Saturday, August 25, 2012

Khaled Gesa Ghani Lulus Tanah


SUSUPAN TENGHARI

Tindakan Menteri Pengajian Tinggi yang juga ahli Parlimen Pasir Gudang Mohamed Khaled Nordin meminta supaya menteri besar Johor Abdul Ghani Othman menyegerakan kelulusan tanah kepada penduduk 10 buah kampung setinggan di kawasan parlimennya seperti dijanjikan adalah tepat.

Ghani semasa membentang Bajet pada 2003 telah berjanji untuk memberi milik tanah yang mereka terokai namun sampai sekarang masih belum tertunai. Kelambatan itu menimbulkan persoalan kepada Khaled.
Mohamed Khaled Nordin

Lebih 10,000 penduduk dikampung terbabit telah lama bersabar untuk mendapatkan hak masing-masing ke atas tanah yang diterokai sejak 20 tahun hingga 100 tahun lalu. Adalah memalukan negeri Johor yang dianggap kubu kuat Umno tetapi agak liat untuk memberi tanah kepada rakyat.

Wajar bagi Khaled membuat gesaan itu bagi mengelak berlaku undi protes kepadanya dalam pilihan raya akan datang. Timbul juga persoalan apakah kelambatan meluluskan pemberian tanah itu walaupun sudah dijanji kerana ada motif politik untuk mesebotaj Khaled di situ?

Kemungkinan ini ada kerana sebelum ini ada terdengar desas desus mengatakan Khaled Nordin besar kemungkinana akan dibawa turun ke Johor untuk menjadi MB sebagai mengganti Ghani Othman. Khaled dikatakan antara tokoh Umno yang layak dan sesuai untuk menerajui Johor memandangkan beliau belum mempunyai noda dan dosa di Johor. Apakah desas desus itu menyebabkan kedudukan orang-orang tertentu di Johor kurang selesa dan panas punggung.

Perkembangan di Johor hari ini dimana pengaruh Pakatan Rakyat memberangsangkan katanya memberi impak dan gangguan jiwa kepada Umno. Lantaran itu seorang tokoh yang belum berdosa dengan rakyat perlu dibawa ke Johor. Kalau desas desus untuk membawa Khaled ke Johor timbul menjelang pilihan raya ke 12 di mana keadaan Umno masih utuh, apa lagi waktu ini semasa Umno semakin kalut kemungkinan itu mungkin bakal menjadi kenyataan.

Dalam pada itu keperluan Ghani untuk menyegerakan kelulusan juga ada kaitan dengan tema hari kemerdekaan tahun ini; 55 Tahun Merdeka – Jannji Ditepi. Sekiranya kelulusan itu tidak dibuat ia seakan mengkhianati tema hari kemerdekaan berkenan.

Menurut Khaled sebagai wakil rakyat kawasan itu telah pun mengemukakan mengenai tanah-tanah itu dan sehingga ini hanya tanah di Pasir Gudang Baru sahaja telah mendapat geran masing-masing, iaitu Notis 5A, manakala di kawasan lain masih belum terusik apa-apa.Kelewatan itu boleh menyebabkan orang ramai akan marah kepada MB dan merasakan suara mereka langsung tidak dipedulikan. Kalau gesaan Khaled sendiri selaku menteri tidak dihiraukan apatah lagi suara rakyat yang akan berlalu diangin lalu begitu saja.

Gesaan terbuka Khaled menerusi media masa itu seakan menunjukkan kelemahan Ghani sebagai MB Johor sudah mula semakin terdedah. Dalam pada itu juga mungkin Khaled sendiri sudah mulai menyedari sudah permainan politik susuk punca di Johor. [wm.kl.12:41 t/hari 25/08/12]
Post a Comment