Friday, August 24, 2012

Hudud: Isu Yang Tidak Ada Titik Akhir

SINGGUNG AKAL

Negara Islam dan Hukum Hudud menjadi isu politik yang tidak pernah ada titik akhir. Sebenarnya ia sudah lama berlaku. Sebelum ini tidak timbul hudud, tetapi perlu diingat apabila ada yang menentang Islam sebahagiannya ia menentang hudud. Sebab hudud itu satu juzuk dalam Islam.

Isu ini juga sukar untuk dimatikan begitu saja. Baru saja ia hendak reda dan menjauh dari ingatan umum ia dibangkit semula. Susah untuk melambungnya jauh, sama seperti susah untuk membuang anak kucing yang kesekian lama dipelihara dan dibelai. Walaupun sudah dibuang dengan menutup matanya tetapi ia kembali ke rumah dengan menggunakan deria misai untuk menelusri jalan pulang.

Karpal Singah: Negara Islam adalah modalnya.
Nah, begitulah isu hudud dan negara Islam. Sebenarnya hudud dan negara Islam adalah dua nama dalam satu subjek, ia bergumpal macam anak dara dan bujang yang berasmara penuh keghairahan di sebalik semak. Kenapa susah sangat hendak leraikan isu ini? Mungkin kerana ia adalah satu kewajiban yang bagi orang Islam. Mana-mana perjuangan, parti politik, gerakan, pertubuhan, masyarakat yang inginkan Islam tulen ia tidak dapat memisahkan hudud dan Islam. Mereka yang memperkatakan hudud dilimbahi dengan amarah seperti mana gadis dan bujang bergumpal itu.

Untuk memudahkan perbicaraan kita hanya sebut hudud saja. Hudud ialah hukum haram, peraturan hidup demi menjamin keadilan dan kesaksamaan mengikut al Quran dan Hadith serta tafsiran dan ijtihad para ulamak. Justeru ia terkait dengan Qu'ran selamanya ia tidak akan terbuang. Makanya, usaha untuk mengasingkan hudud dari minda Islam ia tidak akan berjaya malahan ia akan dianggap sebagai dosa. Anggapan akan timbul sesiapa menentang hudud menentang Qu'ran.

Lantaran Pas yang mengambil Islam sebagai latar dan dasar perjuangan Islam maka hudud tidak dapat dipisahkan. Selamanya Pas akan memperkatakan hudud atau para pemimpinnya akan bingkas mempertahankan hudud. Tidak kira siapa yang mempersoalkannya, Pas akan menentang dan mengecamnya. Ia tidak terkecuali Karpal Singh, Mahathir Mohamad, atau Ha Najib Razak, sesiapa saja akan Pas akan membelasah. 

Kerana itu bila Mahathir melontarkan pandangan sinis terhadap hudud, Karapl Singh cuba mempertikaikan dalam konteks perundangan dan perlembagaan negara, maka pemimpin Pas yang tidak faham dengan Karpal Singh atau memahami dari luar konteks apa yang diperkatakannya akan menyerang Karpal. Akan suruh Karpal "mengucap' kembali dan membuat pendirian. Pendirian apa lagi, pendirian tahi? Apa tah lagi Mahathir yang mengakui Islam bila bekas PM itu menyinis hudud maka dia akan kena belasah secukupnya.

Bolehkah hudud ini dihentikan atau tidak disebut langusng? Semua orang inginkan itu kerana ada kalanya ada yang tercelupar mulut dalam mengulas mengenai hudud tersasar ke bawah rel dan boleh menyebabkan akidah rosak. Betapa tidak ada yang menyinis kalau hukum hudud dilaksanakan, boleh dibuka restoran sop tangan. Ada juga mengatakan batu-batu dijalanan akan habis kerana diambil untuk melaksanakan hukuman rejam. Aduh... MasyaAllah. Tetapi bagi saya orang yang menyinis begini mereka yang jahil tukil dan tidak ada setitik pun roh Islam di dalam jiwanya. Mempertikai atau berdebat dengan mereka menghabiskan masa dan 'boreh' saja.

Tentang Karpal Singh, sebelum ini saya sudah katakan. Halangan Karpal terhadap hudud berpandukan kepada perlembagaan diterima pakai negara ini yang masih sekular. Memang kalau ikut perlembagaan negara, negara ini bukan negara Islam. Jadi Karpal menentangnya atas prinsip berkenaan. Kalaupun tanpa Karpal yang menentang, hudud tidak boleh dilaksanakan kerana ia terhalang oleh perlemnbagaan.

Perlembagaan lebih besar dan berkuasa dari Karpal Singh dan DAP sendiri. Bila sebut perlembagaan siapakah yang patut dipersalahkan? Ada dua entiti atau (pihak) orang politik dan Raja-Raja Melayu kerana merekalah bersetuju dengan penggubalan perlembagaan negara ini. Yang patut dikecam dan diserang ialah mereka yang membenarkan atau menggubal perlembagaan negara ini yang memberi ruang imuniti kepada orang-orang seperti Karpal Singh itu.

Makanya kalau orang faham situasi ini dia tidak akan melayani Karpal yang dimulutnya sudah birat dan ada kurap. Mulut Karpal akan berkata-kata selamanya tentang hudud. Dia seorang pakar perlemnbagaan dan lawyer dia akan bercakap dari umbi ilmunya. Kalau beliau tidak bercakap tidak ada gunalah beliau hidup di Malaysia. Jadi tidak salah kalau Karpal berpendirian begitu kerana dia ada hak dan sandarannya kukuh.

Penentangan Karpal bukan atas dasar dia agama. Kerana itu kita tidak boleh anggap dia anti Islam seperti mana dianggap oleh bekas seorang pemimpin Pas yang kini bermain dengan politik tidak cukup inci. Yang anti Islam ialah perlembagaan negara ini. Itulah ibu segala anti terhadap Islam. Runtuhkan perlembagaan. Soalnya apakah kita (orang Islam Melayu) mampu? Saya tidak fikir juga dalam hubungan dan kerjasama politik yang diamalkan Pas kini kalaupun Pas menang ia boleh merubah perlembagaan negara dari sekular kepada Islam? Bukan semudah memetik jari.

Memang kenyataan dan sinikal Karpal perlu dijawab untuk menjelas dan memberi kefahaman orang di bawah sana. Orang akan keliru dalam hal ini. Satu masa Karpal adalah rakan Pas menerusi Pakatan Rakyat, satu masa lain dia menentang agenda terbengkalai Pas itu. Bagi saya Karpal Singh seorang pengamal politik demokrasi dan penegak hak asasi manusia yang tulen. Dia berkata dari sudut yang ada ruang untuknya.

Kita boleh sekat Karapl dari berbicara mengenai hudud ataupun mengeluarkan kata-kata bambastik mengenai Islam yang ada kalanya menyebabkan hati kita menjadi luluh. Caranya mudah sahaja tukar perlembnagaan negara ini, tutup ruang daripada beliau dapat bercakap mengenai perkara itu. Soalnya bolehkah kita menutup ruang itu dengan memidah perlembagaan? Dalam waktu ini ia amat mustahil sekali.

Pas saya kira tidak akan berkeupayaan untuk meminda perlembagaan kalau tanpa kerjasama dari pihak lain termasuk Umno dan dari mereka yang mengakui kasih dan cinta kepada Islam. Kalau Pas bersama Umno sahaja, maksudnya hanya kalangan Melayu ia juga tidak berjaya melainkan dokongan semua golongan Islam dari apa juga badan dan pertubuhan tanpa mengira warna kulit dan anutan agama.  Manakala Umno pula sama sekali tidak ada niat untuk meminda perlembagaan negara. Usahkan perlembagaan negara perlembagaannya tidak mahu ditukarnya.

Teringin juga saya melihat apakah Nik Abdul Aziz Nik sedia melaksanakan kata-kata yang dia akan membubar Pas jika Umno sudah menukar perlembagaanya dari sekular kepada Islam. Teringin sangat... ataupun cabaran Nik Aziz itu juga cabaran politik yang penuh dolak dan dalih?

Lantaran itu kerenah yang dilakukan Karpal Singh hari ini hendak diterima seadanya dan serangan ke atasnya juga dengan seadanya. Belau tidak perlu dilihat dengan semangat Islam yang lebih, tetapi perlu dilayani berlatar belakangkan sosial politik. Sudah berbueh mulut pemimpin Pas menasihati dan memberi teguran agar beliau tidak menarik ke luar isu itu, tetapi ia tidak memberi apa-apa kesan. Walaupun Pakatan Rakyat terpaksa menyibuk dengan isu itu, Karpal tetap juga terus mengungkitnya bila dihulurkan  pembesar suara kepadanya. Kenapa? Jawabnya senang bukankah orang politik itu kena bercakap untuk menunjukkan dia masih hidup dan bernayawa seperti Mahathir itu manakala negara Islam dan hudud adalh modal politik ampuh buat Karpal Singah.

Ok bagaimana pula dengan Umno? Umno atau orang seperti Mahathir tahu akan kedudukan ini. Dia tahu apa peranaan Karpal dan juga peranaan Pas. Tetapi kerana Mahathir dan Umno berpendapat parti itu ada manfaat dan laba di sebalik isu itu maka mereka akan terus mainkan. Mereka akan terus ungkitkan dengan harapan Karpal dan Pas yang kemudiannya membawa kepada DAP akan berlaga.

Umno dalam keadaan terdesak seperti hari ini sangat mengharapkan Pas dan DAP bergaduh. Umno sudah membaca sekiranya kedua parti ini dapat bersatu dibawah payung Anwar Ibrahim sukar untuk mereka mempertahankan kedudukan hari ini. Hari ini semakin hari pengaruh dan wibawa Umno dan BN maskin merosot dan meruncingkan. Jadi hendak tidak hendak mereka harus terus menjadi syaitan untuk menyocokkan Pas dengan DAP. Hanya cara itu saja yang mampu dilakukan oleh Umno.
 
Kesimpulan mereka yang membangkitkan isu hudud dalam konteks politik adalah merupakan syaitan yangn dibentuk oleh naluri politik. Mereka menjelama atas api amarah dan kejahatan dihalalkan politik.  Tidak kira siapa mereka itu termasauk dari Pas sendiri adalah syiatan politik yang dilahirkan dari sistem politik sekular.

Mengenai cadangan Pas untuk mengadakan seminar mengenai hudud bagi memberi kefahaman kepada orang ramai saya rasa tidak ada faedah. Niat baik itu tetap tidak akan mencapai tujuannya kerana ada pula di sebalik usaha itu orang mengusahakan agar kefahaman itu terus menjadi keliru. Pendeknya isu hudud dan negara Islam alias negara berkebajikan tidak akan mudah lengsai selagi negara ini membenarkan sistem politik kepartian. Tidak payahlah.... [wm.kl.1:35 pm 24/08/12]

No comments: