SATU PENGAMATAN
Semasa menginap di sebuah hotel di Jalan Dusun Muda ketika balik ke Kelantan dua tiga hari lalu saya memperolehi sebuah buku "Hadirmu Jeli Berubah". Buku berkulit merah itu memaparkan gambar ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed smart berbaju Melayu warna biru muda. Ia merupakan buku profil pembangunan di Daerah Jeli dalam tempoh 1995 - 2012 dibawah Mustapa Mohamed sebagai ahli Parlimen. Buku itu eksklusif penuh gambar warna warni kira-kira 227 keping.
Gambar kulit buku berkenaan. |
Bukan saja setakat membelek buku berkenaan melihat foto-foto pembangunan dan perubahan yang dilakukan di Jeli, tetapi realitinya boleh dilihat sendiri. Sesiapa yang sudah lama tidak ke Jeli mungkin akan terkejut atau semacam berada dalam sebuah daerah yang disihirkan begitu rupa sekali. Pembangunan sosial dan penyediaan prasarana dilakukan Mustapa sungguh mengejutkan dan sekaligus menunjukkan kesungguhannya.
Mereka yang lama meninggalkan Jeli akan teruja melihat kawasan itu kini seperti mana terujanya pemuda Khasbul Khafi yang masuk ke dalam gua untuk bermunajat kepada Allah. Apabila mereka keluar mereka lihat negeri itu sudah berubah. Keasyikan mereka bermunajat kepada Allah di dalam gua menyebabkan mereka tidak tahu masa berlalu dan mereka dapat mengesan masa begitu lama mereka tinggalkan apabila wang syiling yang mereka miliki sudah tidak laku lagi.
Saya pernah berjenaka dengan orang Jeli gara-gara pembangunan pesat di Jeli yang dibawa Mustapa, menyebabkan kera dan monyet pun pandai bercakap Inggeris.
Satu kebangga kepada orang Jeli kerana memiliki pemimpin persis Mustapa yang rajin dan komited. Kemajuan dicapai di Jeli itu rasanya dicemburi orang Bachok - tempat asal Mustapa, kerana mereka enggan menerima kehadiran Mustapa dahulu. Memang orang Bachok menolak tuah kerana tidak mahu menerima Mustapa. Mustapa sepatutnya berbakti di bumi kelahirannya sendiri. Namun disebabkan nafsu politik dan politik keakuan tinggi menyebabkan Mustapa dihijrahkan ke Jeli.
Satu segi pengiriman Mustapa ke Jeli satu penganiayaan terhadapnya. Namun rahmat di sebalik itu tidak siapa tahu, bahawa kedatangan Mustapa ke Jeli untuk membangun daerah berkenaan dan ia merupakan pahlawan dan pembela Jeli bagi orang Jeli. Sewajarnya penghataran itu dikira satu tuah dan tindakan kena pada tempatnya kerana Jeli daerah baru memerlukan seorang wakil rakyat yang rajin, kuat berkerja dan ikhlas seperti Mustapa.
Cuplikan foto dalam buku berkenaan. |
Hari ini setelah 17 tahun Mustapa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Jeli, tidak kira siang malam akhirnya hampir setiap minggu, Jeli kini menjadi bandar moden dan hebat siap dengan segala kemudahan. Apa yang ada di Jeli tidak ada di daerah-daerah lain. Hampir semua bentuk pembangunan sosial, ekonomi, ada di Jeli. Semua jenis bank perdagangan ada di Jeli dan Bukit Bunga. Benarlah kata pepatah pembangunan dan kemajuan di sesebuah tempat itu bukan saja bergantung kepada rupa bentuk dan hasil buminya tetapi bergantung kepada kebijaksanaan pemimpinnya.
Kalau pun sesuatu kawasan itu kaya dengan sumber yang boleh menjana ekonomi dan pembangunan tetapi kalau pemimpin tidak rajin, tidak kreatif dan ada pula penyakit rasuah ia tidak dapat membangun. Dalam hal ini sekali lagi rakyat Jeli bertuah kerana mempunyai seorang wakil rakyat seperti Mustapa, anak kampung yang prihatin, beramanah serta berpendidikan tinggi dalam bidang ekonomi. Kelebihan yang ada kepada Mustapa juga dia masih mengekalkan tradisi dan budaya kampungnya walaupun bergelar seorang menteri. Meskipun beliau berterbang ke serata benua dalam melaksanakan tugasnya sebagai menteri namun dia tidak pernah menanggalkan baju tradisinya.
Tahniah atas penerbitan buku berkenaan yang diusakan oleh Pusat Pembangunan Sosial Ekonomi (PPSE) Parlimen Jeli. Sepatutnya apa dilakukan oleh pusat berkenaan menerbitkan profile perjuangan dan pembangunan seperti Mustapa itu dicontohi oleh ahli parlimen atau wakil rakyat lain.
Bila melihat buku ini saya teringat kepada dua orang ahli Parlimen UBN di Kelantan yang sepatutnya mempunyai buku yang sama, memdokumentasikan perjuangan dan jasa dan bakti mereka di kawasan diwakili. Mereka ialah bekas ahli Parlimen Ketereh yang juga bekas jemaah menteri, Annuar Musa dan bekas menteri dan kini masih ali Parlimen Tengku Razaleigh Hamzah. Kedua-dua mereka ini sepatutnya sudah lama menerbit buku seperti ini bukan saja sebagai bahan dan modal politik, tetapi sebagai dokumen sejarah untuk dunia mengenali mereka. Jika ahli sejarah atau pemerhati politik ingin membaca jasa dan bakti mereka buku seperti itu boleh dijadikan panduan.
Dalam usaha Mustapa membawa pembangunan dan merubah muka dumi Jeli menjadi bandar serta membentuk pemikiran rakyat Jeli beliau merancangnya menerusi empat teras yang boleh dianggap sebagai paksi pentadirannya.
Teras-teras itu ialah, pertama meningkatkan syiar Islam, pembinaan masjid, surau dan institusi Islam seperti pondok. Pembangunan psykologi dan agama ini penting kerana hampir 100% penduduk di Jeli beragama Islam. Agama sangat sensitif dan menjadi kerangka hidup utama mereka.
Kedua, kemajuan pendidikan dengan mewujudkan pelbagai pusat pengajian dan kolej komuniti. Ini termasuk kampus Universiti Kelantan (UMK), Maktab Sains Mara, sekolah Sains dan sebagainya. Penyediaan kemudahan pendidikan ini adalah pembangunan asas untuk rakyat Jeli. Menerusi teras ini juga Mustapa berusaha menyediakan biasiswa dan bantuan pendidikan kepada masyarakat Jeli.
Ketiga, penyediaan dan penambahbaikkan kemudahan awan di Jeli. Kini kemudahan jalan raya, air paip, eletrik, telefon dan sebagainya di Jeli adalah terbaik berbanding dengan daerah lain. Di Jeli juga mempunyai kompleks Imigresen, Kastam, Kurantin dan keselamatan
Antara foto pembangunan di Jeli dalam buku berkenaan. |
Saya percaya apa dilakukan Mustapa itu bukan setakat melepas tanggungjawabnya saja tetapi ia adalah model yang cuba diketengahkan kepada pemimpin lain diperingkat daerah. Ia boleh dipetik bukan saja oleh kalangan ahli parlimen atau ketua Umno bahagian, tetapi pemimpin Pas juga beroleh manfaat dari cara Mustapa menjana kemajuan di Jeli kerana yang penting ia adalah untuk faedah rakyat.
Cara Mustapa yang sistemetik, impektif dan ikhlas itulah menambahkan kejayaan dan kemajuan di Jeli. Barang kali benarlah tutur-turut bekas MP Jeli Apandi Mohamad bahawa bukan mudah untuk dia merebahkan Mustapa di Jeli kerana apa yang dibuat Mustapa kepada rakyat dan bumi Jeli tidak terdaya olehnya dan kehadiran Mustapa kini umpama Chirstopher Culombus yang menemuai Amerika Syarikat 1492 sehingga bumi Uncle Sam itu kini menjadi sebuah negeri termaju di dunia. [wm.kl. 8:36 pm 24/08/12]
1 comment:
Tuan MSO...Syukur org Jeli dpt MP sebegitu bagus dan sering diwar-warkan sbg Menteri dari Kelantan...tapi bila ditilik2 dia dan wakil Bachok hanya menteri untuk negeri Jeli dan Bachok...
Post a Comment