Tuesday, September 10, 2013

Etika Pemilihan Pemimpin Dalam Pas Perlu

ULASAN                                                                                               

Langkah Pas untuk mengadakan garis panduan kepada ahli-ahlinya dalam berkempen merebut jawatan dalam muktamar November ini sesuatu yang wajar dan tepat. Langkah itu jangan dianggap pengongkongan kepada proses pemilihan pemimpin dalam Pas. Sebaliknya ia harus diterima secara positif.

Seperti mana kata Naib Presiden, Mahfuz Omar, (foto) wujud keadaan tidak baik dalam kempen hari ini bila mana kebebasan media baru seperti Facebook, twiter dan blog tidak digunakan dengan berhemah oleh penyokong tokoh tertentu dan ada yang dijadikan alat untuk menyerang pihak lain.

Memang tanggapan itu benar. Saya sudah merasa dan sangat membimbang hal ini. Ia boleh dilihat ada kecaman peribadi kepada tokoht-tokoh tertentu yang dijangka akan turut bertanding yang dimuat turunkan dalam internet. Lebih malang lagi apabila serangan menerusi media baru ini dibalas pula oleh pihak yang merasakan tokoh mereka dihentam.

Tidak dipastikan siapa yang menimbulkan keadaan tidak baik itu apakah di kalangan ahli Pas yang menyokong tokoh tertentu ataupun ia dieksploitkan oleh pihak musuh Pas. Saya tidak percaya kalau ahli Pas yang mendakwa mereka lebih berintegriti dari ahli Umno sanggup berbuat demikain?

Dengan adanya peraturan itu nanti diharap suasana tidak selesa dan boleh mengancam keharmonian didalam Pas khasnya menjelang muktamar dapat diatasi. Jangan ada lagi qutation yang sengaja diperbesarkan untuk mengaibkan tokoh tertentu. Begitu juga cerita-cerita lama yang boleh menjejaskan imej dan maruah seseorang tidak wajar dimainkan.

Tidak pasti bagaimanakah bentuk peraturan itu. Menurut Mahfuz ia akan dibentuk atau dirangka oleh pejabat Setiausaha Agung. Tetapi yang sudah pasti motif dan objektif etika dan peraturan itu untuk kebaikan umum.

Suka dicadangkan salah satu peraturan itu sekiranya terdapat mana-mana tokoh memberi sokongan atau pun bertanggungjawab terhadap apa-apa bentuk kempen melampau dalam internet pencalonan mereka hendaklah dibatalkan.

Saya merasakan peraturan bakal digubal nanti tidak seketat peraturan yang dibuatkan Umno untuk membendung politik wang dalam pemilihan parti tersebut. Satu masa dulu Umno mengeluarkan Buku Merah mengenai etika kempen, dimana buku itu menjadi simbol kekalutan dalam proses pemilihan dalam Umno.

Jangan pula sampai jabatan Setaisuaha Agung mengeluarkan Buku Hijau yang membawa konotasi sama dengan Buku Merah itu.

Apabila peraturan itu sudah dikeluarkan semua ahli Pas hendaklah mematuhinya dengan baik. Seperti mana jelaskan oleh Mahfuz bukan tidak boleh berkempen tetapi biarkan beretika dan tidak menyentuh sosl-sol peribadi sehingga berbau fitnah dan menyusahkan orang yang disokong.

Peraturan itu nanti jangan sekadar wujud sebagai peraturan tetapi kena dipatuhi. Begitu juga peraturan itu jangan sahaja fokus kepada kenyataan atau kempen berbentuk pertemuan dan sebagainya, tetapi pemasangan banner atau pun poster yang menamakan individu itu puak ini atau geng itu geng ini ini juga hendaklah dilarang.

Pas sebagai parti bertunjangkan Islam asas kekuatannya ialah perpaudan dan persepakatan. Nawaitu untuk memilih pemimpin bukan kerana lain, melainkan untuk memikul amanah dan tanggungjawab kepada Allah dan Rasul. Intipati kepada pemilihan itu meletakkan mereka yang berkelayakan dan berkebolehan menjadi pemimpin parti; politik dan agama bukannya mengangkat puak atau sukuan berunsur assobiyah.

Ahli Pas juga jangan berpandangan sempit merasakan orang segolongan dengan mereka dari segi bulu sama, fesyen pakaian sama dianggap baik dan layak tetapi orang lain tidak layak dan perlu diturunkan. Pemisahan Pas dengan nama-nama seperti geng ulamak, golongan Erdogan, golongan ustaz, golongan Syiah, puak Ahlisunnah Wal jemaah dan sebagainya jangan diwujudkan lagi. Semua ahli Pas harus sepakat membuang segala itu dan menerima tiap antara satu sama lain adalah ahli Pas yang memburu 'mardthatilah'. [wm.kl.9:00 pm 10/09/13]

No comments: