Monday, May 26, 2008

Sebelum Tidur

Ada Orang Kecewa Bila Ahmad Yaacob Jadi Pemangku MB

KURANG tiga jam dari sekarang Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berangkat ke Makkah. Sebaik saja kapal terbang Kuwait Airways take off bermakna kaki dan jasad Tok Guru tidak lagi berada di tanah air, Malaysia dan Kelantan. Saya percaya fikirannya juga sudah melayang jauh berada di bumi ambiak yang penuh berkat dan sedang bercumbuan dengan Rasulullah s.a.w.


Selama 15 hari beliau meninggalkan Kelantan, bermakna beliau terlepas tanggungjawab mengenai Kelantan. Inilah masa istirehat paling bermakna bagi Tokguruku itu. Tugas sebagai MB telah diberikan kepada timbalannya Ahmad Yaacob (foto bawah). TMB itu akan memangku jawatan itu selama beliau berada di Makkah dan Madinah.

Jikalau tidak silap sejak jadi TMB inilah pertama kali Ahmad Yaacob diberikan tanggungjawab untuk memangku jawatan MB. Beliau jarang diberi peluang oleh Tok Guru. Walaupun beberapa peluang yang sepatutnya dilaksanakan olehnya, sebagai orang nombor dua di Kelantan namun ada orang lain yang 'merampas' hak Ahmad Yaacob sewenang-wenangnya.

Misalnya pembentangan Bajek Kelantan, menerima tabik hormat pada hari ulang tahun Kemerdekaan Negara yang lalu, sepatutnya dilakukan Ahmad Yaacob apabila Tok Guru keuzuran. Sebaliknya tugas itu dirampas secara halus oleh orang tertentu. Bukan main lagi orang berkenaan yang menerima tabik hormat perbarisan itu berperasan seolah-olah dia sudah menjadi MB?

Proses rampasan kuasa pada majlis itu berlaku secara tidak sedar. Satu muslihat halus dilakukan dengan menghantar Ahmad Yaacob ke Sabah bagi menghadiri satu majlis di sana walhal beliau boleh untuk tidak ke Sabah dan digantikan oleh orang yang menerima tabik hormat itu ataupun orang lain.

Kerana rampasan kuasa itu menyebabkan Ahmad Yaacob semacam tidak berperanan dan orang luar melihat semacam Adun Pasir Pekan itu tidak komited dengan tugasnya. Paling sedih lagi menyebabkan ada orang merasakan bahawa Ahmad Yaacob seolah-olah tidak berkerja untuk membantu Tok Guru selaku MB.

Perlantikannya sebagai pemangku MB ini memberi erti besar kepadanya. Inilah tanggungjawabnya dan peluang yang pertama dilakukannya sepadan dengan kedudukannya. Ini pun mungkin kerana tugas ini tidak boleh diambil sewenang-wenangnya oleh orang lain kerana ia memerlukan perkenaan Sultan. Kalau tidak kena melalui Sultan mungkin ia sudah disambar di tengah jalan oleh orang lain.

Tuanku Sultan sudah memberi perkenan kepada Ahmad Yaacob. Ahmad Yaacob sudah menerima watikah perkenan Sultan Kelantan untuk memangku jawatan MB selama ketiadaan Tok Guru dalam negeri.

Apakah peluang yang diserahkan kepada Ahmad Yaacob ini sebagai latihan kepadanya. Satu persiapan atau suaikenal baginya mengambil alih jawatan MB kelak? Ada desas desus mengatakan sekembali dari Makkah nanti Tok Guru terus bersara dan melepaskan kerusi MB kepada orang lain. Khabar ini menyebabkan ada orang yang merasa resah gelisah dan bengkak hati memikirkan kemungkinan ini!

Di Kelantan banyak orang berharap begitu. Berdoa agar Tok Guru beundur dengan baik dan diganti dengan orang yang layak dan dapat diterima oleh semua lapisan rakyat. Ahmad Yaacob adalah antara beberapa nama yang dikira sesuai dan boleh diterima oleh umum. Bangsa orang Kelantan tidak suka kepada mereka yang "temooh" (tamak dan gahirah) untuk mendapat sesuatu jawatan. Mereka begitu tidak akan disokong dan didoakan.

Ahmad Yaacob memang tidak mempunyai keterampilan dan ketokohan sebagai MB. Beliau bukan berkelulusan dalam bidang ekonomi dan tahu ilmu perhubungan antarabangsa dan juga teknik-teknik untuk menguasai media massa. Dia hanya seorang ustaz biasa yang berkelulusan dari Mesir dan bekas guru. Kerja cari wang dan pentadbiran (politik) bukan pakar baginya.

Namun beliau seorang yang berilmu dan mempunyai akhlak yang baik. Anak seorang tok guru pondok tradisional, Tok Guru Haji Kob Berangan. Dengan latar belakang itu setidak-tidaknya beliau tahu halal dan haram dan tidak berpolitik dengan cara melempar batu sembunyi tangan. Kalau beliau juga turut terlibat dengan politik kufar itu, entahlah...

Justeru diharap Exco yang tahu seluk beluk pentadbiran, ekonomi, politik, pertanian, perdagangan dan sebagainya akan membantu beliau sepanjang beliau memangku jawatan MB. Tunjuklah sikap maufakat selama Tok Guru tidak ada. Jangan pula kerana kita tidak diberi peluang untuk menjadi pemangku MB maka kita menghilangkan diri. Ataupun sengaja mengatur jadual untuk mengadakan lawatan sambil kerja ke mana-mana negara.

Belajarlah menghormati orang lain. Tahulah menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Bersalam dan tegurlah dia dengan penuh kesopanan dan adat. Insaflah qada dan qadar Allah. Kalau Allah belum mahu kita jadi ketua, maka akan jadilah kita sebagai kuli walaupun kita rasa bos kita kurang cerdik dan bijak berbanding kita. [wm.kl. 12:30 am 27/05/08].

2 comments:

Unknown said...

Saya rasa macam kenal aje orang yang dimaksudkan ni. Memang betul ada crook dalam pas sekarang ni. Orang sibuk pasal nak jatuhkan pemimpin yang korap dan gila kuasa. Dia pulak mula start nak buat onar. Insaflah dan berjuanglah untuk agama, bangsa dan negara

Anonymous said...

Saudara MSO,
Saya fikir eloklah kita bagi peluang kepada orang Baju Petak Merah membuktikan kebolehannya. Mungkin ini satu perancangan ALLAH. Kita lihat sudah kehendak Allah untuk meletakkan orang Baju Petak Merah di kerusi MB walaupun hanya untuk 2 minggu. Kalau ikut hukum adat Dato'Ahamad Yaakob yang duduk dikerusi tersebut... tetapi kehendak Allah tiada siapa yang terfikir tiba2 dalam banyak2 masa..waktu ini pula Dato'Ahamad diserang sakit jantung. Pasti ada sebabnya. Mungkin Allah mahu mengiyakan pendapat Saudara MSO bahwa orang itu hanya layak jadi MB untuk 2 minggu sahaja. Atau mungkin juga Allah mahu memberitahu Saudar MSO bahawa saudara silap mengenai orang itu. Apa2 pun kita doa kan yang terbaik untuk Kelantan. Mari kita sama2 menegur atas sesuatu yang tidak betul dan kita sama-sam jadikan Kelantan sebuah negeri contoh. Sekian.