Thursday, August 9, 2012

Masalah Air: Semua Pihak Perlu Atasinya

JABAT RASA

Setelah lebih seminggu penduduk Pasir Mas, Tumpat berhadapan dengan masalah ketiadaan air yang kritikal, hari ini Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan lawatan kerja ke loji air di Kampung Kelar, Pasir Mas. Loji itu membekalkan air bersih untuk dua daerah Pasir Mas dan Tumpat. Lawatan pagi ini tentulah ditunggu-tunggu oleh rakyat kedua daerah itu dan juga di daerah lain untuk mengetahui apakah tindakan akan diambil oleh kerajaan Kelantan bagi mengatasi masalah itu.

Nik Aziz dan anggota rombongan menggosok paip di loji Kg Kelar.
Bersama MB itu ikut serta beberapa orang anggota Exco. Sebelum ini khabarnya sudah ada kunjungan daripada pihak kerajaan ke loji berkenaan, dan mereka mendapat taklimat dari pihak air Kelantan berhubung masalah itu. Rombongan pertama diketuai Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaacob.

Selain itu tinjauan secara peribadi juga turut dibuat oleh beberapa aktivis parti yang tinggal dikawasan itu. Sdr Rushdan Mustapa adalah antara individu terawal membuat lawatan mendahului wakil rakyat Bukit Tuku dan Gual Periok. Lawatan peribadi beliau itu telah membuka mata banyak pihak dan mencerminkan keseriusan seorang aktivis membantu rakyat.

Semua lawatan dan kunjungan itu dinanti-nanti oleh rakyat dengan harapan dan doa mereka akan terlepas dari belenggu berkenaan. Kalau setakat mengadakan lawatan saja sebagai tanda simpati tetapi tidak ada plan bertindak ia tidak memberi apa-apa guna pun. Khabarnya dalam kunjungan Nik Aziz hari ini beliau diberi taklmiat oleh Exco air dan juga pihak berkuasa air di Kelantan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd. (AKSB).

Bagi rakyat taaruf  itu tidak akan membawa apa-apa perubahan. Taklimat hanyalah laporan mengenai kenapa berlaku kekurangan air. Sedangkan masalah itu sudah pun menjadi pengetahuan umum, iaitu air tidak masuk ke dalam mesin pengepam air kerana kedududukan air rendah dari muka pam kerana kemarau. Dalam kata mudahnya air sungai Kelantan yang menjadi sumber air itu berada jauh dari mulut pam. Air sungai Kelantan mengalami kesusutan yang ketara hampir 50%.

Itulah taklimat yang mungkin diberikan kepada Tok Guru dan rombongannya. Sebaiknya setelah mendapat taklimat itu MB harus berbuat sesuatu. Sepatutnya sebelum sampai ke Kg Keler sudah ada dalam kepala MB itu sesuatu yang hendak dicakapkan kepada media yang boleh menggembira hati rakyat di dua daerah itu. Kalau hanya setakat pergi dengar dan gosok paip besar atau menghendap ke dalam telaga tiup yang digali dalam kawasan loji itu ia tidak merubah apa-apa keadaan.

Hendaknya selepas balik pejabat MB akan memanggil pihak tertentu untuk membincang mengenai isu air ini. Pihak yang wajar dipanggil ialah semua anggota Exco. Exco beras, Exco bandar, Exco kesihatan, Exco wanita, Exco ceramah dipanggil dan bincang masalah air. Panggil juga sekalian orang-orang besar di AKSB. Bincang secara telus dan serius.

Sehubungan itu sebaik-baiknya biarlah hasilnya nanti satu tindakan untuk membina loji baru di Pasir Mas atau Tumpat digarapkan. MB sewajarnya memberi arahan satu kajian dibuat segera untuk tujuan itu. Selepas itu beliau boleh membuat kenyataan begini; kerajaan negeri sudah mengenali pasti beberapa lokasi baru untuk pembinaan loji tambahan. Kalau itulah kenyataan lebih sedap dan lunak dari menyalahkan kepada takdir Allah semata-mata atau pun menuduh pihak musuh sengaja membesarkan isu air.

Alasan tidak ada wang, kerajaan pusat tidak bantu rasanya tidak merupakan jawaban yang tuntas. Exco yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan asas kepada rakyat (Exco air) hendaklah memerahkan otak untuk mencari wang bagi tujuan itu. Kalau Exco lebuh raya (Husam Musa) berani mengumumkan pembinaan lebuh raya rakyat KB - KL sepanjang 73 km bernilai RM1.4 billion kenapa tidak dengan Exco lain. Sekurang-kurang tiru dan ambillah semangat berani dan komited Husam Musa.

Khabarnya mereka terlibat dengan air dan kemudahan asas lain hampir setiap tahun ke luar negara, buat lawatan sambil belajar. Sambil belajar... di samping itu sambil membeli belah? Apakah lawatan itu hanya setakat belajar sahaja tetapi tidak tahu hendak berbuat? Sepatutnya disamping lawatan untuk memerhati pembangunan ditempat orang, belajar juga macam mana hendak menjana wang. Itu yang penting. Ini tidak pergi terlengak-lengak menghabiskan wang bukan membawa balik wang. Ni marah dah ni...

Begitu juga dalam masa sama pemimpin Umno juga perlu berusaha untuk mengatasi masalah air ini. Jangan fikir nanti lepas menang baru hendak menyelesaikan masalah ini. Kalau Umno menanti menang ini bermakna Umno tidak ada apa-apa niat pun untuk membantu rakyat Kelantan selagi rakyat Kelantan berada di bawah Pas. Itu sikap dan pegangan yang salah dan berdosa. Umno juga kena ingat ahli mereka juga berak dan kencing di Kelantan?

Memberi kebajikan kepada rakyat bukan harus dipilih atau mencari ruang waktu tertentu. Semua mereka bergelar pemimpin wajib berusaha. Umno yang kini merupakan tunggak kerajaan Persekutuan rasanya boleh membantu mengatasi masalah ini. Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed perlu meletakkan masalah air ini masalah bersama dan jangan lepaskan kepada kerajaan Kelantan semata-mata apa lagi kalau menanti nak sauk masalah ini sebagai modal pilihan raya. Perkara-perkara asas demi kepentingan rakyat seperti minyak, jalan dan air tidak patut dipolitikkan.

Hendaknya selain Nik Aziz, Mustapa juga boleh dan perlu membuat lawatan ke loji tenguk sendiri apa masalah yang ada dan kesusahan dihadapi rakyat. Kalau perlu menawarkan bantuan elok Mustapa menawarkan bantuan kepada kerajaan Kelantan. Mustapa boleh berjumpa PM dan menceritakan masalah itu. Jika berani dan bercerita dengan lendek dan simpatis rasanya Najib tidak akan kejam untuk tidak membantunya.

Bantuan itu nanti sama ada kerajaan Kelantan hendak terima atau tidak itu soal lain, yang pentingnya Mustapa dan Umno kena menunjukkan mereka mempunyai akses kepada rakyat Kelantan. Selepas itu biarlah rakyat menimbang siapa yang rasional dan siapa yang keras ken.

Jika Umno ikhlas hendak membantu tidak ada sebab untuk Nik Aziz menolaknya. Apa yang tok guru itu tolak dan marah apabila Umno hendak merampas kerajaannya. Itu sahaja. [wm.kl.3:45 pm 09/08/12]

No comments: