Sunday, September 8, 2013

Tengku Razaliegh Boleh Jadi Presiden Kalau Ahli Umno Berani

PANDANGAN SUBUH                                                                          

Jumaat lalu Tengku Razaleigh Hamzah telah mengadakan sidang akhbar di rumahnya di Langgak Golf Kuala Lumpur. Jarang sekali Tengku memanggil sidang akhbar. Apabila beliau membuat sidang akhbar adalah hal-hal tertentu yang beliau merasakan penting untuk diperkata dan diperjelaskan. Ideanya untuk membangun negara dengan memberi pandangan dan sebagainya juga hanya tersalur menerusi sidang akhbar.

Kenapa dikatakan penting, kerana kalau tidak penting beliau tidak panggil sidang akhbar, beliau boleh bercakap kepada kawan-kawan rapatnya sahaja kemudian mereka akan tolong sampaikan kepada wartawan atau direct kepada sasarannya.

Dalam sidang akhbar itu beliau bercakap mengenai beberapa topik termasuk isu semasa. Soal kenaikan bahan bakar (petrol dan diesel) 20 sen seliter. Baginya kenaikan itu wajar dan sesuai kerana rakyat tidak perlu bergantung sangat kepada subsidi kerajaan. Perkara ini sudah lama menjadi pegangan Tengku Razaleigh, rakyat harus independent dari bergantung kepada kerajaan.

Dalam sidang akhbar itu beliau juga menyentuh mengenai cadangan Anwar Ibrahim yang meminta Najib Razak memanggil satu dialog kebangsaan untuk membincang beberapa isu terdesak masa kini; mengenai ekonomi, polirisasi kaum, jenayah dan urus tadbir. Tengku Razaleigh yakin sekiranya diadakan dialog ia akan memberi apa-apa kebaikan. Tengku Razaleigh seorang yang percaya kepada konsep mesyuawarah.

Apa yang menjadi perhatian di dalam sidang akhbar itu ialah mengenai pendiriannya dalam perhimpun agung Umno November tahun ini. Dan ramai yang percaya sidang akhbar itu, motifnya adalah ke arah itu. Apakah beliau akan bertanding menentang Najib Razak untuk jawatan presiden atau pun tidak. Bagaimana pun beliau tidak menjelaskan secara berterus terang dalam sidang akhbar itu mengenai maksud hatinya yang sebenar.

Beliau hanya memulangkan kemungkinan itu kepada ahli Umno dan 'sikon'. Katanya soal dia bertanding atau tidak terserah kepada akar umbi di dalam Umno. Baginya dia tetap bersedia untuk menawarkan diri. Itulah bayangan yang diberikan oleh Tengku.

Di samping itu beliau mengalu-alukan sistem pemilihan baru yang diperkenalkan, walaupun ada sedikit sebanyak kelemahan. Beliau juga menyebut pertandingan tidak boleh dihalang kerana itu merupakan kebebasan kepada ahli memilih pemimpin dan Umno harus demokratik. Ahli Umno juga perlu menggunakan kuasa demokrasi yang ada kepada mereka.

Walaupun media mengulas atau meletakkan keadaan Tengku dalam berteka teki sama ada bertanding atau tidak, tetapi bagi saya dengan memahami kata-kata dan ulasan beliau itu saya yakin ahli Parlimen Gua Musang itu akan mencuba nasib sekali lagi. Penghapusan kouta melayakkan seseorang bertanding membuka peluang untuknya bertanding.

Tahun 1987 beliau telah mencabar Mahathir Mohamad dan cabaran itu hampir berjaya. Bahkan sudah berjaya? Manakala hasrat beliau untuk sekali lagi mencabar presiden ketika itu Abdullah Ahmad Badawi tidak berjaya apabila dihalang oleh sistem kouta. Jadi apabila sistem itu kini sudah dihapuskan ini merupakan peluang terbaik bagi Tengku berbuat demikian. Berdasarkan keadaan dan senario itulah saya yakin beliau akan mendaftar diri untuk merebut jawatan presiden.

Sidang akhbar itu adalah isyarat jelas bagi seluruh ahli Umno supaya membuat persediaan untuk perhimpunan. Sidang akhbar itu juga merupakan usikan kepada Najib. Ertinya Najib tidak boleh melupakan begitu sahaja 'sidang akhbar' itu melainkan kena mempersiapkan diri kemungkinan beliau akan dicabar Tengku Razaleigh.

Mungkin ada sesetengah pihak di dalam Umno sendiri mengatakan sekarang bukan musim untuk Tengku Razaleigh merebut jawatan presiden. Musim dan eranya sudah berlalu. Atau pun tidak padan bagi Tengku untuk berdepan dengan Najib yang boleh dianggap sebagai anak ayam didiknya. Tetapi kenapa beliau masih meletakkan dirinya dalam keadaan hendak bertanding?

Kita tampak ada keperluan mendesak untuk beliau berbuat begitu. Salah satunya ialah masalah dalam Umno itu sendiri. Umno kini sudah hampir hancur dan perlu diselamatkan. Kalau mengikut pandangan MB Pahang, Adnan Yaakob Umno tidak boleh dibaiki lagi tetapi perlu dirobohkan dan dibina struktur baru.

Kekuatan atau roh perjuangan Umno sebenarnya sudah jauh terpesong. Disebabkan kelemahan dan kurang integriti kepimpinan banyak kepentingan Melayu terabai atau gagal diperkasakan. Kelemahan dan kurang keberanian serta terlalu toleransi juga menyebabkan kepentingan Melayu tergadai ditangan Umno. Mungkin atas alasan inilah mendesak beliau menawarkan diri dan percaya dapat mengembalikan roh dan semangat Umno yang sudah makin pupus.  Mungkin pemikiran Tengku konservatif, tetapi konservatif mengenai kepentingan Melayu cukup penting pada masa ini.

Tidak salah pun bagi Umno kalau mereka membuat perubahah di dalam perhimpunan kali ini. Perubahah yang dimaksudkan ialah mengambil kira masa depan Umno dan bangsa Melayu. Suka saya mencadangkan kepada ahli Umno agar membuat perubahan dalam struktur kekuasaan dimiliki parti berkenaan. Umno tidak perlu memberi limpahan kuasa (absolute) kepada seseorang. Maksudnya Umno boleh pisahkan jawatan presiden dengan perdana menteri. Idea ini agak asing sedikit.

Untuk ini presiden tidak perlu menjadi perdana menteri. Presiden dan parti boleh melantik dikalangan mereka memegang jawatan perdana menteri. Dengan adanya pemisahan kuasa ini tidak berlaku presiden atau perdana menteri mendapat limpahan kuasa (absolute). Perdana Menteri boleh menjadi eksekutif kepada kerajaan dengan dipandu oleh presiden yang menjadi eksekutif kepada parti bagi memastikan perdana menteri senantiasa memenuhi kehendak dan aspirasi parti.

Bagi merealisasikan idea ini, tepat kalau Umno mempertimbangkan jawatan presiden kepada Tengku Razaleigh sebab keperluan beliau untuk jadi presiden bagi memulih dan memperkuatkan parti. Dengan usianya serta segala kemudahan yang beliau miliki, Tengku Razaleigh tidak lagi ingin kepada glamour dengan mengumpul kekayaan dan kemewahan. Dalam keadaan sekarang beliau dapat menumpukan kepada pembangunan parti sepenuhnya.

Untuk perdana menteri parti boleh mencadangkan sesiapa yang dirasakan layak, berkemampuan serta memiliki idea membangun negara dan rakyat. Sekiranya bagi ahli Umno Najib masih layak menjadi PM ahli yah...boleh tuntut dari presiden agar Najib menjadi PM.

Idea ini sesuatu yang tidak praktikal dalam konteks tafsiran politik dan amalan pemerintahan di negara ini, tetapi ia boleh dicuba sekiranya ahli-ahli Umno ada keberanian dan ingin melakukan proses transformasi perdana seperti mana disebut Najib. [wm.kl.8:58 am 08/09/13]

1 comment:

Yanaam said...

Peluang Ku Li untuk menang saya kira amat tipis. Hanya ahli UMNO yang berumur 50 tahun ke atas yang benar2 kenal beliau dan tahu kehebatan beliau. Yg berumur 40an, mungkin tahu sikit2 kalau rajin baca sejarah UMNO tahun 70 dan 80 an.

Selebihnya, mereka hanya kenal Ku Li sebagai ahli parlimen Gua Musang sahaja tapi tak tahu jasa dan kehebatan beliau.

Orang Melayu mudah lupa dengan jasa2 orang terdahulu kecuali sentiasa digilap sejarah itu. Jadi yang umur 50 tahun ke atas pun sudah tidak begitu mengkagumi kehebatan beliau kecuali sebahagian kecil shj. Buku2 biografi beliau dan memoir bersama beliau semakin pupus dipasaran. Jadi saya kira agak sukar.