Wednesday, February 18, 2009

Menyelami Makna

Hujah TV9
Siapa Yang Cerdik

MALAM tadi berlangsung rancangan Hujah, di TV9 .. dekat di hati, yang menampilkan tiga calon ketua Pemuda Umno, Mukhriz Mahathir, Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin. Penampilan itu bolehlah dilihat sebagai satu peluang dan ruang untuk umum meninjau pemikiran serta gaya kepimpinan ketiga-tiga calon itu. Dari rancangan selama sejam itu sedikit sebanyak dapatlah penonton membaca peta pemikiran ketiga mereka dan melihat sejauh mana wibawa masing-masing.

Saya turut sama mengikutinya dari awal hingga ke akhir dengan penuh minat. Saya percaya juga orang lain begitu kerana peluang mereka duduk di satu pentas mungkin tidak dapat dilihat lagi selepas ini.

Secara keseluruhannya prinsip, keyakinan dan idea mereka berhubung Umno tidak banyak perbezaan. Mereka adalah anak-anak Umno sejati! Isu-isu yang dikemukakan juga tidak ada yang baru. Sudah kerap mereka melontarkan pandangan dan gagasan mereka berhubung isu-isu itu. Begitu janji untuk dilakukan jika jadi ketua pemuda pernah didendangkan oleh calon-calonnya lama sebelum ini. Mungkin itulah juga yang menjadi modal dan bahan kempen mereka untuk menjawat jawatan ketua pemuda Umno.

Walaupun ada persamaan pemikiran dan keyakinan Umno masih boleh bangkit, – dari segi pemikiran dan kepercayaan, namun pendekatan yang hendak digunakan pakai agak berbeza. Inilah yang ditunggu oleh para penonton untuk menilai idea siapa lebih bernas dan gaya kepimpinan siapa relevan dengan anak-anak muda zaman IT dan era globalisasi ini.

Bekas MB Selangor, Khir Toyo cuba menonjolkan bahawa beliau berpengalaman dengan cuba membawa ilmu kepada Umno khasnya pemuda. Beliau mahu pemuda Umno diberikan pendidikan dan jati diri yang sudah sirna. Beliau menggunakan istilah tarbiah. Pendidikan itu memberi kefahaman mengenai perjuangan Umno yang harus menjadi suara rakyat dan bukan tuan, taukeh.

Khir juga masih yakin Melayu akan selamat di tangan Umno sehingga beliau menyebut, tiada Umno tiadalah Melayu. Semangat Melayu dalam diri Khir sungguh begitu tebal sekali.

Bagi Khir roh Melayu dalam Umno sudah terhakis dan inilah yang ingin diisikan. Beliau memberi gambaran kerana masalah inilah Umno kalah teruk dalam pilihan raya lalu termasuk beliau sendiri kehilangan jawatan dan kerajaan di Selangor. Cuma kesilapan Khir menyedari hal itu selepas beliau menghadiahkan penyapu kepada pegawai PBT!

Secara jelas Khir meletakkan kelemahan dan kekalahan itu kerana kenaifan kepimpinannya. Contohnya kepimpinan begitu lambat untuk bertindak termasuk menggunakan akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti mana berlaku terhadap Karpal Singh. Gara-gara kelemahan itulah menyebabkan rakyat marah dan kesannya kepada Umno dalam pilihan raya lalu.

Di sini Mukhriz ada persamaan pandangan dan keyakinan dengan Khir yang juga meletakkan kekalahan dan kelemahan UBN ialah kerana kepimpinan yang lemah. Mukhriz berpandangan undang-undang sudah ada tersedia tetapi disebabkan kelemahan kepimpinan (melaksanakannya) menyebabkan ia memberi kesan buruk kepada UBN.

Beliau cuba memberi gambaran kenapa dulu Umno kukuh ialah kerana ketegasan dan keberanian pemimpinnya, yakni ayah beliau.

Berlainan dengan Khiry Jamaluddin, yang sudah tentu akan mempertahanakan kepimpinan bapa mertuanyanya tidak secara melampau, bagi Khairy masalah yang dihadapi Umno kini ialah kerana senerio sudah berubah. Persekitaran politik yang menerima mekanimse baru, media, internet, blog dan sebagainya. Keadaan ini menjadikan orang ramai ingin tahu dan mengambil peduli kepada Umno. Keadaan kritikal ini menurutnya perlu diberi keprihatinan dan melakukan perubahan kerana ia menjadi cabaran baru kepada parti itu.

Lantaran itu menurutnya, beliau mahu pendekatan baru yang lebih rasional dan realistik diambil dan tidak lagi bergantung kepada slogan semata-mata. Justeru, tekannya peralihan kepimpinan yang dirasakan oleh Khir dan Mukhriz itu tidak akan berlaku begitu saja tanpa perubahan dan pengisian berkesan.

Bagi Khairy dalam konteks ini pemuda harus dibangunkan dengan kesedaran dan tututan semasa yang lebih bersifat mesra alam, kontenporari dan bersifat memahami naluri mereka dan tidak memaksa pemuda menelan ubat-ubatan bagi menyelamatkan diri sebaliknya perlu kepada bingkasan fizikal dan akal.

Jelas pemikiran dan keyakinan Khairy bersifat semasa, bila mana beliau kurang senang dengan akta Keselmatan Dalam Negeriu (ISA) yang banyak diperkatakan. Baginya ISA perlu perubahan dan tidak menyerahkan kuasanya kepada seorang saja dan suara diluar perlu diambil kira.

Kesediaan beliau untuk membincang bagi merubah ISA menjadi akta yang ‘selamat dan sihat’ ini mencerminkan Khairy lebih bersikap fleksible dan peka dengan tuntutan semasa. Sebaliknya Khir masih percaya ISA harus dijadikan benteng menguatkan kedudukan UBN. Ini bermakna Khir lebih kejam dalam usaha memperkasakan partinya dan enggan bersikap terbuka terus dengan tekanan ke atas lawan dan rakyat.

Begitu juga dengan isu PPSMI yang sedang beralun dan dituntut oleh khalayak sekarang ini. Walaupun Khairy masih bersetuju namun ia perlu dipindah, perlaksanaan PPSMI itu sesuai untuk sekolah menengah saja dan bukan sekolah rendah sebab ia masih banyak kelemahan dan kecacatan. Dalam masa sama Khairy tidak tolak kepentingan bahasa Inggeris juga perlu ditingkatkan dari masa ke semasa. Sekali lagi Khairy cuba menggambarkan beliau peka dengan kehendak semasa dan suka memberi tindak balas menyenangkan rakyat.

Berbeza dengan Mukriz yang mempertahankan polisi yang dibuat oleh ayahnya dengan berselindung di sebalik PPSMI yang diwujudkan untuk membangun bangsa. Menurutnya bahasa hanya alat saja yang penting dibangunkan ialah bangsa itu. Mukhriz menerima pandangan atau falsafah apalah ada pada nama. Dapat disimpukkan di sini bahasa bagi Mukhriz bukan sesuatu yang perlu diagungkan tetapi kemajuan bangsa itu perlu diutamakan. Perbezaan perspektif ini sangat ketara dan mengelirukan.

Dalam kesempatan di rancangan itu semalam juga, Khir telah menggunakan untuk menjaja dan menampilkan dirinya sebagai seorang pemimpin Islamik. Mungkin Khir mahu membawa pemuda ke zone agama kerana menyedari akan kedudukan pemuda hari ini jauh dari ‘masjid’ dan ‘surau’. Beliau juga cuba menunjukkan dia adalah pejuang marhean. Tanpa beliau sedari dasar pembersihan setinggan di Selangor yang dilaksanakan dulu menafikan keinginannya itu. Dan Khirlah juga yang menguncikan surau untuk politik.

