Saturday, August 25, 2012

Gelombang Plus Akan Landa UBN

SESUDAH SUBUH

Gelombang Plus nama yang diberikan kepada kebangkitan gelombang yang meranapkan Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke-12 lalu masih wujud dan terus bergerak. Malahan pergerakan gelombang ini makin kencang dan lebih ganas berbanding dengan kelajuan dan pergerakannya tahun 2008. Demikian menurut salah seorang terlibat dalam membuat kajian mengenai kedudukan Umno dan BN menjelang pilihan raya ke-12 lalu.

Garisan hijau merupakan laluan lebuh raya Plus.
Kewujudan gelombang ini baru saya ketahui semalam apabila secara tidak sengaja salah seorang master mind yang terlibat dalam membuat kajian mengenai pencapaian UBN dalam pilihan raya umum ke 12 menceritakan apa yang berlaku dalam pertemuan spontan dengan orang berkenaan di majlis rumah terbuka aidifitri seorang kawan di Ampang malam tadi.

Menurut pengkaji itu merupakan seorang ahli akademik bertaraf Phd, satu pasukan pengkaji politik Umno telah membuat soal selidik terhadap lebih 2,700 orang koresponden dan mendapati kedudukan Umno ketika itu dalam bahaya. Sejajar itu Umno perlu bertindak selekas mungkin menangani permasalahan yang timbul untuk tidak menerima bahana dan musibah buruk.

Menurut pengkaji asal Kelantan itu kenapa kajian itu dinamakan Gelombang Plus kerana kebangkitan suatu wave yang merempuh UBN melalui jalur lebuh raya yang ada di negara ini. Gelombang itu menelusuri lebuh raya yang bermula bermula dari Johor melalui Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan berakhir di Perlis.

Gelombang itu tidak merempuh Pahang dan Terengganu kerana ia tidak dihubungkan oleh lebuh raya Plus - Utara Selatan.

Dalam kajian itu telah menyebut gelombang itu akan menuruti jalur lebuh raya itu bermakna mana-mana negeri yang terlibat dengan lebuh raya itu akan menghadapi masalah. Beliau tidak menyebut apakah punca menyebabkan berlakunya gelombang berkenaaan tetapi ia diyakini ada sangkut paut dengan kelemahan Abdullah Badawi sebagai perdana menteri dan juga campur tangan Mahathir Mohamad dalam membantu menumbangkan BN apabila bekas PM itu siang malam mengkritik pentadbiran Abdullah.

Kajian separuh sulit yang menelan belanja jutaan ringgit itu mencadangkan agar Umno memberi perhatian dan tindakan segera untuk menyelamatkan Umno jika ingin melihat Umno menang. Namun katanya malang kajian itu tidak diendahkan malah ia dipersendakan sebegitu rupa oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar menantu Abdullah yang menjadi big boss kepada PM berpejabat di tingkat 4.  

Katanya Khairy mencampak begitu saja laporan itu dengan penuh kejengkilan.

"Siuppp......laporan itu dilempar oleh Khairy hingga terkena skrin slide selepas beliau membuahkan mulutnya dengan kata-kata .. "ini saja laporannya..", cerita pengkaji berkenaan. Tindakan sombong Khairy itu sangat-sangat dikesali oleh seluruh karyawan team kajian berkenaan.

Ketidakpedulian Khairy dan Umno kepada laporan itu akhirnya menatijahkan empat buah negeri yang kebetulan dilangkahi lebuhraya itu runtuh dan terlepas ke tangan oposisi. Negeri-negeri itu, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.  Perak bagaimana pun dirampas balik dengan cara paksa dan politik hanyir.

Tambah pengkaji itu lagi sebenarnya Johor, Melaka dan Negeri Sembilan juga ikut terkena bahana gelombang berkenaan tetapi ia dapat diselamatkan disaat-saat akhir. "Kita berjaya 'bom' negeri berkenaan di saat-saat akhir. Beliau tidak menyebut apakah erti dan maksud istilah 'bom' yang diguna pakai itu. Pihak-pihak tertentu di negeri berkenaan yang diberikan laporan berkenaan tanpa pengesahan dari Khairy berbuat sesuatu berdasarkan laporan itu.

Cerita pengkaji ini menarik sekali. Ditanya mengenai bagaimana kedudukan atau pun perkembangan gelombang berkenaan pada masa kini, sambil menjebehkan mulut dan menggeleng-gelengkan kepala berkata; gelombang itu sedang bergerak dan mara dengan cepat. Ia umpama bakteria yang sedang memakan tisu badan manusia.

"Bagi saya BN habis kali ini!" jawabnya ringkas dengan muka berkerut. "BN akan tumbang.... wave plus yang kami namakan itu sudah bergerak semakin jauh dan BN pula sudah kehilangan punca untuk mengawal dan menyekatnya..," tambahnya lagi serius.

Pengkajin itu yang mengakui pembaca blog Merah Tinta memberikan saya nombor telefonnya apabila saya minta dan akan berbual lagi untuk membedah dan membuat postmortem awal bagaimana BN akan tumbang dalam pilihan raya ke 13 nanti. Sebelum kami sekali lagi berjabat tangan untuk berpisah dia menyebut, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan susah untuk ditumbangkan, manakala Perak akan dapat dirampas kembali oleh Pakatan Rakyat.

Saya cuba mengagahnya, barang kali Johor, Pahang dan Melaka akan kekal. Jawabnya berdasarkan kepada pegerakan wave plus Johor juga kini sedang tenat dilanda gelombang yang bermula di Johor itu. [wm.kl.7:58 am 25/08/12]

No comments: