Tuesday, November 3, 2009

Ulasan Penangkapan Dr Asri

Tidak Ada Motif Politik!

MENDENGAR penjelasan oleh Dr Mohd Asri Zainal Abidin malam tadi dan komen-komen beliau di media massa apa yang saya dapat simpulkan di sini, beliau tidak berpuas hati dalam beberapa perkara. Paling penting ialah birokrasi diamalkan oleh pihak berkuasa agama. Pihak berkuasa ini disifatkan sebagai lebih bersikap serba tahu dan tidak mahu menyelesaikan masalah yang timbul secara ilmu.

Dalam hubungan ini penguasa agama bersikap kejam dengan menjadikan undang-undang sebagai senjata untuk menghukum orang lain salah, sesat dan sebagainya. Bagi Asri tindakan ini beliau sifatkan sebagai tindakan tidak menunjukkan kemajuan dan bertentangan dengan fitrah Islam itu sendiri yang progresif dan menggalakkan percambahan ilmu di kalangan umatnya.

Apa yang beliau kesal juga penguasa agama tidak sedia untuk berbahas secara ilmu. Katanya apa yang wajar bila timbul sesuatu kekeliruan dan pertelingkahan minda ia hendaknya diselesai dengan ilmu dan bukan hukuman, tindakan rakus ataupun penganiayaan.

Beliau menarik perhatian kenapa timbul puak dan perbalahan yang disebut dalam sejarah silam ialah kerana umat Islam telah menggunakan undang-undang sebagai rotan untuk membuat kayu ukur terhadap satu sama lain.

Cara sebegini katanya salah. Tujuan asal Islam untuk mempersatukan ummah itu jadi sebaliknya, memecahkan ummah.

Keadaan inilah ujarnya yang berlaku hari ini. Pihak penguasa agama enggan menggunakan ilmu dalam menyelesaikan apa-apa kekeliruan atau masalah yang timbul dalam masyarakat Islam sebaliknya lebih suka menggunakan kuasa. Beliau menyifatkan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atasnya malam semalam itu sebahagian daripada sikap atau pun amalan yang disebutkan dalam sejarah itu.

Sementara apa yang berlaku di sebalik peristiwa semalam, ialah kerana timbul tanggapan kuliah agama Dr Asri telah menyeleweng. Seperti mana disebut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohamed Khusrin Munawi, bahawa ceramah atau kuliah Asri ada yang kurang disenangi. Apa yang dimaksudkan di sini Asri dikatakan menyerapkan fahaman Wahabi.

Tuduhan ini sudah lama berlaku dan Jais sendiri sudah bertahun mengikuti dan melarang Asri menyampaikan ceramahnya di negeri berkenaan. Dalam hal ini tindakan Jais melarang Asri itu ada benarnya juga. Sesiapa pun tidak mahu ada ajaran atau fahaman yang bersalahan dengan pegangan umat Islam negara ini iaitu ahli sunnah wa jemaah diajarkan kepada umat Islam.

Sebagai badan yang diamanahkan dan bertanggungjawab memastikan kemurnian aqidah ummat Jais perlu memantau dan bertindak atas apa-apa kegiatan yang diragui. Tangungjawab ini tidak boleh dinafikan bahkan perlu dialu-alukan.

Kalau Jais benar bertindak atas dasar itu tidak salah. Kerana menjadi tanggungjawab Jais menjaga aqidah umat Islam agar tidak sampai tergelecah atau pun sesat. Tetapi apa yang menjadi masalah di sinilah, ialah sejauh manakah Asri telah mengamalkan fahaman yang salah itu. Dan persoalan lain, sejauh manakah pula fahaman Wahabi itu salah.

Asri sendiri menolak tuduhan kalau mengatakan dia menganut faham Wahabi sehingga boleh merosakkan aqidah itu. "Bagi saya Wahabi ini adalah perkataan ajaib. Anak jin (Wahabi) inilah yang menimbulkan masalah. Pihak tertentu menggunakan perkataan ini untuk mengukum tanpa mengetahui apakah wahabi itu," ujarnya.

Memahami apa yang dijelaskan Asri itu saya tampak di sini tuduhan terhadap Asri itu samar. Ertinya tidak ada perincian mengenai apakah kesalahan fahaman atau pun butiran yang disebut dalam kuliah-kuliahnya.

Soalnya kalau setakat mengatakan tidak bacaan qunut itu sebagai salah, ia adalah satu perkara yang boleh dipersoalkan. Katanya dia sendiri tidak mencerca qunut. "Apa yang saya dengar ada orang kata qunut tidak wajib dibaca dalam sembahyang, itu saja,"

Tambah beliau lagi kalaulah soal qunut ini penting dan wajib, maka salahlah jemaah Haji di Makkah kerana di masjid Haram tidak ada bacaan qunut dalam solat.

Ertinya tuduhan Asri menganut fahaman Wahabi atau apa-apa faham sesat adalah samar. Dan apakah yang dikatakn ajaran dan fahaman Wahabi itu juga samar. Saya percaya masih banyak orang tidak mengetahui asal usul fahaman ini dan apakah pegangannya. Apa yang berlaku hanya secara umum sahaja.

Bertolak dari situ adalah wajar kalau Jais dan pihak berkuasa agama, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mengambil inisiatif untuk memperjelaskan perkara ini. Ataupun Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengeluarkan fatwa mengenai kedudukan fahaman Wahabi ini kepada umum. Para Mufti-Mufti juga perlu bersidang untuk mencari kata sepakat. Apakah ianya satu fahaman yang sesat atau sebaliknya. Elok diadakan ketetapan hitam putih bagi tidak mengelirukan umat Islam.

Selagi tidak ada fatwa mengenai fahaman ini maka selama itulah ianya akan menimbulkan masalah dan kekeliruan. Dan sekiranya sesudah ada fatwa itu nanti mana-mana pihak yang hendak mengambil tindakan ke atas penganut fahaman itu barulah tidak menimbulkan masalah. Umat Islam juga tidak akan terkeliru selepas adanya fatwa mengenai Wahabi ini.

Kita semua mesti sedar dan insaf berhubung dengan pegangan beragama ini, (aqidah). Tidak ada siapa pun yang mahu berpegang kepada aqidah yang tidak betul, sesat dan songsang. Baik siapa sekali pun semuanya mahukan keredhaan Allah. Amal ibadat yang dilakukan, kehidupan seharian yang dilalui mengharap keredhaaan Allah. Tidak ada seorang pun antara kita yang ingin terlepas daripada mendapat keredhaan Allah ataupun memakan makanan yang tidak berkhasiat.

Sementara hukuman bersifat tuduhan pastilah tidak disukai oleh sesiapa saja. Ia bukan saja tidak adil tetapi menimbulkan fitnah. Sebaik-baik dalam aspek ini bincanglah dengan keilmuan yang tinggi, terbuka dan berlapang dada. Pintu ijtihad juga perlu dibuka seluas-luasnya kerana adalah salah kalau pintu ijtihad ditutup sedang ilmu Allah itu sendiri luasnya tidak terkata. Bidalan otordoks yang berbunyi kalau anda banyak bertanya menggambarkan iman anda cetek sudah tidak sesuai lagi. Bidalan itu tidak lebih daripada ingin menyembunyikan kebenaran ataupun melindungi kejahilan.

Mengenai tanggapan kononnya serbuan dan penangkapan Dr Asri ada motif politik, saya tidak nampak ini satu kebenaran. Selepas memerhati dan mendengar ulasan dari berbagai pihak menjelaskan kejadian yang berlaku itu tidak ada motif politik.

Apa yang terjadi adalah suara-suara di kejauhan cuba mentafsirkan kejadian itu sebagai bermotif politik. Baik Umno, Pas atau PKR tidak jelas kepada saya kalau mereka ada saham disebaliknya. Saya juga tidak terfikir kalau Jais dipergunakan untuk mencapai matlamat politik. Jahil murakablah mereka yang melakukan demikian.

Kepada saya mengapa penangkapan itu menjadi gempar dan sehingga ia dikaitkan dengan kerja-kerja politik kerana teknik Jais itu kurang profesional. [wm.kl. 5:52 pm 03/11/09]


2 comments:

Mohd Shahrizal said...

Salam Pak MSO
Isu ini jugak menunjukkan yang masyarakat kita terlalu taksub dengan politik... Seblom memahami apakah masalah sebenar, semua jari telah siap tuding-menunding ke arah parti2 politik kerajaan mahupun pembangkang. Baik pak menteri hinggalah kepada pakcik2 di kedai kopi... Semuanya mengaitkan peristiwa ini dengan politik... Tak keterlaluan kalau saya katakan ketaksuban rakyat hari ini dengan politik telah sampai ke tahap kronik!

AlHadi Tok Ayah Su (atas) said...

salam hormat !

sudah terang lagi bersuluh,satu peluru dua sasaran,jais pun kena dan mais (exco agama selangor) pun kena.(sama dengan tomahan didalam blog saya)

Wahabi hanyalah kambing hitam yang terkena peluru sesat.Setahu saya ajaran syiah, khawarikh dan wahabi bukanlan amalan rakyat (umat) islam dirantau asean termasuk malaysia kerana sejak dahulu kala lagi kita dilatih,diasuh dan diajar dibawah ajaran ahlil sunnah waljamaah. Inilah ijtikad dan iktikad dari azali sejak datuk nenek kita sekian lama dahulu lagi tetapi tidak tahulah pula saya adakah ianya telah pun digazetkan menjadi satu undang undang dibawah penguatkuasa syarie atau pun tidak.

Disaat ini saya percaya Dr Maza memerlu sokongan moral dari banyak pehak untuk bersamanya terutama para para pimpinan Pas dan barang siapa bijak mengunakan peluang ini saya yakin dan percaya beliau akan menjadi satu bintang yang berkelip mengerlapang didalam erena politik pembangkang dan sudah pastinya Parti Pas yang akan menjadi pilihan beliau......