Sunday, August 26, 2012

Khutbah: Jangan Cemarkan MAIK

SUSUPAN MALAM

Mulanya saya tidak mahu menyentuh fasal khutbah raya Aidifitri 1433 yang dibekalkan kepada imam-imam di Kelantan yang mana ada imam membaca dan mengubahsuainya kerana isu itu tidak berapa menarik minat. Khutbah raya Aidifitri Kelantan menjadi isu disebabkan ada butir-butiran dalam khutbah itu menyekit jiwa.

Awal-awal lagi saya sudah meneliti teks khutbah berkenaan memang ia mempunyai unsur-unsur tidak sihat dan tidak sesuai ianya dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (Maik). Maik sepatutnya tidak begitu jauh membawa sentimen politik di dalam khutbahnya. Maik seharusnya jilah dan bersih dari elemen politik keakuan.

Keseluruhan khutbah itu baik kerana memberi peringatan ke arah perpaduan dan bekerjasama serta mempertingkatkan daya keimanan kaum muslimim. Hampir 70% isi kandungan sempurna. Tetapi apabila ia diselit dengan agenda politik kerpartian menyebabkan khutbah yang baik itu tidak menjadi baik. Ia bak setitik nila merosakkan susu sebelangga.

Saya menelitinya menerusi laman web Maik yang memasukkan teks khutbah berkenaan beberapa hari sebelum raya. Saya sudah menduga ia akan dipertikaikan oleh makmum yang tidak senang dengan penyelitan unsur-unsur kepartian itu. Seorang ustaz muda yang balik ke Kelantan ketika bertemu saya malam kelmarin menceritakan apa yang saya bimbangkan itu.

Menurut ustaz itu yang rajin mengikuti khutbah dna kuliah agama berbagai jenis ustaz, khutabah dikeluarkan Maik bukan kali ini saja menghentam kerajaan Kelantan dan cuba mempengaruhi rakyat agar menyokong kerajaan Persekutuan (UBN) tetapi katanya sudah acap kali.

"Iya sudah melampau sangat abang Ti, tidak kena kalau majlis bersikap demikian kerana masjid adalah hak semua orang. Peliknya walaupun Kelantan diperintah Pas tidak ada pula khutbah yang memainkan sentimen kerajaan Kelantan," begitulah kata ustaz itu.

Ustaz berkenaan lalu mendakwa dia tahu siapa yang menjadi dalang di sebalik khutbah itu. Menurutnya dia sendiri pernah melihat salah seorang orang penting Maik berada dalam majlis Umno. Manakala menurut maklumat lain orang penting dalam Maik pernah menyebut secara terang-terang kepada ustaz yang kini berada di sebuah agensi kerajaan, yang dia benci dengan Pas?

Saya hanya mendiamkan dan mengganguk bodoh apa yang ustaz itu ceritakan. Sebenarnya seperti saya kata ianya sudah saya ketahui awal-awal lagi.

Jadi hari ini apabila makin banyak orang memperkatakan mengenai khutbah itu dan ada pula si bengong yang lancang menuduh ulamak Pas terlibat menyediakannya, menyebabkan teringin saya memperkatakannya. Yang saya nak jelaskan di sini ialah tanggapan manusia yang tidak tahu 'buka intenet' yang menuduh ulamak Pas yang menyediakan khutbah berkenaan. Kalau dia tahu buka internet dia akan tahu siapa yang menyedia dan menyiapkan khutbah tersebut.

Saya tidak tahu apakah orang ini menangkap sesuatu itu dengan telinga ataupun dengan siku? Saya juga tidak tahu apakah dia faham mengenai tugas Maik dan apa dia peranaan para ulamak Pas. Malanglah kalau ada media massa memetik pandangan dan teguran orang ini yang maklumatnya dikutip di kaki lima?

Kalau pun ada ulamak yang menyokong Pas di dalam Maik ia bukan boleh hendak dituduh khutbah itu disediakan oleh mereka. Khutbah itu seperti mana dikredit di hujung teks di laman web itu disediakan oleh penal khutbah Maik. Yang jelasnya siapa pengerusi panel itu, tentu Datuk Mufti Kelantan.

Sementelahan pula isi khutbah itu bukan berpihak kepada Pas tetapi berpihak kepada kerajaan UBN, apabila isinya menyindir mengenai himpunan Bersih dan juga aktiviti ibadat anjuran kerajaan Pas seperti mendirikan solat terawih di perkarangan stadium Sultan Muhammad Ke IV?

"Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat berhimpun dalam masjid, dalam rumah Allah, bukan di medan-medan, di padang-padang atau di jalanan untuk menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan". Itu antara sebaris isi khutbah yang memedihkan. Untuk apa kata-kata ini diselit kalau bukan atas niat hendak menyakitkan hati? Penganut politik yang peka mudah menangkap maksud di sebaliknya.

Melihat polimek mengenai khutbah raya ini saya nampak yang perlu bertanggungjawab ialah panel yang menyediakan teks berkenaan. Dalam hal ini Mufti lah yang bertanggungjawab sebab beliau adalah ketua panel berkenaan. Seharusnya Mufti lebih bertanggungjawab dan tidak menggunakan sewenang-wenangnya kuasa yang diberikan kepadanya.

Datuk Mufti kena pantau dan semak betul-betul isu khutbah berkenaan atau mana-mana khutbah yang dikeluarkan oleh Maik agar ia tidak menimbul masalah. Kita tidak mahu peranan dan fungsi Maik yang suci dan tidak berpihak itu dianggap sebagai alat kepada pihak tertentu.

Mufti bersama ahli Maik patut mengawal demi menjaga nama baik majlis itu dan juga Yang di Pertuanya iaitu Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra. Jangan pula kerana asyik bermain dengan sentimen politik akhirnya arang akan tercoreng ke muka Tengku Mahkota. Seharusnya amanah menerusi jawatan itu dipikul dengan baik dan kalau ada mana-mana pihak yang tidak dapat menahan nafsu politik baik maklumlkan kepada baginda dan tinggal Maik.

Tidak kira mereka penyokong dan ahli mana-mana parti kalau tidak boleh menahan diri menjadi seorang pegawai Maik yang adil, saksama dan benar-benar memperjuangkan yang haq perlu keluar atau tinggalkan majlis berkenaan. Majlis itu bukan wajar dijadikan ruang untuk mana-mana menyelitkan ideologi politik keduniaan. [wm.kl.8:26pm 26/08/12]
Post a Comment