Keyakinan Khir bahawa kontrak sosial yang dipraktikan hari ini sama dengan Piagam Madinah sekali lagi memberi gambaran bahawa Khir pencinta Islam dan percaya kepada pendekatan kerohanian untuk membangun pemuda dan mengukuhkan parti kebangsaan berfahaman kebendaan itu. Walaupun dakwaan Khir itu meragukan namun setidak-tidaknya sebagai bakal ketua pemuda Khir telah membaca kitab-kitab mengenai pembangunan yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Manakala Mukhirz mengekalkan sikap sedarhana dan ketaksuban yang tinggi kepada bentuk dan pemikiran bapanya. Beliau yang menjadikan bapanya sebagai idoa, menyakini dan mendambakan kepimpinan yang berkualiti dan berwawasan. Cara Mukhriz mengambil ikon itu beliau terus menafikan kemampuan bapa mertua Khairy dan memperlecehkannya.

Sedang Khairy pula menampilkan dirinya sebagai anak muda yang berjiwa dan bersemangat orang muda. Yang percaya pemuda perlu dibangunkan dengan semangat baru dan berjiwa kemudaan serta dalam lingkungan semasa yang kian mencabar. Dengan keyakinan itulah beliau menawarkan dirinya untuk memimpin pemuda. Baginya bentuk kepimpinan lama, bermain dengan slogan dan ucapan retorik sudah berakhir dan tidak memberi banyak guna dalam merubah pemuda dan Umno. [wm.kl. 6:30 am 18/02/09]

9 comments:

Fazrulls said...

Salam Tuan,

Terima kasih diatas ulasan dan penerangan yang diberi... memang tepat dan benar apa yang dimaksudkan oleh tuan.. dan penilaian tuan mencerminkan keperibadian tuan...

Salam mesra,

jab sp said...

MSO,
Sebagai peminat politik yang sedikit cendorong kepada politik PR,saya juga berkesempatan melihat live Hujah TV9 malam tadi.
Saya tidak ingin melihat daripada aspek mereka sebagai pemimpin pemuda umno sahaja,tetapi saya ingin melihat adakah diantara mereka ini yang punya ruang pengimbang (suatu masa depan yang terdekat)antara BN dan PR.
Bagi saya diantara ketiga mereka,Khairy (walaupun dibenci dengan sifat monyetnya)ternampak sebagai seorang yang jika diberi kesempatan dapat merapatkan jurang kegilaan politik sekarang antara BN dan PR.Dengan sejarah penglibatan beliau sewaktu bermula pembebasan Anwar Ibrahim bagi urusan pastport Anwar,kenyataan beliau yang agak positif dari aspek satu bangsa Malaysia yang kemelayuan baginya perlu diutamakan,saya berpendapat diantara tiga senarai tidak berkualiti ini,Khairy perlulah diberi peluang sebagai pemimpin era hadapan bagi Umno jika Umno ingin terus hidup di bumi Malaysia dan sama sama berperanan menghidupkan kembali suasana aman politik Malaysia.

Anonymous said...

Salam Bro MSO..

Satu kupasan dan ulasan yang cukup menarik dari Pengendali Blog Merah Tinta.

Saya juga berkesempatan melihat rancangan ini malam tadi.. saya tertarik apa yang dikatakan oleh Dr. Khir mengenai Demonstrasi yang beliau lakukan dalam sehari dua ini dalam kemelut politik di perak. Beliau mengatakan bahawa rakyat dan beliau sendiri terpaksa buat demonstrasi setelah aduan yang dibuat kepada pihak berkuasa tidak diambil endah oleh kerajaan. Jadi membuat demonstrasi adalah jalan penyelesaian untuk mendesak kerajaan mengambil tindakan keatas mereka yang diadu..

Ulasan saya ialah inilah kelemahan Dr. Khir khususnya pemimpin UMNO, adakah mereka sedar kenapa pembangkang juga buat Demonstrasi dalam melibatkan sesuatu isu? Jawapannya adalah sama seperti yang Khir Toyo ucapkan. Demonstrasi mesti dibuat selepas segala aduan kepada kerajaan tidak diambil endah. Jadi apa peliknya bila rakyat buat demo membantah di istana perak baru-baru ini? Rakyat marhaen di perak terpaksa berarak (demonstrasi) ke istana setelah kehendak kerajaan pilihan mereka tidak dilayan oleh pihak berkuasa khususnya Istana. Sama juga dengan demonstrasi2 lain yang dibuat pembangkang seperti Himpunan BERSIH seketika dulu. Kalau pembangkang buat demo, UMNO kata orang2 yang buat demo macam Beruk. Jadi apa kurangnya dengan UMNO.

Demonstrasi atau pemberontakan jiwa mesti ada pada setiap manusia tidak terkecuali juga binatang. Kalau keinginan mereka disekat, nescaya mereka akan memberontak. Mungkin caranya agak berlainan. Anak-anak kita memberontak kerana tidak dapat sesuatu apa yang diinginkan juga dipanggil tunjuk perasaan. Lembu naik minyak juga orang panggil memberontak, tunjuk perasaan dan bermacam lagi istilah, semuanya menjurus kearah tunjuk perasaan. Kalau istilah sekarang ini ialah Demonstrasi.

Jadi pada pandangan saya, pemimpin UMNO kena cermin diri dulu sebelum membuat apa2 kenyataan. Jangan jadi istilah “ Jari Lurus, Kelingking berkait”.

Rumusan dari apa yang ditontonkan malam tadi, saya nampak Khairy lebih terbuka minda sedikit daripada Khir Toyo dan Anak Bapak (Mukhriz). Khir Toyo nampak jelas dan berulang kali menyebut dan memuji kepimpinan Allahyarham Tun Abd. Razak, adakah beliau sedang membodek Najib? Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang ada dalam hati Khir Toyo. Tapi yang jelas saya melihat Khairy sering mencebih mulutnya ketika Khir atau Anak Bapak (Mukhriz) memperkatakan sesuatu isu.

Sama-sama kita lihat pertembungan 3 Gergasi ini.


-NH Shah Alam-

donmny said...

TUAN

1. Sebenarnya saya kecewa pada Khairy yang tidak menggunakan kebolehannya berhujah yang saya kira sangat baik. Saya suka bila beliau berhujah tentang masa depan dan generasi baru pemuda. Sayangnya semalam, ianya entah kemana. Ini menggambarkan beliau tidak 'serius'.

2. Saya melihat potensi Khairy sangat besar sebagai pemimpin masa depan. Agak sukar untuk melihat manusia muda yang sebegitu dalam umno sekarang.

3. Masalahnya, Khairy belum teruji jatuh bangunnya lagi.

4. Melihat keadaan itu eloklah kiranya 'transit'kan jawatan ini kepada Khir Toyo dulu.

5. Dalam UMNO, itulah pemimpin yang ada. Tak ada rotan, akarpun jadilah.

6. Mukhriz, minta maaf, hati ini belum terbuka lagi.

Anonymous said...

salam..
MSO, saya tidak sempat untuk melihat Hujah semalam..terima kasih atas ulasan dan kupasan ini..
saya masih ingat pernah membaca satu artikel tuan yang memberi point positif kepada KJ..
saya melihat tuan cuba memberikan pandangan secara umum yang memperlihatkan takat mana ketokohan pemimpin muda UMNO..
setelah membaca ulasan tuan, saya berpendapat Khir dan Mukhriz telah gagal membaca situasi politik semasa, ataupun mereka masih terpesona dengan gahnya nama UMNO (dulu)..
apa yang diperlukan UMNO sekarang ialah nafas baru, kepimpinan dan pemikiran idealis serta praktis..
dan ini dilihat ada pada KJ..
tetapi KJ juga dihantui imej buruk atas sikapnya yang terlampau 'gila-gila'..

persoalan kini, adakah dengan kredibiliti mereka ini akan dapat merubah UMNO pd masa akan datang?
dan adakah sebagai pemuda (dari satu parti yang sama), mereka akan dapat saling bekerjasama walaupun dua orang drpd mereka akan kalah merebut jawatan ketua pemuda nanti?

