SEBELUM TERAWIH
Tampaknya gesaan saya agar pemimpin Pas tidak banyak mengulas dan memberi publisiti murah kepada Nasharudin Mat Isa tidak diperhati betul-betul. Selepas Mohd Nuri Mat Yaacob, Mahfuz Omar, Nasruddin Hasan, Tuan Ibrahim Tuan Man masih ada beberapa pemimpin lain yang ikut gatal mulut untuk mengulas sambil menyinis mengenai fiil Nasharudin.
Orang yang selalu lapar membuat ulasan bersabit isu-isu negatif mengenai Pas, Khalid Samad tidak dapat mengzipkan mulutnya turut sama memberi ulasan. Kenapa tidak boleh didiamkan saja. Bila Khalid mengulas ia akan dipandang lain kerana orang tahu sikap berani dan 'kecoh' Khalid Samad serta hubungan 'sejuk panas' beliau dengan Hasan Akidah yang dilihat intim dengan Nasharudin Mat Isa.
Timbalan Presiden Pas Muhammad Sabu walaupun nampak tidak mahu memberi komen turut sama memberi komen dalam konotasi lain. Masih ada lagi lain-lain pemimpin yang ikut bercakap fasal ahli parlimen Bachok ini.
Saya rasa tidak perlu bercakap dan mengulas telatah Nasharudin. Lagi bercakap lagi dia suka dan merasakan dia sama hebat dengan Hasan Akidah. Sebagai orang yang sudah mulai terpinggir dari minda umum, beliau memerlukan sesuatu yang boleh orang kenangnya. Hari ini bila pakat bercakap mengenainya orang ramai akan ingat dan tahu bahawa dia masih ada.
Dalam keadaan berdepan dengan kerenah politik tidak cukup inchi begini, Pas sepatutnya belajar dari Umno. Umno lebih bijak dalam menghilangkan isu-isu yang ditimbulkan ahli seperti ahli berpaling tadah dan menyertai parti lain.
Umno tidak memberi apa-apa ulasan dan membiarkan saja ahli yang bertindak meninggalkan parti itu membawa diri sendiri. Dengan cara itu menyebabkan masyarakat umum dan ahli partinya tidak lagi menyebut ahli yang pergi itu, jadi menyebabkan Umno seolah-olah tidak terkurang apa dengan tindakan itu.
Tenguk macam mana Umno tangani isu Tamrin Ghafar yang mengumumkan keluar parti dan menyertai Pas minggu lalu. Pemimpin Umno tidak sedikit pun menyebut dan mengulasnya. Kalau pun yang membuat ulasan ialah Ketua Pemuda yang tidak ada kuasa, Khairy Jamaluddin. Khairy pun mengulas kerana nak tumpang semangkuk dua untuk memberi tahu umum yang beliau masih ada, tidak demam.
Begitu juga dengan tindakan bekas ketua penerangan Umno Kelantan Sobree Shafii. Bila Sobree menyerahkan surat penarikan diri sebagai ahli Umno tidak ada siapa pemimpin Umno memberi reaksi. Usahkan presiden atau ketua Umno Kelantan, ketua cawangan di mana Sobree menjadi ahli pun... tidak membuat apa-apa ulasan.
Kebijaksanaan itu menyebabkan orang Umno termasuk di kampung Sobree sendiri tidak menyedari yang Sobree sudah meninggalkan Umno. Inilah kebijaksanaan Umno yang berdasarkan pengalaman sebagai sebuah parti politik terlama negara.
Sepatutnya pemimpin Pas belajar dari Umno bagaimana hendak meleyapkan keaiban diri sendiri dan bagaimana hendak menjaja keaiban lawan. Lepas ini hendaknya jangan ada lagi sesiapa pemimpin atau ahli Pas perkatakan mengenai Nasharudin. Biarlah dia mengulik lagu untuk tidurnya sendiri. Saya juga tidak akan membuat apa-apa ulasan lagi, melain dia sudah sah keluar dari Pas dan menjadi ahli Umno. [wm.kl.9:42 pm 16/08/12]
No comments:
Post a Comment