Sumbangan Untuk Mangsa Banjir Tercicir
Selamat Disampaikan
ALHAMDULILAH, tugas dan amanah menyampaikan bantuan kepada beberapa mangsa banjir yang sebelum ini terbiar dan tercicir di Jitra Kedah seperti mana dilaporkan dalam blog ini sebelum ini dapat disempurnakan hari ini.
Sumbangan ikhlas dari beberapa penjenguk blog Merah Tinta dapat disampaikan kepada mangsa bencana alam berkenaan. Sekurang-kurang enam keluarga yang tinggal di belakang taman Bunga Raya, Jitra menerima sumbangan berkenaan tengah hari tadi.
Sumbangan ikhlas penjenguk blog Merah Tinta itu disampaikan bersama sumbangan beberapa orang rakan dan sahabat yang turut bersimpati dengan mangsa berkenaan. Antara mereka ialah Abe Ki (Zaki Abdul Rahman), Zulaimi (taukeh Kopi Janda) dan Md Radzi Mustapa peguam terkenal dari Kuala Lumpur.
Selain itu sumbangan hari ini juga termasuk dari Ahli Parlimen Kubang Kerian, Sallahuddin Ayub, Rushdan Mustapa dan juga Pengarang Buletin Rakyat, Pn Norza Kepol dan suaminya.
Mungkin sumbangan itu terlalu kecil dan tidak dapat mengubati kedukaan dan kemalangan yang menimpa mereka akibat bencana itu. Namun ternyata keluarga berkenaan sungguh gembira dengan sumbangan itu. Tatakala menerima sumbangan tiap mereka melapazkan terima kasih beberapa kali kepada kami dan penyumbang bantuan itu.
"Saya bagi pihak keluarga di sini dan mereka yang menerima sumbangan mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan sekalian kerana bersimpati dengan kami. Kami doakan semoga Allah merahmati tuan-tuan dan segala pertolongan ini akan dibalas Allah s.w.t.," kata Ramli sebagai mewakili penerima sumbangan itu. Dua tiga titis air mata kelihatan mengalir di celah birai matanya.
Antara barangan yang dihulurkan kepada mangsa berkenaan berupa barangan keperluan rumah, toto, bantal, tikar, kain sarung dan barang makanan; beras, gula, biskut, milo, tea dan sebagainya. Selain itu mereka juga diberikan wang tunai untuk keperluan mereka membeli apa-apa barangan yang diperlukan.
Sekali lagi kepada penjenguk blog ini dan rakan-rakan yang bersimpati dengan mangsa berkenaan, saya mengucapkan terima kasih. Sudah tentu pemberian itu besar erti dan makna buat mereka, dan paling mengembira dan membahagiakan saya, kerana blog ini dapat juga menghulurkan bantuan di samping memberi maklumat politik semasa.
Sekali lagi terima kasih, jasa dan budi anda sekalian akan dikenang hingga ke akhir hayat oleh mereka dan saya. [wm.kl.11:00 pm 14/11/10]
3 comments:
Berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing..
Ringan sikit beban mereka..
Tahniah..
tahniah atas kerja baik ini.
semoga allah memanjangkan usia kalian dengan amalan2 jariah tanpa kepentingan peribadi. semoga amalan diterima allah s.w.t.semoga akan lahir lagi insan2 berbudi pekerti mulia seperti tuan dan sahabat.
Post a Comment