Monday, September 9, 2013

Lima Ketua Bahagian Umno Kelantan Selesa, Sembilan Cemas

ANALISA MALAM                                                                                 

Sekurang-kurang empat atau lima ketua bahagian Umno di Kelantan boleh menarik nafas lega kerana kemungkinan besar kedudukan mereka sebagai ketua tidak akan dicabar. Ketua-ketua bahagian yang dikira bernasib baik ialah Mustapa Mohamed (Jeli), Annuar Musa (Ketereh), Nor Zaidi Omar (Tumpat) Jazlan Mohamed (Machang) dan Fatmi Che Salleh (Kota Bharu).

Ramzi Abdul Rahman
Mustapa sudah pasti akan menang tanpa bertanding kerana tiada desas desus menunjukkan beliau akan dicabar. Orang yang disebut-sebut berkelayakan dan pernah menzahirkan minat sebelum ini untuk mencabar beliau, Adhan Kachik, sudah membuat pengakuan terbuka di hadapan ketua-ketua cawanagn Umno Jeli yang beliau tidak berminat mencabar ketua bahagian.

Hal ini juga disahkan oleh Pegawai Khas Mustapa, Zahari Kechik yang mengatakan Adhan yang juga merupakan abangnya tidak akan mencabar Mustapa. "Dahan (Adhan) sudah membuat pengumuman dia tidak akan lawan Datuk Pa," begitu jelas Zahari dalam satu pertemuan dengan beliau beberapa hari lepas. Bila ditanya apakah itu tektik Adhan, tekan Zahari; kawan (saya) tahu perangai dia sebab dia abang kawan."

Demikian juga kedudukan Annuar Musa di Ketereh selamat apabila tiada kedengaran beliau akan dicabar. Kemenangan Annuar dalam pilhan raya lalu menyebabkan mereka yang sebelum ini ada angin untuk cabar Annuar jadi 'terkanyak'.

Timbalan Ketua Umno Ketereh, Md Alwi Che Amat juga tidak berminat untuk mencabar sahabatnya itu. Beliaulah yang berpotensi dan berpeluang memandangkan pengaruhnya di Ketereh. Atas setia kawan dengan Annuar beliau tidak pernah termakan cocokan agar menentang Annuar. Apa lagi Alwi sudah mengumumkan akan bertanding merebut jawatan lebih tinggi dari jawatan ketua iaitu kerusi Majlis Tertinggi. Langkah Alwi itu adalah sebagai jalan untuk tidak bertembung dengan Annuar di Ketereh tetapi akan bertembung di Kuala Lumpur kerana Annuar juga akan ikut bertanding MT.

Kedudukan Noor Zaidi Omar di Tumpat juga selesa apabila tidak kedengaran mana-mana ahli Umno di situ menjual diri untuk mencabar kedudukannya sebagai ketua Umno Bahagian Tumpat itu.

Manakala satu bahagian lagi dikira selamat ialah Machang. Kedudukan Mohd Jazlan Yaacob yang juga ahli Parlimen Machang tidak akan dicabar. Kejayaan beliau merampas kerusi parlimen Machang dalam pilhan raya lalu menyebabkan mereka yang bercadang untuk mencabar kedudukannya jadi malu mata. Bekas ahli Parlimen Machang, Sazami Miah disebut-sebut untuk mencabar tetapi kemungkinannya sangat tipis sekali.

Dalam pada itu kedudukan Fathmi Che Salleh di Kota Bharu masih menjadi tanda tanya. Setakat ini tidak ada kedengaran sesiapa berminat untuk melandanya. Tetapi ia tidak boleh dianggap Fatmi sudah menang tidak bertanding. Kekalahan demi kekalahan yang dialaminya dalam pilihan raya dan terbaru kalah ditangan Takiyuddin Hassan dengan majoriti lebih 16,000 pada PRU lepas menjejaskan wibawa Fathmi. Kekalahan itu boleh membukakan terliur ahli Umno untuk mencabar kedudukannya bagi membuat perubahan Umno Kota Bharu.

Bagaimana pun kedudukan sembilan ketua bahagian yang lain tidak menyelesakan apabila mereka sudah diura-urakan akan dicabar. Sesetengah cabaran hebat apabila ada lebih dua calon yang berhajat untuk mencabar kedudukan ketua bahagian.

Bahagian yang pasti sengit ialah Rantau Panjang. Kedudukan ketuanya Abdullah Mat Yassin tergugat apabila beliau akan dicabar oleh sekruang-kurang tiga calon, bekas ketua Mohd Zain Ismail, Ghazali Ismail dan bekas Adun Gual Periok, Shaari Hussein.

Begitu juga di Pasir Mas, kedudukan Hanafi Mamat juga akan dicabar. Kekalahan Hanafi dalam lima kali pilihan raya serta tidak ada pembaharuan dalam Umno Pasir Mas terutamanya menghapuskan politik wang dijadikan sebab kenapa beliau akan dicabar. Ada dua nama disebut akan mencabar kedudukan Hanafi, Azmi Alwi dan Zakaria Hasan (Ya Janggut). Khabarnya Ya Janggut sudah membuat persiapan rapi untuk melanda Hanafi kali ini. Perang besar di Pasir Mas kali ini.

Zakaria merupakan tokoh veteran Umno merupakan bekas ahli jawatankuasa Umno Pasir Mas sebelum ini merupakan Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang era tahun 80an dan pernah menjadi Bendahari Pemuda Umno Kelantan. Beliau merupakan bekas guru berkelulusan BA Hons Universiti Malaya.

Dua lagi kawasan yang akan hebat bertarung untuk merebut jawatan ketua ialah Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian ini adalah ekoran ketua sekarang ditantung kerana kesalahan melanggar disilin parti semasa pilihan raya lalu. Ketua Umno Pengkalan Chepa Dali Hussein digantung enam tahun, manakala ketua Umno Kubang Kerian Fauzi Ismail digantung selama sembilan tahun.

Di Pengkalan Chepa sekurang-kurang tiga nama disebut akan bertanding merebut jawatan ketua manakala di Kubang Kerian ada dua nama.

Kawasan Bachok juga akan berlaku perebutan. Kedudukan Awang Adek Huseein sebagai ketua akan dicabar oleh salah seorang bekas calon Umno yang kalah dalam pilihan raya lalu. Cabaran ke atas Awang Adek memalukan bekas timbalan menteri kewangan berkenaan. Tidak sepatutnya Awang Adek dicabar, tetapi kelemahan dan kegagalan dua kali Awang Adek merebut kerusi parlimen Bachok menyebabkan beliau dirasakan tidak wajar menjadi ketua lagi.

Kekalahan beliau kepada ketua pemuda Pas Bachok Marzub Shaari dengan kekurangan undi tidak sanpai 300 sangat memalukan. Orang Umno Bachok menyifatkan kekalahan itu kerana Awang Adek terkena badi paip.

Ketua Umno bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman juga tidak akan dibiarkan. Walaupun beliau menang di Dun Semerak dalam pilihan raya lalu tetapi kemenangan itu bukan lesen untuk beliau terus memimpin Umno Pasir Puteh. Orang disebut-sebut akan menentang Zawawi ialah bekas ketua, Kamaruddin Md Noor dan bekas ketua pemuda Rujahan Salleh.

Kawasan Tanah Merah masih belum dapat dipastikan. Walaupun bekas ketua yang sudah usang, Supardi telah menguar-guarkan dia akan mencabar Ikmal Ihsan untuk kerusi ketua tetapi ia tidak boleh pegang buku kerana stail Supradi suka membuat lawak. Atas perangainya ramai tidak mempercayai Supardi akan bersedia melawan Ikmal. Ada juga cara Supardi itu untuk menggertak Ikhmal sahaja. Kedudukan Ikhmal juga agak kukuh di Tanah Merah apabila beliau menang dalam pilihan raya lalu di kerusi parlimen Tanah Merah.

Di Kuala Krai dan Gua Musang juga terdengar desas desus kedudukan ketua di kedua-dua kerusi itu akan dicabar. Kedudukan Ramzi Abdul Rahman sebagai ketua Umno Kuala Krai katanya akan dicabar. Bagaimana pun belum 'tubik' nama yang ingin mencabar Ramzi. Ada maklumat mengatakan ketua pemuda Tuan Aziz Tuan Mat. Namun mungkin hasrat itu akan ditarik balik memandang Ramzi berjaya merampas balik kerusi Dabong.

Hanya beliau sahaja yang menang di Kuala Krai dan sudah pasti kemenangan itu memberi kelebihan dan penghormatan kepadanya.

Bagi mereka yang waras di Kuala Krai tidak ada sebab untuk mencabar kedudukan Ramzi kecualilah kerana niat buruk dan dengki.

Akhirnya di Gua Musang, kedudukan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai ketua juga tergugat. Ketua pemuda Bazlan Abdul Rahman katanya berminat untuk mencabar Tengku Razaleigh. Sudah lama hubungan Bazlan dengan Tengku Razakeig renggang. Sekiranya maklumat ini benar, inilah pertama kali kedudukanTengku Razaleigh akan dicabar sebagai ketua di Gua Musang. Di antara ketua-ketua Umno bahagian di Kelantan, Tengku Razaleigh lah ketua yang paling lama dan ampuh. [wm.kl.9:58 pm 09/09/13]

No comments: