Friday, August 24, 2012

Jawatan Kuasa Kerja Pas Tidak Perlu Bincang Nasharudin

SUSUPAN SENJA

Harap mesyuarat jawatankuasa Pas Pusat yang akan bersidang esok tidak membincangkan soal bekas timbalan presiden parti Nasharudin Mat Isa. Tidak ada apa sebenarnya untuk dibincang soal beliau kerana isu yang dicetuskan baru ini tidak menjadi kudis gatal kepada Pas.  Pas perlu anggap kenyataan beliau meminta Pas kaji kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat sebagai gesaan ahli yang terlupa tarikh muktamar saja.

Penampilannya dengan Najib Razak ketika berjumpa dengan dua orang Arab berjangguit di Makkah Pas boleh anggap itu kerenah kebudak-budakan saja yang suka meninjuk. Apa yang berlaku itu sebagai kerenah peribadinya, atau seperti anak kucing yang bergurau sesama sendiri dan seekor darinya terlingkup dalam tempurung.

Mesyuarat politik itu lebih baik untuk membincang perkara lain lebih penting menjelang pilihan raya misalnya masalah pembahagian kerusi atau pun penyemakkan calon-calon yang sebelum ini sudah ditetapkan kawasan dan kerusi masing-masing. Calon-calon yang tidak ada kawasan perlu dikaji semula akan relevensinya dan sejauh mana kekuatan untuk mencapai kemenangan.

Mungkin Pas juga boleh membincangkan perkembangan di Sabah dan Sarawak yang kini mula memberi petanda baik.

Dalam pada itu Pas juga tidak perlu apa-apa membuat kenyataan akhbar yang menyentuh mengenai kedudukan Nasharudin di akhir mesyuarat. Pertanyaan atau pun jerat wartawan mengenainya hendak dielakkan sebaik mungkin.

Seboleh-bolehnya mana-mana pemimpin Pas tidak menyebut fasal beliau yang membolehkan beliau membalas balik dan akan membentuk polimek. Biarlah Nasharudin menjadi anak kucing yang terlingkup di dalam tempurung bersendirian. Sama ada dia akan kelemasan atau berjaya menguis tempurung untuk keluar sendiri terserah maklum kepadanya.

Membincang soal Nasharudin dan memberi ulasan dengan menjawab pertanyaan wartawan satu tindakan tidak berapa sihat dan sekaligus menjadikan Nasharudin yang kini sudah jatuh harga akan naik sedikit. [wm.kl.5:51 pm 24/08/12]
Post a Comment