Friday, August 17, 2012

Teka Teki Di Kerusi Parlimen Bachok

JELANG IMSAK

Kedudukan kerusi parlimen Bachok masih menjadi teka teki apakah ianya akan ditandingi oleh Pas atau PKR. Persoalan ini timbul apabila PKR Kelantan dikatakan telah mengemukakan formula cadangan agar kerusi parlimen Machang yang kini dimilikinya ditukar dengan Bachok. Bachok adalah kerusi Pas.

Katanya PKR Kelantan telah menghantar surat cadangan itu kepada Perhubungan Pas negeri menjelang puasa lalu yang mengusulkan perkara itu. Tetapi sampai sekarang ini surat cadangan itu belum mendapat apa-apa tindak balas dari Pas.
Ariffin Mahmod atau Pin Atira.

Cadangan itu adalah dalam menyelesaikan masalah PKR Kelantan. Kedudukan kerusi Machang yang kini disandang oleh Saifuddin Nasution Ismail tidak begitu selesa. Perkara ini jelas kalau Machang selesa atau tidak hadapi apa-apa masalah tidak mungkin akan timbul idea berkenaan.

Tindakan itu wajar untuk mencari kemenangan. Tidak ada guna PKR bermegah dengan memiliki (bertanding di banyak kerusi) tetapi kalah. Lebih baik PKR menumpukan kepada kerusi atau kawasan yang boleh menang walaupun bertanding hanya satu dua kerusi sahaja. Yang penting dalam soal ini ialah kemenangan.

Mengenai Machang ada juga alasan lain mengatakan PKR tidak mampu bertahan apabila wakil rakyat kini Saifuddin akan dibawa bertanding di Kedah. Kalau bukan Saifuddin sukar untuk PKR menang di situ. Masalah dihadapi PKR di Machang ialah parti itu tidak ada calon yang boleh mengganti Saifuddin. Masalah lain katanya Pas tidak memberi kerjasama sepenuhnya kepada PKR?

Sebagai penyelesaian atau mengatasi masalah maka kawasan baru sebagai ganti dicari. Kawasan itu ialah Bachok. Bagi PKR mereka ada alasan sendiri kenapa memilih Bachok bukan kawasan lain. Kononnya di situ PKR ada calonnya yang juga mampu untuk berdepan dengan Awang Adek Husein. Orang itu ialah bekas ketua pemuda Umno Bachok di zaman Ahmad Zahid Hamidi menjadi ketua, iaitu Zaiyadi Awang Noh.

Memang Zaiyadi layak dan sesuai untuk berdepan dengan Awang Adek memandang beliau mempunyai keluarga besar dan juga mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Tetapi masalahnya yang menjadi persoalan Zaiyadi bukan ahli PKR. Apabila cadangan untuk meletakkan Zaiyadi yang masih belum menjadi ahli PKR dan masih Umno maka banyaklah protes dan suara-suara yang kurang sedap diperkatakan termasuk pemilihan Zaiyadi itu berdasarkan kroni? Kalau benar Zaiyadi bersedia untuk jadi calon di situ kesilapannya beliau ialah kerana tidak sedia mengambil risiko meninggalkan Umno awal-awal.

Semasa majlis berbuka puasa dengan para pemimpin Pas di Shah Alam dua minggu lepas saya ada merisik perkara ini - cadangan PKR itu, kepada beberapa orang pimpinan Pas Bachok termasuk Yang Dipertuanya sendiri Omar Mohammad. Menurutnya Omar tidak timbul soal Bahcok hendak ditukar ganti dengan Machang. Setakat ini katanya tidak ada perbincangan apa-apa.

Walaupun Adun Perupok itu ada mendengar desas desus itu tetapi belum ada kata putus dan Pas kawasan Bachok sendiri tidak membincangkannya. Begitu juga bila dirisik dengan bekas wakil rakyat Bachok Wan Nik Wan Yusuf yang juga pengarah pilihan raya Pas Kelantan, menurutnya perkara itu tidak timbul. "Tidak ada," katanya sambil menggeleng kepala tiga kali.

Cadangan PKR itu juga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemuda Pas Bachok kerana mereka juga ada calon untuk diletakkan di kerusi parlimen itu. Ketuanya Marzub Shaari dikatakan berkelayakan untuk diletak berdepan dengan Awang Adek. Sudah pasti apabila pemuda menayangkan calonnya, formula pertukaran itu tidak mendapat sokongan semua pihak.

Sementara itu di dalam membicarakan siapa atau parti mana akan berhadapan dengan Awang Adek timbul satu nama lain yang dikira sepadan kalau diadukan dengan Awang Adek. Sosok itu ialah Ariffin Mahmood atau lebih dikenali dengan Ariffin Atira. Beliau seorang pemaju pembangunan yang berjaya di Kelantan dan banyak menyumbangkan jasa dan bakti kepada Pas secara tersembunyi.

Mungkin nama Ariffin ditonjol kerana latar belakang dan kejayaan dalam bidang pembangunan serta pengalamannya yang agak luas dalam aspek ekonomi. Walaupun dia bukan anak Bachok tetapi kalau Pas mahukan seorang yang setanding dengan Awang Adek dalam aspek profesional Ariffin dikira layak. Kelulusan dalam bidang pembangunan dan perancangan bandar dimilikinya juga memungkin kenapa beliau cuba ditonjolkan untuk berdepan dengan Awang Adek. Tetapi saya kira penjualan nama Ariffin ini sebagai test merket saja.

Bagaimana pun nama ini boleh diambil kira oleh Pas Bachok dan juga Pas Kelantan sendiri sekiranya Pas Bachok merasakan beberapa nama yang disenaraikan tidak berapa 'rak' (berdaya) nuntuk berdepan dengan Awang Adek. Beliau juga dilihat sebagai sangat berminat untuk memperhambakan diri dalam politik.

Di sudut lain Ariffin juga dikatakan mempunyai sumber kewangan yang cukup bagi berdepan dengan timbalan menteri kewangan itu? Dan keistimewaan lain yang ada kepadanya, Ariffin boleh bukan saja menyumbang harta benda tetapi buah fikirannya terutama mengenai pembangunan ekonomi untuk Kelantan. [wm.kl.5:45 am 17/08/12]

No comments: