Tuesday, September 17, 2013

Kalau Mukhriz Tanding, Mangsanya Ialah Zahid Hamidi?

ANALISA                                                                                              

Mukhriz Mahathir disebut-sebut akan ikut merebut jawatan Naib Presiden Umno yang bakal dipertandingkan pada persidangan parti itu Oktober ini. Khabarnya Mukhriz telah mendapat restu daripada bapanya dan juga Umno negeri Kedah. Sekiranya Mukhriz jadi untuk sama-sama berebut jawatan itu saya merasakan ia bukan bertolak dari hati MB Kedah itu sangat, tetapi ia adalah 'ilham punjangga' bapaknya sendiri. Mahathirlah yang bersungguh-sungguh mahukan putera politiknya melonjak ke atas.

Mukhriz Mahathir
Mahathir ada perkiraan lain yang anaknya sendiri tidak dapat mengesaninya. Apa dibimbangi ialah kemaraan Khairy Jamaluddin yang kini sudah menjadi menteri belia dan sukan yang dilihat bakal menjadi pesaing masa depan kepada Mukhriz. Walaupun Mukhriz kini sudah menjadi MB dan pengerusi Umno Kedah, tetapi kedudukan itu dalam bacaan Mahathir belum cukup mantap dan kemas serta hatinya belum puas.

Baginya Mukhriz harus berada dalam hirearki tertinggi parti sebagai naib presiden setanding dengan Khairy yang kini secara automatik telah menjadi salah seorang naib presiden Umno menerusi jawatan ketua pemuda Umno. Selama-lamanya Mahathir tidak mahu anaknya mengekori Khairy Jamaluddin kerana situasi itu menjatuhkan maruah dan air muknya sebagai bekas presiden Umno selama 22 tahun dan juga sebagai orang yang 'dianjung-anjung'kan sebagai mastermind politik terhebat di rantau ini.

Letaklah kalau Mukhriz jadi bertanding, apakah perancangan Mahathir? Beliau tidak akan duduk diam. Mahathir akan pusing seluruh Malaysia untuk menjalani kempen bagi Mukhriz. Makenisme pertama diambil ialah menerusi blog dan media sosial. Kemungkinan juga dalam masa terdekat dia akan round Malaysia. Kalau tidak dia sendiri, akan adalah agen-agennya, boleh jadi juga budak-budak Perkasa(m) atau pengangguk di Yayasan Perdana yang selamanya akan menjadi abadi politik Mahathir.

Zahid Hamidi
Mahathir ada pengalaman dan kebolehan di dalam hal ini. Dia boleh flash sekejap sahaja bagai mana untuk menyinarkan lagi anaknya itu. Dalam masa sama juga dia akan mencipta beberapa gimik dan perangkap politik yang boleh memasungkan ahli Umno. Mungkin Mahathir akan berterus terang Mukhriz adalah penyambung kepada legendanya, kasihanlah hamba... Mungkin!

Bagaimana pun kalau benar Mukhriz mengumumkan untuk bertanding, apa yang menarik siapakah yang akan menjadi mangsa? Maksudnya siapakah dari tiga naib presiden yang bertahan kini, akan menjadi mangsa atau terkeluar dari kedudukan itu. Tidak boleh tidak salah seorangnya akan perlu dikorbankan untuk membawa masuk Mukhriz. Orang yang akan dikorbankan tentulah besar, gemuk dan cukup umur kerana kerja membawa masuk Mukhriz ini bukan calang-calang.

Apakah dianya Hishmuddin Hussein sepupu Najib Razak. Atau pun Shafei Afdal orang menjadi harapan Najib di Sabah akan menjadi korban. Atau Ahmad Zahid Hamid mediator nombor satu alias pembodek Najib dan juga bomoh besar dalam menenangkan jiwa dan hati Rosmah Mansor akan berdepan dengan pisau sembelihan Mahathir?

Bagi pencabar lain seperti Mohd Isa Samad ataupun Mohd Ali Rustam tidak begitu penting untuk dihadapi kerana mereka adalah sampah dalam pertandingan kali ini. Saya membayangkan Ali Rustam yang sudah menyatakan hasrat untuk bertanding akan menarik diri saat-saat terakhir dan begitu juga Mohd Isa Abdul Samad. Najib pasti akan ada penawar dan cenduai tertentu untuk memengsankan mereka berdua.

Apa digunakan Najib untuk memengsankan Azalina Othman Said daripada meneruskan hasrat mencabar Sharizat Jalil, itulah juga kaedah bakal digunakan oleh Najib. Najib sekarang ini mahu menunjukkan kekuatannya dan dalam masa sama menunjukkan bahawa beliau mempunyai ramai juragan dan saudara kuasa untuk melindunginya dari diganggu anasir-anasir tidak terduga dalam Umno. Dalam kepala pemerhati mereka melihat Najib sedang bertarung degan Muhyiddin Yassin secara senyap.

Berbalik kepada siapa yang akan menjadi mangsa bakal ditepis Mahathir bagi meletakkan anaknya di situ elok kalau kita menghayati seketika kepada kenyataan Mahathir sebelum ini yang membuat seruan supaya pemimpin berumur atau lama memberi laluan kepada orang muda. Bagi saya kenyataan itu menunjukkan Mahathir sudah hantar mesej sangat jelas. Kalau dilihat dari tiga naib presiden itu yang berumur atau pun tua sedikit ialah Zahid Hamidi. Ketuaan itu bukan saja dari aspek fizikal tetapi matang dengan pelbagai masalah.

Tetapi Mahathir juga arif mengenai pengaruh dan kedudukan Zahid hari ini, yang akhir-akhir ini dilihat sebagai berjaya sebagai menteri KDN. Kerana itu Mahathir tidak mengulas mengenai kejayaan polis dan hal-hal keselamatan lain kerana Zahid berjaya memberi impaknya kepada keselamatan negara. Operasi Cantas telah meletakkan Najib setanding dengan bekas menteri KDN Tun Dr Ismail Abdul Rahman di zaman pasca darurat dahulu.

Bukan itu saja Mahathir masih ada phobia dengan Zahid. Selamanya dia tidak mempercayai dan menyakini Zahid. Yang paling ditakuti sekarang ini ialah mengenai cerita-cerita dalam gelap mengatakan Zahid sedang membina titi untuk mempertemukan Anwar Ibrahim dengan Najib atas nama kerjasama politi demi bangsa dan negara. Ini yang Mahathir sangat gerun.

Percayalah nasib Zahid akan menjadi malang kalau Mukhriz benar-benar menyerahkan borang untuk bertanding naib presiden? Mahathir akan memberi signal itu kepada seluruh ahli Umno agar menggantikan anaknya dengan Zahid. Mungkin sebelum menjelang mesyuarat perwakilkan bahagian dan hari mengundi Mahathir akan mengarahkan para cyber troopernya untuk melayak Zahid habis-habisan.

Yang tidak apat disembunyikan impian Mahathir mahukan Mukhriz menuruti jejaknya. Dia mahu secepat mungkin Mukhriz naik kerana dia sendiri sudah tidak mempunyai banyak masa untuk melihat kejayaan itu. Mahathir tidak mahu menjadi seperti Tun Razak Hussein tidak dapat melihat Najib angkat sumpah sebagai perdana menteri. Maka proses kenaikan kena cepat dan bangat.

Mahathir sudah membaca makrifat dalam kitab politiknya. Kalau Zahid tersingkir dan diganti oleh anaknya, ia memberi peluang terbaik. Agenda seterusnya ialah mempercepatkan pula Najib berundur untuk memberi laluan kepada Muhyiddin. Apabila Muhyiddin naik dia tidak akan ambil Hishmuddin atau Shafei Afdal sebagai menjadi penggantinya. Yang akan diambil nanti ialah Mukhriz, kerana Mahathir banyak menyemaikan benih di hati Muhyiddin.

Sekiranya Mukhriz menang menduduki salah satu kerusi Naib Presiden dalam pemilihan ini, sudah tentu beliau akan menganjak ke kerusi timbalan pesiden tiga tahun atau empat tahun lagi. Dalam pilhan raya ke-14 Mukhriz akan bertanding di parlimen dan jika menang beliau akan dilantik menjadi timbalan perdana menteri. Inilah impian besar Mahathir sebelum beliau dipaksa bersara dalam erti kata sebenarnya.

Saya yakin perkiraan serius sedang dibuat saat ini oleh Mukhriz dan juga Mahathir. Tetapi saya yakin berdasarkan kepada stail dan ambisi politik Mahathir, Mukhriz akan ikut sama bertanding sebagai Naib Pesiden. Pencapaian Mukhriz sebagai MB berbanding dengan empat MB yang baru, jelas Mukhriz jauh kedepan dan lebih bersinar. Asas itu dijadikan Mahaathir sebagai modal untuk mempertaruhkan anaknya demi memuaskan nafsu sekarah politiknya.

Tetapi kalau Mukhriz kalah sudah pasti Mukhriz akan jadi kuda kepang.  [wm.kl.7:47 pm 17/09/13]
Post a Comment