Anonymous said...

akm..tuan mso..
Saya cadangkan Semua ahli dan penyokong pakatan Rakyat perlulah menyokong KJ,kerana dengan menyokong kj menang ketua pemuda,PR tak perlu kerja kuat untuk menang dalam PRU 13 nanti, percayalah.

2.Menyokong supaya DR.M terus tidak menyertai UMNO dan mengkritik kerajaan terutama saf kepimpinan nya.

3.Menyokong DS.AAB terus menjadi PM.

Dan saya pasti PR akan terus ke Putrajaya (projek membazir duit rakyat) dan menubuhkan kerajaan pemerintah.

Wak tempe

asalbayu said...

Khir bakal bagi Mukhriz dan Khairy penyapu.

Khairy akan lantik gengnya dalam kabinet, pasti semua muda-muda. Yang tua elok rehat saja, dah berkarat.

Mukhriz masih kelabu, tak tau mana nak tala.

Pak Mat Tempe said...

Salam sejahtera Pak MSO,

Ulasan tuan sangat menarik.
Saya juga bersetuju degan tuan bahawa diantara tiga calon Khairi nampak lebih cerdik dan terbuka pendirian politiknya.(Mungkin ini akan mendatangkan marah kepada penyokong yang dua lagi tetapi saya bukan ahli mana2 parti dan bebas memberikan pandangan sebagai rakyat Malaysia)

Sayangnya malam itu dia tidak menggunakan kesempatan itu untuk menonjolkan kelebihan atau lebih agresif berhujah seperti kebiasaannya. Dia nampak keletihan atau mungkin sengaja berbuat begitu untuk menjaga hati sahabatnya takut kelihatan over pula, tambahan lagi beliau yang paling muda diantara mereka.

Dia ada kualiti dan berpotensi menjadi pemimpin masa depan negara dengan syarat beliau membuat adjustment dari segi style kerana akademiknya sudah cukup. Jika beliau boleh mengamalkan pendekatan yang moderate,tidak mengutuk peribadi sesiapa secara lebih2, berhemah ketika bercakap, boleh menerima teguran, musoh politik tidak dianggap musoh peribadi yang perlu dinyahkan dengan apa cara pun , boleh duduk semeja dengan pembangkang dalam isu yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara dimasa hadapan.

Jika ini boleh dilakukan akan lebih ramai rakyat tertarik kepada dia berbanding 2 lagi calon, yang nampaknya cenderung menyalahkan kepimpinan sekarang tidak tegas dan membawa kejatuhan banyak negeri kepada PR yang sebenarnya tuduhan itu tidak begitu tepat. Rakyat atau pengundi sendiri sebagaimana kata KJ yang telah berubah. Pengundi muda dengan sistem komunikasi yang canggih sekarang ini mempunyai anutan politik yang susah diramal.

Perlu di ingat bahawa kekalahan BN harus dipikul bersama dan selain faktor diatas faktor2 lain rasa saya yang membawa kekalahan itu berbagai2 termasuk perkara berkaitan dasar, perilaku pemimpin2BN disemua peringkat, cara berkempen yang 'back-fired' kepada BN sendiri, faktor Anwar yang masih ada pengaruh disamping peranan Anwar sendiri mengembeling strategi menyatukan pembangkang dengan cara satu lawan satu bagi setiap kerusi.

Walaubagaimanapun ini pertandingan dalam UMNO susah kita nak ramal siapa menjadi pilihan mereka, kerana ia banyak bergantung kepada pendekatan politik masing2 calon yang bersangkutan isu dan kepentingan orang melayu, sebab jawatan ini sebagai ketua sayap yang dilihat sebagai pressure group dalam parti itu mengikut sejarahnya. Wallahuallam

Anonymous said...

Salam,

Terima kasih atas ulasan tuan, dapat la juga saya tahu sikit sebanyak program tersebut kerana hati ini tak rasa teringin langsung nak ikuti perbahasan mereka pada malam itu walaupun kerap kali juga Hujah menjadi rancangan kegemaran saya...terima kasih tuan.