keselamatan, masa depan dll. Kalau setakat kesannya dirasai oleh Najib dan puak-puak UMNO sahaja, lantaklah!

Ini belum kita ambilkira tentang ura-ura untuk menaikkan tarif letrik dan mengenakan GST yang juga akan menambahkan lagi beban kepada kita, rakyat. Mengikut pakar-pakar kedua-dua langkah ini terpaksa diambil....pulok doh!

Kito kerja bertungkus lumus dan terpaksa mengikat perut untuk "pero" Najib bakali....kito korban kesejahteraan keluarga dan maso depan anak cucu kito untuk kesenangan demo dih!

bat8

ps: Ambo dok rok doh, Abe Ti....

School Of Tots said...

Setiap kenaikan harga minyak akan memberi domino efek kepada kenaikan harga barangan/servis lain. Rakyat yang terpaksa menanggung beban kos sara hidup yang tinggi demi untuk menampung hutang negara yang makin memboyot kerana tabiat boros dan salah urus pemerintah. Alasan kenaikan bantuan BRIM kepada golongan miskin RM1,200 hanya gula2 penyedap kerana itu hanyalah purata RM100 sebulan, sedangkan kenaikan harga barangan dan sara hidup akan jauh melebihi RM100 sebulan.